Memaparkan catatan dengan label Komputer. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Komputer. Papar semua catatan

Selasa, Februari 16, 2010

Perlu lebih banyak pakar keselamatan Internet

Meskipun jenayah siber perbankan Internet masih di paras yang boleh ditangani, negara masih perlu melahirkan lebih ramai pakar keselamatan maklumat, demikian menurut CyberSecurity Malaysia.

"Saya tidak mahu mendakwa bahawa kita kekurangan pakar atau pakar kita sudah mencukupi untuk menyelesaikan masalah tetapi kita perlu bekerjasama bagi melahirkan lebih ramai pakar," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lt. Kol (Bersara) Husin Jazri.

Beliau berkata, dengan bilangan pengguna Internet yang semakin meningkat dan aliran sekarang yang menuju ke arah penggunaan lebih canggih seperti perbankan mudah alih, negara perlu bersedia dalam segenap segi, terutamanya dengan pakar keselamatan maklumat.

Ketika ini, Malaysia mempunyai kira-kira 16 juta pengguna Internet, katanya.

Mengenai perbankan dalam talian, Husin berkata, pihak yang paling terjejas akibat daripada jenayah siber adalah pengguna dan bukannya institusi kewangan.

"Saya tidak bimbangkan bank-bank. Mereka mempunyai banyak wang untuk menjamin keselamatan sistem mereka. Mereka boleh mendapatkan perunding terbaik dunia untuk memeriksa sistem keselamatan mereka.

"Manusia yang menerima kesan, bukan bahagian teknologi. Pengguna menjadi mangsa. Apabila pengguna berkomunikasi dengan bank, mereka terdedah kepada ancaman kejuruteraan sosial, skim penipuan dan ancaman-ancaman lain," katanya.

Menurut Husin, pengguna dalam talian perlu sedar bahawa bank-bank tidak pernah membuat penyenggaraan dalam talian bagi pelanggan mereka berkaitan dengan perbankan Internet.

"Kami perlu memberi pendidikan kepada pengguna tentang hakikat ini yang mana boleh membantu membendung masalah apabila mereka menyedari akan aspek ini," katanya.

Daripada sejumlah 3,564 kes yang dilaporkan tahun lepas, 1,022 merupakan kes penipuan dan pemalsuan yang menyumbang satu pertiga daripada kes, kata Husin.

"Kita harus berkongsi pengetahuan dan mengenal pasti strategi yang perlu untuk menangani ancaman seperti peningkatan risiko menceroboh sistem keselamatan, pencurian identiti, e-mel penipuan dan keganasan siber," katanya.

- BERNAMA

Khamis, Februari 04, 2010

Carian popular Internet di Malaysia pada 2009


Apa yang paling dicari oleh rakyat Malaysia di Internet pada tahun lalu. Adakah ia membabitkan isu politik, ekonomi, hiburan atau agama?

Yang pasti pencarian Google diumumkan sebagai paling popular digunakan di negara ini sepanjang tahun lepas menerusi laman sesawang. Data ini adalah hasil tinjauan oleh Google Zeitgeist.

Pencarian paling pantas pada tahun lepas menunjukkan rakyat negara ini menghabiskan lebih banyak masa di atas talian dan lebih memahami Internet seperti Facebook, Tagged, Twitter, permainan Dragonica dan perkongsian fail atas talian atau tapak penyimpanan 4shared.

Rakyat negara ini menggunakan kedua-dua media tradisional dan moden bagi mengemaskini berita dan gosip selebriti seperti Raja Pop Michael Jackson, ahli politik Elizabeth Wong.

Keadaan ekonomi yang tidak menentu tahun lalu juga menyebabkan ramai yang mencari pekerjaan di laman sesawang jobsmalaysia.gov.my.

Formula 1 pula berjaya menyaingi bola sepak dan badminton sebagai sukan paling berprestij tahun lalu dengan tiga daripada lima tapak berkaitan dengan F1 dan pasukan 1Malaysia F1 menjadi kemuncak dalam pencarian acara sukan.

Bintang YouTube, Zee Avi merupakan penghibur paling cepat meningkat, menerajui generasi baru pemuzik dan artis, manakala Elizabeth Wong membuktikan dirinya lebih popular di kalangan ahli politik.

H1N1 menunjukkan kesihatan merupakan isu yang turut diberi perhatian di kalangan rakyat negara ini manakala isu alam sekitar dan bencana alam mengambil separuh daripada senarai tajuk berita.

Lagu-lagu cinta pula mengetuai senarai pencarian lagu terhangat bahasa Melayu dengan Khatima Cinta dan Cinta Gila mendahului senarai. Sementara masakan tempatan seperti kuih tradisional, biskut raya dan nasi beriani merupakan pencarian popular berbanding masakan Barat dalam senarai pencarian makanan paling popular.

Cuba lihat senarai bagi mendapatkan senarai pencarian popular tahun lalu.

1. Facebook
2. Friendster
3. Yahoo
4. Myspace
5. Yahoo mail
6. Gmail
7. Berita Harian
8. Tagged
9. Malaysiakini
10. Youtube

- UTUSAN

Selasa, Januari 26, 2010

Tips Menjaga Laptop Anda

1. Bateri
* Elakkan daripada penggunaan bateri.
* Komputer lebih sejuk tanpa haba dari bateri.
* Jika bateri sudah habis dicas, digalakkan menggunakan kuasa dari adapter.
* Pastikan bateri berada di bawah 10 peratus sebelum dicas semula.
* Jika terlalu kerap dicas, bateri akan kehilangan keupayaan menyimpan tenaga di bawah 50 peratus.

2. Papan Kekunci.
* Letakkan sekeping kertas A4 untuk papan kekunci setiap kali tidak menggunakannya untuk menghindarkan papan kekunci dimasuki habuk.
* Sesekali lapkan papan kekunci dengan perlahan-lahan. Jangan terlalu kasar untuk mengelakkan butang kekunci rosak.
* Kalau boleh gunakan papan kekunci dan tetikus berasingan supaya kita tidak terlalu kerap menggunakan papan kekunci di komputer riba.

3. Skrin LCD
* Lapkan ia selalu kerana mudah dimasuki habuk.
* Gunakan screen saver.
* Power management setkan pada ‘Turn Off monitor in … minutes’.
* Elakkan menyentuh skrin dengan jari kerana kesan jari yang berminyak menyukarkan untuk pembersihan.
* Jangan letakkan jari di skrin kerana boleh menyebabkan ‘Dead pixel’.

4. Haba Panas
* Pasikan komputer riba anda ada ruang untuk mengeluarkan haba panas.
* Perlu diingat komputer riba mempunyai ruang simpanan yang kecil.

5. Surge Protector
* Fungsinya sebagai menjaga perisian dan perkakasan daripada rosak.
* Disyorkan jenama APC, BELKIN atau TARGUS.
* Kelebihan APC - mempunyai bateri simpanan, line protection (tiada elektrik tapi masih boleh dihidupkan lagi) dan mempunyai amaran kehabisan bateri.
* Kelebihan lain Surge Protector ialah menjaga HDD dan Power Supply.

