Memaparkan catatan dengan label Kesihatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kesihatan. Papar semua catatan

Isnin, Oktober 31, 2022

Kulat 'bersarang' dalam tubuh

 

Rata-rata masyarakat melihat jangkitan kulat hanya berlaku pada permukaan kulit yang menyebabkan seseorang berasa gatal, kemerah-merahan, seterusnya mengalami kurap di bahagian tertentu pada badan.

Namun, mereka yang hidup dengan spora halus kulat dan yang mempunyai sistem imun badan lemah jangkitan kulat boleh memudaratkan kesihatan sehingga ke tahap serius.

Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, yang kini bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Dr Low Lee Lee, berkata spora halus dibebaskan kulat boleh disedut ke paru-paru menyebabkan iritasi dan radang kepada saluran pernafasan

Katanya, golongan mempunyai sistem imun rendah apabila terdedah kepada jangkitan kuman aspergillosis invasif, boleh membawa maut, jika tidak dirawat segera.

"Aspergillosis invansif biasanya menyerang mereka yang mempunyai sistem imun tubuh lemah. Contohnya, yang menjalani kemoterapi untuk merawat kanser.

"Aspergillosis jenis ini boleh menyerang paru-paru dan merebak ke organ lain seperti otak serta ginjal. Jika tidak dirawat boleh membawa maut," katanya.

Selain pesakit kanser (kanser darah atau leukemia), golongan mudah mendapat jangkitan kulat termasuk yang menjalani transplan sel stem untuk barah darah, melakukan transplan organ seperti buah pinggang.

Disebabkan proses transplan yang perlu dijalani, rawatan ubat diberikan menyebabkan sistem imun tubuh lemah dan senang dijangkiti kulat aspergillosis.

"Pesakit kencing manis tidak terkawal mudah juga terdedah dengan jangkitan kulat secara oportunistik, contohnya mukormikosis, nama saintifiknya," katanya.

Jangkitan kuman kulat boleh menyebabkan kematian

Dr Low Lee berkata, mukormikosis berlaku melalui pendedahan kepada spora atau unsur kulat daripada persekitaran seperti tanah, bahan organik mereput seperti daun, longgokan kompos dan sisa haiwan.

Unsur kulat sangat kecil boleh masuk ke dalam badan menerusi saluran pernafasan (rongga hidung), melalui kecederaan sama ada luka atau calar di kulit, mahupun tertelan tanpa disedari dalam kalangan pesakit tenat atau dengan sistem imun lemah.

"Ini menyebabkan kulat boleh dijangkiti daripada tanah dan boleh dihidu di udara bersama habuk seterusnya merebak ke organ lain, seperti otak, organ limpa, hati, buah pinggang dan mata, melalui saluran pernafasan.

"Oleh itu, individu perlu cuba elakkan kawasan ada banyak habuk seperti tapak pembinaan, penggalian atau jika terpaksa pakai topeng khas.

"Penghidap penyakit kanser darah sedang menerima rawatan, seboleh-bolehnya mengelakkan aktiviti berkebun atau bersentuhan dengan tanah, jika terpaksa pakai perlindungan untuk mengelak kulat merebak melalui luka tanpa sedar," katanya.

Simptom dijangkiti mukormikosis dan aspergillosis sukar dibezakan dengan jangkitan lain.

Jika individu dijangkiti kulat di paru-paru, simptomnya adalah batuk, batuk berdarah dan penat.

Bagi jangkitan kulat di bahagian hidung yang menyerang rongga hidung, simptom seakan-akan masalah resdung seperti hidung tersumbat. Ini menyebabkan mereka mendapatkan rawatan resdung sahaja.

Jika tidak mendapatkan rawatan segera jangkitan kuman mukormikosis dan aspergillosis boleh menyebabkan kematian.

Beliau menjelaskan apabila paru-paru diserang jangkitan kulat ini, ia agak sukar untuk dirawat, manakala jangkitan pada mata boleh menyebabkan buta.

Justeru, kesedaran mengenai kewujudan kulat yang boleh memudaratkan atau lebih teruk perlu diberi perhatian.

"Disebabkan simptom jangkitan kulat ini sukar dibezakan dengan penyakit lain , seseorang yang berisiko tinggi dan ada simptom berlarutan atau simptom tidak hilang selepas mendapat rawatan biasa, sebaiknya pesakit terus mendapatkan rawatan atau nasihat pakar.

"Kesedaran dan pengetahuan membabitkan pelbagai pihak termasuk pengamal perubatan dan orang awam terutama golongan berisiko tinggi supaya pencegahan awal dapat ditangani.

Rawatan penyakit

Beliau berkata, pelbagai kaedah rawatan dijalankan mengikut situasi dialami pesakit.

Jika pesakit menghidapi masalah pada hidung, pakar telinga, hidung dan kerongkong (ENT) akan menjalankan beberapa pemeriksaan seperti memasukkan endoskop dalam rongga hidung untuk mengenal pasti punca penyakit, memastikan tiada ketumbuhan atau kemungkinan diserangi jangkitan kulat.

