Memaparkan catatan dengan label Komentar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Komentar. Papar semua catatan

Ahad, Disember 27, 2009

Apabila Nyawa Di Tangan Pemandu Bas...

Awal pagi semalam, sekali lagi negara dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila sebuah bas ekspres dengan 48 penumpang yang bertolak dari Klang menuju Kangar merempuh besi penghadang jalan di laluan terus Kilometer (KM) 272.8, Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) dekat Plaza Tol Jelapang (arah utara) pukul 1 pagi.

Kemalangan ngeri itu mengakibatkan 10 penumpang maut manakala dua yang lain cedera. Kesemua yang meninggal dunia duduk di bahagian bawah bas dua tingkat milik syarikat Sani Express itu.

Kali terakhir direkodkan, kejadian yang 'membunuh' penumpang bas secara beramai-ramai ini ialah pada 7 Disember 2008 apabila Bas Super Nice Grassland terbabas dan terbalik di KM146.5 lebuh raya tersebut berhampiran Tangkak mengakibatkan 10 maut dan 18 cedera kira-kira pukul 2 pagi.

Tetapi yang paling tragik ialah peristiwa pada 13 Ogos 2007 dengan 22 penumpang maut selepas bas ekspres milik Syarikat Bas Bukit Gantang tergelincir sebelum terbabas di KM229.1 lebuh raya yang sama berhampiran kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Bukit Gantang, Perak.

Berikutan kemalangan-kemalangan ngeri terburuk itulah, sebut sahaja apa yang tidak dilakukan kerajaan bagi membendung kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspres.

Dimulakan dengan pemasangan kamera di lebuh raya, kotak hitam dalam bas, wajibkan dua pemandu, penyediaan buku log, usia bas ekspres tidak boleh melebihi 10 tahun, peperiksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) setiap enam bulan dan beberapa peraturan lain sudah diperkenalkan.

Tetapi ada satu syor sahaja yang sentiasa ditekankan bagaimnapaun sehingga kini tidak dapat dilaksanakan iaitu larangan perjalanan bas ekspres pada waktu malam atau selepas tengah malam.

Malah sebaik sahaja kemalangan pada 7 Disember 2008 itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat memberitahu, kementeriannya sedang mengkaji cadangan untuk memberhentikan semua perjalanan bas ekspres pada waktu tengah malam gara-gara bimbang ia boleh menyebabkan kemalangan yang meragut banyak nyawa.

Namun sehinggalah semalam apabila 10 lagi nyawa melayang, cadangan itu sepi begitu sahaja.

Rupa-rupanya kerajaan ada alasan tersendiri mengapa cadangan berkenaan tidak dapat dilaksanakan. Ada beberapa faktor yang perlu diambil kira jika mahu cadangan yang dianggap tidak relevan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mahu dikuatkuasakan.

Menurut Ketua Pengarah Miros, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, statistik berdasarkan kajian agensinya menunjukkan bahawa tiada tempoh waktu tertentu berlakunya kekerapan kemalangan di negara ini.

Malah, tegas beliau, kemalangan berlaku pada bila-bila masa sama ada siang atau malam, pagi atau petang.

"Tidak ada waktu yang signifikan, barangkali kebetulannya kemalangan yang meragut banyak nyawa sekali gus berlaku pada waktu malam atau awal pagi tetapi ia sebenarnya berlaku juga pada waktu-waktu lain," jelasnya kepada mStar Online di sini semalam.

Beliau berkata, faktor mengantuk juga bukan penyebab utama kemalangan pada waktu malam atau awal pagi kerana berdasarkan kajian Miros pemandu turut mengantuk pada waktu petang lebih-lebih lagi dari pukul 2 hingga 4 petang.

Ahmad Farhan tidak menolak terus mengantuk adalah antara punca kemalangan tetapi apabila dikaitkan dengan perjalanan waktu malam ia tidak relevan kerana pemandu juga mengantuk pada waktu-waktu lain.

"Jadi tidak berasas cadangan melarang perjalanan waktu malam, dan pada masa yang sama Plus memberi diskaun untuk pengguna lebyuh raya pada waktu malam jadi ada kontradiksi dalam soal melaksanakan polisi ini," tambah beliau.

Kita sedia maklum, kerajaan amat menggalakkan penggunaan kenderaan awam. Rakyat digesa supaya menggunakan pengangkutan awam untuk pergi ke destinasi masing-masing sama ada dalam bandar atau ke luar bandar.

Banyak wang yang dilaburkan untuk meningkatkan prasarana itu supaya rakyat selesa menggunakan kemudahan yang disediakan kerajaan.

Jadi, jika kemudahan pengangkutan awam terutamanya melibatkan perjalanan jauh disekat masa perjalanannya, Miros bimbang orang ramai akan beralih kepada kenderaan persendirian dan yang paling digeruni ialah penggunaan motosikal.

"Satu lagi kebimbangan kita ialah pengguna kembali menggunakan motosikal untuk perjalanan jauh pada waktu malam sebab bas ekspres tak boleh jalan pada masa itu, lagi pun berdasarkan pengamatan kita, tiada satu negara di dunia ini yang melarang perjalanan bas ekspres waktu malam," tegas Ahmad Farhan.

Katanya lagi, separuh daripada pengguna perkhidmatan bas ekspres ketika ini akan terjejas jika larangan itu dikuatkuasakan.

Jelas bahawa faktor manusia atau pemandu yang mesti diutamakan jika mahu perjalanan orang ramai selamat - bukan perkara lain. Jika pemandu cukup tidur sekali pun tetapi perlu mengejar trip, kemalangan pasti tidak dapat dielakkan kerana tergopoh-gapah mahu menambah pendapatan setiap perjalanan.

Jadi kita tiada pilihan lagi melainkan menumpukan sepenuh sumber dan tenaga kepada penyelesaian terbaik iaitu meningkatkan tahap profesionalisme pemandu bas ekspres - juga lori - sebagai profesion yang menjamin masa depan.

Kita mesti ubah polisi tertentu termasuk memperkenalkan sesuatu yang berkesan dengan kerjasama agensi-agensi seperti Kementerian Sumber Manusia supaya profesion pemandu bas ditingkatkan ke satu tahap yang menjamin masa depan - bukan separuh masa - seperti di negara-negara maju.

Tidak guna jika kita mempunyai bas yang serba canggih, dilengkapi sistem pemantaun dan keselamatan terkini tetapi dipandu oleh mereka yang langsung tidak profesional.

Tolong bezakan antara pemandu profesional dengan pemandu yang tahu memandu semata-mata.

Sampai bila, kita mahu mempertaruhkan nyawa di tangan pemandu-pemandu yang tidak profesional, malah lebih teruk jika mereka bekerja bukan sepenuh masa.

"Dengan cara melatih pemandu profesional, kita boleh kawal, menentukan kualiti pemandu. Saya ada cabar syarikat-syarikat bas melahirkan pemandu profesional... tetapi apa pun mesti ada yang memulakannya barulah idea ini menjadi kenyataan," ujar Ahmad Farhan lagi.

- MSTAR

Rabu, Disember 23, 2009

Biarkan ahli parti pilih calon pilihan raya

Oleh Wan Saiful Wan Jan
Editor www.AkademiMerdeka.org dan Ketua Pengarah Malaysia Think Tank

Saya amat tertarik dengan idea yang disuarakan oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini. Utusan Malaysia bertarikh 25 November melaporkan, Nur Jazlan mencadangkan agar UMNO melibatkan ahli-ahlinya dalam memilih calon pilihan raya bagi memastikan individu yang dipilih tidak ditolak oleh pengundi.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu, menerusi kaedah tersebut, pucuk pimpinan Barisan Nasional akan mengetahui siapa calon yang dikehendaki oleh masyarakat sekali gus memastikan kemenangan parti pada setiap pilihan raya.

Katanya, kaedah itu adalah cara paling berkesan kerana ahli di peringkat akar umbi sebenarnya mengetahui siapa yang paling layak untuk menjadi wakil rakyat di kawasan mereka.

Beliau dalam satu artikel lain mengatakan, UMNO dan BN perlu menyedari bahawa kekalahan pada beberapa pilihan raya kecil sepanjang tahun lalu dan tahun ini adalah disebabkan faktor calon yang tidak diterima oleh masyarakat tempatan.

Maka sebab itulah beliau mahukan hak untuk memilih calon pilihan raya - umum atau kecil - dikembalikan kepada ahli di peringkat akar umbi dan pucuk pimpinan harus menerimanya.

Saya amat bersetuju dengan pandangan itu. Mungkin ada yang menuduh saya berat sebelah kerana Nur Jazlan adalah seorang daripada Ahli Lembaga Penasihat kami. Bukan itu sebabnya. Pandangan beliau memang amat baik. Malah saranan itu perlu diberi perhatian oleh semua parti politik di negara kita, bukan UMNO sahaja.

Semasa saya bertanding pada pilihan raya 2007 di England sebagai calon Parti Konservatif, pemilihan saya sebagai calon adalah hak mutlak parti di peringkat kawasan. Ibu pejabat hanya memainkan peranan kecil sahaja. Saya juga pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Parti Konservatif Kawasan Luton Utara, sebuah kawasan Parlimen di utara kota London. Semasa memegang jawatan itu, saya terlibat dalam panel pemilihan calon untuk kerusi Parlimen kami.

Sesiapa sahaja boleh memohon untuk menjadi calon, asalkan dia telah menjadi ahli parti selama lebih tiga bulan.

Ibu pejabat parti menyediakan satu borang khas yang perlu diisi oleh mereka yang berminat. Pemohon dikehendaki memberikan maklumat mengenai pengalaman bekerja di dalam dan luar parti. Ada juga soalan-soalan yang berkaitan dengan kebolehan dan keterampilan calon berkenaan.

Borang itu perlu diserahkan ke ibu pejabat parti dengan surat sokongan. Ibu pejabat akan memproses permohonan dan kemudian akan menemuduga mereka yang layak. Hasil proses saringan awal ini, biasanya akan ada sekitar 600 ke 700 calon yang layak bertanding di semua 646 kerusi Parlimen Britain.

Ibu pejabat parti akan menyimpan data semua calon yang telah disaring peringkat pertama ini. Apabila ada kekosongan kerusi Parlimen, maka semua calon yang belum mempunyai kerusi akan dihubungi oleh ibu pejabat.

Jika mereka berminat dengan kerusi itu, maka mereka perlu menghantar permohonan terus kepada pejabat parti kawasan berkenaan. Proses pemilihan kini berpindah sepenuhnya kepada kawasan, tanpa campur tangan ibu pejabat.

Semasa saya menjadi salah seorang panel pemilih, kami menerima sekitar 40 permohonan. Kami kemudiannya menyaring permohonan kepada 12 orang. Kemudian kami mengadakan temuduga dengan kesemua 12 calon itu. Daripadanya kami menyenarai pendek kepada lima orang sahaja.

Seterusnya, semua lima calon tersebut dijemput ke pemilihan akhir. Kali ini semua ahli kawasan dijemput untuk menemuduga calon-calon tersebut.

Seorang demi seorang calon dipanggil untuk berdepan dengan soalan-soalan daripada ahli parti kawasan. Saya masih ingat lagi betapa dewan yang kami sewa penuh sesak dengan ahli-ahli parti yang mahu mengambil bahagian.

Untuk memastikan proses soal jawab adalah adil, maka ada sembilan soalan yang ditanya kepada semua calon. Ini memastikan mereka menjawab sembilan soalan yang sama pada peringkat awal.

Tetapi selepas itu semua ahli parti yang hadir boleh bertanya apa-apa soalan yang mereka mahu.

Akhirnya, calon diundi secara terbuka oleh ahli-ahli yang hadir ke majlis pemilihan. Kesan daripada proses yang terbuka dan inklusif ini amat positif sekali. Ahli-ahli parti merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada "pasukan" yang memilih calon.

Ahli-ahli mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk membantu dalam kempen rumah ke rumah. Calon itu adalah calon "kita" dan semua ahli mesti turun padang memastikan beliau menang.

Hasilnya, proses kempen berjalan lancar dengan bantuan daripada ahli-ahli setiap peringkat. Mereka membantu calon yang mereka sendiri pilih, bukan calon payung terjun lantikan ibu pejabat. Ahli-ahli juga tahu bahawa pemilihan adalah adil dan telus. Mereka sendiri yang membuat pilihan berdasarkan realiti setempat. Tidak ada lagi kemungkinan salah guna kuasa orang atasan parti.

Jika sistem sebegini kita amalkan di Malaysia, calon-calon yang terpilih akan sedar bahawa mereka mesti berkhidmat untuk ahli parti. Mereka tidak boleh berlagak sombong setelah terpilih. Mereka juga tidak boleh hanya mengampu pemimpin atasan sahaja kerana orang atasan tiada kuasa memastikan mereka terus terpilih sebagai calon.

Jika calon-calon ini berlagak sombong dan mengenepikan pandangan ahli parti, maka mereka tidak perlu dipilih lagi pada pilihan raya akan datang.

Sistem ini akan mengembalikan kuasa kepada rakyat dan ahli peringkat bawahan. Barulah ada faedah menjadi ahli sesebuah parti. Kita tidak menjadi orang suruhan semata-mata, tetapi kuasa ada di tangan kita.

Sistem ini juga boleh menghapuskan politik wang kerana hampir mustahil untuk menyogok ahli-ahli dalam proses pemilihan yang sebegitu terbuka. Jika salah sogok, silapsilap akan disoal di khalayak ramai!

Saya harap cadangan Nur Jazlan akan diberi perhatian yang sewajarnya oleh UMNO dan juga semua parti politik lain di Malaysia. Jika kita mahu berubah, maka idea-idea bernas sebegini perlu diperhalusi.

- UTUSAN

Selasa, Disember 22, 2009

Dr Mahathir di mata seorang pensyarah Rusia

Oleh Victor A Pogadaev

Ketika kemuncak krisis kewangan di Asia Tenggara pada Ogos 1998, saya berkunjung ke Kuala Lumpur atas undangan Gabungan Persatuan Penulis Nasinal (Gapena) dan julung-julung kali melihat lapangan terbang antarabangsa KLIA yang baru dirasmikan.

Saya dengan hairan berkata: "Dan anda cakap anda mengalami kemelesetan ekonomi!"

Reaksi hampir sama saya lahirkan apabila timbalan ketua setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohd Azmi Razak (yang kebetulan saya kenali ketika masih belajar di Universiti Malaya pada 1970-an) dengan bangga menunjukkan Kompleks Sukan Bukit Jalil yang juga baru dirasmikan menjelang Sukan Komanwel.