6. Port
* Sentiasa dibersihkan kerana mudah dimasuki habuk.
* Gunakan berus atau berus gigi lama.
* Pastikan suis dimatikan ketika membuat pembersihan.

Ahad, Januari 17, 2010

Menangani fitnah dunia siber

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Khamis lalu seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) didakwa di Mahkamah Seksyen Petaling Jaya kerana menghantar komen yang berunsur ugutan di laman sosial Facebook. Beliau menghantar komen ke laman Facebook individu lain mengenai isu sensitif kalimah Allah yang mahu digunakan oleh penganut Kristian.

Isu kalimah Allah berlarutan kepada insiden melontarkan bom petrol pada beberapa gereja di Lembah Kelang hingga menimbulkan kebimbangan kalangan rakyat. Kedua-dua kejadian ini adalah suatu yang sensitif dan boleh mencetuskan sentimen antara kaum dan agama.

Facebook merupakan salah satu laman sosial yang ditawarkan bersama kecanggihan teknologi di dunia siber. Dengan kos yang sangat minimum atau tidak mengenakan kos langsung, setiap individu boleh menjadi pemain dalam ledakan kecanggihan dunia siber. Mereka boleh mencambahkan dan mendapatkan maklumat, atau mengutarakan pandangan tanpa sebarang tapisan. Tetapi malangnya definisi “tanpa tapisan” ini selalu difahami sebagai terlepas daripada tindakan undang-undang.

Kes pelajar menghantar komen didakwa berbaur ugutan adalah yang terbaru dan sekaligus membuktikan dunia siber juga tidak pernah menjanjikan kebebasan tanpa had. Tetap ada peruntukan undang-undang untuk memastikan mereka yang menyalahgunakan kecanggihan dalam dunia siber dikenakan tindakan.

Banyak pihak menganggap apabila mereka bebas mengutarakan pandangan atau komentar, ini bermakna mereka bebas daripada sebarang tindakan undang-undang. Lebih buruk lagi apabila mereka menganggap penyebaran berbaur fitnah, ugutan atau penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sebagai satu kebebasan.

Apabila e-mel mengambil alih peranan surat konvensional ketika Internet mula-mula diperkenalkan di negara ini, ada pihak yang menulis “e-mel layang”. Dulunya ini dilakukan secara tradisional menerusi “surat layang.” Banyak yang percaya e-mel atau surat elektronik ini terlepas daripada tindakan undang-undang berbanding surat biasa.

Kemudian apabila diperkenalkan istilah citizen journalist menerusi kemunculan berjuta-juta blogger yang mempunyai laman blog sendiri, khalayak mendapat begitu banyak maklumat sahih dan juga palsu. Ketika ini semua orang boleh memiliki “surat khabar” sendiri apabila mempunyai laman blog atau laman web. Ini bermakna semua orang boleh menjadi wartawan dan menyiarkan pandangan mereka untuk tatapan umum.

Sebelum ini ada beberapa blogger yang mendepani tindakan undang-undang kerana isi kandungan dalam blog berkenaan dikatakan berbaur fitnah. Blogger Jeff Ooi, Ahiruddin Atan, Raja Petra Kamaruddin dan Syed Azidi antara yang pernah mendepani tindakan undang-undang berhubung isi kandungan dalam blog masing-masing.

Contoh itu mahu membuktikan bahawa dunia siber hanya menyediakan premis yang bebas untuk menyiarkan apa saja kepada khalayak. Tetapi dalam masa yang sama tidak bermakna bebas daripada tindakan undang-undang sekiranya ada pihak yang menganggap penyiaran itu fitnah kepada mereka.

Kewarasan

Dengan kewujudan media baru seperti laman sosial, blog dan laman web, khalayak dituntut menggunakan kewarasan untuk memanfaatkan kecanggihan teknologi komunikasi yang ditawarkan menerusi dunia siber. Tetapi disebabkan oleh sesiapa saja boleh memberi pandangan dan menyiarkan untuk tatapan umum, maka wujudlah salah tafsir mengenai suatu yang dikelaskan sebagai fitnah, ugutan dan sebagainya.

Sebelum ini penerbitan bercetak yang banyak diambil tindakan undang-undang oleh individu yang merasakan mereka difitnah atau dimalukan dalam penerbitan berkenaan. Penerbitan bercetak sentiasa diawasi oleh Akta Mesin Cetak, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau Akta Rahsia Rasmi (OSA). Penerbitan bercetak tidak boleh bermain dengan isu yang menyentuh kaum dan agama. Tindakan sedang menanti mereka. Selain itu penerbitan bercetak juga bebas diambil tindakan undang-undang oleh individu apabila isi kandungan dianggap sebagai menyentuh peribadi mereka.

Penerbitan bercetak berkerja dalam satu lingkungan yang sentiasa diawasi dengan ketat oleh bermacam-macam akta. Tetapi secara positifnya Ini dengan sendiri membentuk self-censorship yang tinggi untuk menilai sesuatu isi kandungan itu akan memudaratkan keharmonian negara atau sebaliknya. Ini kerana penerbitan bercetak lebih mudah dipantau berbanding media baru yang lahir dalam dunia siber.

Dengan kemunculan berjuta-juta blog, peserta dalam laman sosial selain laman web yang pelbagai, pemantauan terhadap penyiaran isi kandungan yang sensitif tidak dapat dilakukan dengan segera. Kalau dipantau sekalipun tindakan undang-undang tidak diambil dengan segera. Keadaan ini mengiyakan persepsi bahawa dunia siber semuanya bebas.

Maka yang kelihatan tidak bebas adalah penerbitan bercetak dan yang kononnya bebas adalaj penerbitan media baru di dunia siber. Sekalipun tanggapan ini tidak benar tetapi secara tidak langsung telah membentuk persepsi bahawa “kebebasan” ada di dunia siber.

Kecanggihan teknologi dunia siber sebenarnya memberikan banyak manfaat kepada rakyat khususnya untuk mendapat maklumat. Kini kita berada pada era limpahan maklumat dan tentunya suatu yang baik kepada semua orang. Lambakan maklumat juga ada masalahnya apabila individu di dunia siber tidak semuanya mempunyai kredibiliti untuk diterima sebagai pemberi maklumat yang sahih. Lebih teruk lagi bukan saja tidak sahih tetapi sengaja dilencongkan kepada maksud lain.

Di peringkat inilah kecanggihan dunia siber mendatangkan keburukan kepada khalayak. Semuanya kerana disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk menyebarkan isi kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian negara. Kebebasan menyiarkan maklumat atau pandangan telah digunakan untuk menyebarluaskan fitnah atau maklumat palsu yang menggoncang kestabilan negara atau untuk menjejaskan kredibiliti individu tertentu.

Kita kena realistik bahawa penerbitan di dunia siber negara ini terlalu bebas. Ia seolah-olah tidak ada pemantauan seperti yang dilakukan terhadap penerbitan bercetak. Mereka yang mengendalikan penerbitan siber bukan saja bebas menyiarkan maklumat tetapi juga bebas daripada tindakan undang-undang. Walaupun ada beberapa kes yang disebutkan di atas tadi tetapi ini sekadar membuktikan ada peruntukan undang-undang terhadap dunia siber. Bagaimanapun tidak ada tindakan yang boleh dijadikan iktibar oleh pihak lain.