Kemudian prosedur pengimejan seperti menggunakan mesin pengimejan computerized tomography (CT), resonans magnetik (MRI) atau pancaran radiasi x-ray bagi membantu mengenal pasti jangkitan selain ujian darah selalunya akan dijalankan.

"Seboleh-bolehnya, pakar ENT atau pembedahan akan meneruskan pemeriksaan diagnostik seperti biopsi, bermaksud pengambilan sedikit tisu untuk diperiksa di makmal. Ini prosedur penting untuk mengesan jangkitan," katanya.

Bagaimanapun, individu tidak mempunyai penyakit berisiko tinggi juga boleh terdedah dengan jangkitan kulat, keberangkaliannya lebih jarang berbanding pesakit mempunyai imuniti rendah.

Kaedah rawatan bergantung kepada pesakit. Jika pesakit leukemia dan barah misalnya, pakar perubatan hematologi atau onkologi sebolehnya akan membetulkan sistem imun kembali kepada sekuat yang mungkin.

Penghidap kencing manis pula, perlu mengawal paras gula dalam badan secara optimum.

"Penggunaan ubat antikulat untuk tujuan pembasmian jangkitan kulat adalah cara rawatan yang penting .

"Kaedah rawatan lain termasuk pembedahan bagi mengelakkan kulat terus 'bersarang' di kawasan jangkitan seterusnya mengurangkan risiko yang lebih teruk kepada pesakit," katanya.

Beliau yang juga Jawatankuasa The Malaysian Mycology Interest Group (MMIG), di bawah naungan Malaysian Society of Infectious Diseases dan Chemotherapy (MSIDC), berkata agak mustahil manusia hidup tanpa spora atau kulat tetapi sekurang-kurangnya masyarakat perlu sedar dan peka persekitarannya.

"Jika anda dikelilingi mereka daripada kumpulan berisiko tinggi atau diri sendiri pesakit diabetes, elakkan lakukan aktiviti bercucuk tanam.

"Ini kerana, kebanyakan spora terdapat di kawasan bertanah sehingga benar-benar sihat, memakai perlindungan seperti topeng muka, selain seluar dan baju berlengan panjang bagi mengelakkan jangkitan kulat pada luka tanpa sedar.

"Amalkan kebersihan diri, kerap membasuh tangan dan membersihkan diri bagi mengelak sebarang penyakit kulat dan penyakit berjangkit lain.

Sumber : Berita Harian

Sabtu, Julai 16, 2022

Rekod imunisasi anak, kesihatan dalam MySejahtera

 


Rekod imunisasi kanak-kanak dan saringan kesihatan kini dipaparkan di aplikasi MySejahtera, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, mereka yang sudah mengemas kini aplikasi MySejahtera kini boleh melihat ciri-ciri baharu yang dipaparkan itu.

"Ini membolehkan rekod kesihatan hasil daripada pemeriksaan kesihatan dipaparkan di telefon.

"Pada masa yang sama, ciri baharu untuk rekod imunisasi kanak-kanak, bermula dengan bayi yang dilahirkan pada 1 Julai 2022 juga akan turut dipaparkan pada aplikasi MySejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh.

Menurutnya, ia adalah langkah awal kementerian untuk platform MySejahtera digunakan bagi pendigitalan maklumat kesihatan yang disimpan secara manual.

"Ini untuk fasa pertama, bagi fasa kedua, buku merah jambu (buku janji temu) yang dimiliki oleh ibu dan bayi mereka (untuk merekodkan perkembangan bayi) juga akan dimasukkan ke dalam MySejahtera.

"Buku merah atau buku derma darah (Perkhidmatan Transfusi Darah Kebangsaan) juga boleh didapati di aplikasi MySejahtera," katanya.

Katanya, akan ada lebih banyak ciri akan dipasang dalam aplikasi itu tidak lama lagi.

Sumber : Berita Harian

Rabu, Jun 22, 2022

Kurang tidur undang penyakit kardiovaskular


 


Penggunaan gajet dalam tempoh dua jam sebelum tidur akan mengaktifkan hormon di dalam badan hingga menyukarkan seseorang untuk melelapkan mata selepas tempoh itu.

Menghabiskan masa dengan gajet sudah menjadi kelaziman kepada semua golongan termasuk yang berusia.

Lebih parah lagi, disebabkan pelbagai faktor lain menyebabkan golongan berusia melebihi 50 tahun ke atas lebih berisiko menghadapi masalah sukar tidur malam dan menghidapi pelbagai penyakit.

Justeru, sering kali mendengar keluhan hampir kebanyakan warga emas dan golongan pertengahan usia mengadu kerana sukar melelapkan mata pada waktu malam hingga menginjak ke lewat pagi.

Bahkan berdasarkan pengamatan ramai ibu yang berusia awal 70-an mengalaminya, malah situasi dihadapi ibu penulis melihat setiap hari susah melelapkan mata hingga mengakibatkan beliau keletihan pada waktu siang.

Bagaimanapun, ia seolah 'alah bisa tegal biasa' kepada ibu penulis kerana perkara itu berlaku setiap hari hampir bertahun lamanya.