Dalam mendepani kegawatan ekonomi ketika itu, tentu petandanya boleh dilihat dengan jelas. Tetapi pada amnya program pembangunan negara seiring dengan Wawasan 2020 terus dilangsungkan.

Sumbangan perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad dalam hal itu tidak boleh dinafikan. Mula-mula beliau mengambil tindakan melawan spekulator mata wang dengan menetapkan kadar tambatan ringgit yang stabil dan mengehadkan pengalirannya ke luar negara.

Strategi mengatasi krisis yang disusun perdana menteri - tanpa bantuan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan pertubuhan antarabangsa lain - ternyata amat berkesan. Lebih penting, strategi itu dilaksanakan sedemikian rupa sehingga tidak merugikan program sosial dan tidak pula memberatkan kedudukan orang biasa.

Pemandu teksi yang membawa saya dari KLIA mengungkapkan: "Mahathir seorang perdana menteri rakyat. Dia mementingkan bukan diri sendiri tetapi orang yang sekarang berada dalam kesempitan, iaitu rakyat jelata".

Pastinya fenomena keperibadian Dr Mahathir akan disoroti lama lagi. Tindakan seorang yang luar biasa selalu menarik perhatian, tambahan pula kalau beliau memang pandai menemui jalan keluar dari sebarang situasi, bahkan yang sepintas lalu kelihatan buntu.

Saya ingat pada akhir tahun 1980-an apabila, sebagai akibat formaliti undang-undang, Umno yang diketuainya menjadi seakan-akan tidak wujud. Dr Mahathir dengan pantas mendaftarkan parti itu dengan nama Umno (baru).

Seorang wartawan asing pernah mencatat situasi itu seperti berikut:"Mahathir seumpama dengan orang yang terjatuh ke dalam lubang tetapi bukan saja boleh keluar dengan selamat, malah menemui di sana harta karun".

Dr Mahathir juga pernah dinamakan sebagai doktor rakyat apabila, selepas rusuhan kaum pada Mei 1969, beliau disingkirkan daripada partinya dan kembali menyambung kerja di klinik.

Ia berpunca daripada surat yang ditulisnya kepada perdana menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra dan kerajaan, dengan menimpakan tanggungjawab berhubung rusuhan kaum itu kepada mereka - bertentangan dengan pendapat umum waktu itu.

Dr Mahathir tidak boleh secara langsung mengambil bahagian dalam politik tetapi beliau tidak dilarang menulis. Dan beliau menurunkan fikiran yang paling terpendam ke atas kertas.

Mengapa orang Melayu di negaranya sendiri tidak berpeluang menjalankan kehidupan selayaknya? Apa mesti dilakukan bagi meninggikan taraf ekonomi mereka dengan tidak merugikan hak kaum lain? Bagaimana hendak mencapai kesetaraan antara kaum?

Ia membawa kepada kesimpulan bahawa, penting mengembalikan orang Melayu ke bidang pengeluaran dan perdagangan seperti mereka didesak keluar akibat dasar penjajah yang menggalakkan imigrasi pekerja dari India dan China serta membekukan hubungan patriarki di kalangan Bumiputera luar bandar.

Tetapi membuat itu tanpa sokongan kerajaan adalah tidak mungkin. Kerana itu, beliau mencadangkan orang Melayu diberi bantuan ekonomi khusus.

Dilema Melayu, buku karangan Dr Mahathir, diharamkan tetapi ia masih sempat dibaca orang. Persoalannya, apa gunanya mengharamkan buku itu apabila rusuhan kaum 1969 menunjukkan bahawa sudah tiba masanya untuk menyelesaikan masalah kemunduran orang Melayu.

Kesan-kesan rusuhan, antaranya deretan kedai yang musnah dalam kebakaran di Jalan Bangsar dan sikap berhati-hati orang Melayu dan Cina terhadap satu sama lain - masih kelihatan ketara pada 1970 apabila saya bersama sekumpulan pelajar Russia julung-julung kali datang ke Kuala Lumpur.

Di Universiti Malaya, jarang dilihat pelajar-pelajar Melayu dan Cina bergaul bersama. Mereka juga mengelak membincangkan masalah politik. Betapa seriusnya hal itu dimengertikan oleh Tunku Abdul Rahman yang memilih untuk bersara.

Langkah itu boleh ditafsirkan sebagai kerelaannya mengambil tanggungjawab atas peristiwa Mei 1969 - satu pendirian berani!

Tun Abdul Razak Hussein yang menggantikannya ternyata memiliki pandangan yang sama dengan Dr Mahathir. Beliaulah yang menyusun Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan mengukuhkan kedudukan ekonomi orang Melayu.

Pastinya allahyarham turut memerhatikan Dr Mahathir pada awal tahun 1960-an apabila beliau dipilih menjadi ahli parlimen dan dengan giat mempertahankan kedudukan orang Melayu.

Dengan bersaranya Tunku Abdul Rahman, maka Dr Mahathir mendapat peluang melaksanakan gagasannya dan kembali berpolitik secara aktif. Pada 1972, beliau diterima kembali dalam Umno dan diberi jawatan dalam kerajaan dua tahun kemudian.

Mula-mula Dr Mahathir dilantik sebagai menteri pelajaran. Pada 1976, beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam kabinet Tun Hussein Onn. Pelantikan ini disusuli jawatan perdana menteri pada 1981.

Peristiwa itu disifatkan pemerhati politik bukan hanya sebagai pergantian kerajaan, malah melonjakkan ahli politik generasi baru - meskipun tidak berapa muda daripada pendahulunya tetapi mempunyai asal-usul lain, penuh gagasan baru dan berazam bergiat cergas.

Lee Kuan Yew, waktu itu perdana menteri Singapura, mencatatkan bahawa di Malaysia "generasi baru daripada lapisan bawah datang ke tampuk kekuasaan'. Dan ia sememangnya benar demikian.

Dr Mahathir bukan saja menyambung dasar pendahulunya yang mahu menyatukan di sekitar Umno pertubuhan-pertubuhan politik lain, termasuk parti pembangkang, dalam rangka BN tetapi mengubah wajah negara sama sekali.

Apabila saya kembali semula ke Malaysia selepas 16 tahun, saya tidak kenal lagi negara ini. Malaysia mendekati apa yang dinamakan negeri perindustrian baru, ia berhasil merekabentuk kereta sendiri yang dieksport dan bercita-cita melancarkan seorang angkasawan ke angkasa lepas.

Tetapi saya sempat menyaksikan gejala yang lain juga. Di mana-mana, ternampak petanda pengislaman yang cergas. Perempuan Melayu mula bertudung dan berbaju kurung labuh. Kaum lelaki Muslimnya mula lebih ketat mengikuti peraturan agama.

Bermacam-macam acara keagamaan, termasuk tilawah membaca al-Quran, menyerikan kehidupan bernegara. Islam seakan-akan menjadi perisai untuk orang Melayu mempertahankan jati diri, keperibadian dan kebudayaannya.

Lembaga-lembaga kewangan Islam, termasuk bank Islam, mendapat peluang berakar kuat. Bersamaan dengan itu, kaum-kaum lain juga mendapat keyakinan terhadap masa depan.

DEB yang disusun pada zaman Abdul Razak diubahsuai sedemikian rupa sehingga tidak menjejaskan hak mereka sambil meninggikan status ekonomi bumiputera.

Bukti keberhasilan jalan yang dipilih ialah pencapaian besar dalam bidang ekonomi yang dicerminkan antara lain dengan pembinaan Koridor Raya Multimedia (MSC), Cyberjaya dan mercu tanda berprestij, Menara KL dan Menara Berkembar Petronas.

Cendekiawan dan kelompok masyarakat yang paling peka pada amnya menyokong dasar-dasar Dr Mahathir.

Bayangkan Malaysia, dahulunya negara agak kecil dan kurang dikenali, mengejutkan masyarakat dunia dengan menuntut agar benua Antartika diberi status "warisan seluruh umat manusia".

Malah, Malaysia sentiasa berada di barisan depan dalam pelbagai kerjasama antarabangsa, termasuk memerangi dadah, di samping menjadi penganjur penyatuan usaha negara membangun untuk mendapat tempat lebih dihormati di dunia.

Maka berkumandanglah suara Dr Mahathir yang mengungkapkan: "Kita lama memandang pada Barat tetapi tidak lagi menganggapnya sebagai contoh sesuai bagi kita".

Ia bukan sekadar kata-kata, sebaliknya diteruskan dengan langkah-langkah konkrit menuju ke arah terjalinnya hubungan lebih seimbang dengan negara lain, termasuk Russia.

Dasar Dr Mahathir dalam bidang kebudayaan juga lain daripada yang lain. Malaysia sebuah negara Asia Tenggara yang berjaya melaksanakan dasar bahasa kebangsaan.

Bahasa Melayu ditetapkan sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah dan menengah dengan pengecualian untuk penggunaan bahasa Inggeris di institusi pengajian tinggi (IPT).

Semangat patriotisme yang menjadi ciri khas masyarakat Malaysia adalah salah satu faktor lagi yang membantu Dr Mahathir mengadakan dasarnya demi kepentingan rakyat.

Namun, Malaysia juga negara yang menyaksikan kewujudan pelbagai parti politik. Dan tidak semua langkah pemimpin negara dinilai sama. Misalnya Dr Mahathir pernah dikritik kerana bertindak terhadap pembangkang pada kemuncak krisis kewangan tetapi keprihatinan beliau boleh dimengerti.

Akhirnya, kita tidak boleh tidak mengagumi cara bagaimana kerajaan Malaysia memikirkan nasib pelajar sekolah. Mereka akan hidup pada alaf baru dan, kerana itu, wujudlah satu lagi cogan kata “anak tanpa komputer ialah anak tanpa hari depan”.

Kenyataan itu bererti bahawa pada masa terdekat setiap keluarga akan menpunyai sekurang-kurangnya satu komputer.

Raja yang dilawati oleh Putera Kecil dalam karya penulis Perancis, Antoine de Saint-Exupery Le Petite Prince (Putera Kecil) pernah berkata:

"Kekuasaan patut menjadi wajar. Kalau aku memerintah rakyat untuk menceburkan diri ke laut, maka rakyat akan mencetuskan revolusi. Aku berhak menuntut kepatuhan kerana perintahku wajar".

Kini, ketika Dr Mahathir sudah bersara daripada kegiatan politik aktif, kita boleh mengambil kesimpulan bahawa dasar Dr Mahathir memang wajar. Selama 22 tahun, beliau menyusun strategi yang boleh dicapai bersandarkan kepada sokongan masyarakat terbanyak.

Dr Mahathir tidak takut mengubah dasarnya, sesuai dengan perkembangan semasa dan berpandukan kepentingan rakyat terbanyak tanpa mengambil peduli pendirian Barat.

Dan apabila beliau mundur, beliau yakin akan hari cerah Malaysia kerana penerusnya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Abdul Razak menyambungkan politik bertujuan untuk meningkat kesejahteraan rakyat.

Dr Victor A Pogadaev adalah sarjana Rusia yang kini berkhidmat sebagai profesor madya di Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya. Artikel ini disediakan bersempena dengan sambutan ulang tahun hari lahir Tun Dr Mahathir Mohamad pada 20 Disember.

- MALAYSIAKINI

Isnin, Disember 21, 2009

Elakkan stigma dan label politik negatif

Peranan media bukan sekadar menjadi penyampai berita tetapi memberi maklumat dan sumber ilmu sama ada yang khusus mahupun secara umum.

Penerbitan akhbar perdana mahupun tabloid membuktikan media bukan dimonopoli oleh satu dua syarikat gergasi sahaja.

Dewasa ini penerbitan media perdana seperti Utusan Malaysia dilabel oleh pihak tertentu sebagai akhbar vernakular atau lidah bahasa rasmi orang Melayu.

Ia dikatakan hanya memperjuangkan bangsa majoriti semata-mata. Dengan lain kata akhbar ini didakwa mempunyai agenda yang bersifat perkauman dan tidak memperjuangkan hak-hak kaum lain.

Namun ia sekadar pendapat jumud oleh mereka yang buta sejarah. Adakah selama 52 tahun merdeka, media perdana tidak memainkan peranan sebagai penyampai fikiran rasional rakyat secara menyeluruh atau hanya orang Melayu yang membaca akhbar ini.

Kewujudan akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 di Singapura yang kemudiannya menjadi Utusan Malaysia dan berpindah ke Tanah Melayu pada Februari 1958 dilihat sebagai pencetus usaha memperjuangkan permasalahan rakyat seiring dengan motto akhbar ini "Penyebar Fikiran Rakyat".

Sebagai akhbar berbahasa Melayu yang tertua, ia tidak dapat lari daripada perjuangan orang Melayu yang didominasi oleh UMNO sebagai tonggak Barisan Nasional (BN).

Kemiskinan orang Melayu, jurang pendidikan, ketidakseimbangan ekonomi selepas kita mengecap kemerdekaan semuanya menjadi asas-asas pemberitaan walau dilabel sebagai akhbar suara pemerintah.

Namun, adakah akhbar-akhbar lain yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing tidak memperjuangkan permasalahan hidup kaum mereka?

Adakah melaporkan realiti yang tersurat dan tersirat itu merupakan satu kesalahan? Adakah ia rasis dan hanya menyokong sesuatu parti politik?

Adakah perjuangan kesemua Perdana Menteri berbangsa Melayu hanya untuk menekan bangsa lain selama lebih setengah abad dan bangsa Melayu telah menjadi tuan dalam erti kata sebenar?

Kenapa media dianggap berniat jahat hanya kerana gagal melihat 'sisi baik' pembangkang sedangkan tindak-tanduk mereka yang ingin merebut kembali kuasa di Perak menjadi perkara yang pelik juga.

Begitu juga di Pulau Pinang, adakah layak kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz disamakan dengan kepimpinan pemimpin yang memijak gambar orang yang dianggap 'penderhaka' dalam perjuangan mereka.

Politik yang mengatakan orang itu dan ini sebagai rasis perlu dikebumikan dan bukannya BN atau akhbar Utusan Malaysia yang telah berjasa selama ini.

Kita perlu menghentikan stigma dan label negatif terhadap media mahupun institusi tertentu hanya kerana kita berada di tampuk kuasa.

Setiap orang dan organisasi ada misi dan visi mereka. Menuding pihak yang tidak disenangi tindakan mereka sebagi rasis dan rasuah jelas memperlihatkan pandangan tidak logik oleh pihak-pihak tertentu.

Mereka ini tidak mahu melihat cermin pandang belakang untuk melihat apakah rasional tindakan pihak yang dituduh sebagai rasis tersebut.