Ini dibuktikan sebahagian daripada blog, komen-komen dalam laman sosial serta khidmat pesanan ringkas (SMS) bukan saja maklumat yang palsu tetapi boleh menggugat keharmonian negara. Komen-komen terhadap isu-isu yang melibatkan politik dan agama dibuat sewenang-wenang dengan unsur-unsur yang berbaur perkauman. Ini tidak boleh dilakukan sama sekali oleh penerbitan bercetak.

Mempunyai peruntukan undang-undang dan melaksanakan undang-undang adalah dua perkara yang berbeza. Peruntukkan undang-undang menuntut ia dilaksanakan sebaik mungkin. Ini adalah untuk memberi keadilan kepada individu yang menjadi mangsa kepada pengamal dalam dunia siber. Fitnah, hasutan atau ugutan tetap mempunyai makna yang sama tidak kira dalam dunia siber atau sebaliknya.

Kita semua percaya dalam isu kalimah Allah dan juga membakar gereja, bukanlah pelajar Aswara itu saja yang menghantar komen yang boleh ditafsirkan sebagai ugutan. Maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa isu yang sensitif seperti itu telah bersarang di laman-laman web atau laman-laman sosial di negara ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim menganggap penguatkuasaan yang lemah menjadi punca utama penyebaran fitnah yang berleluasa di dunia siber. Sebaliknya beliau percaya, sekiranya penguatkuasaan dilaksanakan banyak bloger dan pengguna Internet tidak boleh bermaharajalela menyebarkan fitnah.

Semua yang bersifat fitnah, ugutan atau hasutan boleh diambil tindakan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia. Tindakan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ada dalam peruntukkan undang-undang. Sebagai bukti, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah mengemukakan 18 kes bawah perkara 232 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kepada pihak pendakwa tetapi masih belum ada pendakwaan. Kenapa?

Melaksanakan dengan tegas Akta Komunikasi dan Multimedia

bukanlah menyekat kebebasan bersuara seperti yang dilaung-laungkan oleh pihak tertentu. Dalam kehidupan manusia tidak ada kebebasan yang mutlak dan perkara ini mesti difahami sekiranya kerajaan mengambil tindakan kepada mereka yang melanggar akta tersebut.

Peruntukkan undang-undang berkaitan dunia siber adalah untuk menyekat segelintir pengguna yang tidak beretika atau sengaja mengambil peluang untuk mencetuskan keadaan tidak harmoni. Pada masa ini memberi banyak manfaat kepada majoriti khalayak yang lain. Sekiranya kerajaan berfikiran sempit tidak memberi kebebasan, sudah tentu tidak diperkenalkan Internet. Maka untuk menikmati kebebasan yang lebih bermakna kita perlulah mengorbankan kebebasan mutlak yang membawa banyak keburukan daripada kebaikan.

- MINGGUAN MALAYSIA

Ahad, Disember 27, 2009

13 jam seminggu gunakan internet di Amerika

WASHNGTON: Pelayar laman siber didapati menghabiskan masa 13 jam secara puratanya setiap minggu untuk melayari internet, tidak termasuk komunikasi menerusi e-mel, menurut kajian terbaru, semalam.

Tinjauan Harris mendapati, 80 peratus orang dewasa di Amerika Syarikat melayari internet sama ada di rumah, tempat kerja atau lokasi lain.

Orang yang melayari internet umumnya menghabiskan masa selama 13 jam seminggu untuk tujuan itu, tetapi dengan perbezaan tertentu.

Sebanyak 20 peratus daripada mereka ‘online’ selama dua jam atau kurang seminggu manakala 14 peratus menggunakannya 24 jam atau lebih.

Selain itu, penggunaan internet meningkat sejak beberapa tahun lalu iaitu tujuh jam pada 1999 hingga 2002; lapan hingga sembilan jam pada 2003 hingga 2006 dan 11 jam pada 2007.

Tempoh penggunaan internet mencapai kemuncak 14 jam pada Oktober 2008 ketika dunia dilanda kegawatan ekonomi dan sebelum pilihan raya Presiden Amerika berlangsung.

Masa penggunaan internet meningkat disebabkan beberapa faktor termasuk keselesaan melayari web selain membeli belah atau menonton televisyen ‘online’, kata Harris.

Selain itu, faktor pertambahan laman web dalam dunia siber dan kemudahan ‘online’ selain kemelesetan ekonomi memaksa pengguna tidak keluar rumah untuk melayari web bagi mengelak berbelanja.

Pengguna berusia 30 hingga 39 tahun didapati paling ramai dan menghabiskan waktu paling lama untuk melayari internet iaitu 18 jam seminggu.

Bilangan pengguna internet di kalangan orang dewasa di Amerika dianggarkan berjumlah 184 juta orang dan ia mewakili kira-kira 80 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara itu, lapor Digital Media.

Angka itu adalah hampir sama dengan rekod 2008 tetapi menunjukkan peningkatan paling ketara daripada 1999 iaitu 56 peratus manakala pada 1995 hanya mencatatkan sembilan peratus.

- Agensi

Rabu, Disember 23, 2009

Kesan aplikasi sosial maya


Oleh SYAHRIR MAT ALI dan FATIN HASNAN
Penyelidik, Bhg Penyelidikan Keselamatan Siber, CyberSecurity Malaysia

Pengguna Internet yang menggunakan aplikasi rangkaian sosial dinasihatkan supaya tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, nombor kad kerdit, pekerjaan, identiti majikan, maklumat kewangan dan sebagainya.

Penggunaan Internet di kalangan masyarakat dunia semakin meningkat dengan pesat dan mula mengubah cara hidup mereka.

Menurut penyelidikan yang dibuat oleh IDC Research, pengguna Internet di Malaysia telah menjangkau 16 juta orang dan angka tersebut dijangka akan melonjak kepada 20.4 juta orang pada 2012.

Kepenggunaan aplikasi rangkaian sosial di Malaysia pula telah mencatat sebanyak 66 peratus pada bulan Disember 2008 iaitu di tangga ketiga selepas Singapura dan Korea Selatan dengan masing-masing mencatat 74.3 peratus dan 68 peratus.

Penggunaan aplikasi rangkaian sosial telah mula menular sehingga telah menjadi bagaikan satu budaya dan santapan harian bagi sebahagian besar pengguna Internet di seluruh dunia.

Laman web aplikasi rangkaian sosial semakin bercambah sehingga mula mendominasi carta dari segi jumlah pelawat yang melayari alam siber dan dunia komunikasi maya.

Sehingga kini, terdapat sejumlah 170 rangkaian sosial interaktif yang terkenal dan aktif digunakan di seluruh dunia seperti Facebook, Twitter, Friendster, MySpace, Tagged dan sebagainya.

Facebook yang mendakwa memiliki sejumlah 350 juta pengguna dari segenap pelosok dunia, kini menyimpan lebih daripada 10 bilion gambar yang dikongsi oleh pengguna-pengguna laman rangkaian sosial tersebut.