Adakah ia hakikat yang pasti ditanggung oleh golongan berusia menghadapi isu tidur malam ini atau insomnia?

Kurang hormon melatonin

Mengulas mengenainya, Pakar Perubatan Klinikal dan Ketua Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Alvin Oliver Payus, berkata tidak dinafikan masalah tidur memang sering berlaku kepada golongan pertengahan bermula umur 50 tahun sehingga usia melangkaui 66 tahun ke atas.

Katanya, warga emas berusia 66 tahun ke atas memang dikenal pasti mempunyai masalah sukar untuk tidur disebabkan hormon di dalam badan berkurangan antaranya melatonin.

"Di peringkat ini, rata-rata waktu tidur mereka sedikit sahaja dan sukar untuk mendapatkan tidur yang lena," katanya.

"Memandangkan ia adalah perkara yang sering dihadapi, warga emas ini sentiasa disarankan untuk mendapatkan jumlah tidur yang mencukupi, iaitu antara tujuh hingga sembilan jam dalam sehari biarpun bukan pada waktu malam.

"Selain itu, dari segi pemakanan pula, mereka dinasihatkan untuk tidak minum kafein pada waktu tengah hari atau petang, kurangkan merokok dan alkohol untuk fokus tidur pada waktu malam," katanya.

Menurut kajian Yayasan Tidur Kebangsaan (NSF) pada 2015, kualiti tidur yang baik adalah dalam jangka masa tujuh hingga sembilan jam secara berterusan.

Sekiranya terbangun untuk buang air kecil sekali sahaja tidak mengapa kerana ia adalah normal dan pastinya keesokan hari bangun, bertenaga dan tidak lesu.

Perlu tidur yang berkualiti

Dr Alvin berkata, berbeza bagi golongan usia pertengahan, keadaan mungkin bertambah teruk dalam tempoh pandemik ini sekiranya mereka kerap menghabiskan masa dengan gajet sebelum tidur.

"Maksudnya gaya hidup mereka berubah secara tidak langsung ketika pandemik kerana tidak dapat menjalankan gaya hidup aktif seperti biasa sebelum ini.

"Bahkan tempoh masa lebih lama di rumah, secara tidak langsung jadual tidur tidak teratur hingga mengganggu tempoh tidur yang sepatutnya dilalui sebelum ini," katanya.

Menjelas lebih lanjut kepentingan tidur berkualiti pada waktu malam, beliau berkata ia adalah waktu proses penyembuhan berlaku dan sekiranya terganggu, ia boleh mengundang pelbagai penyakit kardiovaskular.

"Sekiranya penggunaan gajet berlaku dalam tempoh dua jam sebelum tidur, ia akan mengaktifkan hormon di dalam badan hingga menyukarkan mata untuk terlelap.

"Dari sudut kesihatan, ia memberi risiko penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, lumpuh, berat badan meningkat, diabetes dan sistem imunisasi akan berkurangan dengan mudah.

"Selain itu, apabila proses penyembuhan tidak berlaku dengan lancar, ia akan menyebabkan salur darah tersumbat, sel badan akan kurang sensitif dan dalam masa yang sama anda akan lapar dan makan pada waktu malam," katanya.

Naik berat badan, darah tinggi

Beliau menjelaskan, bagi golongan pertengahan usia ini mereka akan mudah mengesan tanda awal iaitu darah tinggi, berat badan meningkat dan gula tidak terkawal di dalam badan.

Selain itu, mereka akan berdepan dengan keadaan seperti kurang daya tumpuan, memori tidak bagus, emosi tidak terkawal dan mudah lesu.

"Menyentuh mengenai posisi tidur bagi membantu tidur yang lena, setakat ini belum ada posisi yang boleh membantu melainkan seseorang yang berdepan keadaan perut boroi, mengandung atau sakit pinggang.

"Bagaimanapun, dari segi rawatan, sekiranya mereka didapati mempunyai masalah insomnia, kita akan berikan rawatan psikoterapi dikenali terapi perilaku kognitif dengan cara mengenal pasti apa menyebabkan sukar tidur dan membantu menyelesaikannya.

"Rawatan menggunakan ubat tidur hanyalah jalan terakhir dan hanya boleh diberikan oleh doktor berdasarkan kepada penyakit dihadapi dan selepas selidik semuanya kerana ia berbahaya jika terlebih dos," katanya.

Jelasnya, apa pun gaya hidup teratur dan pemakanan yang seimbang perlu menjadi amalan seiring penambahan usia kerana ia membantu mengekalkan kesihatan tubuh badan.

Selain itu, pastikan penggunaan bilik tidur hanyalah pada waktu sepatutnya tidur dan elakkan makan makanan dengan kandungan lemak atau protein yang tinggi.