Orang Melayu dijajah selama 446 tahun. Jadi tidak layakkah media vernakular berbahasa Melayu memperjuangkan kelangsungan hidup Melayu sebagi bangsa pribumi?

Bangsa Melayu telah terseksa dan terkongkong minda mereka di bawah penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

Hari ini walaupun penjajah telah lama angkat kaki, namun sisa-sisa penjajahan mereka masih lagi diterima oleh kita kerana orang Melayu berhati besar dan mudah menerima orang lain asal sahaja tahu adat dan undang-undang.

Peraturan sivil penjajah masih lagi bertapak namun kita sedang beransur-ansur memperkasakan undang-undang negara mengikut acuan kita sendiri.

Jika kita asyik mengungkit perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang sudah lama selesai, bilakah negara kita akan maju?

Orang lain berlari ke depan kita asyik membicarakan soal orang itu dapat lebih orang ini dapat sedikit.

Adakah kuasa yang dikurniakan rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-12 tidak cukup untuk mereka melaksanaakan manifesto negara kebajikan, sama rata dan sama rasa yang diidamkan oleh mereka?

Dalam soal bernegara di bawah demokrasi berparlimen, - sistem pemerintahan dengan menjunjung Raja Berpelembagaan, hanya dua perkara yang perlu diambil kisah dan soal diri sendiri perlu diketepikan iaitu ada pemimpin dan ada rakyat.

Pemimpin berkhidmat untuk rakyat dan rakyat memerlukan pemimpin untuk membela mereka.

Jika pemimpin masih tidak mengerti dua perkara asas ini lebih baik letak jawatan dan jadilah rakyat terpimpin.

Kita tidak perlu mengatakan media sebagai punca perancangan dan projek untuk rakyat gagal kerana rakyat ada wakil di dalam Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat.

Kalau pemimpin dilihat banyak bercakap dan hanya bijak merancang dan melancarkan perang saraf, tiada siapa yang akan menang.

Malah paling malang, rakyat yang menanggung kegagalan. Rakyat sebenarnya gagal menilai siapa yang membela dan siapa yang mencela hak-hak mutlak mereka.

Hari ini ada yang menuding jari ke arah media sebagai berniat jahat kerana dianggap rasis. Namun empat jari yang lain menuding kepada siapa?

Apa yang menyedihkan bangsa yang dianggap tuan itu masih lagi menjadi pekerja kepada sekian banyak majikan berbangsa asing.

Bukanlah kita hendak mengungkit tahap maksimum kerana kalau kita ke kedai di pekan-pekan kecil seperti Banting, hampir 90 peratus kedai adalah milik keturunan Cina dan India termasuk peniaga keturunan Minang dan Kemboja.

Kedai makan pula dikuasai oleh keturunan mamak dan kedai Melayu hanya di kedai milik Majlis Daerah Kuala Langat.

Adakah pandangan sinikal media menjadikan pembangkang resah dan gelisah sedangkan daripada segi ekonomi, orang Cina dan India masih boleh tersenyum.

Orang Melayu adalah pelanggan tetap mereka dan akan kekal begitu sebab Melayu dikatakan ada "penyakit mudah lupa".

Rakyat yang berbangsa Melayu inilah masyarakat pengguna nombor wahid dan mewakili golongan pekerja yang menjadikan bangsa lain makmur dan sejahtera.

Jadi jika dituduh bangsa Melayu rasis, golongan manakah yang rasis sebenarnya?

Justeru, mengapa mempersoalkan hak-hak yang termaktub di dalam Perlembagaan sedangkan orang-orang Melayulah yang membantu rakyat keturunan lain menjayakan program ekonomi mereka.

Adakah media menjadi rasis hanya kerana sayangkan bangsa? Atau sistem masyarakat kita yang sudah terlalu selesa diulit kemewahan ekonomi dan sedikit kuasa politik hingga melampau-lampau melabel pihak lain yang tidak sebulu dengannya.

Adalah lebih afdal jika ahli-ahli Parlimen diwajib menduduki peperiksaan subjek sejarah nasionalisme daripada dibiarkan sibuk dengan 'aktiviti wajib' lain hingga tidak sempat hadir ke dewan untuk meluluskan Bajet 2010.

Dalam pada itu mereka ini terus-terusan gagal membendung label dan stigma yang dibuat oleh pembangkang dari semasa ke semasa. Jadi salahkah media bertindak memberi ingatan?

- UTUSAN

Ahad, Disember 20, 2009

Pengajaran besar untuk Ahli Parlimen BN

Ketika berkempen untuk memenangi hati rakyat dalam pilihan raya, mereka berjanji seolah-olah sanggup memetik bulan dan bintang demi kepentingan rakyat. Mereka berjanji akan bekerja untuk rakyat dan mengenepikan kepentingan peribadi.

Seperti biasa manis masa berkempen tidak sama dengan selepas memenangi kerusi. Ada sesetengah mereka sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah mulai liat untuk berkorban demi rakyat. Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dipersia-siakan hingga mengundang musibah kepada negara.

Rakyat sentiasa percaya Ahli Parlimen yang mereka pilih walaupun selalu tidak ada di kawasan masing-masing tetapi tetap bekerja untuk rakyat. Tetapi mereka tidak tahu bahawa ada sesetengah Ahli Parlimen yang perlu diberi kursus untuk menjadi Ahli Parlimen yang bertanggungjawab.

Insiden Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ponteng daripada menyertai sesi perbahasan Bajet 2010 di Parlimen Isnin lalu satu contoh yang sangat klasik tentang sikap sesetengah Ahli Parlimen BN.

Dalam sesi perbahasan dan pengundian untuk meluluskan Bajet 2010 itu, BN hanya ada 66 undi dan pembangkang mendapat 63 undi. Ini bermakna hanya tiga undi menjadi penentu sama ada Bajet 2010 yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu diluluskan atau sebaliknya. Sikap Ahli Parlimen BN ini sangat memalukan sekaligus membuka pekung di dada mereka kepada rakyat yang selama ini sangat mempercayai mereka.

Perbahasan

Di mana sebahagian besar Ahli Parlimen BN ketika pengundian itu? Adakah mereka tidak tahu sesi perbahasan Dewan Rakyat hari itu sangat penting dan seharusnya mereka berada untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan? Bayangkan Najib dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempunyai tugas lain malam itu terpaksa bergegas ke Parlimen untuk memastikan undi menyokong Bajet 2010.

Ahli Parlimen BN banyak yang “hilang” walaupun kita tahu sesetengahnya mempunyai tugas yang tidak dapat dielakan. Tetapi bukan semua mempunyai “tugas” hingga meninggalkan “tugas” di Parlimen. Komposisi di Parlimen ialah 137 wakil daripada BN dan 82 pembangkang. Apabila undi menyokong pembentangan bajet itu hanya 66 saja daripada BN ini menunjukkan komitmen pembangkang jauh lebih besar untuk membahaskan bajet itu.

Insiden ini menjadi suatu yang memalukan kerana mendedahkan sikap tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen BN. Selepas ini jangan salahkan rakyat kalau mempersoalkan adakah sesi di Parlimen sebelum ini juga serupa? Rakyat tentu berfikir kebetulan menjadi isu barulah terbongkar sikap Ahli Parlimen BN yang tidak memberi komitmen kepada tugas.

“Kehilangan” banyak Ahli Parlimen BN malam Isnin itu menunjukkan banyak kalangan mereka tidak turut serta dalam perbahasan untuk menyokong pembentangan bajet oleh Perdana Menteri. Sebaliknya pembangkang yang kelihatan dominan membahas apabila Ahli Parlimen BN “hilang” dari Parlimen. Sudahlah mereka tidak ikut berbahas, lebih teruk lagi BN kehilangan undi untuk menyokong bajet itu.

Akibat “kehilangan” Ahli Parlimen itu, Bajet 2010 hampir tidak dapat diluluskan. Kelebihan tiga undi sebenarnya pengajaran yang sangat besar kepada Ahli Parlimen BN. Sekiranya bajet tidak dapat diluluskan, Parlimen terpaksa dibubarkan dan mesti diadakan Pilihan Raya Umum dalam masa terdekat. BN terpaksa menghadapi Pilihan Raya Umum untuk membentuk semula kerajaan.

Adakah Ahli Parlimen BN masih bermimpi zaman silam bahawa BN mempunyai majoriti besar di Parlimen? Tolonglah jangan main-main. Gelombang yang memukul BN dalam Pilihan Raya Umum ke 12 masih belum reda. Tentulah BN sekali lagi akan mendepani kesukaran untuk membentuk kerajaan dan lebih malang lagi ia disebabkan oleh Ahli Parlimen BN sendiri.

Pembangkang

Mereka tidak boleh menyalahkan orang lain, misalnya pembangkang yang mendesak pengundian diadakan pada malam itu juga. Soalnya kenapa mereka tidak hadir? Sepatutnya mereka yang kena sentiasa berwaspada kerana apa yang berlaku itu mengikut laras yang betul. Kalau mereka hadir, undilah bila-bila masa sekalipun, tidak ada masalah.

Janji Najib untuk mengambil tindakan yang selayaknya kepada mereka yang tidak hadir tanpa alasan munasabah memang kena pada tempatnya. Ini dianggap kecuaian terbesar pernah dilakukan oleh Ahli Parlimen dalam sesi yang membahaskan perkara penting. Kecuaian mereka sangat serius. Mereka telah memberikan persepsi serong kepada rakyat tentang sikap Ahli Parlimen BN. Ini tentunya tidak adil kepada mereka yang komited dengan tugas yang diamanahkan. Tindakan Najib untuk tidak “melupakan” insiden ini dilihat boleh menjernihkan pandangan rakyat kepada wakil rakyat yang berkerja dengan amanah.

Hanya sesetengah Ahli Parlimen yang ponteng itu saja yang memusnahkan amanah rakyat supaya bercakap di Parlimen bagi pihak rakyat. Apabila tiba perbahasan penting, mereka hilang dan Bajet 2010 hampir musnah di tangan pembangkang. Kesannya sampai secara langsung kepada rakyat seandainya Bajet 2010 tidak diluluskan. Malah lebih parah apabila Pilihan Raya Umum terpaksa diadakan kerana kos nya ditanggung oleh rakyat.

Tidak ada gunanya mereka menyalahkan pembangkang kerana orang yang lalai selalunya menjadi habuan kepada yang sentiasa bersedia. Sikap meletakkan kesalahan kepada orang lain sudah tidak boleh diterima. Kalau tidak, sampai bila pun mereka tidak akan berubah dan melaksanakan tanggungjawab.

Pengajaran ini harus diambil perhatian oleh semua yang dipilih oleh rakyat, tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang. Mereka mesti berkerja untuk rakyat kerana bukan orang lain yang menentukan pilihan mereka untuk menjadi wakil rakyat.

- MINGGUAN MALAYSIA

Sabtu, Disember 19, 2009

Jangan leka dengan kejayaan selepas 20 tahun

Selepas 20 tahun menunggu emas bola sepak Sukan SEA, harapan kita tertunai akhirnya. Mungkin ini berkat doa dan harapan tinggi rakyat yang mahu melihat Malaysia kembali bergelar jaguh bola sepak Asia Tenggara apabila berjaya mengalahkan pasukan pilihan Vietnam 1-0. Kebetulan pula kejayaan itu dicapai pada hari menjelang sambutan Maal Hijrah 1431.

Semoga kehadiran tahun baru dalam takwim Islam ini membawa petanda kepada penghijrahan semangat juang dalam diri pemain-pemain bola kebangsaan kita.

Bukan acara sukan lain tidak penting, tetapi sejak dahulu lagi bola sepak adalah sukan nombor satu negara. Kepada remaja usia 20 tahun sekarang, dia mungkin tidak merasai betapa rindunya golongan berusia 40 tahun atau 60 tahun (jika masih hidup) untuk menikmati saat bergelar juara bola sepak Asia Tenggara.

Mereka tidak menonton kehebatan pemain tahun 1960-an dan 1970-an hinggakan pasukan Korea Selatan dan Jepun gerun dengan pasukan kita. Selepas era kegemilangan yang mula merudum pada akhir 1980-an, nama Malaysia sudah tercicir jauh, sedangkan Jepun dan Korea Selatan sudah maju hingga bertanding di peringkat Piala Dunia.

Sebenarnya lebih daripada 20 tahun mutu bola sepak kita merudum. Sebab itu rakyat Malaysia begitu gembira dengan kejayaan anak muda berusia bawah 23 tahun meraih pingat emas di Sukan SEA.

Kita amat berharap kejayaan itu jangan seperti yo-yo, sekejap naik sekejap turun. Jadikan kejayaan membawa pulang emas di Sukan SEA Vientiane ini untuk mengangkat kembali martabat bola sepak Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengucapkan tahniah dari Copenhagen, Denmark pun turut berpesan agar kejayaan itu bukan bersifat bermusim.

Beliau berharap pasukan bola sepak negara akan menjadikan kejayaan itu sebagai batu loncatan untuk mencatat kejayaan yang lebih hebat di peringkat yang lebih tinggi pada masa depan. Kalau anak-anak buah K. Rajagopal boleh berjaya, kita harap begitu juga dengan pasukan senior kebangsaan. Semua pemain negara perlu menanam semangat untuk melakarkan kejayaan.

Peminat bola sepak negara ini memang ramai yang sudah beralih menyokong pasukan kelab luar negara daripada pasukan tempatan. Tetapi itu bukan bermakna mereka tidak sayang pasukan bola sepak negara. Perasaan mereka sedih apabila maruah negara diperbudak-budakkan. Bola sepak adalah maruah negara dan setiap kemenangan dan kekalahan akan tercatat dalam sejarah.

Oleh itu kejayaan kelmarin tidak boleh direntap apabila misi Malaysia menyertai pertandingan antarabangsa peringkat ASEAN, Asia dan Piala Dunia akan datang.

Selepas berjaya meraih pingat emas Sukan SEA, kita boleh memasang impian untuk menakluk Asia dan Piala Dunia. Tetapi kita jangan terlalu ghairah untuk mencipta nama di peringkat lebih besar jika mutu dan corak permainan kita masih kelas 'amatur'. Kita mesti memiliki pemain yang mempunyai stamina, kemahiran tinggi dan semangat juang hingga ke minit terakhir.

Perkara ini yang perlu kita perbaiki dan pertingkatkan supaya sekurang-kurangnya kita mampu terus mempertahankan maruah Malaysia sebagai juara Asia Tenggara untuk tahun-tahun mendatang.

Kita tidak ada kekurangan dalam menyediakan pasukan yang mantap. Sebab kita mempunyai padang bertaraf dunia, liga bertaraf profesional. Soal dana untuk membangunkan pasukan kebangsaan pun tidak sukar. Namun kita menghadapi masalah untuk membentuk pasukan bergelar juara.