Impak pada masyarakat

Berdasarkan statistik dari sumber Alexa dan Google Ad Planner, laman rangkaian sosial Facebook telah dikunjungi oleh kira-kira 6.2 juta pengguna Internet di Malaysia dan kira-kira 4.2 juta pula mengunjungi laman Friendster.

Rangkaian sosial interaktif MySpace pula dikunjungi oleh 2.1 juta pengguna Internet di Malaysia manakala Twitter menerima kira-kira 750,000 pengunjung.

Walaupun fenomena rangkaian sosial global yang popular seperti Facebook telah mula menembusi pasaran dunia, terdapat juga beberapa aplikasi rangkaian sosial tempatan yang menawarkan kandungan dan perkhidmatan tempatan yang aktif digunakan seperti eKawan, Ruumz, GoEatOut, Circles99, FriendX, eMeiMei serta Pacmee.

Kebanyakan perkhidmatan rangkaian sosial menyediakan ruang bagi penggunanya untuk meletakkan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, nombor telefon dan maklumat penting yang lain.

Ciri asalnya bertujuan membantu memudahkan pengguna satu-satu perkhidmatan rangkaian sosial berkenalan dan berhubung telah secara tidak langsung mendedahkannya kepada risiko kecurian maklumat pengguna oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Laporan yang dikeluarkan oleh Sumber Media, Markmonitor bagi suku pertama tahun 2009 menunjukkan peningkatan hampir 240 peratus terhadap serangan phishing di Amerika Syarikat (AS) yang ditujukan terhadap perkhidmatan rangkaian sosial.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Markmonitor, Frederick Felman, serangan phishing itu merupakan salah satu inovasi terbesar. Perkhidmatan rangkaian sosial menjadi sasaran utama penggodam Internet lantaran ia menyimpan banyak maklumat peribadi pengguna yang sangat bernilai.

Setiap maklumat peribadi tersebut dikatakan boleh dijual di pasaran gelap pada harga AS$1 (RM3.80).

Selain itu, syarikat perisian antivirus F-Secure turut melaporkan tentang peningkatan risiko perisian berbahaya (malware) dalam perkhidmatan rangkaian sosial berikutan peningkatan serangan sebanyak 100 peratus pada tahun 2007.

Terdapat juga perisian berbahaya yang menyamar seperti tampalan keselamatan (security patch) untuk memperdayakan pengguna perkhidmatan rangkaian sosial agar memuat turun dan memasangnya.

Hampir kesemua aplikasi rangkaian sosial tidak memiliki kaedah untuk mengesahkan umur sebenar setiap penggunanya, melainkan dinyatakan secara sukarela oleh golongan pengguna yang mendaftarkan diri.

Ini mendedahkan golongan kanak-kanak kepada risiko masalah fidofilia iaitu salah laku seksual antara golongan dewasa dan kanak-kanak. Ia berlaku apabila pengguna dewasa boleh menyamar sebagai kanak-kanak dan menjalin hubungan dengan mereka.

Kebanyakan aplikasi rangkaian sosial membenarkan pengguna meninggalkan komen pada catatan atau gambar pengguna lain. Kemudahan itu telah membuka ruang berlakunya kejadian buli dan gangguan siber.

Keselamatan

Kegilaan pengguna Internet, terutamanya golongan remaja, terhadap aplikasi rangkaian sosial telah menjadi sesuatu yang membimbangkan. Misalnya, seorang gadis berusia 17 tahun di Romania yang galak menggunakan aplikasi rangkaian sosial Twitter telah terbunuh akibat kejutan elektrik ekoran menggunakan komputer ribanya ketika berendam di bilik mandi.

Aplikasi rangkaian sosial turut dikatakan menjadi penyumbang kepada pelbagai masalah disiplin terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak yang menghabiskan terlalu banyak masa di hadapan komputer.

Budaya itu akan membawa kepada masalah kesihatan mata, postur badan disebabkan kedudukan yang tidak ergonomik dan sebagainya.

Pengguna Internet yang menggunakan aplikasi rangkaian sosial perlu sentiasa peka dan mengambil langkah keselamatan seperti tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, nombor kad kredit, nombor pin, kata laluan pekerjaan, identiti majikan, maklumat kewangan dan sebagainya di mana-mana aplikasi rangkaian sosial.

Selain itu, setiap pengguna juga perlu berhati-hati dalam memilih dan menerima kenalan yang ditemui dalam rangkaian sosial.

Pengguna perkhidmatan rangkaian sosial diingatkan agar tidak mudah percaya dengan identiti yang dipaparkan kerana terdapat pelbagai kes identiti palsu melibatkan orang yang baru dikenali. Ini boleh membuka jalan kepada berlakunya pelbagai jenayah seperti kes rogol, rompak dan penipuan.

Pengguna juga dinasihatkan agar tidak sesekali klik pada pautan atau menerima dan memasang perisian yang diterima daripada orang yang tidak dikenali.

Fungsi privasi juga perlu diaktifkan pada akaun rangkaian sosial (sekiranya ada) yang digunakan untuk mengawal kumpulan individu tertentu daripada melihat maklumat penuh atau gambar-gambar milik pengguna-pengguna yang boleh dijadikan bahan ugutan.

Hati-hati ketika meletakkan mesej dan gambar yang boleh memberikan petunjuk kepada identiti atau lokasi sebenar pengguna.

- KOSMO!

IE8 lebih selamat

Oleh Afiq Hanif
afiq@hmetro.com.my

Baru-baru ini, Microsoft Corp mendedahkan Laporan Keselamatan Pintar versi ke-7 (SIRv7) kepada umum yang memperlihatkan ketelusan syarikat peneraju perisian, per khidmatan dan penyelesaian dalam dunia perkomputeran dalam menangani masalah serangan siber.

Jangkitan ‘worm’ atau cecacing menjadi ketakutan utama pada tahun ini dengan peningkatan hampir 100 peratus yang direkodkan pada Januari hingga Jun 2009.


Penyangak yang menyamar sebagai pembekal perisian ke selamatan juga dikesan sebagai masalah utama kepada peng guna siber namun hanya 20 peratus pelanggan tertipu sejak enam bulan lalu.

Sungguhpun begitu, cabang Trojans iaitu Zlob yang menjadi ancaman utama sejak dua tahun lalu berjaya dikekang Microsoft menerusi aktiviti agresif melindungi mesin pe langgan.

SIRv7 membekalkan maklumat mendalam dan tepat me ngenai landskap ancaman di seluruh dunia dan buat pertama kalinya Microsoft mendedahkan negara yang memiliki ka edah terbaik menangani jangkitan ‘malware.’

Ketua Keselamatan dan Privasi Asia Pasifik, Jacqueline Peterson-Jarvis, berkata maklumat dikumpul dalam SIRv7 diperoleh daripada pelanggannya di seluruh dunia yang menghasilkan data komprehensif untuk menidakkan an caman siber.

“Peningkatan ancaman berniat jahat seperti worm dikesan sebagai masalah utama hasil kajian kami.