INFO: Masalah insomnia

  • 40-50 peratus warga emas berumur 60 ke atas sukar tidur malam
  • Wanita lebih sukar tidur malam berbanding lelaki
  • Gejala insomnia

  • Perubahan aras hormon badan
  • Perubahan kitaran tidur
  • Sukar mula tidur (ambil masa lama terlelap)
  • Bertambah masa tidur tidak nyenyak
  • Kerap terjaga lebih awal daripada masa normal
  • Letih atau mengantuk di waktu siang

  • Kerap tidur di siang hari
  • Kesan insomnia

  • Letih fizikal dan mental
  • Resah dan panas baran
  • Kemerosotan keupayaan ingatan, perhatian dan prestasi aktiviti harian
  • Berisiko darah tinggi
  • Berat badan meningkat
  • Diabetes dan gula tidak terkawal di dalam badan
  • Penyakit kardiovaskular

    Sumber : Berita Harian
  • Jumaat, Jun 17, 2022

    Isteri boleh minta cerai jika suami mati pucuk

     


    Seorang isteri boleh memfailkan penceraian di mahkamah sekiranya suami didapati mati pucuk dan gagal memberikan nafkah batin.

    Menjelaskan perkara itu, Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli berkata, nafkah batin adalah satu nafkah yang wajib ditunaikan oleh seorang suami.

    Katanya, sekiranya suami tersebut sudah tidak boleh memberikan nafkah batin sedangkan isteri mampu lagi bersetubuh, maka adalah menjadi kewajaran isteri memohon penceraian.

    “Tidak menjadi kesalahan (meminta cerai) kerana nafkah batin adalah wajib diberi oleh suami ke atas isteri sama seperti nafkah zahir,”katanya.

    Fahmi berkata, sekiranya suami tidak mahu menceraikan isterinya, wanita tersebut boleh memfailkan fasakh di mahkamah untuk proses penceraian oleh hakim.

    Bagaimanapun katanya, proses berkenaan perlu disertakan bukti yang menunjukkan bahawa suami itu mati pucuk.

    “Proses ini bukan mudah, kalau tiada laporan perubatan atau sebagainya, bagaimana kita (isteri) nak buktikan pada mahkamah?

    “Beban pembuktian terletak kepada penuntut (isteri), kalau isteri dakwa kata nak cerai kerana suami mati pucuk, dia perlu buktikan bahawa suami pernah berubat atau mendapat rawatan sebelum ini.

    “Proses ini pula perlu dibuktikan kepada mahkamah serta diyakini yang nafkah batin ini tidak dapat diberi atau tidak berkemampuan oleh suami,” jelasnya.

    Sumber : KOSMO!

    Isnin, Mei 23, 2022

    HFMD serang otak dan paru-paru

     


    Jika anak mempunyai simptom demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah, jangan ambil mudah.

    Mereka perlu dikuarantin antara tujuh sehingga 10 hari atau sehingga pulih sepenuhnya bagi mengelak menghidapi penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD), selain mengekang penularan bertambah parah.

    Walaupun HFMD adalah penyakit yang dikategorikan sebagai tidak serius, tetapi ia berisiko jangkitan menyebabkan jangkitan pada otak, jantung dan paru-paru, namun peratusannya amat rendah.

    Pakar Perunding Intensif Pediatrik, UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Prof Madya Dr Anis Siham Zainal Abidin, virus boleh menyerang masuk ke dalam selaput otak, jantung dan paru paru melalui darah.

    Katanya, kurang lima peratus pesakit berisiko mendapat serangan hingga ke organ lain dan boleh membawa maut, namun kira-kira 95 peratus adalah pada tahap ringan.

    "Oleh itu, jika ibu bapa mendapati ada simptom HFMD pada anak mereka terutama yang dihantar di Taska, Tadika atau pusat asuhan, perlu mula pantau seterusnya mendapatkan rawatan.

    "Ketika ini, kes HFMD berada pada tahap membimbangkan terutama di Kuala Lumpur dan Selangor, iaitu kebanyakan kes dipercayai berpunca dari Taska, Tadika dan pusat asuhan.

    "HFMD adalah penyakit berjangkit yang melanda kanak-kanak berusia 10 tahun dan ke bawah yang berkait rapat dengan amalan kebersihan serta persekitaran yang berpunca berpunca daripada Coxsakie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

    "Dalam keadaan yang hampir normal berbanding ketika pandemik COVID-19, kebanyakan ibu bapa sudah masuk ke pejabat dan tiada pilihan mereka ada yang terpaksa menghantar anak ke pusat berkenaan," katanya.

    Katanya, simptom penyakit itu bermula dengan demam sehari atau dua hari kemudian diikuti oleh kemunculan ruam dan lepuh (blister) di tapak tangan dan kaki serta ulser.

    "Keadaan itu akan menyebabkan kanak-kanak menjadi tidak lalu makan dan minum kerana ulser di dalam mulut, lemah serta tidak aktif seperti biasa disebabkan tiada tenaga di dalam badan," katanya.

    Dr Anis Siham berkata, keadaan lepuh yang naik pula adalah seakan-akan sakit akibat deman campak, namun lebih kecil dan tidak menyeluruh di seluruh badan.

    Katanya, air yang terdapat di dalam lepuh itu adalah berbisa dan ia yang akan menyebabkan penyakit itu lebih mudah merebak.