Kita cabar pemimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jurulatih dan pemain untuk terus mempertahankan status juara Asia Tenggara. Apa pun, kita harus berikan pujian dan ucapan tahniah kepada pemain bola sepak negara yang bertungkus-lumus untuk mengembalikan maruah negara.

Kepada mereka juga elok diingatkan supaya jangan terlalu memikirkan ganjaran yang mana akhirnya boleh memakan diri. Banyak teladan yang boleh kita lihat apabila pemain negara diberi ganjaran melampau akhirnya mutu permainan merudum dan memakan diri. Akhirnya kita tak ke mana-mana!

Khamis, Disember 17, 2009

Pakatan Pembangkang Bergolak di Sebalik Menang Enam Pilihan Raya

Jika dilihat pada angka, barisan pakatan pembangkang menang 62, iaitu enam daripada lapan pilihan raya kecil yang diadakan sepanjang tahun 2009.

Ia adalah bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu) dan Bukit Gantang di Perak serta kerusi Bukit Selambau (Kedah), Penanti dan Permatang Pasir (Pulau Pinang) dan Manik Urai (Kelantan).

Barisan Nasional pula memenangi kerusi negeri Batang Ai, Sarawak dan Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Dari satu aspek, kemunculan pakatan pembangkang dilihat mampu memainkan peranan "mengawasi dan menegur" terhadap pentadbiran Barisan Nasional dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.

Di sebalik kejayaan tersebut, PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membentuk pakatan pembangkang masih mencari formula terbaik ke arah mewujudkan persefahaman jitu sesama mereka.

Matlamat jangka pendek adalah jelas iaitu untuk membentuk kerajaan baru, namun dalam jangka panjang, perjuangan Pas untuk menubuhkan negara Islam tidak boleh diterima DAP.

Tanggungjawab untuk membawa ketiga-tiga parti kepada pemuafakatan terletak di bahu ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha agar percanggahan matlamat antara Pas dan DAP tidak menggugat keutuhan pakatan tersebut.

Namun begitu, riak-riak pergolakan tetap berlaku. Suatu ketika Pengerusi DAP Karpal Singh mengancam supaya DAP menarik diri jika PAS masih mahu melaksanakan hukum Hudud dan qisas sekiranya gabungan itu berjaya mengambil alih pemerintahan negara.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula bertegas bahawa PAS juga boleh membuat kenyataan berbentuk ugutan kepada DAP dan PKR sekiranya mereka enggan menerima cara Islam yang dibawa oleh parti itu.

Dalam pada itu, parti yang menerajui pentadbiran di negeri masing-masing berdepan pelbagai isu yang menggugat kewibawaan mereka.

Antaranya di Pulau Pinang, pentadbiran Lim Guan Eng berdepan dengan kemelut penduduk setinggan Kampung Buah Pala manakala Azizan di Kedah menghadapi isu perobohan pusat penyembelihan babi oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAs) sehingga wakil DAP Kedah/Perlis bertindak keluar dari gabungan di Kedah.

Di Selangor, kontroversi tercetus ekoran timbul isu moral berhubung Exco kerajaan Negeri Selangor yang juga ADUN Bukit Lanjan Elizabeth Wong apabila gambar bogelnya tersiar di khalayak selain isu "kepala lembu" kerana bantahan penduduk terhadap cadangan memindahkan kuil.

Pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga teruja oleh desakan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali supaya kedudukan Exco dari DAP Ronnie Liu dikaji semula kerana didakwa campur tangan dalam beberapa isu penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan termasuk melibatkan penjualan arak di kawasan majoriti Melayu.

PAS mahu Selangor menguatkuasakan garis panduan larangan penjualan arak secara terbuka sepertimana dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu tetapi ditolak oleh Menteri Besar yang menyifatkannya sebagai bukan isu.

Di Kelantan, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak sunyi daripada kontroversi terutama yang melibatkan menantunya yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan tawaran menunai haji untuk beliau oleh sebuah syarikat swasta.

Lebih hangat lagi ialah apabila Nik Abdul Aziz mencadangkan supaya PAS mengadakan Muktamar Agung Luar Biasa bagi menukar "dua tiga kerat" pemimpin parti itu yang dikatakan merujuk kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Ini kerana Nik Abdul Aziz dikatakan tidak boleh menerima apa jua cadangan ke arah kerajaan perpaduan dengan Umno dan BN.

Di Sabah, PKR dilanda krisis kepimpinan berikutan pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai ketua perhubungan negeri oleh Anwar yang mendorong Datuk Dr Jeffrey Kitingan meletak jawatan sebagai naib presiden PKR.

Tetapi tamparan paling hebat bagi pakatan tersebut ialah apabila pakatan itu hilang kuasa di Perak ekoran tindakan tiga wakil rakyat iaitu dua daripada PKR dan satu dari DAP mengisytiharkan diri menjadi anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dan menyokong BN pada Februari lepas.

Dalam kemelut itu, pemimpin mereka dianggap "menderhaka" dan biadap dalam tindaktanduk mereka terutama kerana tindakan undangundang terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Ekoran itu, Karpal dengan marah menuduh Anwar tidak layak menjadi pemimpin bagi pakatan kerana mendakwa Anwar bertanggungjawab mempromosikan budaya lompat parti.

Seterusnya kenyataan anggota Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Abdul Samad mengenai bai'ah atau sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri masingmasing jika wakil rakyat mereka mengkhianati parti, juga mencetuskan kontroversi hebat.

Kontroversi yang berlarutan menimbulkan tanda tanya apakah laluan ke Putrajaya masih lagi jelas seperti dibayangkan Anwar awal tahun ini.

Ketika ini Pakatan memiliki 82 kerusi Parlimen berbanding 137 BN dan tiga Bebas.

- BERNAMA

Meluat punca 3.7 juta tidak daftar sebagai pengundi

Oleh RAMLI ABDUL HALIM

Kecenderungan pengamal politik di negara ini yang lebih kemaruk mewujudkan suasana yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat pelbagai kaum dan anutan agama, pada saya menjadi antara faktor kenapa 3.7 juta masih tidak mendaftar sebagai pengundi walaupun mereka mencapai usia layak mengundi.

Saya yakin mereka yang tidak mendaftar itu terdiri dari kalangan mereka yang terpelajar dan mengambil sikap untuk tidak mengambil peduli tentang parti politik dan pilihan raya dengan penuh keilmuan.

Mereka tidak mudah dipengaruhi dengan sogokan propaganda oleh mana-mana parti politik sama ada di pihak pembangkang atau kerajaan yang lebih menampakkan kecenderungan mengutamakan parti politik daripada kepentingan perkhidmatan dan berbakti kepada rakyat dan negara.

Sikap pengamal politik yang sentiasa menunjukkan sikap suka bermusuhan demi kepentingan parti politik yang didukung dan disokong, termasuk diadakan perhimpunan dan demonstrasi tanpa mengambil kira kesannya kepada rakyat terbanyak menjadikan timbul rasa meluat dan tidak memberi faedah jika mereka ikut terlibat dalam pilihan raya.

Sepatutnya pengamal politik yang pastinya tujuan mereka berpolitik adalah untuk menjadi pemimpin kena lebih cerdik daripada orang yang dipimpin yakni rakyat, bukan mempamerkan sikap dan gelagat sebaliknya.

Pada akhir-akhir ini khususnya pengamal politik mempamerkan sikap kurang cerdik daripada kalangan yang mahu dipimpin, masing-masing lebih mengutamakan kepada sikap saling tuduh menuduh, saling melanyak lawan dan menjulang parti dan pemimpin sendiri yang tidak memberi faedah kepada rakyat dan negara.

Antara parti pembangkang dan parti kerajaan masing-masing lebih memberi tumpuan kepada kecenderungan berbalah untuk kepentingan parti dan menyelamatkan kedudukan pemimpin masing-masing, bukannya berbahas dan berhujah untuk kepentingan rakyat dan negara.

Hal ini turut ketara di Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri yang sepatutnya dibincangkan hal-hal kepentingan rakyat peringkat negara dan negeri-negeri.

Walhal tujuan amalan demokrasi adalah supaya pihak kerajaan dan pembangkang sama-sama memberi sumbangan untuk kepentingan rakyat dan negara, bukannya untuk asyik mengukuh dan menguatkan kedudukan tokoh-tokoh tertentu dalam parti-parti politik tertentu.

Ini adalah kerana sama ada wakil rakyat kerajaan atau pembangkang sama-sama diberi mandat oleh rakyat yang kena bercakap untuk kepentingan rakyat, bukannya hal-hal berkaitan politik menjadi keutamaan pada setiap saat dan sepanjang masa.

Saya rasa hakikat yang tidak boleh ditolak, golongan yang tidak mendaftar sebagai pemilih itu sebenar enggan membiarkan mereka menjadi tunggangan pengamal politik. Mereka kurang yakin dengan peranan yang mampu dimainkan oleh wakil-wakil rakyat yang dipilih bertanding oleh parti masing-masing.

Jika pengamal politik terus kekal dengan keadaan sekarang, akhirnya majoriti rakyat terutama kalangan cerdik pandai akan hilang keyakinan terhadap sistem dan amalan demokrasi berparlimen kerana tokoh kepimpinan lebih menonjol sebagai pemimpin parti politik, bukannya sebagai pemimpin kerajaan atau pemimpin pembangkang.

Sesungguhnya pemimpin kerajaan dengan pemimpin parti yang membentuk kerajaan dan pemimpin parti pembangkang dengan pemimpin pembangkang adalah dua perkara yang berbeza. Pemimpin parti politik dipilih oleh ahli parti dan ia memang patut bekerja untuk partinya.

Sedangkan pemimpin kerajaan diberi mandat oleh rakyat untuk memberi khidmat kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik. Demikian juga dengan pemimpin pembangkang yang diberi mandat oleh rakyat sebagai pembangkang, mereka kena bercakap dan berkhidmat untuk kepentingan rakyat tanpa mengira rakyat menyokong parti mana pun.

- UTUSAN

Rabu, Disember 16, 2009

Caj internet lebih murah galak budaya celik IT

Secara global, pengguna Internet di Malaysia mengungguli tempat pertama di laman blog, tempat kedua di friendster dan myspace, tempat ketiga di Flickr, tempat ke-13 di YouTube dan ke-16 di facebook. Ini jelas membuktikan peningkatan penggunaan jalur lebar di negara kita selain disebabkan sikap ingin menguasai teknologi maklumat (IT), wujudnya rangkaian sosial dan pelbagai kemudahan hingga sesetengah pengguna lebih suka berbelanja secara atas talian, berhibur serta merancang perjalanan cuti.

Menyedari hakikat ini juga, syarikat telekomunikasi berlumba-lumba menawarkan pakej langganan internet dengan kadar bayaran tertentu sama ada berasaskan kadar harian, mingguan atau bulanan. Kaedah ini juga menyaingi perkhidmatan internet tanpa wayar (Wireless Fidelity) atau WiFi dengan penggunanya mudah mencapai kemudahan itu menggunakan komputer riba masing-masing dalam jarak lingkungan 100 meter dari antena disediakan atau Wifi hotspot. Malah, teknologi terbaru bagi capaian jalur lebar berkelajuan tinggi kini boleh didapati di Malaysia iaitu WiMAX (Kebolehoperasian Seluruh Dunia untuk Capaian Gelombang Mikro).

Teknologi ini dipercayai amat berkesan di kawasan luar bandar yang kebanyakannya belum pernah merasakan capaian internet jalur lebar. Bagaimanapun, semua itu memerlukan bayaran. Kelmarin, beberapa Ahli Parlimen meminta jika caj internet di negara ini dikurangkan kerana negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam menyediakan kadar yang lebih rendah menerusi persaingan sihat pembekal perkhidmatan internet (ISP).

Ini bukan kali pertama suara seperti itu didengar. Namun, khabar gembira akan menjelma Februari depan apabila Kabinet meneliti kertas berkaitan selepas ia mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Telekom Malaysia menyiapkan laporan mengkaji semula kadar caj internet di negara ini yang agak tinggi berbanding negara jiran bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna.

Seperti kata Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum, kajian itu akan memastikan kadar caj internet lebih rendah dan munasabah bagi memberi perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada pengguna, termasuk mereka yang tinggal di pedalaman. Kita berharap kabinet membuat keputusan yang terbaik bagi menggalakkan penggunaan internet lebih meluas apatah lagi dalam usaha kerajaan mempercepatkan pelaksanaan jalur lebar tanpa wayar berkelajuan tinggi membabitkan kos RM11.3 bilion untuk tahun depan, termasuk RM8.9 bilion sumbangan daripada Telekom Malaysia Bhd.

Sudah 15 tahun rakyat Malaysia menikmati internet, namun kadar penembusan jalur lebar bagi isi rumah di negara ini hanyalah sekitar 21 peratus iaitu masih terlalu rendah berbanding negara lain seperti Korea Selatan dan Singapura yang memiliki kadar penembusan 90 peratus. Hanya dengan kadar caj internet lebih murah, akan membantu melonjakkan kadar penembusan itu termasuk di luar bandar dan pedalaman, ke tahap 50 peratus pada tahun depan seperti disasarkan kerajaan.

- BERITA HARIAN

Selasa, Disember 15, 2009

Keunikan Kelantan warnai babak politik

Oleh IMLAN ADABI

Bukit Marak masih tinggalan mitos, walaupun Puteri Saadong dan Cik Siti Wan Kembang sudah menjadi mantera sejarah. Kota Bharu dan Tanah Serendah Sekebun Bunga masih setia menerima tengkujuh, persis isyarat perubahan kalendar menjelang tahun baru.

Pagi Jumaat 4 Disember lalu, Tanah Jembal di Kota Bharu jadi tumpuan ramai. Ada sepanduk yang berkibaran, ada lilit kepala yang menyatakan hasrat 'Kami tetap sokong pimpinan Tok Guru.' Ribuan rakyat berkumpul selepas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyampaikan kuliah Subuh. Ada masyarakat Cina, India dan Siam turut bersuara secara terbuka.

Walaupun tindakan mereka tidak mewakili 1,313,014 penduduk Kelantan yang 95 peratusnya berbangsa Melayu, setidak-tidaknya ia memberi isyarat suasana siasah negeri di pesisir Laut China Selatan itu.

