Tulislah secara berhemah

Menulis itu mudah. Sesiapa sahaja boleh menulis. Menentukan isi kandungannya pun tidak susah. Maka merata-rata terdapatlah penulisan yang mudah-mudah. Pembaca-pembacanya pun senang ambil mudah apa yang dibacanya. Kerana semuanya mudah, maka mudahlah juga tulisan itu tidak hinggap di kepala pembacanya.

Lain halnya dengan penulisan yang serius yang dibuat dengan penuh dedikasi dan komitmen. Tidak kira sama ada isinya berbentuk lucu atau pun serius, penulis yang berdedikasi akan tetap menghasilkan tulisan yang bererti.

Berbeza dengan penulisan berita di media cetak di mana ia lebih bergantung kepada kepentingan yang hendak diajukan oleh penyuntingnya atau dasar pemberitaan media itu sendiri. Hal ini tidak akan disentuh dalam coretan ini.

Sesuatu tulisan itu boleh berbentuk buletin atau newsletter atau pun juga rencana. Jika ia ditulis atas arahan pihak atasan sesebuah agensi, maka biasanya ia mempunyai tujuan utama dan filsafah tertentu. Namun sering kali hala tuju ini seakan-akan tidak wujud. Ada kalanya tulisan tersebut lebih mencerminkan watak penulisnya. Kadang kala penulisnya seolah-olah mahu menonjolkan dirinya atas motif-motif tertentu.

Ada yang mahu tunjuk pandai. Maka tulisan itu mengemukakan konsep-konsep yang tinggi melangit dan menggunakan istilah-istilah atau ungkapan-ungkapan yang sukar difahami. Hanya penulisnya sahaja yang tahu erti sebenar ungkapan-ungkapan yang digunakan.

Kenyataan-kenyataan atau hujah-hujahnya meleret-leret atau berpusing-pusing hingga pembaca menjadi tenggelam punca. Membosankan! Ada juga penulis yang mahu menunjukkan kedudukan dirinya. Kata-katanya meninggi kalau pun tidak berdegar-degar. Tulisannya komen. Ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada pembacanya; hanya menimbulkan rasa jelik.

Ada pula penulis yang seolah-olah lupa bahawa dia menulis untuk kumpulan-kumpulan sasaran tertentu, bukan untuk dirinya sendiri. Kata-katanya tidak menimbulkan apa-apa sentuhan yang bererti kepada pembaca. Tulisannya tidak mencungkil inti pati permasalahan yang dihadapi "clientele" sasarnya.

Tidak juga dia membuat rumusan yang bulat ke atas isu pokok di muka hadapan. Samalah keadaannya seperti seorang yang menyanyi dalam bilik mandi!

Keadaan ini amat berbeza dengan orang yang menulis secara ikhlas. Mereka ini jelas akan tujuannya menulis itu. Tidak kira sama ada untuk menyampaikan maklumat, memberi penjelasan ke atas sesuatu isu, atau mencadangkan sesuatu penyelesaian ke atas sesuatu masalah dan sebagainya. Kerana adanya keikhlasan itu maka timbul komitmen yang tinggi dalam penulisannya. Tujuannya semata-mata untuk mendatangkan manfaat kepada audience sasarnya. Dalam banyak hal audience ini adalah terdiri daripada orang awam.

Jika seseorang ketua agensi mengarahkan kakitangannya menulis bagi pihaknya untuk orang ramai misalnya, maka dia perlu terlebih dahulu prihatin terhadap apa yang menjadi tuntutan dan harapan golongan sasarnya itu. Malahan dia wajib tahu akan apa yang menghantui klien mereka. Bukan hanya dari segi apa yang berlaku tetapi juga apa yang dirancang untuk dilakukan. Perhitungan termasuk juga antaranya bagaimana klien mereka yang terlibat akan terkesan hasil daripada tindakan-tindakan yang bakal dilakukan; termasuklah rasional tindakannya.

Dia perlu melihat sesuatu isu itu dari kaca mata kliennya dan dapat menyesuaikan solusinya dengan kepentingan umum, bukan dengan kepentingan agensi yang diwakilinya atau kepentingan sempit kumpulan kecil tertentu. Lebih berdosa lagi jika dia menganggap orang dari kumpulan sasarnya itu jahil-jahil belaka. Justeru dia perlu tahu apa yang hendak diarahkannya. Bukan secara hentam keromo sahaja.

Pun begitu tanggungjawabnya belum selesai dengan mengeluarkan arahan. Lebih mencacatkan lagi tulisan itu ialah jika ia tidak disemak dan diperbaiki sebelum diterbitkan. Jika demikian maka jadilah ia tulisan yang murahan dan diperlekehkan oleh pembaca.

Tulislah secara berhemah

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.