Pengajaran besar untuk Ahli Parlimen BN

Ketika berkempen untuk memenangi hati rakyat dalam pilihan raya, mereka berjanji seolah-olah sanggup memetik bulan dan bintang demi kepentingan rakyat. Mereka berjanji akan bekerja untuk rakyat dan mengenepikan kepentingan peribadi.

Seperti biasa manis masa berkempen tidak sama dengan selepas memenangi kerusi. Ada sesetengah mereka sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah mulai liat untuk berkorban demi rakyat. Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dipersia-siakan hingga mengundang musibah kepada negara.

Rakyat sentiasa percaya Ahli Parlimen yang mereka pilih walaupun selalu tidak ada di kawasan masing-masing tetapi tetap bekerja untuk rakyat. Tetapi mereka tidak tahu bahawa ada sesetengah Ahli Parlimen yang perlu diberi kursus untuk menjadi Ahli Parlimen yang bertanggungjawab.

Insiden Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ponteng daripada menyertai sesi perbahasan Bajet 2010 di Parlimen Isnin lalu satu contoh yang sangat klasik tentang sikap sesetengah Ahli Parlimen BN.

Dalam sesi perbahasan dan pengundian untuk meluluskan Bajet 2010 itu, BN hanya ada 66 undi dan pembangkang mendapat 63 undi. Ini bermakna hanya tiga undi menjadi penentu sama ada Bajet 2010 yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu diluluskan atau sebaliknya. Sikap Ahli Parlimen BN ini sangat memalukan sekaligus membuka pekung di dada mereka kepada rakyat yang selama ini sangat mempercayai mereka.

Perbahasan

Di mana sebahagian besar Ahli Parlimen BN ketika pengundian itu? Adakah mereka tidak tahu sesi perbahasan Dewan Rakyat hari itu sangat penting dan seharusnya mereka berada untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan? Bayangkan Najib dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempunyai tugas lain malam itu terpaksa bergegas ke Parlimen untuk memastikan undi menyokong Bajet 2010.

Ahli Parlimen BN banyak yang “hilang” walaupun kita tahu sesetengahnya mempunyai tugas yang tidak dapat dielakan. Tetapi bukan semua mempunyai “tugas” hingga meninggalkan “tugas” di Parlimen. Komposisi di Parlimen ialah 137 wakil daripada BN dan 82 pembangkang. Apabila undi menyokong pembentangan bajet itu hanya 66 saja daripada BN ini menunjukkan komitmen pembangkang jauh lebih besar untuk membahaskan bajet itu.

Insiden ini menjadi suatu yang memalukan kerana mendedahkan sikap tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen BN. Selepas ini jangan salahkan rakyat kalau mempersoalkan adakah sesi di Parlimen sebelum ini juga serupa? Rakyat tentu berfikir kebetulan menjadi isu barulah terbongkar sikap Ahli Parlimen BN yang tidak memberi komitmen kepada tugas.

“Kehilangan” banyak Ahli Parlimen BN malam Isnin itu menunjukkan banyak kalangan mereka tidak turut serta dalam perbahasan untuk menyokong pembentangan bajet oleh Perdana Menteri. Sebaliknya pembangkang yang kelihatan dominan membahas apabila Ahli Parlimen BN “hilang” dari Parlimen. Sudahlah mereka tidak ikut berbahas, lebih teruk lagi BN kehilangan undi untuk menyokong bajet itu.

Akibat “kehilangan” Ahli Parlimen itu, Bajet 2010 hampir tidak dapat diluluskan. Kelebihan tiga undi sebenarnya pengajaran yang sangat besar kepada Ahli Parlimen BN. Sekiranya bajet tidak dapat diluluskan, Parlimen terpaksa dibubarkan dan mesti diadakan Pilihan Raya Umum dalam masa terdekat. BN terpaksa menghadapi Pilihan Raya Umum untuk membentuk semula kerajaan.

Adakah Ahli Parlimen BN masih bermimpi zaman silam bahawa BN mempunyai majoriti besar di Parlimen? Tolonglah jangan main-main. Gelombang yang memukul BN dalam Pilihan Raya Umum ke 12 masih belum reda. Tentulah BN sekali lagi akan mendepani kesukaran untuk membentuk kerajaan dan lebih malang lagi ia disebabkan oleh Ahli Parlimen BN sendiri.

Pembangkang

Mereka tidak boleh menyalahkan orang lain, misalnya pembangkang yang mendesak pengundian diadakan pada malam itu juga. Soalnya kenapa mereka tidak hadir? Sepatutnya mereka yang kena sentiasa berwaspada kerana apa yang berlaku itu mengikut laras yang betul. Kalau mereka hadir, undilah bila-bila masa sekalipun, tidak ada masalah.

Janji Najib untuk mengambil tindakan yang selayaknya kepada mereka yang tidak hadir tanpa alasan munasabah memang kena pada tempatnya. Ini dianggap kecuaian terbesar pernah dilakukan oleh Ahli Parlimen dalam sesi yang membahaskan perkara penting. Kecuaian mereka sangat serius. Mereka telah memberikan persepsi serong kepada rakyat tentang sikap Ahli Parlimen BN. Ini tentunya tidak adil kepada mereka yang komited dengan tugas yang diamanahkan. Tindakan Najib untuk tidak “melupakan” insiden ini dilihat boleh menjernihkan pandangan rakyat kepada wakil rakyat yang berkerja dengan amanah.

Hanya sesetengah Ahli Parlimen yang ponteng itu saja yang memusnahkan amanah rakyat supaya bercakap di Parlimen bagi pihak rakyat. Apabila tiba perbahasan penting, mereka hilang dan Bajet 2010 hampir musnah di tangan pembangkang. Kesannya sampai secara langsung kepada rakyat seandainya Bajet 2010 tidak diluluskan. Malah lebih parah apabila Pilihan Raya Umum terpaksa diadakan kerana kos nya ditanggung oleh rakyat.

Tidak ada gunanya mereka menyalahkan pembangkang kerana orang yang lalai selalunya menjadi habuan kepada yang sentiasa bersedia. Sikap meletakkan kesalahan kepada orang lain sudah tidak boleh diterima. Kalau tidak, sampai bila pun mereka tidak akan berubah dan melaksanakan tanggungjawab.

Pengajaran ini harus diambil perhatian oleh semua yang dipilih oleh rakyat, tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang. Mereka mesti berkerja untuk rakyat kerana bukan orang lain yang menentukan pilihan mereka untuk menjadi wakil rakyat.

- MINGGUAN MALAYSIA

Pengajaran besar untuk Ahli Parlimen BN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.