Kelantangan mereka sebagai membalas tindakan beberapa pemuda yang sebelumnya menunjuk perasaan mendesak Menteri Besar yang sudah 19 tahun mentadbir Kelantan, berundur. Apakah semudah itu menjatuhkan pimpinan Pas sejak Pilihan Raya Umum 1990? Pas juga pernah memerintah Kelantan selama 18 tahun dan kecundang pada pilihan raya khas 1978, selepas Mageran (Majlis Gerakan Negara) diisytiharkan pada 1977 ekoran rusuhan terhadap kumpulan 20 pimpinan Tan Sri Asri Muda.

Benarkah penyokong Pas terlalu fanatik dengan pimpinan mereka, atau tokoh Umno Kelantan kurang membaca hasrat rakyat di negeri seluas 14,922 kilometer persegi itu? Persoalan ini terus berlanjutan walaupun Umno dilihat hampir bangkit pada pilihan raya kecil di Manek Urai apabila hanya tewas 65 undi.

Sentimen penduduk Kelantan kepada Kerajaan Pusat masih tidak jauh berubah. Isu royalti minyak menjadi hangat apabila beberapa sarjana masih mengandaikan peranan media 'kurang sampai' kepada sasaran.

Isu keluarga Nik Aziz menjawat peranan penting di beberapa agensi negeri hanya heboh di media, tetapi kurang menyengat di hati rakyat. Isu menantu Nik Aziz letak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) kurang dominan di Kelantan.

Ada yang mendakwa jentera Umno amat lemah, sementara Pas Kelantan pula dianggap mempunyai pasukan terkuat di Semenanjung, malah mengatasi jentera yang dimiliki Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Terengganu, mahupun jentera penerangan Pas pusat.

Kelantan sebuah negeri yang unik dan keunikan itu memberi impak kepada mana-mana pihak yang menerobos jiwa rakyatnya. Kelantan satu-satunya negeri yang pernah menobatkan seorang wanita sebagai Raja. Wanitanya juga terkenal sebagai peniaga gigih yang menguasai Pasar Besar Siti Khadijah, Pasar Besar MPKB dan Bazar Buluh Kubu. Mereka peniaga yang tekun dan licik serta tahu menilai corak batik dan tenunan songket.

Kelantan juga negeri pertama dijajah Jepun, sekali gus mencorak pemikiran tokohnya mengenai kelemahan golongan sekular yang diasuh oleh penjajah British. Tradisi pondok juga amat kukuh di Kelantan.

Dalam sejarah pendidikan Islam di Malaysia, Kelantan terkenal dengan perkembangan pendidikan yang melahirkan ulama berwibawa. Pendidikan Islam bermula pada akhir abad ke-18 dan Syeikh Abdul Halim muncul ulama terpenting. Muridnya terdiri daripada penduduk tempatan dan ada dari luar Kelantan termasuk Thailand dan Kemboja. Masyarakat Islam Nusantara banyak berhijrah ke Kelantan untuk mendalami ilmu agama hingga menimbulkan istilah serambi Makkah.

Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula mewujudkan sistem pondok. Pondok pertama didirikan pada 1820 oleh Abdul Samad Abdullah (Tok Pulai Chondong), diikuti Pondok Tok Bachok (1900), Pondok Haji Abdul Malik Tumpat (1907), Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat (1908), Pondok Kubang Pasu Kota Bharu (1900), Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Wan Abdul Samad Mohd Salleh atau lebih dikenali Tuan Tabal.

Antara pondok yang mendapat sambutan dan mempunyai murid ramai selepas 1930 ialah Pondok Terusan Pasir Tumbuh yang ditubuhkan pada 1954, Pondok Bunut Payung, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Sungai Durian dan Pondok Kubang Bemban. Sekolah Pondok Terusan di Pasir Tumbuh Kota Bharu melahirkan Tok Guru Kenali, ilmuwan Islam yang terkenal di dunia Melayu.

Tradisi pondok juga berjaya melahirkan kader Pas yang sehingga kini amat sukar dirempuh oleh jentera Umno. Lokasi pondok yang bertebaran di Kelantan memudahkan gerakan massa mempengaruhi pemikiran rakyat.

Walaupun ada beberapa institusi agama yang pro Kerajaan Pusat di Kelantan, kewibawaan dan pengaruhnya tidak mampu mengatasi pondok agama yang dibina sejak ratusan tahun lampau. Guru agama dari pondok inilah yang akan melata di seluruh negeri untuk menyebarkan ajaran Islam di samping 'mentarbiah' masyarakat.

Mereka jugalah yang memenuhi majlis bersunat, khatam al-Quran, kenduri kahwin, hatta sembahyang jenazah dan membawa mayat ke liang lahad. Perbuatan mereka sudah menjadi tradisi di Kelantan, malah kelunakan suara uztaz pondok boleh menitiskan air mata apabila mendengar mereka membaca talkin dengan lunak merdu dan tepat tajwidnya.

Tradisi ini kurang dipupuk di kalangan segelintir ahli Umno. Jika keadaan tidak berubah, harapan perubahan dalam dimensi siasah Melayu sukar dicapai, apatah lagi Kelantan sudah dua kali ditadbir oleh Pas pada jarak masa yang panjang dan menjadi akar umbi pembangkang ke negeri lain.

Suasana politik di Kelantan amat meriah dengan sepak terajang, bukan saja dari pihak lawan malah juga dari dalam parti sendiri. Ia kaya dengan drama dan intrignya. Sejak era Tengku Razaleigh Hamzah menerajui Umno Kelantan hingga kini, pelbagai kerenah dalaman kerap kedengaran. Cah keting, politik wang, gaya hidup mewah di kalangan pemimpin setempat sentiasa jadi bualan ramai.

Rakyat sentiasa memerhati perkembangan ini. Citra peribadi yang songsang bakal menyukarkan Umno Kelantan mengotakan mimpi mereka. Jangan terpedaya dengan laporan menyatakan Pas semakin lemah. Yang perlu, Umno harus diperkuatkan di hati rakyat. Jadikan keunikan budaya dan susila Kelantan sebagai iltizam untuk Umno perkukuh perjuangan.

Keunikan Kelantan, ancaman tengkujuh akhir tahun dan kenyataan luar biasa Nik Aziz adalah sebahagian daripada babak politik. Kita sepatutnya tidak taksub dengan sejarah, tetapi menjadikan lembaran pengalaman untuk memajukan sebuah negeri yang didakwa masih ketinggalan. Perjuangan mesti diteruskan.

- BERITA HARIAN

Ahad, Disember 13, 2009

Apabila Facebook menjadi fenomena dunia

Oleh JOHARDY IBRAHIM

Afila dan Azira, masing-masingnya berusia 23 dan 20 tahun mungkin gelihati bila mendapati 'akhirnya' pak usu mereka menyertai laman sosial interaktif, Facebook pada April lalu iaitu pada tahun kelima kewujudan Facebook. Ini kerana hanya beberapa minggu sebelum itu, bapa saudara mereka ini 'sibuk menasihati' mereka supaya berhati-hati di alam maya dan tidak mendedahkan identiti diri.

Faktor kedua mendorong penulis menyertai Facebook ialah kerana 'dipujuk-paksa' oleh rakan yang enggan menghantar gambar kami di Phuket menggunakan e-mel, sebaliknya meminta mengambilnya dari akaun Facebook miliknya.

Maka penulis pun membuka akaun Facebook. Dan jika anda pun baru menyertai Facebook dalam waktu yang bersamaan dengannya, ketahuilah kita membentuk 350 juta pengguna Facebook di seluruh dunia sekarang ini.

Angka luar biasa besar itu yang diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas Facebook, Mark Zuckerberg pada 1 Disember lalu, tidaklah memeranjatkan kerana minat untuk memiliki akaun Facebook sudah menjadi fenomena di mana-mana.

Meskipun mendapat saingan daripada beberapa rangkaian sosial lain seperti Friendster dan Twitter, sekurang-kurangnya di Malaysia Facebook kekal teratas sebagai pilihan utama.

Menurut mashable.com, Facebook mencatat sekurang-kurangnya 500,000 pengguna setiap hari. Ini kerana untuk menjadi pengguna adalah cukup mudah dan percuma.

Banyak juga kelebihan yang boleh diperoleh daripada Facebook seperti menemukan kembali rakan-rakan sekolah yang berdekad lamanya terpisah, menyambung persahabatan dan membuat kawan baru, walaupun penulis menolak beberapa permintaan bila mendapati mereka lahir sebelum 1991.

Bertentangan dengan tanggapan sesetengah pihak bahawa Facebook hanyalah satu daripada bentuk permainan Internet yang melekakan, ia kini diguna secara meluas untuk tujuan komersial bagi sektor perniagaan dan platform propaganda bagi entiti politik untuk sampai ke sasaran audiens.

Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan akaun Facebook baru-baru ini, ia menjadi tajuk berita utama media.

media

Kebelakangan ini, media-media arus perdana Barat tidak teragak-agak memetik kenyataan seseorang individu atau selebriti dalam Facebook sebagai bahan berita. Bulan lalu, bekas calon Naib Presiden AS, Sarah Palin menulis dalam akaun Facebook kepada sejuta 'rakan-rakannya', membidas penggunaan gambarnya yang berseluar pendek di muka depan sebuah majalah. Jelas, Palin tidak memerlukan agensi perhubungan awam lagi.

Pada Rabu lalu, Facebook melaksanakan kawalan tambahan bagi privasi atau 'bebas dari gangguan atau perhatian awam'. Pengguna Facebook tentu perasan kepada soalan mengenai penetapan arahan pada kerahsiaan butir-butir peribadi yang terpampang semasa membukanya minggu ini.

Kawalan tambahan itu terpaksa dilakukan oleh Facebook setelah menerima banyak kritikan mengatakan syarikat itu tidak cukup sensitif terhadap privasi pengguna. Usaha Facebook sebelum ini menerusi inisiatif Beacon turut dikritik, apabila pengguna mendapati mereka secara tidak semena-mena menjadi 'orang penghubung' bagi servis atau laman-laman web dalam Facebook yang kerap mereka sertai.

Kawalan tambahan ini memberikan pengguna alat yang mudah tetapi lebih berkuasa untuk mengehadkan perluasan maklumat peribadi mereka. Paling signifikan dalam penambahbaikan itu ialah keupayaan untuk mengehadkan sesiapa untuk melihat tulisan atau gambar atau video yang disiarkan oleh pengguna di dalam rangkaian termasuk. Maknanya, tiada lagi sesiapa yang tidak berkenaan (terutama pengiklan) daripada menyalahgunakan maklumat peribadi pengguna.

Dalam konteks ini, sesetengah pejuang privasi berkata, senarai rakan-rakan ini sama sensitif dengan maklumat peribadi kerana dengan meninjau pada senarai rakan-rakan yang dikenali itu pun boleh mendedahkan maklumat sulit.

Mengapa Facebook melakukan perubahan ini? Jawapannya mudah. Ia adalah atas nama perniagaan semata-mata dan elemen utama perniagaan Internet ialah menarik lebih banyak trafik dan mencipta dagangan daripada sekurang-kurangnya satu maklumat yang didedahkan oleh pengguna.

Satu lagi tarikan dalam Facebook ialah permainannya seperti FarmVille - yang secara umumnya begitu mudah dimainkan tanpa perlu banyak berfikir, asalkan rajin 'bercucuk tanam' atau realitinya, menekan tetikus berjam-jam.

Menurut Daniel Lyons menerusi artikelnya dalam Newsweek, permainan FarmVille walaupun mengasyikkan, ia sebenarnya meletakkan pengguna dalam keadaan 'dipergunakan' secara tidak langsung oleh kelompok yang diistilahkan sebagai Scammers.

Facebook meraih keuntungan dengan menjual ruang iklan, sesetengahnya kepada scammers," katanya.

- MINGGUAN MALAYSIA

Komunis hanya tinggal sejarah

Oleh MAZLAN NORDIN

Keputusan telahpun diumumkan bahawa Chin Peng tidak akan dibenarkan balik ke negara ini. Seperti telah diakui pelbagai peristiwa masa lampau tidak boleh diubah lagi. Yang diwarisi hanya belajar dari sejarah segala yang telah berlaku dan yang ditulis.

Antaranya dalam masa Darurat ialah rundingan-rundingan di Baling, Kedah pada 28 dan 29 Disember 1955. Berperanan penting ialah Tuanku Abdul Rahman, Ketua Menteri, David Marshall, Ketua Menteri Singapura dan Tun Tan Cheng Lock, Presiden MCA. Bagi pihak Parti Komunis Malaya pula ialah Chin Peng, Rashid Maidin dan Chen Tian.

Maka berkatalah Tunku pada peringkat permulaan: "Saya tidak datang ke mari sebagai jurucakap Kerajaan British, saya juga bukan boneka penjajah". Chin Peng kemudian membalas: "Kami sedar bahawa anda bukan jurucakap kerajaan British, bukan boneka kerajaan British. Kerana itulah kami datang untuk menemui anda walaupun menyambung nyawa".

Dalam perbincangan selanjutnya, Tunku dan David Marshall menegaskan antara lainnya mengenai 7 juta rakyat Malaya dan Singapura manakala yang komunis hanya 3,000 orang saja. Oleh itu kepentingan 7 juta rakyat mestilah diutamakan.

Pada satu peringkat lain pula Tunku menyebut mengenai peranan penting Raja-raja Melayu: "Majoriti penduduk negara ini ialah orang Melayu dan mereka mengiktiraf raja-raja sebagai ketua agama dan adat negeri-negeri mereka".

Chin Peng juga bertanya apakah kerajaan British menjamin kemerdekaan penuh bagi Malaya, Tunku menjawab: "Jika saya tidak mencapai kemerdekaan penuh, parti saya akan menendang saya keluar, perhimpunan agung UMNO telah meluluskan resolusi untuk kemerdekaan pada 31 Ogos 1957".

Bersabit tuntutan supaya Parti Komunis Malaya diakui secara rasmi, Tunku menjawab: "Tidak di negara-negara berlakunya perjuangan di antara komunis dan nasionalis, mereka terpaksa membela bagi negara. Korea umpamanya, dibahagi dua. Demikian juga Vietnam. Kita tidak boleh membelah-bagi Malaya menjadi kawasan komunis Malaya dan Malaya yang bukan komunis. Akan berlakulah perang berlarutan".

Tunku akhirnya menyatakan harapan bahawa segala yang telah dibincang akan dipertimbang sebaik-baiknya. Yang penting sekali ialah keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. "Saya harap anda dalam keadaan selesa adanya. Beritahu saya jika anda perlu apa jua sebelum saya beredar".

David Marshall mencelah: "Saya fikir mereka hendak kipas". Chin Peng segera menjawab: "Kami tak mahu apa-apa, kami tak mahu kipas. Soalnya bagaimana kami nak balik". Tunku menjawab: "Seperti mana anda datang. Anda akan diiringi". Chin Peng menjawab: "That is all." Perundingan tamat pada 12.48 tengah hari kedua. Demikian catatan rasmi.