“Cecacing banyak bergantung kepada akses perkongsian fail tidak dilindungi dan pertambahan peranti storan mudah alih yang kebanyakannya wujud dalam suasana enterpris,” ka tanya.

Peterson-Jarvis berkata, dua ahli keluarga worm yang aktif menyerang pengguna ialah ‘confickr’ menjangkiti peranti disambungkan menerusi sistem rangkaian.

“Taterf pula menduduki senarai kedua dengan pertambahan 156 peratus sejak separuh masa kedua pada 2008 yang mensasarkan pemain permainan ‘online.’

“Serangan terbabit bergantung kepada kejuruteraan sosial untuk menular selain akses kepada fail tidak dilindungi dan jumlah storan mudah alih seperti pemacu USB yang kerap digunakan dalam enterpris,” katanya.

Beliau berkata, Jepun, Austria dan Jerman adalah tiga negara yang perlu dicontohi kerana mereka memiliki kaedah bagi menangani masalah siber secara bersepadu seperti beker jasama dengan agensi bertanggungjawab menjaga kesela matannya.

“Selain itu, penguatkuasaan yang ketat dan kerjasama dengan pembekal perkhidmatan Internet (ISP) dilihat usaha penting menangani ancaman siber,” ujarnya.

Internet Explorer 8 (IE8) yang diperkenalkan sejajar dengan kedatangan Windows 7 adalah contoh aplikasi carian selamat digunakan memandangkan ia dipertingkatkan dengan ka walan dan perlindungan lebih baik.

Sementara itu, Pengarah Kumpulan Teknologi dan Pe nyelesaian Microsoft Malaysia, Darien Nagle memaklumkan pihaknya menggunakan kepakaran kejuruteraan sosial untuk mengatasi masalah berkaitan keselamatan yang dihadapi pengguna sebelum ini.

“Pengguna mempunyai sebab kukuh untuk melayari In ternet dengan selamat menggunakan produk Microsoft,” katanya.

Lapan ciri terbaik yang ditonjolkan dalam IE8 ialah:



1. Bar alamat URL pintar yang mengesan laman web dipercayai saja.

2. Tab sensitif yang mengenali sub laman web dibuka bagi mengelakkan kekeliruan akibat terlalu banyak ikon dibuka.

3. IE8 jauh lebih pantas dengan menawarkan langkah mudah membuka perkara yang diingini.

4. Memiliki ‘Web Slices’ yang mengumpul maklumat ke gemaran anda.

5. Kotak carian pantas di sebelah kanan yang memaparkan maklumat serta visual kecil memudahkan pengguna mencari data diperlukan.

6. IE8 mampu disesuaikan dengan apa jua standard web.

7. Selamat dan Terjamin.

8. Carian menggunakan kaedah ‘InPrivate’ menjamin ke selamatan data ketika menggunakan komputer awam atau melayari Internet di tempat umum.

- HARIAN METRO

Selasa, Disember 22, 2009

Akta E-Dagang Akan Dipinda Lindungi Pengguna Lebih Berkesan

PETALING JAYA: Akta Perdagangan Elektronik 2006 (E-dagang) akan dipinda pada Mac depan bagi melindungi pengguna yang menggunakan perkhidmatan perniagaan secara atas talian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKP), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan itu termasuk memperkemaskan akta itu yang meliputi prosedur, penalti, undang-undang dan hukuman supaya ia lebih komprehensif.

"InsyaAllah pada Mac tahun hadapan kita akan pinda akta itu. Sebelum ini segala yang berkaitan dengan e-dagang akan dirujuk kepada Akta Perdagangan.

"Oleh sebab itu saya nak perkemas akta ini terutama aspek hukuman supaya ia lebih jelas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Maktab Kerjasama Malasyia (MKM) di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan pindaan akta berkenaan yang diluluskan pada tahun 2006 itu yang bertujuan mengatasi halangan yang wujud dalam menjalankan transaksi secara elektronik di negara ini.

Ismail Sabri berkata, sebelum sebarang pindaan dibuat, peraturan yang lebih jelas mengenai hukuman dan prosedur dalam Akta Perihal Dagangan akan diwujudkan untuk sementara waktu sebelum Akta E-dagang dipinda.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau menegaskan, gerakan koperasi di Malaysia belum lagi menjadi penyumbang yang berkesan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya sekitar satu peratus sahaja.

"Tidak banyak koperasi yang mempraktikkan pemasaran internet dalam perniagaan mereka. Hanya beberapa sahaja yang baru menggunakan cara ini," katanya.

Sehubungan itu, untuk koperasi berjaya dalam perniagaan ia perlu lebih bersikap terbuka dan menggunakan kelainan dalam menambah nilai setiap urus niaga agar lebih kompetitif dan mampu bersaing di pasaran global.

Beliau turut menggalakkan koperasi menjadikan internet sebagai medium pemasaran produk dan perkhidmatan, tidak hanya bergantung kepada kaedah tradisional atau konvensional semata-mata.

"Trend ini semakin meningkat selepas kegawatan ekonomi di seluruh dunia termasuk Malaysia.

"Ini terbukti apabila peningkatan pengguna ke laman web perniagaan dari 46 peratus kepada 236 peratus," ujarnya.

Katanya, sejajar dengan perkembangan itu, internet sesuai diaplikasi dalam gerakan koperasi yang juga dikenal pasti sebagai sektor ketiga yang boleh membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Tambah beliau, mengikut statistik daripada internet World Stats, sehingga 30 September 2009, terdapat 1.37 bilion pengguna internet seluruh dunia.

"Pengguna internet di Malaysia sahaja berjumlah 16.9 juta orang bersamaan 59.7 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini.

"Daripada statistik ini, jelas menunjukkan betapa luasnya pasaran dunia mahupun di Malaysia sendiri yang boleh diteroka dengan menggunakan internet," katanya lagi.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyerahkan replika cek sumbangan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Mangsor Saas kepada Pengerusi Koperasi Pelajar Malaysia, Mohd Hamzah Kasim berjumlah RM30,000.

- MSTAR

Rabu, Disember 16, 2009

Caj internet lebih murah galak budaya celik IT

Secara global, pengguna Internet di Malaysia mengungguli tempat pertama di laman blog, tempat kedua di friendster dan myspace, tempat ketiga di Flickr, tempat ke-13 di YouTube dan ke-16 di facebook. Ini jelas membuktikan peningkatan penggunaan jalur lebar di negara kita selain disebabkan sikap ingin menguasai teknologi maklumat (IT), wujudnya rangkaian sosial dan pelbagai kemudahan hingga sesetengah pengguna lebih suka berbelanja secara atas talian, berhibur serta merancang perjalanan cuti.

Menyedari hakikat ini juga, syarikat telekomunikasi berlumba-lumba menawarkan pakej langganan internet dengan kadar bayaran tertentu sama ada berasaskan kadar harian, mingguan atau bulanan. Kaedah ini juga menyaingi perkhidmatan internet tanpa wayar (Wireless Fidelity) atau WiFi dengan penggunanya mudah mencapai kemudahan itu menggunakan komputer riba masing-masing dalam jarak lingkungan 100 meter dari antena disediakan atau Wifi hotspot. Malah, teknologi terbaru bagi capaian jalur lebar berkelajuan tinggi kini boleh didapati di Malaysia iaitu WiMAX (Kebolehoperasian Seluruh Dunia untuk Capaian Gelombang Mikro).