    "Apabila lepuh sama ada di bahagian tapak tangan atau tapak kaki pecah dan mengeluarkan air serta terkena pada objek atau sesuatu permukaan yang kemudiannya dipegang oleh kanak-kanak lain, ia menjadi penyebab penyakit itu merebak.

    "Kanak-kanak yang pernah dijangkiti HFMD sebelum ini juga masih berisiko mendapat penyakit itu namun simptom yang ditunjukkan tidak seteruk kali pertama dialami mereka berikutan sudah ada antibodi di dalam badan.

    "Begitu juga golongan dewasa, mereka masih boleh dijangkiti HFMD dan pada masa sama menyebarkan kepada kanak-kanak lain jika tidak menjaga kebersihan," katanya.

    Tingkatkan amalan kebersihan

    Mengulas lanjut, beliau berkata virus berkenaan yang sentiasa berada di kawasan persekitaran, juga boleh berada di dalam usus apabila ia masuk ke dalam tubuh seseorang.

    Katanya, bagi kanak-kanak yang masih memakai lampin atau lampin pakai buang dan membuang air besar, mereka boleh menyebarkan virus itu menerusi najis.

    "Virus itu boleh merebak apabila ada orang dewasa yang menukar lampin kanak-kanak berkenaan kemudiannya tidak membasuh tangan dengan betul dan terus memegang objek atau persekitaran lain tanpa sedar tangan mereka sudah terkena virus.

    "Justeru, mereka yang menukar lampin kanak-kanak perlu mengamalkan kebersihan dengan terus mencuci tangan dengan sabun bagi mencegah penyebaran penyakit," katanya.

    Berkenaan rawatan, Dr Anis Siham berkata, jika keadaan kanak-kanak itu demam biasa diikuti ulser, ruam dan lepuh, mereka boleh makan ubat deman dan kuarantin di rumah sehingga pulih sepenuhnya.

    Jika kanak-kanak berkenaan tidak mahu minum dan menyebabkan kurang membuang air kecil, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik.

    "Ibu bapa yang mendapati anak mula demam dan merengek atau menangis diikuti air liur mula meleleh, perlu membuat pemeriksaan segera pada mulut anak mereka kerana mungkin disebabkan oleh ulser di dalam mulut.

    "Jika keadaan ulser teruk, mereka perlu mendapatkan segera rawatan ubat penyembur bagi mengurangkan kesakitan seterusnya memberikan air menggunakan straw bagi mengelak terus dehidrasi," katanya.

    Jelasnya, bagi demam yang berterusan sehingga tiga hari berturut-turut walaupun sudah makan ubat demam, diikuti nafas laju, dada berombak, penat keterlaluan, sawan dan nadi laju, ibu bapa perlu segera membawa anak ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.

    Kekang penularan HFDM

    Justeru, Dr Anis Siham berkata, ibu bapa perlu memastikan jika anak mereka mempunyai simptom HFMD, mereka perlu dikuarantin sehingga penyakit pulih sepenuhnya.

    Katanya, dengan berbuat demikian, ia dapat mengekang penularan penyakit terutama terhadap kanak-kanak lain.

    "Jika anak bergejala jangan bawa mereka keluar langsung terutama ke pusat beli-belah, restoran atau menghantar ke pusat jagaan terbabit.

    "Ajar anak-anak untuk menjaga kesihatan, iaitu dengan kerap mencuci tangan dengan sabun, tidak berkongsi pinggan, cawan, sudu, garpu atau tuala dengan sesiapa," katanya.

    Akuinya, peningkatan kes ketika ini juga dipercayai kerana masih ramai ibu bapa yang belum peka dengan penyakit berkenaan dan mungkin beranggapan ia tidak serius.

    Justeru katanya, mereka perlu terus diberi kesedaran termasuk juga terhadap pihak pengurusan Taska, Tadika atau pusat asuhan.

    "Pihak pengurusan perlu tingkatkan lagi tahap kebersihan termasuk kerap membuat pembersihan bagi mengurangkan penularan penyakit HFMD," katanya.

    Info:

    Mengenai Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD)

    * Berlaku kepada kanak-kanak berumur bawah 10 tahun

    * Merebak dengan cepat iaitu hampir 100 %

    * Jangkitan melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis mereka yang berpenyakit.

    * Tempoh inkubasi antara 3 - 5 hari.

    Tanda-tanda dan gejala

    * Demam yang ringan

    * Rasa tidak sihat (letih dan lesu)

    * Sakit tekak

    Sumber : Berita Harian

    Selasa, Mei 10, 2022

    KKM terbitkan rujukan tangani sindrom Long COVID

     


    Kementerian Kesihatan (KKM) menerbitkan Garis Panduan Pengurusan Pasca COVID-19 Kebangsaan sebagai sumber rujukan menangani komplikasi atau sindrom COVID berpanjangan (Long COVID).

    Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata, tanpa rawatan khusus dan berstruktur, keadaan itu boleh berterusan sehingga menjejaskan kualiti hidup individu yang mengalami gejala Long COVID.