Akhbar Observer di London pada 14 Jun 1998, menyiarkan laporan Neal Ascherson, bekas askar di Malaysia mengenai pertemuan dengan Chin Peng di London sebagai tamu rancangan khas BBC London.

Ascherson menyebut mengenai tentera Chin Peng membunuh 1,860 orang askar, tetapi 6,700 komunis tewas. Kira-kira 2,500 orang awam juga menjadi korban. Akhbar Sun di Malaysia menyiarkan pada 6 Ogos 2005, rencana khas berjudul Why Chin Peng failed in Malaya oleh Datuk Seri Yuet Leng, bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak, antara lain kerana tidak menjelaskan niat untuk menwujudkan Republik Komunis Malaya (Communist Republic of Malaya).

Di samping itu ialah Victor Purcell, bekas pegawai kanan British di Malaysia menulis mengenai 95 peratus anggota Parti Komunis ialah warga China. Itu juga pendapat Lucian W. Pye dalam Guerilla Comumunism in Malaya (Princeton University Pres) bahawa orang-orang Melayu bersikap dingin terhadap pujukan-pujukan bahan komunis.

Antara peristiwa dalam masa darurat ialah serangan ke atas balai Polis Bukit Kepong, 35 batu dari Muar oleh 200 anggota komunis pada 23 Februari 1950. Serangan bermula pada 4.30 pagi hingga hampir lima jam. Seramai 25 orang mati termasuk 14 anggota polis dan polis khas, isteri dua anggota polis dan tiga kanak-kanak.

Segalanya berakhir 1 Disember 1989 di Haadyai, Thailand dengan perjanjian damai ditandatangani oleh wakil-wakil Malaysia, Thailand dan Parti Komunis Malaya, termasuk Chin Peng dan Rashid Maidin.

Seperti disebut oleh Jeneral Tan Sri Md Hashim Hussein, Ketua Angkatan Tentera Malaysia, pihak komunis gagal mendapat sokongan rakyat. Ideologi komunis tidak menarik sokongan rakyat, terutama orang Melayu beragama Islam yang bertentangan dengan fahaman komunis yang anti agama. Di samping itu pujukan terhadap masyarakat Cina pun tidak mendapat sokongan memadai.

Sabtu, Disember 12, 2009

Gangguan politik boleh jejas pembangunan ekonomi

Oleh JAMHARIAH JAAFAR
rencanabh@bharian.com.my

Majoriti negara Asia Timur, termasuk Malaysia sudah melepasi peringkat pertama dalam pembinaan masyarakat dan kini menghadapi laluan lebih sukar, kerana ia tidak lagi mampu untuk sekadar membuat dasar yang cetek. Dalam misi untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi negara, terutama selepas dilanda krisis ekonomi global, faktor paling penting dalam strategi pengukuhan ialah pemimpin dan kepemimpinan.

Mesti ada sebab mengapa faktor kepemimpinan ini disentuh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah ketika menyampai ucaptama di Kongres Asia Timur Ketujuh bertemakan 'Menyediakan Asia Timur Menghadapi Pasca Krisis Dunia' di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Perkara pertama terlintas di fikiran ketika ucapan ini ialah senario politik yang kini boleh diibaratkan bagai 'sarkas' yang sedang melanda tanah air kita - semua usaha kerajaan ke arah pengukuhan ekonomi dikritik, terutama pembangkang yang menjadikan tugas utama mereka sebagai pengkritik setiap langkah dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pengarah Institut Strategi dan Kajian Antarabangsa (Isis), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin, ketika ditanya persoalan itu juga tidak dapat lari daripada meluahkan kebimbangan kerana tat kala dunia sedang mengalami krisis ekonomi yang serius dan kini dalam proses pemulihan, Malaysia masih tidak surut daripada kemelut politik walaupun selepas mendapat Perdana Menteri baru.

"Sebenarnya, pakatan pembangkang perlu melihat kepada gambaran lebih besar. Dalam pada memastikan kerajaan melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan telus, pembangkang juga mesti bertanggungjawab dalam setiap tindakan mereka.

"Apa yang mendukacitakan, pembangkang di sini nampaknya menganggap mereka hanya boleh membetulkan keadaan hanya jika mereka menjadi kerajaan. Tidakkah mereka menyedari bahawa mereka juga menjadi penyumbang kepada negara dengan menjadi pembangkang.

"Hakikat di sini ialah tiada siapa yang boleh mencipta kesempurnaan 100 peratus, jika kita menyempurnakan tugas pada tahap 70 atau 80 peratus ia amat baik. Ada pepatah Inggeris menyebut 'dont let the perfect be the enemy of the good'.

"Jika setiap satu langkah dikritik dan setiap projek pembangunan dilapor kepada agensi pencegah rasuah, tidak akan ada satu kerja pun akan siap kerana setiap kritikan akan membuatkan kita melangkah semula ke belakang," katanya mengenai senario politik yang turut memberi kesan serius pada perkembangan ekonomi negara hari ini.

Kebimbangan pakar ekonomi seperti Dr Mahani ada asasnya kerana dunia baru saja melepasi satu lagi krisis ekonomi yang hampir memusnahkan kuasa ekonomi dunia, Amerika Syarikat, dan kesan negatifnya melimpahi ke seluruh dunia.

Malaysia tidak terkecuali daripada menerima kesan terbabit, namun ia tidak begitu menerima perhatian rakyat sewajarnya kerana tumpuan lebih kepada isu politik yang tidak kunjung padam walaupun Pilihan Raya Umum Ke-12 sudah memasuki tahun kedua.

Pandangan Dr Mahani turut dikongsi ramai pakar ekonomi lain kerana Malaysia terlalu bergantung kepada sistem politik sehingga mengakibatkan setiap usaha atau langkah yang hendak diambil mengambil masa terlalu lama.

Sejak mengambil alih pemerintahan April lalu, Najib menyedari impak politik yang mengekang pertumbuhan ekonomi negara, terutama setiap langkah ke arah pengukuhan dan penstrukturan semula bagi memastikan Malaysia tidak diheret sekali lagi ke dalam krisis yang boleh menjadikan rakyat negara ini menderita.

"Najib sedar hakikat ini dan betapa penting kita melakukan beberapa perubahan asas. Beliau bergerak pantas dan mempunyai idea serta langkah untuk mengekang Malaysia daripada diheret ke dalam satu lagi krisis ekonomi yang serius.

"Persoalan perlu ditanya ialah berapa ramai rakyat Malaysia sedar mengenai perkara ini, kerana majoriti tidak terasa impak berikutan kesannya tidak seperti 1998/1999 yang tidak berlaku krisis serius membabitkan pembuangan kerja, pengangguran atau inflasi... rakyat langsung tidak berasa kesan krisis kali ini," kata Dr Mahani.

Jelasnya, apa yang berlaku ada hikmahnya kerana kekurangan rasa bimbang membuatkan pelabur terus yakin dengan kekuatan Malaysia. Harapannya, parti pembangkang tidak keterlaluan dalam impian mereka untuk menumbangkan kerajaan BN dengan mengkritik setiap projek pembangunan sehingga tidak ada satu projek pun dianggap 'bersih'.

"Jika perkara ini dilakukan, kesannya akan menerjah mereka juga kerana pembangkang memiliki lima negeri dan apa yang dilakukan ke atas kerajaan BN pada peringkat Persekutuan akan turut terpalit pada pemerintahan pembangkang pada peringkat negeri yang diperintah," katanya.

Nasihat Raja Dr Nazrin ketika ucaptamanya patut diberi perhatian bagi melahirkan satu komuniti ekonomi yang sihat, faktor paling penting ialah kepemimpinan dan penyertaan seluruh rakyat akar umbi.

"Masyarakat Asia Timur (termasuk Malaysia) mesti bersemangat dengan kemungkinan bahawa negara dunia lain memang mahu berurusan dengan mereka dan pada masa sama masyarakat ini sendiri mesti terbuka, inklusif serta mahu menggapai dunia luar.

"Negara Asia Timur tidak, dan mesti jangan menutup pintu kepada dunia luar. Kelebihan kita terletak kepada sikap terbuka pragmatis. Walaupun memikul beban politik dan ekonomi yang semakin berkembang, kita tidak mampu untuk bersikap tertutup dan terlalu ideal dalam dunia baru hari ini," katanya.

- BERITA HARIAN

Rabu, Disember 09, 2009

Ahli politik perlu lebih sensitif

Oleh ANUAR AHMAD
Pensyarah Sosiologi Pendidikan,
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ahli politik adalah rujukan rakyat. Segala tindak tanduk dan perilaku mereka terkesan di mata rakyat. Kenyataan kontroversi ahli politik akan menjadi bualan rakyat.

Sekalipun untuk tujuan menghina musuh politik, sepatutnya harus ditangani dengan cara yang lebih bijaksana, sewajarnya menggunakan akal budi.

Jelas isu ini nampaknya menyakitkan hati masyarakat khususnya orang Melayu. Tidak kira di kalangan pemerintah mahupun parti pembangkang.

Barang diingat sekalipun ahli politik yang gambarnya dipijak mungkin bukan pilihan pengundi Melayu semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), penghinaan seperti itu bagaikan cubit paha kanan, paha kiri terasa juga. Pemimpin DAP harus memahami bahawa kemenangan mereka di kawasan majoriti Melayu tidak sepatutnya dibalas dengan perbuatan memijak gambar pemimpin Melayu.

Orang Cina juga tentu tidak suka pemimpin mereka dipijak gambarnya, ajaran agama mana pun tidak membenarkan perlakuan buruk seperti itu.

Sejak PRU12, sudah berlaku beberapa cubaan 'mencabar sensitiviti Melayu' oleh pemimpin bukan Melayu dan menimbulkan kemarahan ramai.

Jelas usaha kumpulan ini sebenarnya menunjukkan betapa tidak sensitifnya mereka kepada pengorbanan masyarakat Melayu selama ini.

Malah tindak tanduk mereka ini sebenarnya boleh menggugat usaha dan aspirasi mewujudkan sebuah negara harmoni dan sejahtera. Penulis percaya usaha mereka ini bukanlah mewakili majoriti masyarakat bukan Melayu di negara ini.

Sebagai contoh ramai rakan penulis berbangsa Cina dan India kesal dengan tindakan pimpinan politik bukan Melayu yang dengan sengaja cuba menimbulkan ketegangan antara ahli masyarakat berbeza etnik, agama dan budaya itu.

Nampak jelas sekali walaupun mereka mempunyai pendidikan tinggi, faham sejarah negara serta tahu akibat buruk kenyataan tersebut, tetapi tindakan mereka tidak pula melambangkan kebijaksanaan mereka sebagai pemimpin.

Kalaulah sesuatu yang buruk berlaku antara kaum di negara ini kerana kenyataan sedemikian, apakah kalangan ahli politik rasis ini akan bersedia dan berupaya menyelesaikan apa yang telah mereka mulakan. Atau mengambil keputusan lari dan bersembunyi membiarkan rakyat menderita dan bermusuhan sesama sendiri?

Budaya melabel dan penghinaan berasaskan kaum dan menimbulkan rasa benci antara kaum bukanlah budaya murni yang akan membina negara. Masyarakat Malaysia harus diterima sebagai sebuah negara multi etnik.

Tidak mungkin satu kaum sahaja yang akan berjaya membangunkan negara ini. Kesatuan secara bersama sangat diperlukan untuk memajukan masyarakat. Seharusnya adab dan budi mulia dijunjung dan toleransi disanjung oleh semua pemimpin tanpa mengira kaum.

Malah jika mana-mana kaum bercitacita untuk menguasai semua yang ada di negara ini, percayalah akhirnya kaum itu pasti akan kehilangan semua miliknya.

Jika masyarakat Cina ingin menguasai seluruhnya kekayaan ekonomi Malaysia sehingga menjadikan orang Melayu dan India miskin papa kedana, natijah yang telah berlaku di negara jiran sedikit masa dahulu pasti akan berulang di negara ini. Ia perlu dijadikan pengajaran.

Begitu juga jika orang Melayu bercita-cita untuk menguasai seluruhnya kuasa politik negara ini, natijah yang sama juga tidak mustahil akan melanda negara.

Hakikat ini penting untuk diterima, difahami dan dipertimbangkan di dalam apa juga perancangan oleh semua pimpinan politik.

Itulah sebabnya apabila sekali-sekala orang Melayu membuka mulut untuk mempertahankan hak dan maruah mereka, janganlah mereka akan dianggap rasis dan prejudis kepada kaum lain.

- UTUSAN

Isnin, November 30, 2009

Apakah keistimewaan drama bersiri Nur Kasih

Oleh MANJA ISMAIL

Jika drama bersiri Melayu, apa lagi jika bukan bercorak seram, tahyul atau jenayah, dikatakan sukar menarik penonton televisyen, kejayaan Nur Kasih yang berakhir malam Jumaat lalu, membuktikan sebaliknya. Memang tiada siapa menyangka drama 26 siri yang mula ditayangkan di TV3 sejak 29 Mei lalu itu mendapat sambutan di luar dugaan.

Malah, Nur Kasih mencetuskan fenomena luar biasa apabila episod ke-25 Jumaat minggu lalu mencatat kadar penonton 3,908 juta (berusia empat tahun ke atas) atau 53.9 peratus daripada penonton televisyen pada waktu itu. Kadar penonton episod terakhir dijangka lebih tinggi, apa lagi ia disiarkan pada malam hari pertama Aidiladha.

Drama arahan Khabir Bhatia itu, dengan skrip ditulis oleh isterinya, Mira Mustaffa, juga menerima hampir sejuta klik pelayar internet menerusi laman web TV3 setiap kali ia disiarkan. Selepas beberapa episod ditayangkan, Nur Kasih menewaskan Buletin Utama dari segi rating mingguan program televisyen yang paling ramai ditonton.

Malah, siaran ulangan tanpa iklan selepas Maghrib pada setiap Selasa hingga Jumaat pun mampu menarik hampir dua juta penonton. Pada masa sama, Nur Kasih mendapat perhatian di mana saja, daripada diskusi melalui forum di laman web, radio, medium perantara seperti akhbar dan majalah hingga ke laman web sosial seperti Facebook, Twitter, MYSpace dan Yahoo Messenger.

Walaupun ada beberapa siri drama televisyen yang mendapat sambutan hangat sebelum ini seperti Jangan Pandang Belakang (RTM), Mentua Vs Menantu (Astro), Impak Maksima dan drama Indonesia, Bawang Putih Bawang Merah (TV3), ia tidak hangat diperkatakan seperti Nur Kasih.