Teknologi ini dipercayai amat berkesan di kawasan luar bandar yang kebanyakannya belum pernah merasakan capaian internet jalur lebar. Bagaimanapun, semua itu memerlukan bayaran. Kelmarin, beberapa Ahli Parlimen meminta jika caj internet di negara ini dikurangkan kerana negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam menyediakan kadar yang lebih rendah menerusi persaingan sihat pembekal perkhidmatan internet (ISP).

Ini bukan kali pertama suara seperti itu didengar. Namun, khabar gembira akan menjelma Februari depan apabila Kabinet meneliti kertas berkaitan selepas ia mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Telekom Malaysia menyiapkan laporan mengkaji semula kadar caj internet di negara ini yang agak tinggi berbanding negara jiran bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna.

Seperti kata Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum, kajian itu akan memastikan kadar caj internet lebih rendah dan munasabah bagi memberi perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada pengguna, termasuk mereka yang tinggal di pedalaman. Kita berharap kabinet membuat keputusan yang terbaik bagi menggalakkan penggunaan internet lebih meluas apatah lagi dalam usaha kerajaan mempercepatkan pelaksanaan jalur lebar tanpa wayar berkelajuan tinggi membabitkan kos RM11.3 bilion untuk tahun depan, termasuk RM8.9 bilion sumbangan daripada Telekom Malaysia Bhd.

Sudah 15 tahun rakyat Malaysia menikmati internet, namun kadar penembusan jalur lebar bagi isi rumah di negara ini hanyalah sekitar 21 peratus iaitu masih terlalu rendah berbanding negara lain seperti Korea Selatan dan Singapura yang memiliki kadar penembusan 90 peratus. Hanya dengan kadar caj internet lebih murah, akan membantu melonjakkan kadar penembusan itu termasuk di luar bandar dan pedalaman, ke tahap 50 peratus pada tahun depan seperti disasarkan kerajaan.

- BERITA HARIAN

Selasa, Disember 15, 2009

Tulislah secara berhemah

Menulis itu mudah. Sesiapa sahaja boleh menulis. Menentukan isi kandungannya pun tidak susah. Maka merata-rata terdapatlah penulisan yang mudah-mudah. Pembaca-pembacanya pun senang ambil mudah apa yang dibacanya. Kerana semuanya mudah, maka mudahlah juga tulisan itu tidak hinggap di kepala pembacanya.

Lain halnya dengan penulisan yang serius yang dibuat dengan penuh dedikasi dan komitmen. Tidak kira sama ada isinya berbentuk lucu atau pun serius, penulis yang berdedikasi akan tetap menghasilkan tulisan yang bererti.

Berbeza dengan penulisan berita di media cetak di mana ia lebih bergantung kepada kepentingan yang hendak diajukan oleh penyuntingnya atau dasar pemberitaan media itu sendiri. Hal ini tidak akan disentuh dalam coretan ini.

Sesuatu tulisan itu boleh berbentuk buletin atau newsletter atau pun juga rencana. Jika ia ditulis atas arahan pihak atasan sesebuah agensi, maka biasanya ia mempunyai tujuan utama dan filsafah tertentu. Namun sering kali hala tuju ini seakan-akan tidak wujud. Ada kalanya tulisan tersebut lebih mencerminkan watak penulisnya. Kadang kala penulisnya seolah-olah mahu menonjolkan dirinya atas motif-motif tertentu.

Ada yang mahu tunjuk pandai. Maka tulisan itu mengemukakan konsep-konsep yang tinggi melangit dan menggunakan istilah-istilah atau ungkapan-ungkapan yang sukar difahami. Hanya penulisnya sahaja yang tahu erti sebenar ungkapan-ungkapan yang digunakan.

Kenyataan-kenyataan atau hujah-hujahnya meleret-leret atau berpusing-pusing hingga pembaca menjadi tenggelam punca. Membosankan! Ada juga penulis yang mahu menunjukkan kedudukan dirinya. Kata-katanya meninggi kalau pun tidak berdegar-degar. Tulisannya komen. Ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada pembacanya; hanya menimbulkan rasa jelik.

Ada pula penulis yang seolah-olah lupa bahawa dia menulis untuk kumpulan-kumpulan sasaran tertentu, bukan untuk dirinya sendiri. Kata-katanya tidak menimbulkan apa-apa sentuhan yang bererti kepada pembaca. Tulisannya tidak mencungkil inti pati permasalahan yang dihadapi "clientele" sasarnya.

Tidak juga dia membuat rumusan yang bulat ke atas isu pokok di muka hadapan. Samalah keadaannya seperti seorang yang menyanyi dalam bilik mandi!

Keadaan ini amat berbeza dengan orang yang menulis secara ikhlas. Mereka ini jelas akan tujuannya menulis itu. Tidak kira sama ada untuk menyampaikan maklumat, memberi penjelasan ke atas sesuatu isu, atau mencadangkan sesuatu penyelesaian ke atas sesuatu masalah dan sebagainya. Kerana adanya keikhlasan itu maka timbul komitmen yang tinggi dalam penulisannya. Tujuannya semata-mata untuk mendatangkan manfaat kepada audience sasarnya. Dalam banyak hal audience ini adalah terdiri daripada orang awam.

Jika seseorang ketua agensi mengarahkan kakitangannya menulis bagi pihaknya untuk orang ramai misalnya, maka dia perlu terlebih dahulu prihatin terhadap apa yang menjadi tuntutan dan harapan golongan sasarnya itu. Malahan dia wajib tahu akan apa yang menghantui klien mereka. Bukan hanya dari segi apa yang berlaku tetapi juga apa yang dirancang untuk dilakukan. Perhitungan termasuk juga antaranya bagaimana klien mereka yang terlibat akan terkesan hasil daripada tindakan-tindakan yang bakal dilakukan; termasuklah rasional tindakannya.

Dia perlu melihat sesuatu isu itu dari kaca mata kliennya dan dapat menyesuaikan solusinya dengan kepentingan umum, bukan dengan kepentingan agensi yang diwakilinya atau kepentingan sempit kumpulan kecil tertentu. Lebih berdosa lagi jika dia menganggap orang dari kumpulan sasarnya itu jahil-jahil belaka. Justeru dia perlu tahu apa yang hendak diarahkannya. Bukan secara hentam keromo sahaja.

Pun begitu tanggungjawabnya belum selesai dengan mengeluarkan arahan. Lebih mencacatkan lagi tulisan itu ialah jika ia tidak disemak dan diperbaiki sebelum diterbitkan. Jika demikian maka jadilah ia tulisan yang murahan dan diperlekehkan oleh pembaca.

