Penggodam guna alamat 16 negara

Serangan siber yang melembapkan operasi laman web di Amerika Syarikat dan Korea Selatan menggunakan 86 alamat IP (Internet Protocol) di 16 negara ketika agensi risikan Korea Selatan mengesyaki Korea Utara dalang kejadian itu.

Negara yang menyaksikan laman webnya terjejas termasuk Korea Selatan, Amerika Syarikat, Jepun dan Guatemala, kata ahli jawatankuasa risikan Parlimen Korea Selatan, Chung Chin-sup kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas diberi taklimat Perkhidmatan Risikan Kebangsaan (NIS) mengenai siasatan awal alamat IP, yang menyamai alamat jalanan atau nombor telefon bagi internet.

Serangan terhadap laman web di Amerika dan Korea Selatan disifatkan sebagai bertujuan menyekat perkhidmatan internet yang menyaksikan banyak pengguna komputer cuba untuk menghubungi satu halaman pada masa yang sama sehingga menjejaskan pelayan.

NIS turut memberikan taklimat mengenai keadaan dan punca teknikal yang dipercayai menjadi sebab kepada serangan terhadap Korea Selatan, kata Chung tanpa mengulas lanjut.

Bagaimanapun, agensi risikan itu juga menyuarakan keraguan serta menganggap masih terlalu awal untuk merumuskan Korea Utara bertanggungjawab berikutan siasatan masih dijalankan, kata Park Young-sun, seorang lagi ahli jawatankuasa risikan berkenaan.

"Setakat ini, Korea Utara tidak termasuk dalam 16 negara dengan alamat IP terbabit," katanya kepada pemberita.

Pihak berkuasa Amerika mengesyaki Korea Utara sebagai punca masalah, tetapi pada masa sama mereka memberi amaran sukar untuk mengenal pasti penyerang dalam masa terdekat.

Tiga pegawai Amerika minggu ini berkata, alamat internet terbabit dikesan dari Korea Utara, tetapi tidak bermakna serangan terbabit membabitkan kerajaan Kim Jong-il di Pyongyang.

Ia berikutan masalah beberapa bulan sebelumnya di mana Korea Utara secara rahsia melakukan satu siri ancaman dan tindakan provokatif yang dikutuk masyarakat antarabangsa termasuk satu ujian nuklear dan pelancaran peluru berpandu.

- AP Penggodam guna alamat 16 negara

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.