Apakah istimewanya Nur Kasih sehingga beberapa bulan lalu menjadi bahan bualan di pejabat, kedai kopi, malah majlis sosial dan korporat? Seorang rakan yang pulang bercuti di Taiping, misalnya terkejut apabila ibunya mendapat panggilan telefon daripada rakan Cina mengingatkan jangan terlupa menonton Nur Kasih sejurus sebelum ia disiarkan.

Ramai remaja kelas menengah Melayu yang sebelum ini menganggap 'tidak cool' menonton drama Melayu, terpaku menghadap televisyen setiap malam Jumaat bersama keluarga untuk mengikuti Nur Kasih. Bagi yang ketinggalan beberapa siri awal, mereka rela menghabiskan berjam-jam menghadap komputer menonton siri itu menerusi laman web.

Hendak dikatakan pelakon menjadi tarikan, hampir semua watak utama Nur Kasih dilakonkan oleh pendatang baru, malah ada yang hanya baru dikenali melalui siri itu. Kecuali Datuk Jalaluddin Hassan dan Liza Othman serta beberapa pelakon pembantu, pelakon lain boleh dianggap baru berjinak dalam dunia lakonan.

Dari segi penerbitan pun, Nur Kasih turut dikesan mempunyai beberapa kecacatan, terutama dari segi kesinambungan pada pakaian pelakon. Malah, beberapa watak dalam drama bersiri itu terlalu ideal dan sukar dipercayai wujud dalam kehidupan biasa seperti watak penyabar Nur Amina sendiri atau kesediaan Aliya untuk menjadi 'madu' Nur Amina.

Justeru, apa sebenarnya tarikan Nur Kasih? Barangkali faktor kejayaan Nur Kasih terletak pada tema dan jalan ceritanya yang banyak menyentuh perasaan penonton, rata-ratanya orang Melayu. Jika minat orang Melayu terhadap filem Hindustan sejak dulu hingga sekarang kerana ia banyak memainkan perasaan penonton, Nur Kasih yang berkisar di sekitar cinta, kesetiaan dan pengorbanan tidak banyak berbeza.

Sama ada disengajakan atau sebaliknya, resipi sama dalam kebanyakan filem Bollywood menjadi rencah utama dalam Nur Kasih. Bahawa Khabir, yang kebetulan berasal dari India, cenderung memainkan perasaan penonton ala filem Hindi ini terbukti melalui beberapa filemnya sebelum ini. Beliau melakukan perkara sama dalam Nur Kasih sehingga ramai suri rumah menyediakan kotak tisu ketika menonton drama itu, terutama beberapa episod terakhir.

Walaupun Nur Kasih dibintangi ramai pendatang baru, secara umumnya lakonan mereka berbeza dengan apa yang sering ditonton dalam kebanyakan drama atau filem Melayu. Kemampuan mereka menyampaikan dialog secara bersahaja, ditambah dengan skrip yang baik, menarik penonton yang selama ini menganggap lakonan drama Melayu overacting.

Kelebihan Nur Kasih ialah walaupun ia berunsurkan dakwah, watak-wataknya tidak berkhutbah. Cara penerapan unsur agama dalam drama ini ternyata menarik minat penonton generasi muda. Walaupun sawah dan kampung menjadi lokasi utama, sinematografinya agak berbeza dengan drama lain yang menggunakan lokasi sama.

Khabir sendiri ketika ditemui terkejut dengan sambutan luar biasa terhadap Nur Kasih. "Terus terang saya katakan, tidak pernah terlintas melihat kejayaan drama ini dengan jumlah penonton yang tinggi. Mungkin kejayaan ini datang dengan jalan cerita tidak membebankan pemahaman penonton, selain fokus kepada keagamaan. Saya mencuba beberapa shot yang berlainan ketika menghasilkan drama dan saya percaya kejayaan ini tidak terhasil jika tiada kesinambungan melalui skrip, barisan pelakon berwibawa serta produksi yang tidak pernah mengenal penat lelah," katanya.

Jika filem Hindustan yang memaparkan kemewahan, kekayaan dan keriangan satu ketika dulu dikatakan menjadi escapism bagi majoriti rakyat India yang miskin, apakah sambutan hangat terhadap Nur Kasih ini juga berupa escapism masyarakat Melayu/Islam di negara ini yang sudah bosan dengan keruntuhan moral dalam setiap bidang kehidupan mereka sekarang?

- BERITA HARIAN

Rabu, November 25, 2009

Parlimen dahulu & sekarang

Parlimen adalah tempat di mana rakyat, melalui wakilnya, merealisasikan hasrat mereka. Amalan dan tindakan Parlimen memperlihatkan sikap dan kecenderungan penduduk sesebuah negara. Sejarah Parlimen Malaysia yang sebenarnya telah bermula sebelum pembentukan Malaysia (pada 16 September 1963) kini berusia setengah abad.

Pada 31 Ogos, Tanah Melayu muncul sebagai sebuah negara bangsa. Ia merupakan suatu gabungan sembilan buah kerajaan berdaulat dan Negeri-negeri Selat yang dari tahun 1867-1957 (kecuali waktu Perang Dunia Kedua) merupakan Tanah Jajahan British. Sistem politik yang dipilih rakyatnya pada tahun 1957 adalah Demokrasi Berparlimen. Justeru sistem pemerintahannya terdiri daripada tiga bahagian yang berasingan: Kehakiman, Perundangan dan Eksekutif.

Bukan hanya negara yang mempunyai Perlembagaan, setiap negeri juga mempunyai Perlembagaan. Sistem politik dan pemerintahan harus berjalan berasaskan Perlembagaan. Memang ramai tidak faham apa itu Perlembagaan.

Secara ringkas, Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara. Undang-undang lain yang bertentangan dengan Perlembagaan adalah tidak sah. Secara umumnya Perlembagaan memang dapat dipinda dengan majoriti dua pertiga tetapi dalam Perlembagaan Malaysia ada fasal-fasal tertentu yang hanya dapat dipinda dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Amat jelas bahawa sepanjang 1970-an Parlimen bukan hanya sibuk dengan isu mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang melibatkan kepentingan kaum Melayu dan kaum bukan Melayu, ia tidak memberi penjelasan tentang kedudukan orang Melayu dan golongan bumiputera kepada orang ramai. Undang-undang yang diluluskan membezakan di antara orang Melayu dengan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak tetapi pada suatu ketika orang Melayu di Semenanjung biasanya merujuk kepada diri sendiri sebagai kaum bumiputera.

Sepanjang 1970-an, akibat rusuhan 1969, isu-isu yang dianggap sensitif tidak dapat dibincangkan oleh orang ramai. Walau pun wakil rakyat diberi kebebasan di Parlimen untuk membangkitkan hal-hal yang membabitkan kepentingan orang ramai, mereka lebih berhati-hati daripada dahulu.

Di samping itu orang ramai diingatkan bahawa DEB bukan bertujuan memberi segala-galanya kepada orang Melayu. Strateginya ialah negara mesti meluaskan kekayaannya dan bahagian tambahan itu sahaja, dan bukan keseluruhannya, akan diberikan kepada orang Melayu.

Keadaan berubah dengan agak drastik pada awal 1980-an apabila Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) muncul sebagai Perdana Menteri. Beliau mentafsirkan DEB dengan cara yang tersendiri. Bagi beliau usahawan seharusnya diberi bantuan oleh pihak pemerintah agar mereka dapat mencapai keuntungan yang maksimum.

Dr. Mahathir juga pemimpin yang tidak bertoleransi dengan pengiring yang tidak mempunyai cita-cita tinggi. Pada masa beliau menjadi Perdana Menteri, DEB digunakan untuk menolong usahawan Melayu mencapai kejayaan yang luar biasa.

Walau pun kedudukan Barisan Nasional dan UMNO tidak menghadapi sebarang masalah di Parlimen, pada zaman Dr. Mahathir, kedudukan UMNO bukanlah begitu tenang. Timbalannya berubah beberapa kali.

Dalam jangka masa dua dekad Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, empat orang telah menjadi Timbalannya. Kemudian tiba-tiba Dr. Mahathir berundur untuk membolehkan Abdullah Badawi (kini Tun) menggantikannya.

Perdana Menteri baru berjanji akan memperkenalkan beberapa perubahan yang akan mempertingkatkan taraf hidup rakyat. Satu cara untuk memajukan negara ialah dengan menitikberatkan Islam Hadari - Islam yang adil pada semua dengan menitikberatkan agama itu sebagai mana terdapat pada kitab al-Quran. Beliau juga minta rakyat jangan berkhidmat untuk beliau tetapi bersama beliau.

Walau pun sikap Abdullah Badawi diterima baik oleh rakyat, dari segi pelaksanaannya, parti pemerintah dan juga pegawai tadbir tidak berjaya meyakinkan rakyat.

Ahli Parlimen pada zaman akhir-akhir ini jauh berbeza dengan mereka yang sampai ke Parlimen pada 1960-an dan 1970-an. Pada zaman dahulu Ahli Parlimen berbahas berasaskan gagasan dan undang-undang.

Akhir-akhir ini, Ahli Parlimen lebih suka berlakon dan di antara mereka ini majoriti suka menjadi pelawak. Kadang-kadang ada juga yang tidak segan menggunakan bahasa yang tidak senonoh. Justeru rakyat mulai memandang negatif terhadap Ahli Parlimen. Ketidakpuasan hati mereka jelas ternampak bila prestasi Barisan Nasional merosot dengan jelas pada Pilihan Raya Umum 2008 dan juga selanjutnya bila Basrisan Nasional kalah di beberapa pilihan raya kecil.

Dalam jangka masa lebih kurang 25 tahun kebelakangan ini, Parlimen Malaysia tidak memperlihatkan bahawa ia semakin matang. Mutu perbahasan jelas tidak membuktikan peningkatan yang dapat menenangkan hati rakyat.

Ada suatu ketika dicadangkan oleh sesetengah pihak bahawa mesyuarat Parlimen sepatutnya ditayangkan secara langsung. Tetapi ini tidak dilaksanakan kerana ramai khuatir perangai Ahli Parlimen yang tidak senonoh itu nanti akan memberi kesan negatif kepada golongan muda di Malaysia.

Kini Parlimen sudah sampai ke suatu peringkat yang sangat genting. Pengumuman tentang konsep 1Malaysia memang dialu-alukan oleh mereka yang sayangkan Malaysia dan mahu melihat Malaysia muncul kembali sebagai sebuah negara yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa dalam bidang ekonomi, pendidikan, pembangunan dan sukan. Tetapi prestasi Ahli Parlimen zaman sekarang tidak memperlihatkan kecemerlangan yang rakyat harapkan.

Yang lebih membimbangkan ialah wakil rakyat tidak dapat membuktikan bahawa mereka memahami undang-undang maka mereka seolah-olah tidak sanggup patuh kepada prinsip-prinsip Rukunegara: "Keluhuran Perlembagaan" dan "Kedaulatan Undang-undang". Ternampak seolah-oleh mereka lebih mementingkan agenda diri sendiri daripada agenda rakyat.

Malaysia ada satu matlamat lagi yang seharusnya dikejar: Wawasan 2020, iaitu Malaysia sepatutnya sampai ke status negara maju pada tahun itu. Untuk mencapai sasaran itu negara memerlukan pemimpin-pemimpin yang serius, berkebolehan dan penuh dengan integriti.

Wakil rakyat memang pemimpin yang sangat penting dalam sesebuah negara. Merekalah yang dipilih oleh rakyat untuk menjalankan pemerintahan maka rakyat menaruh harapan sepenuhnya kepada mereka. Parlimen adalah tempat di mana prestasi mereka secara terus menerus diuji.

- UTUSAN

Sabtu, November 21, 2009

Bujang terlajak, andartu kian bertambah

Oleh AZRUL AFFANDI SOBRY

Membujang sehingga lewat usia. Jika lelaki, ramai yang menggelar 'bujang terlajak' manakala gelaran yang popular untuk wanita pula ialah 'anak dara tua' (andartu). Meskipun ia hanya gelaran digunakan kebanyakan orang tetapi jelas cukup popular tambahan pula apabila jumlah kelompok itu semakin hari semakin bertambah.

Mungkin ramai yang tidak ambil peduli jika ada lelaki membujang sampai ke tua tetapi kebiasaannya lain pula halnya jika ada wanita masih belum berkahwin walaupun usia belum pun sampai masuk angka 40-an.

Namun, merujuk Laporan Perangkaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat 2008 serta Kajian Penduduk dan Kekeluargaan 2004 yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini, peratusan lelaki bujang dalam lingkungan usia 25 hingga 49 tahun lebih tinggi iaitu 59.6 peratus berbanding wanita (40.4 peratus).

Peratusan penduduk bujang berusia 40 hingga 49 tahun pula menunjukkan jumlah di kalangan wanita lebih tinggi berbanding lelaki. Ia sekali gus memberi gambaran wanita yang semakin berusia sukar mendapat pasangan berbanding lelaki. Ada juga kemungkinan wanita yang berusia lebih 40 tahun tidak akan berkahwin langsung.

Pendidikan menjadi salah satu faktor yang sering dikaitkan dengan isu perkahwinan lewat khususnya bagi mereka berpendidikan tinggi. Statistik menunjukkan wanita bujang berpendidikan tinggi lebih ramai iaitu 34.7 peratus berbanding lelaki (25.7 peratus).

Merujuk kepada jenis pekerjaan pula, didapati peratusan wanita bujang melebihi lelaki bujang dalam kumpulan pekerjaan yang memerlukan tahap kemahiran tinggi seperti penggubal undang-undang, profesional serta juruteknik dan profesional bersekutu.

Sebaliknya peratusan lelaki bujang lebih tinggi dalam kumpulan pekerjaan yang tidak memerlukan kelulusan tinggi seperti pekerja pertanian dan perikanan; pekerja pertukangan; operator loji dan mesin; pekerjaan asas serta tentera.

Berdasarkan pendapatan bulanan pula menunjukkan purata pendapatan wanita bujang adalah sebanyak RM1,547 berbanding hanya RM1,240 bagi lelaki bujang. Pendapatan wanita bujang yang melebihi RM3,000 juga lebih tinggi berbanding lelaki bujang.

Apabila ditanya kepada golongan bujang, 48.3 peratus daripada mereka berpendapat lelaki terus membujang kerana masalah kewangan, 19.1 peratus berpendapat kerana terlalu pentingkan kerjaya dan belum bersedia untuk memikul tanggungjawab (lapan peratus).

Di pihak wanita bujang pula, 24.7 peratus berpendapat wanita terus membujang lantaran terlalu memilih, terlalu mementingkan kerjaya (23.8 peratus) serta sukar mencari pasangan sesuai (19.5 peratus).

