Jumaat, April 03, 2009

Komen tentang Pak Lah

Pak Lah tidak ada dua karakter – Jeanne

Kali pertama bertemu Datin Seri Jeanne Abdullah ialah kira-kira dua tahun lalu. Waktu itu baru lebih kurang lima bulan beliau menjadi suri hati Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sekali gus menggalas gelaran wanita pertama negara.

Dan petang 25 Mac lalu sekali lagi ‘tertulis’ bahawa kami dipertemukan semula. Berbanding ketika pertemuan pertama dulu di mana beliau anggun dengan kurung batik rona biru firus, kali ini kemunculannya santai dengan seluar coklat lembut dan blaus merah jambu polos serta selendang rona senada.

Penampilannya begitu sederhana dengan solekan nipis menyerlahkan kecantikan semula jadinya dan tanpa sarat aksesori sekadar sepasang subang mutiara terlindung di sebalik selendang.

Apa yang pasti wanita yang berada di depan penulis sekarang ini tidak ada bezanya dengan yang penulis temui dua tahun lalu. Senyuman dan tutur katanya tetap manis dan lembut seperti dulu. Penuh dengan naluri keibuan dan nampak ada keikhlasan yang mendalam pada setiap butir kata-katanya.

Kalau ada yang berbeza pun penulis lihat beliau nampak semakin yakin dengan setiap lontaran kata-katanya berbanding dulu masih agak kekok dan malu-malu mungkin kerana belum biasa.

Lagipun pertemuan kali ini lebih privasi dengan kehadiran cuma lima wartawan dari akhbar Utusan Malaysia, Kosmo dan Majalah Harmoni, selain seorang dari News Straits Times.

Suasana dalam bilik tetamu di kediaman Perdana Menteri sepanjang temuramah berlangsung juga cukup santai dan relak sebagaimana yang dimahukan sendiri oleh Jeanne.

Walaupun menyedari kami ghairah untuk bertanyakan tentang kehidupannya di sisi Perdana Menteri dan perasaannya menjelang hari-hari terakhir sebagai wanita pertama, beliau lebih senang memulakan perbualan dengan menjawab soalan tentang Kebun Ramuannya.

Kebun yang ‘dihuni’ lebih 130 spesies herba dan ulam-ulaman yang terletak hanya beberapa meter dari pintu masuk kediaman Perdana Menteri dalam perkarangan Sri Perdana itu, menjadi ‘lokasi’ terbaru pasangan suami isteri itu menghabiskan masa bersama apabila ada waktu senggang.

Kini sebut saja kegunaan atau khasiat tanaman-tanaman di situ semuanya diketahui termasuk spesis yang mungkin jarang diketahui. Misalnya, ulam Jaruh Tujuh Bilah yang menurut Jeanne amat berkhasiat untuk merawat kanser, manakala Jeanne mengakui kedudukan sebagai wanita pertama membuka peluang kepadanya untuk melakukan semua itu.

“Tapi kalau bukan bergelar wanita pertama pun saya tetap melakukan perkara yang sama tetapi mungkin pada skala yang lebih kecil. Saya akan sentiasa mencari masa untuk menanam pokok walaupun ruangnya hanya sebesar meja,” katanya. Bahkan, daripada minat bercucuk-tanam telah mencambahkan idea kepada Jeanne untuk memperkenalkan projek Hutan Kita di Bukit Kiara. Projek menanam semula pokok itu bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya memelihara kehijauan.

Abang saya patuh dan penyabar - Ibrahim

Kesempatan bertemu Datuk Ibrahim Ahmad Badawi tidak lama dulu mengingatkan kepada jenaka adik Perdana Menteri kelima itu dengan salah seorang adiknya ketika di bangku sekolah.

Menurut Ibrahim, beliau berkata pada abangnya: ''Saya hendak menjadi jurutera," dan lantas dijawab oleh Abdullah:

"Kalau engkau membuat jalan, saya akan buka (merasmikan) jalan tersebut."

Ibrahim, sentiasa mengingati saat itu kerana untuk tempoh lima tahun Abdullah merealisasikan kata-katanya dengan merasmikan banyak projek pembangunan negara.

Ibrahim juga tidak akan melupakan tindakan abangnya itu yang sering menjadi pelindung kepada beliau.

"Semasa kecil, beliau (Abdullah) sangat aktif dalam pengakap. Satu ketika saya dan beberapa rakan bermain-main bersamanya di sungai.

"Tiba-tiba salah seorang rakan cuba membenamkan kepala saya ke dalam sungai dan apabila diketahui oleh beliau mengenai kejadian itu, abang saya menyergah rakan tersebut," kata Ibrahim.

Bagaimanapun, dua sifat penting yang paling berharga dalam diri abangnya ialah patuh kepada cakap ibu mereka dan penyabar.

Menurut Ibrahim, abangnya pernah satu ketika ditegah oleh ibu mereka keluar rumah menunggang basikal kerana hari telah petang.

Abdullah tetap degil dan mengayuh basikal pada waktu itu. Malangnya, Abdullah terlibat dengan kemalangan apabila kakinya tersangkut pada brek basikal, menyebabkannya cedera.

"Selepas itu abang saya cukup patuh kepada cakap ibu," katanya.

Abdullah merupakan anak sulung daripada empat beradik. Selain Ibrahim, dua lagi adiknya ialah Aminah dan Mohd. Tahir.