    Katanya, ia juga boleh menyebabkan implikasi seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti, hilang punca pendapatan yang membawa kepada bebanan sosioekonomi bukan sahaja kepada individu tetapi juga keluarga, masyarakat serta ekonomi negara.

    "Bagi menangani gejala Long COVID dengan berkesan dan selamat, Garis Panduan Pengurusan Pasca COVID-19 Kebangsaan pada Julai 2021 boleh dijadikan rujukan dan membabitkan pelbagai kepakaran termasuklah kesihatan primer, penyakit berjangkit, perubatan dalaman, nefrologi, kardiologi, respiratori, obstetrik, pediatrik, psikiatri dan perubatan rehabilitasi.

    "Dengan adanya protokol Garis Panduan Pengurusan Pasca COVID-19 Kebangsaan, individu yang mengalami gejala Long COVID ringan boleh menjalani penilaian awal dan rawatan di mana-mana klinik kesihatan terdekat di seluruh negara.

    "Individu dengan gejala Long COVID serius hingga menjejaskan fungsi ketara dan keupayaan kembali bekerja boleh dirujuk kepada hospital dengan kepakaran perubatan rehabilitasi," katanya dalam kenyataan.

    Khairy berkata, antara gejala Long COVID kerap dialami dan boleh menyebabkan impak ke atas fungsi serta aktiviti harian individu terkesan adalah kelesuan, kesukaran bernafas, batuk, kesakitan sendi dan otot, kesukaran tidur nyenyak dan kelemahan anggota.

    Katanya, Long COVID turut memberi kesan kepada masalah deria, kegelisahan, kekabutan otak dan lesi kulit.

    Mengenai rehabilitasi, Khairy berkata, ia adalah kepakaran perubatan yang memberi fokus kepada peningkatan kefungsian individu melalui diagnosis, rawatan kesihatan, mengurangkan kehilangan upaya serta pencegahan komplikasi.

    "Intervensi program rehabilitasi bermatlamatkan kefungsian optimum fizikal, kognitif, sosial, psikologikal, vokasional dan avokasional, seiring keperluan tersendiri individu terkesan.

    "Program rehabilitasi komprehensif dan holistik membabitkan kepakaran anggota pelbagai disiplinari merangkumi Pakar Rehabilitasi, Pegawai Perubatan, anggota Pemulihan Fisioterapi, anggota Pemulihan Cara Kerja dan Jururawat.

    "Ia bergantung kepada keperluan spesifik pesakit, Pegawai Pemulihan Pertuturan dan Penelanan, Kaunselor, Pegawai Dietetik, Pegawai Farmasi dan Pegawai Kebajikan Sosial Perubatan juga boleh dibabitkan bersama," katanya.

    Khairy berkata, sehingga April lalu seramai 2,798 pesakit menjalani rawatan rehabilitasi Long COVID melalui rawatan pesakit dalam.

    "Selain itu, sejumlah 6,432 pesakit menjalani rawatan perubatan rehabilitasi Long COVID melalui rawatan pesakit luar di fasiliti KKM di seluruh negara.

    "Sebanyak 30 hingga 40 peratus pesakit Long COVID dapat kembali bekerja dalam tempoh tiga bulan selepas dijangkiti COVID-19, manakala 60 hingga 70 peratus kembali bekerja dalam tempoh enam bulan selepas dijangkiti.

    "KKM akan terus menambah sumber dan peralatan untuk merawat serta memulihkan kes Long COVID sebagai sebahagian daripada strategi melindungi dan merawat mereka yang berisiko tinggi dijangkiti," katanya.

    Antara hospital dan fasiliti kesihatan yang menyediakan perkhidmatan Perubatan Rehabilitasi untuk Long COVID ialah di Hospital Rehabilitasi Cheras, Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tunku Mukhriz dan Hospital Universiti Putra Malaysia.

    Di Pahang, hospital dan fasiliti berkenaan ialah di Hospital Tengku Ampuan Afzan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Kelantan (Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Hospital Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang (Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya dan Hospital Balik Pulau).

    Selain itu di Kedah iaitu Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Jitra; Hospital Kuala Nerang; dan Hospital Sultan Abdul Halim, Perak (Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Batu Gajah), Sabah (Hospital Sandakan dan Hospital Queen Elizabeth) Sarawak (Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri, Hospital Sibu).

    Negeri lain ialah Johor iaitu di Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah, Terengganu (Hospital Kemaman, Hospital Sultanah Nur Zahirah; dan Hospital Dungun), Melaka (Hospital Melaka dan Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak).

    Sumber : Berita Harian

    Jumaat, April 29, 2022

    Pil cegah kehamilan lelaki bakal diuji pada manusia Julai 2022

     


    Saintis-saintis memaklumkan bahawa pil kontraseptif lelaki (cegah kehamilan) akan mula diuji pada manusia dalam dua bulan akan datang selepas ujian ke atas tikus menunjukkan kejayaan dalam hasilnya, lapor portal berita MailOnline.

    Penyelidik-penyelidik di Univerisiti Minnesota yang mencipta ubat itu berkata, ia boleh memasuki ujian klinikal seawal Julai ini.