Ada pelbagai persepsi mengenai berapakah umur dianggap sebagai lewat berkahwin bagi lelaki dan wanita. Secara keseluruhan, 36.5 peratus daripada penduduk bujang berpendapat umur kahwin lewat bagi lelaki ialah 40 tahun ke atas. Bagaimanapun, secara purata, umur kahwin lewat bagi lelaki ialah 36.2 tahun manakala wanita pula dianggap lewat berkahwin selepas berusia 31.3 tahun.

Pada masa dulu, ramai orang berkahwin pada usia muda iaitu sebelum menjangkau 20 tahun, malah berdasarkan perangkaan hampir 12 peratus wanita berusia antara 15 hingga 19 tahun sudah berkahwin ketika bancian dibuat pada 1980. Namun, peratusan itu merosot ketika bancian pada 2000 di mana hanya empat peratus wanita dalam kumpulan usia itu sudah berkahwin.

Berdasarkan kaji selidik yang dibuat di kalangan penduduk bujang, purata umur yang sesuai bagi lelaki untuk berkahwin ialah ketika berusia 28.4 tahun manakala bagi wanita pula di bawah 25 tahun.

Secara keseluruhan kajian mendapati tiga sebab utama penduduk bujang enggan berumahtangga adalah kerana tiada calon yang sesuai (22.9 peratus), diikuti dengan mempunyai masalah kewangan (18.3 peratus) dan berasa lebih selesa hidup bersendiri (17.4 peratus).

Rumusan daripada sebab utama itu juga mendapati mereka yang berusia 40 tahun ke atas lebih suka bersendiri kerana pada ketika itu, isu perkahwinan bukan lagi perkara penting bagi mereka seterusnya mendorong kepada keputusan untuk terus membujang.

Seperti yang sudah diketahui umum bilangan pelajar wanita lebih ramai berbanding lelaki di institusi pengajian tinggi (IPT), malah sehingga kini, jumlah pelajar wanita di IPT hampir dua kali ganda pelajar lelaki.

Justeru, timbul persoalan sama ada wanita bujang berpendidikan tinggi sanggup mengahwini lelaki yang lebih rendah tahap pendidikannya. Seramai 68.1 peratus lelaki bujang bersedia untuk mengahwini wanita yang lebih tinggi tahap pendidikannya manakala 71.7 peratus wanita bujang pula bersetuju untuk mengahwini lelaki yang lebih rendah tahap pendidikannya.

Bagaimanapun apabila merujuk kepada isu pendapatan, hanya 57 peratus wanita bujang sanggup mengahwini lelaki yang lebih rendah pendapatannya berbanding 70 peratus lelaki bujang yang bersedia untuk mengahwini wanita yang lebih tinggi pendapatannya.

Melihat kepada semua hasil kajian yang dibuat itu memberi gambaran yang lebih kritikal pada masa akan datang sekiranya isu perkahwinan lewat tidak ditangani dengan berhemah. Ini kerana, berdasarkan fakta terkini, jumlah profesional di kalangan wanita yang semakin bertambah akan berkemungkinan meramaikan lagi jumlah mereka yang terus membujang di kalangan mereka.

Meskipun ketika ini, jumlah pelajar jurusan kedoktoran di kalangan lelaki lebih ramai tetapi angka yang ditunjukkan bagi kursus sarjana dan sarjana muda menunjukkan jurang yang sangat ketara apabila lebih 50 peratus daripadanya dipenuhi pelajar wanita.

Senario tidak berkahwin di kalangan wanita juga dilihat bakal lebih ketara pada masa akan datang apabila kajian menunjukkan jangka hayat lelaki lebih pendek berbanding wanita sedangkan pertambahan di kalangan wanita terus meningkat setiap tahun.

- BERITA HARIAN

Ahad, November 15, 2009

Komentar - Penyokong fanatik atau tidak bertamadun?

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

Sehari sebelum berlangsung perlawanan akhir Piala Malaysia, penulis bertanya kepada seorang rakan yang juga penyokong kuat bola sepak Kelantan, apa yang akan berlaku jika negerinya tewas dalam perlawanan itu. Dengan senyum terukir, dia berkata, ''Alamat musnahlah Stadium Nasional Bukit Jalil.''

Ternyata apa yang dikatakan oleh rakan penulis itu menjadi kenyataan apabila stadium tersebut mengalami kerugian mencecah RM138,000. Segala-galanya kerana sikap fanatik tidak bertempat segelintir penyokong Kelantan yang tidak mampu menerima kekalahan pasukan pujaan mereka. Akibatnya, kerusi dan kemudahan stadium menjadi 'mangsa'. Mereka bukan sahaja merosakkannya malah sesetengah kerusi dibakar.

Sebenarnya, sesiapa juga yang menyaksikan perlawanan akhir itu sudah pasti dapat menduga sejak awal permainan lagi bahawa penyokong Kelantan akan bertindak ganas, bermula dengan letupan mercun yang turut dilontarkan ke dalam padang hinggalah kepada perbuatan membakar kerusi penonton.

Ganas

Persoalannya, kenapakah sikap yang dianggap tidak bertamadun ini masih wujud di kalangan segelintir penyokong bola sepak Kelantan? Apakah mereka begitu bangga dianggap penyokong paling ganas? atau mereka sememangnya ingin menunjukkan lagak samseng yang tidak bertempat?

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa salah satu 'sejarah kecil' atau perkara memalukan yang dicatatkan dalam perlawanan akhir itu ialah bagaimana anggota-anggota bomba ditempatkan hampir di sekeliling padang terutamanya di hadapan tempat duduk penyokong Kelantan. Langkah itu dilakukan kerana pihak berkuasa sudah dapat menjangkakan bahawa penyokong pasukan berkenaan pasti akan melakukan 'perbuatan gila' iaitu membakar kerusi penonton.

Ternyata ia menjadi kenyataan, seluruh negara dapat melihat gelagat tidak bertamadun segelintir penyokong Kelantan tersebut. Namun persoalannya apakah perbuatan seumpama itu harus dibiarkan? Kita selamanya tidak boleh membenarkan ada di kalangan penyokong fanatik ini terus bermaharajalela.

Tindakan mengenakan hukuman ke atas persatuan bola sepak yang terlibat bukanlah satu langkah yang wajar. Ia kerana persatuan tidak bertanggungjawab terhadap perbuatan tidak beradab penyokong mereka. Memang pasukan bola sepak memerlukan penyokong tetapi biarlah mereka terdiri daripada penyokong yang 'waras', bukannya penyokong yang terlalu fanatik sehingga menjejaskan keselamatan orang lain.

Ketika mengulas perkara ini, Penganalisis politik dan Sosial, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, apa yang berlaku di ternyata memberi kesan yang cukup menyakitkan kepada seluruh warga Kelantan sama ada yang bermastautin di luar Kelantan mahupun yang berada di negeri Cik Siti Wan Kembang sendiri. Katanya, kebanyakan tembakan negatif yang dihalakan bertubi-tubi telah menghasilkan satu pusaran persepsi yang agak tidak menyenangkan kepada mereka yang memiliki darah keturunan Kelantan.

''Mereka dilihat sebagai satu entiti masyarakat yang ganas dan sukar dibentuk walaupun sebenarnya orang Kelantan yang berjaya dan baik sikapnya lebih banyak dari mereka yang membuat onar sebegitu, tetapi itulah hakikatnya yang terpaksa dihadapi,'' katanya ketika dihubungi.

Ditanya kenapa tindakan ganas boleh berlaku, Ahmad Masrizal yang berasal dari Kelantan berkata, jika diteliti secara adil, kita akan mendapati sebenarnya penyokong Kelantan bukanlah marah yang teramat kepada pemain ataupun penyokong Negeri Sembilan yang memenangi perlawanan pada malam tersebut.

'' Kemarahan yang lebih besar adalah sebenarnya kepada pasukan merah mereka sendiri. Di sinilah dikatakan terdapat satu resam atau budaya orang Kelantan yang agak unik. Budaya ini meresapi ke segenap dimensi kehidupan rakyat negeri itu sama ada dalam cara hidupnya, sukan bahkan termasuklah politik sendiri iaitu sokongan terhadap apa-apapun bukanlah sesuatu yang mutlak. Fanatism mereka ke atas sesuatu itu bersifat berpilih,'' katanya.

Beliau berkata, dalam konteks bola sepak baru-baru ini, jika dianalisis, didapati konflik keinginan di kalangan penyokong Kelantan telah berlaku dengan begitu ketara. Antara kehendak yang ingin melihat Kelantan menang yang mula membuak-buak sejak daripada kemenangan ke atas Perlis lagi ternyata telah mengheret emosi, perasaan, hati, pemikiran dan nadi rakyat negeri itu ke kancah gelombang harapan yang begitu besar yang sukar dikawal yang berakhir dengan kekecewaan.

''Ia akhirnya menyebabkan segelintir daripada penyokongnya bertindak liar seperti membakar kerusi, merosakkan kemudahan awam di stadium dan sebagainya.

''Perbuatan itu di luar dari lingkungan nilai masyarakat Kelantan sendiri kerana orang Kelantan sebenarnya amat beradat dengan orang dari negeri lain tetapi barangkali akibat daripada keadaan permainan pasukan Kelantan pada malam itu yang langsung tidak seperti sebelumnya telah mengakibatkan satu situasi yang amat mendukacitakan,'' katanya.

Ahmad Masrizal berkata, harapan yang terlalu tinggi oleh rakyat Kelantan dapat dilihat apabila bas, dan keretapi penuh dengan si baju merah. Buktinya jualan tiket sebanyak 65,000 hanya kepada penyokong Kelantan sahaja. Itulah pengorbanan mereka ke Kuala Lumpur semata-mata untuk meraikan dan melihat satu hari yang bersejarah yang entah bila lagi akan dapat dinikmati oleh mereka tetapi akhirnya bertukar sebagai hari yang mendukacitakan.

''Inilah gelombang harapan orang Kelantan sebenarnya. Gelombang inilah juga akhirnya menjurus kepada tekanan yang teramat kepada pemain Kelantan sendiri dan ternyata pada malam itu semua tidak menjadi. Akhirnya satu demi satu Kelantan dibolosi yang akhirnya ia turut sama menukar rentak penyokong Kelantan. ''Suatu yang sudah diketahui dan amat ditakuti oleh pemain Kelantan telah berlaku iaitu penyokong mereka boleh berubah sokongan 360 darjah kepada menyokong pasukan lawan dan melakukan penentangan psikologi terhadap pasukan mereka sendiri. Ini terbukti apabila.

''Mereka berpakat beramai-ramai mulai meninggalkan stadium lebih awal dan mula membunyikan mercun. Pada masa itulah ada segelintir daripada mereka bertindak lebih jauh dari itu lagi dengan membakar mercun di kerusi dan seumpamanya,'' katanya.

Imej

Beliau berpendapat, perubahan selera penonton Kelantan pada malam itu ternyata telah memberi kesan besar kepada sejarah bola sepak negara kita. Manifestasi kekecewaan segelintir penyokong Kelantan telah ternyata memberikan satu gambaran yang buruk kepada imej rakyat negeri secara keseluruhannya walaupun pada hakikatnya tidaklah sampai begitu.

'' Apa yang penting ternyata bahawa sukan bola sepak bukanlah hanya sukan di atas padang semata-mata malah ia menjangkau lebih jauh dari itu lagi iaitu kepada aspek pengurusan emosi dan psikologi penonton atau peminat sekali. Ia datang dengan pakej, iaitu jika mahukan kemenangan yang bermakna maka penyokong perlu hebat dan pemain juga perlu hebat.Justeru, apa guna jika hanya menang tetapi penyokong tegar dengan sikap yang angkuh dan kurang biadap.

''Itulah juga barangkali sebabnya Allah SWT tidak memberikan kemenangan kepada Kelantan pada malam itu. Walau apapun, itulah sebenarnya salah satu resam rakyat Kelantan, fanatism mereka adalah berpilih dan tidak mutlak selamanya dalam apa jua rentak kehidupan, budaya, sukan mahupun politik,'' katanya.

Sementara kita bersetuju dengan hujah yang dikatakan oleh Ahmad Masrizal tetapi pada masa yang kita tidak boleh membiarkan disebabkan nila setitik susu sebelanga. Oleh itu sudah tiba masanya, pihak polis memburu habis-habisan penyokong-penyokong yang bertindak ganas di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.

Penulis masih ingat kalau di Indonesia, penyokong fanatik seumpama itu dipanggil 'bonek'. Setiap kali penyokong tersebut datang ke Jakarta dengan menaiki kereta api, ketenteraman kota raya berkenaan pasti terganggu. Mereka yang merupakan penyokong fanatik pasukan bola sepak Surabaya, seolah-olah seperti 'rusa' masuk kampung. Mereka merosakkan harta-harta awam, melakukan peras ugut ke atas orang ramai dan akan melakukan rusuhan kalau pasukan mereka kalah. Kesudahannya, orang ramai amat bimbang dengan telatah 'bonek'. Bola sepak yang seharusnya menjadi sukan menyatukan semua pihak hanya menjadi satu kalendar paling menakutkan bagi penduduk Jakarta.

Begitu juga kita sudah melihat bagaimana penyokong fanatik pasukan bola sepak di England dan Argentina bertindak sehingga akhirnya menyebabkan ada nyawa yang terkorban. Justeru fenomena ini tidak boleh dibiarkan berlaku di Malaysia. Tidak kiralah sehebat mana dan sesetia manapun penyokong sesebuah pasukan, apa yang pasti mereka harus berdisiplin dan mengikut undang-undang.

Rakyat Malaysia yang cintakan keamanan sudah tentu tidak akan bersetuju dengan tindak tanduk segelintir penyokong fanatik Kelantan. Sebelum ini, tujuh bulan lalu iaitu pada 7 April, mereka sudah melihat bagaimana ada penonton di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di Kota Bharu merusuh.

Bertindak ganas dan bergaduh bukanlah tradisi yang harus dibenarkan dalam budaya bola sepak negara. Tiada apa-apa pun yang dapat dibanggakan, kalau sesebuah negeri dianggap mempunyai penyokong ganas. Sebaliknya ia hanya mencemarkan nama baik negeri itu. Menang dan kalah adalah adat permainan Justeru adalah wajar jika babak ganas yang berlaku di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu pada 7 April dan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 November lalu, sama sekali tidak boleh dibiarkan berulang. Bagaimana ia hendak dilakukan terserahlah kepada pihak berkuasa memikirkannya tetapi apa yang pasti, penyokong tidak bertamadun tidak layak berada di khalayak ramai.

Recent Posts