"Abang saya cukup penyayang," kata Ibrahim sambil menambah sifat itu masih ada pada abangnya sehingga ke hari ini.

Kepatuhan Abdullah mengikut setiap cakap ibu mereka sebenarnya telah menjadi prinsip hidupnya.

Ini kerana ibu mereka selalu berpesan supaya tidak menyusahkan orang lain.

Pegangan agama yang kuat di kalangan mereka juga menjadi penyebab mengapa Abdullah dianggap 'Mr. Clean'.

Ini mungkin mengikut jejak bapa mereka, Ahmad Badawi yang walaupun rapat dengan Allahyarham Tun Sardon Jubir (bekas Gabenor Pulau Pinang), tetapi tidak pernah mengambil kesempatan memohon sesuatu untuk kepen-tingan diri.

Seperkara lagi ialah Abdullah, menurut Ibrahim akan bertanya mengenai kelayakan seorang, sekiranya mereka memohon sesuatu dari kerajaan.

Ini bagi memastikan orang layak benar-benar diberikan kelulusan apa yang mereka minta.

Sifat penyabar Abdullah juga terserlah semasa beliau tidak berada dalam Kabinet selepas peristiwa hitam UMNO diharamkan pada 1988. Ketika itu, ramai rakan Abdullah juga tersingkir dan terpencil.

"Beliau sangat sabar. Lihat sahaja ketika orang lain mengata benda tidak baik mengenai dirinya, beliau tidak bertindak balas," katanya.

Abdullah punyai pekerti mulia - Rakan sekolah

Kunjungan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam (HSBM) baru-baru ini mengimbau kembali kenangan dua rakannya yang pernah belajar di dalam kelas yang sama dengan Perdana Menteri.

Menurut rakan sekelas Perdana Menteri, G. Rethinasamy, 70, perwatakan Abdullah tidak pernah berubah walaupun selepas sekian lama meninggalkan bangku sekolah dan bergelar Perdana Menteri.

"Abdullah tidak pernah berubah. Beliau sentiasa merendah diri dan hatinya begitu mulia. Saya belajar di dalam kelas yang sama dengan Perdana Menteri sejak tahun 1953 sehingga 1957 di HSBM.

"Apabila tamat tingkatan lima, kami sama-sama menyambung pelajaran ke tingkatan enam di Sekolah Menengah Lelaki Methodist Pulau Pinang," katanya.

Bagi menguatkan lagi pengalaman peribadinya sebagai rakan Perdana Menteri, Rethinasamy menceritakan sikap Abdullah yang menghargai rakan-rakan lamanya.

Menurutnya, jika Abdullah sedang bermesyuarat dan ternampak dia melintas, beliau akan mengangkat tangan sambil memberi isyarat supaya menunggunya selesai bermesyuarat.

Kata Rethinasamy, kenangan manis ketika beliau bersama Perdana Menteri adalah ketika sama-sama menaiki bas untuk ke sekolah.

Bekas peguam itu berkata, Abdullah akan menaiki bas awam dari Kepala Batas, manakala beliau pula dari Tasek Gelugor dan kedua-dua mereka akan bertemu di Simpang Keling.

"Saban hari kami akan menaiki bas yang sama dan bertemu di Simpang Keling.

"Waktu sukar yang pernah kami lalui sepanjang menimba ilmu di sekolah ialah apabila kami daripada jurusan sastera tidak menjadi pelajar kesukaan guru berbanding pelajar jurusan sains," katanya sambil ketawa.

Namun begitu, katanya, sikap Abdullah yang tidak banyak bercakap tetapi tekun dalam pelajaran menjadikannya seorang pelajar yang sentiasa akur dengan peraturan sekolah.

Secara peribadi, Rethinasamy berkata, Abdullah adalah seorang insan yang terlalu baik untuk memasuki politik kerana 'dunia politik bukanlah semulia' yang digambarkan.

Seorang lagi rakan sekolah Perdana Menteri, Datuk M. Kuppan berkata, mereka mula berkawan sejak darjah satu iaitu ketika masing-masing berusia tujuh tahun.

"Jika ditoleh kembali zaman kanak-kanak kami, perjalanannya amat panjang. Sejak darjah satu, kami belajar dalam kelas yang sama sehinggalah menamatkan tingkatan lima kami di HSBM pada tahun 1957," katanya.

Beliau berkata, apabila Abdullah menceburi politik, dia tidak begitu menyenanginya kerana Perdana Menteri adalah seorang yang amat baik, kuat pegangan agama dan ikhlas dalam setiap apa yang dilakukannya.

Justeru, beliau sedih apabila segala usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri untuk membangunkan rakyat dan negara mendapat kecaman daripada orang politik.

"Abdullah telah berjasa kepada negara sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri dan itu tidak boleh disangkal.

"Oleh itu, apabila beliau membuat sesuatu keputusan politik, ia adalah untuk kepentingan rakyat Malaysia," katanya.

Menurut Kuppan, ketika di zaman persekolahan, rakannya itu sangat berdisiplin, seorang pelajar yang bagus dan kebanyakan guru di sekolah amat menyayangi Abdullah.

Beliau menyifatkan Abdullah sebagai seorang insan yang akan menyelesaikan masalah dan menyedari dalam dunia politik, tidak ada 'rakan' ataupun 'musuh' yang kekal.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.