Sabtu, Julai 11, 2009

Penggodam guna alamat 16 negara

Serangan siber yang melembapkan operasi laman web di Amerika Syarikat dan Korea Selatan menggunakan 86 alamat IP (Internet Protocol) di 16 negara ketika agensi risikan Korea Selatan mengesyaki Korea Utara dalang kejadian itu.

Negara yang menyaksikan laman webnya terjejas termasuk Korea Selatan, Amerika Syarikat, Jepun dan Guatemala, kata ahli jawatankuasa risikan Parlimen Korea Selatan, Chung Chin-sup kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas diberi taklimat Perkhidmatan Risikan Kebangsaan (NIS) mengenai siasatan awal alamat IP, yang menyamai alamat jalanan atau nombor telefon bagi internet.

Serangan terhadap laman web di Amerika dan Korea Selatan disifatkan sebagai bertujuan menyekat perkhidmatan internet yang menyaksikan banyak pengguna komputer cuba untuk menghubungi satu halaman pada masa yang sama sehingga menjejaskan pelayan.

NIS turut memberikan taklimat mengenai keadaan dan punca teknikal yang dipercayai menjadi sebab kepada serangan terhadap Korea Selatan, kata Chung tanpa mengulas lanjut.

Bagaimanapun, agensi risikan itu juga menyuarakan keraguan serta menganggap masih terlalu awal untuk merumuskan Korea Utara bertanggungjawab berikutan siasatan masih dijalankan, kata Park Young-sun, seorang lagi ahli jawatankuasa risikan berkenaan.

"Setakat ini, Korea Utara tidak termasuk dalam 16 negara dengan alamat IP terbabit," katanya kepada pemberita.

Pihak berkuasa Amerika mengesyaki Korea Utara sebagai punca masalah, tetapi pada masa sama mereka memberi amaran sukar untuk mengenal pasti penyerang dalam masa terdekat.

Tiga pegawai Amerika minggu ini berkata, alamat internet terbabit dikesan dari Korea Utara, tetapi tidak bermakna serangan terbabit membabitkan kerajaan Kim Jong-il di Pyongyang.

Ia berikutan masalah beberapa bulan sebelumnya di mana Korea Utara secara rahsia melakukan satu siri ancaman dan tindakan provokatif yang dikutuk masyarakat antarabangsa termasuk satu ujian nuklear dan pelancaran peluru berpandu.

- AP

Rabu, Julai 08, 2009

Ancaman jenayah siber meningkat

"Bayangkan bank 'diserang', orang yang ada banyak duit tiba-tiba mendapati akaun duit mereka kosong dan inilah senario rapuhnya teknologi kalau kita tidak dilatih tentang ancaman alam siber."

Itulah gambaran diberikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof ekoran bahaya ancaman kes jenayah siber yang meningkat lebih 50 peratus di negara ini.

"Ancaman siber boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana sahaja dan kepada sesiapa sahaja malah penjenayah moden itu berupaya menyerang infrastruktur dan sistem di negara kita," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan dan Pameran CyberSecurity SecureAsia@KL di sini semalam.

Menurut Fadillah, sebanyak 2,123 kes dilaporkan pada 2008 membabitkan kegiatan pencerobohan, kecurian maklumat akaun bank, serangan perkhidmatan, penggodaman, serangan kod berbahaya dan spam yang menyebarkan bahan lucah, ucapan benci, pesanan fitnah, hasutan dan judi yang semakin berleluasa di Internet.

Jelas Fadillah, walaupun teknologi maklumat memberi manfaat kepada manusia tetapi ada elemen yang perlu ditangani dengan baik dan berkesan.

- KOSMO!

Kawal perisian ketika proses start-up

Setiap kali perisian dalam kategori Perisian Utiliti dipasang di dalam komputer, kemungkinan besar ianya akan disetkan untuk dimulakan secara automatik setiap kali komputer dimulakan.

Walaupun kemudahan memulakan perisian secara automatik ini memudahkan pengguna, namun ianya akan memanjangkan masa untuk komputer dimulakan. Lebihlebih lagi jika perisian terbabit tidak lagi diperlukan.

Kebanyakaan perisian yang dimulakan secara automatik ini boleh dilihat di dalam kawasan 'System Tray', di sebelah kanan bawah Task Bar. Jika banyak perisian yang sudah dimulakan, maka akan panjanglah senarai ikon di dalam 'System Tray' sesebuah komputer itu.

Sebenarnya terdapat kemudahan yang mana kita boleh mengawal perisian-perisian yang muncul di dalam senarai 'System- Tray' daripada dimulakan secara automatik semasa komputer dimulakan.

Untuk mencapai kemudahan pengawalan perisian yang muncul di dalam 'System Tray', ikuti langkah berikut: 1. Pilih Menu Start > Run > Taip: MSCONFIG Gambar Tip1 2. Pilih Tab Startup Gambar Tip2 3. Klik diatas perisian yang kita tidak ingin dimulakan secara automatik apabila komputer dimulakan.

Tekan OK apabila selesai.

4. Untuk pilihan terkini diaktifkan, komputer anda perlu dimulakan sekali lagi. Tekan 'restart'.

5. Mesej peringatan akan dipaparkan setiap kali anda memulakan komputer selepas senarai diubah.

6. Jika anda ingin mengubah senarai perisian semula, ulangi langkah seperti di atas.

Selepas memendekkan senarai perisian yang akan dimulakan apabila komputer dihidupkan, anda akan dapati komputer anda boleh digunakan semula dengan lebih cepat berbanding sebelum itu.

Ia juga akan mengurangkan pengunaan memori, seterusnya akan membolehkan komputer anda beroperasi dengan lebih cekap.

Jangan lupa untuk mengikuti ruangan teknologi ini yang juga disiarkan melalui Klasik Nasional FM setiap hari bekerja jam 7.30 pagi, KLFM jam 8 pagi, KedahFM pada 7.45 pagi, MutiaraFM, jam 8.30 pagi setiap Ahad dan PerlisFM pada 8.30 pagi setiap Rabu. Rakaman siaran dan artikel yang lepas boleh diperoleh di azli.dapat.com.

Pertanyaan boleh dihantarkan ke azli@dapat.com.

Tetikus sejauh 15 meter

Semestinya lambakan tetikus di pasaran menyukarkan pilihan dibuat apatah lagi situasi 'tanpa wayar' semasa juga menjangkitkan teknologinya kepada peranti itu yang kian digemari.

Sambungan tanpa wayar menggunakan 'bluetooth' sudah acapkali dilambakkan di pasaran, apa kata kita beralih kepada tetikus yang menggunakan transmisi radio sebagai sumber antara tetikus dan pemancarnya.

Model G7630 dari A4Tech adalah contoh tetikus menggunakan sambungan tanpa wayar 2.4GHz yang boleh berfungsi sejauh 15 meter.

Selepas diuji, ternyata ia bukan teori semata-mata dengan jangkauan tetikus dan CPU sejauh 14.6 meter berjaya dicapai.

Ia dikatakan bersesuaian untuk kaki 'game' tapi tak perlu bimbang kerana penulis merasakan produk ini turut mantap kalau disesuaikan dengan laptop yang dibawa ke mana saja.

Kaedah pemasangannya pun cukup mudah. Pengguna hanya perlu menggunakan satu bateri bersaiz AA ke dalam tetikus dan memasang pemancarnya pada slot USB dan ia akan terus boleh digunakan.

Jangka hayat bateri pula mampu bertahan empat hingga enam bulan bergantung kepada kekerapan pemakaiannya.

Rekaan 'simple' dengan tawaran empat warna iaitu merah, biru, kuning dan hitam pasti memberi pilihan baik yang ditambah konsep 'plug n play' menyenangkan si pemakai walau di mana mereka berada.


>Spesifikasi

PRODUK: Tetikus A4Tech G7630

HARGA: RM79

PERTANYAAN: VERTEX Distribution Sdn Bhd

TELEFON: 03-2148 6961

LAMAN WEB: www.vertex.com.my


>Komen

KESELURUHAN: ***1/2

REKA BENTUK: ***

INOVASI: ****1/2

MESRA PENGGUNA: ****

NILAI WANG: ****

- HARIAN METRO

Isnin, Jun 08, 2009

Windows Punca Kepada Masalah Virus

Oleh AMIR ABDULLAH
http://jomblajar.blogspot.com

"Itulah engkau, pakai lagi windows xp, kan dah kena virus." kata seorang kawan kepada rakannya yang baru sahaja ditimpa masalah berkaitan virus.

"Maaf lah prof, saya memang nak hantar hari ini, tapi komputer saya kena virus, habis fail tugasan saya tak boleh buka." rayu pelajar kepada pensyarahnya kerana tidak dapat menghantar tugasan pada tarikh yang sepatutnya.

Berbagai-bagai keadaan mungkin berlaku akibat daripada kesan serangan virus kepada data dan juga sistem operasi sesebuah komputer. Lebih teruk lagi sekiranya ia membawa kepada situasi di mana seseorang mungkin dipecat hasil daripada kejadian tersebut.

Benarkah Sistem Operasi Windows yang dikeluarkan oleh Microsoft ini tak baik?

Mungkin ramai yang berpendapat bahawa penggunaan Operasi Windows sendiri yang membawa kepada jangkitan virus. Ramai yang menganggap bahawa sistem tersebut penuh dengan perangkap yang menunggu mangsanya.

Pada saya, Microsoft telah mencuba sedaya upaya dalam melahirkan satu sistem yang mesra pengguna bagi memastikan setiap orang di seluruh dunia boleh mengendalikannya walaupun ia adalah pengalaman pertama. Usaha microsoft dalam memastikan sistem ini mampu melakukan sendiri sebahagian proses yang tidak perlu dilakukan oleh pengguna harus dihargai. Walaubagaimanapun fungsi ini juga yang digunakan oleh inidividu tertentu dalam mencapai matlamat mereka.

Fungsi AutoPlay atau Autorun.

Autoplay merupakan fungsi yang tersedia di dalam operasi windows bagi melaksanakan siri arahan tertentu yang biasa dilakukan oleh pengguna bagi membuka kandungan CD yang baru sahaja dimasukkan pada pemancunya. Antara siri arahan tersebut ialah:

1. Double Click pada My Computer
2. Cari Drive CD/DVD daripada List
3. Double Click pada Drive CD/DVD
4. Double Click pada fail yang ingin dilaksanakan.

Apakah fail yang akan dilaksanakan? Keadaan ini mungkin berbeza sekiranya pengguna tersebut telah biasa dengan kandungan CD dan juga selok belok teknikal berkaitan komputer. Apa akan berlaku jika pengguna adalah seorang yang baru pertama kali berhadapan dengan situasi tersebut?

Hasil daripada situasi tersebut, microsoft tampil dengan idea Autoplay yang mana komputer akan melaksanakan beberapa siri arahan yang telah ditetapkan di dalam CD tanpa disedari oleh pengguna. Hasil daripada perlaksanaan arahan tersebut, pengguna akan dipaparkan dengan antaramuka yang lebih mudah difahami dan menarik.

Siri arahan ini disimpan di dalam CD, HDD atau USB terbabit dan diberi nama autorun.inf. Kewujudan fail autorun.inf akan mengarahkan sistem operasi window melaksanakan setiap baris arahan yang terdapat di dalamnya. Antara contoh arahan yang biasa ialah:

[AutoRun]
open=setup.exe
icon=setup.exe,0

Keadaan ini digunakan oleh individu tertentu dalam melaksanakan beberapa siri arahan yang akan menimbulkan masalah kepada pengguna, antaranya;

* Pengguna tidak dapat melihat fail yang disembunyikan(hidden)
* Pengguna tidak dapat mengubah kandungan regedit
* Pengguna tidak dapat melihat arahan "folder option"
* Menyalin fail Virus ke dalam folder yang telah ditetapkan
* Melaksanakan arahan yang akan mengaktifkan fail tersebut

Sayangnya, arahan ini akan dilaksanakan terlebih dahulu oleh sistem komputer sebelum antivirus berjaya mengesan kehadiran unsur yang tidak diingini di dalam sumber tersebut. Apabila virus tersebut berjaya aktif di dalam komputer tersebut maka ia akam menyalin dirinya ke pada setiap pemancu cakera yang wujud pada komputer tersebut antaranya seperti HDD dan juga USB Stick.

Demikianlah kesempatan yang diambil oleh para Hacker's kepada kebaikan yang disediakan oleh Microsoft dalam memastikan matlamat mereka tercapai.

Bagaimana mengatasi masalah ini?

Terdapat berbagai cara dan kaedah yang digunakan, termasuklah menggunakan tool's yang disediakan oleh pengeluar antivirus. Walaubagaimanapun, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

"Bagaimana fail saya yang dah hilang kerana virus tu?" Tanya seorang pelajar kepada juruteknik yang membaiki komputernya

"Maaflah encik, saya tak dapat buat apa-apa. lagipun ia dah berlaku dan saya cuma mampu buangkan virus sahaja." jawab juruteknik tersebut.

Keadaan di atas sering kali kita dengar, malah inilah kesan kepada jangkitan virus tersebut. Oleh itu wajar kita cuba mencari kaedah bagaimana untuk memastikan kita tidak menjadi proksi kepada penyebaran virus tersebut.

Langkah Pencegahan

1. Memastikan CDRW, Removeable Hard Disk dan USB Stick tidak dijadikan sebagai proksi penyebaran Virus.

Langkah 1: Bentukkan satu folder "autorun.inf" di dalam pemancu anda. Pastikan folder tersebut berada pada pangkal pemancu anda.

2. Memastikan sistem komputer tidak dijangkiti virus melalui fungsi Autorun@Autoplay

Langkah 1: sila baca Nyahkan fungsi Autorun@Autoplay daripada sistem operasi.

Setelah selesai melakukan tatacara berikut, anda boleh mencuba samada fungsi tersebut masih berfungsi atau tidak.

Langkah 1: Dapatkan CD games atau CD windows.
Langkah 2: Masukkan ke dalam pemacu drive dan tunggu seketika

Sekiranya tiada perkara yang berlaku, maka usaha anda telah membuahkan hasilnya.

Selamat mencuba

Recent Posts