    Pil bukan hormon yang dinamakan secara perubatan, YCT529 itu mampu menyekat 99 peratus kehamilan pada tikus semasa ujian, meletakannya setanding dengan ubat kawalan kelahiran wanita. 

    Tiada sebarang kesan sampingan yang berlaku ke atas tikus tersebut termasuk pertambahan berat badan.

    Tikus jantan didapati mampu menyebabkan kelahiran anak dalam enam hingga tiga minggu selepas pemberian ubat dihentikan. 

    Menurut seorang ahli kimia, Dr. Gunda Georg, ubat itu boleh diuji terhadap manusia pada separuh kedua tahun 2022.

    Beliau berkata, ujian sebelum ini menunjukkan pil itu telah memberikan kesan yang diingini setelah diuji pada tikus, di samping memastikan ia kekal berkembang dan sihat.

    Pengilang yang mahu merevolusikann pil tersebut, YourChoice Therapeutics akan memohon kebenaran untuk memulakan ujian ke atas manusia daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA).

    Bagaimanapun, bilangan dan umur peserta yang akan menyertai ujian tersebut tidak didedahkan. 

    Sumber berita Agensi


    Sabtu, April 23, 2022

    Cecair kit ujian Covid-19 boleh menyebabkan mata buta

     


    Pusat Antiberita Palsu Thailand menyiasat dakwaan yang tersebar di media sosial bahawa larutan kimia pada kit ujian antigen Covid-19 (ATK) boleh menyebabkan mata manusia menjadi buta dan mengesahkan dakwaan itu benar, lapor laman berita Thaiger.

    Jabatan Sains Perubatan memaklumkan, larutan natrium azida sebenarnya digunakan untuk mengesan asid ribonukleik (RNA) Covid-19. Namun, jika disalahgunakan, cecair itu boleh menyebabkan mata menjadi buta dan kulit gatal.

    Larutan itu juga boleh membawa maut jika diminum bergantung kepada jumlah isipadunya. Jika terkena kulit atau mata, jabatan itu mencadangkan agar individu berkenaan segera mencucinya menggunakan air bersih dan bertemu doktor jika kerengsaan berterusan.

    Pusat Antiberita Palsu Thailand sebelum ini pernah menerima dakwaan tidak berasas di media sosial mengenai Covid-19 dan prosedur ujian standard.

    Bulan lalu, pusat itu menafikan laporan yang dibuat di media sosial bahawa calitan hidung yang dalam boleh merosakkan saraf bau manusia dan menjadikannya tidak berguna.

    Jabatan Perkhidmatan Perubatan menyatakan, walaupun calitan jauh ke dalam  hidung sebenarnya boleh menyentuh saraf deria hidung,  ia tidak merosakkannya. 

    Tiada bukti menunjukkan bahawa ujian calitan tersebut boleh menyebabkan manusia kehilangan deria bau. 

    – Berita Agensi

    Khamis, April 21, 2022

    Aplikasi pintar kesan jangkitan Covid-19

     


    Sekumpulan saintis membangunkan sebuah  aplikasi telefon pintar yang boleh mengesan sama ada seseorang itu telah dijangkiti virus Covid-19, lapor portal berita MailOnline

    Aplikasi dinamakan ResApp itu menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI)  untuk menganalisis bunyi batuk seseorang. Aplikasi itu dikatakan mempunyai ketepatan sebanyak  92 peratus.

    “Skala besar bagi pandemik global ini  bermaksud kita memerlukan lebih banyak alat diagnosis  yang boleh mengimbangi kebergantungan kepada ujian antigen pantas dan tindak balas rantaian polimerase transkripsi balikan (PCR).

    “Penggunaan ResApp secara meluas dapat mengurangkan keperluan ujian saringan antigen pantas dan PCR.

    “Dalam masa sama, kita masih mengekalkan kawalan penyakit yang diperlukan untuk menguruskan impak Covid-19,” kata ahli Lembaga Penasihat Saintifik Covid-19 ResApp, Profesor Catherine Bennett.

    Ujian bagi menilai keberkesanan aplikasi tersebut telah dijalankan terhadap  741 individu di Amerika Syarikat dan India, termasuk 446 yang dijangkiti Covid-19.

    Sumber dari Berita Agensi

    Selasa, Mac 15, 2022

    Garam berlebihan punca tiga juta kematian dunia

     



    Kira-kira 11 juta kematian di seluruh dunia dikaitkan dengan diet tidak sihat, dengan tiga juta daripadanya berpunca daripada pengambilan garam yang tinggi.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pengambilan garam berlebihan meningkatkan tekanan darah dan meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, strok, kanser dan buah pinggang yang menjadi punca utama kematian penyakit tidak berjangkit (NCD) di seluruh dunia.

    Berikutan itu, katanya, antara cara berkesan mengurangkan pengambilan garam adalah melalui reformulasi produk bagi menurunkan kandungan garam dalam makanan.

    "Pihak industri makanan perlu mematuhi Akta Makanan 1983 pindaan 2020 yang mewajibkan pelabelan kandungan garam pada produk makanan dan minuman," katanya.

    Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia yang disambut pada 14 hingga 20 Mac bertemakan 'Tak Masin Tu Ok!'.

    Beliau berkata, pelabelan pemakanan dapat membantu pengguna memahami kandungan nutrisi produk makanan atau minuman, sekali gus menggalakkan orang ramai membeli makanan lebih sihat dan sesuai dengan keperluan.

    Dr Noor Hisham menyarankan rakyat Malaysia mengubah amalan pemakanan termasuk mengurangkan pengambilan garam seharian.

    Katanya, pengambilan garam perlu dihadkan tidak melebihi satu sudu teh sehari, termasuk garam tersembunyi bagi mengurangkan risiko hipertensi, sakit jantung, strok, kerosakan buah pinggang dan kanser.

    Beliau berkata, garam juga diperoleh dalam sumber lain seperti Sodium Nitrate, Sodium Bicarbonate, Monosodium Glutamate dan lain-lain.

    Dr Noor Hisham berkata, orang ramai juga dinasihatkan untuk mengehadkan pengambilan makanan diproses seperti mi segera, nuget ayam, burger, sosej, makanan diawet seperti ikan masin, telur masin dan jeruk; snek tinggi garam seperti kacang bergaram, kerepek dan keropok dan makanan lain yang menggunakan perasa tambahan.

    Beliau menggalakkan orang ramai mengutamakan perisa semula jadi menggunakan bawang putih, bawang besar, kunyit, halia, serai, daun bawang, daun ketumbar, rempah-ratus dan limau nipis bagi meningkatkan rasa hidangan makanan.

    Orang ramai juga perlu mengurangkan penggunaan garam, sos dan penambah perasa seperti monosodium glutamate (MSG), pes sedia guna, kiub dan serbuk perasa dalam masakan.

    Sumber dari Berita Harian

    Jumaat, Januari 21, 2022

    Tidak perlu lagi imbas suhu

     

    Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju untuk tidak mewajibkan lagi penggunaan pengimbas suhu di premis.

    Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata selepas ini individu yang ingin masuk ke mana-mana premis tidak perlu lagi mengimbas suhu sebaliknya memadai sekadar merekodkan butiran diri menerusi imbas menggunakan aplikasi MySejahtera.

    Untuk memansuhkan prosedur operasi standard (SOP) itu, katanya perkara itu akan dipinda terlebih dahulu dalam sesi Mesyuarat Kuartet COVID-19 sebelum dibawa ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    "KKM juga bersetuju untuk mengeluarkan ini (pengimbas suhu). Ini adalah membabitkan pengumuman SOP seluruh negara yang mana perkara ini akan dibawa ke mesyuarat MKN.

    "Tetapi KKM telah bersetuju supaya kita keluarkan penggunaan wajib pengimbas suhu daripada SOP.

    "Jadi selepas dipinda nanti SOP pada sesi mesyuarat kuartet (COVID-1) akan datang, tidak lagi diwajibkan premis ada pengimbas suhu lagi. Memadai hanya imbas MySejahtera," katanya pada sidang media di Parlimen.

    Mengulas lanjut, Khairy berkata langkah untuk tidak mewajibkan pengimbas suhu, berikutan KKM mendapati ia bukan langkah yang boleh mengekang penularan COVID-19.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka yang tidak sihat dan bergejala supaya kekal berada di rumah bagi membendung penularan penyakit.

    "Selepas kami melihatnya...sebenarnya, ia tidak menjadi satu langkah yang boleh mengekang penularan COVID-19. Maksud saya, tidak ada kaitan.

    "Nasihat saya, jika anda tidak sihat...kalau sesiapa bergejala jangan keluar. Itu saja. Tidak perlu lagi uji suhu sesiapa lagi," katanya. 

    Sumber dari Berita Harian

     

     

    Isnin, Januari 17, 2022

    Kuarantin tujuh hari saja

     

    Kementerian Kesihatan (KKM) menilai semula dan menetapkan tempoh baharu pengasingan kes positif COVID-19 serta kontak rapat.

    Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata bagi tempoh pengasingan kes positif COVID-19 bagi semua jenis varian yang membabitkan individu sudah lengkap divaksinasi serta tidak bergejala ialah tujuh hari, berbanding 10 hari sebelum ini.

    "Bagi individu positif yang tidak lengkap vaksin atau bergejala, tempoh pengasingan selama 10 hari.

    "Penilaian kesihatan akan dibuat sebelum pelepasan boleh diberikan," katanya dalam kenyataan.

    Sementara itu, Khairy berkata, bagi tempoh pengasingan kontak rapat pula, individu yang sudah menerima dos penggalak perlu menjalani kuarantin selama lima hari.

    "Tujuh hari ke atas individu yang lengkap vaksinasi, yang belum lengkap atau tiada vaksinasi. 

    "Tempoh yang dinyatakan ini berkuat kuasa esok dan turut terpakai ke atas mereka yang sedang menjalani pengasingan dan kuarantin.

    "Bagaimanapun prosedur sedia ada bagi pengurusan pengembara yang baru tiba ke Malaysia masih terpakai," katanya.

    Khairy berkata, penilaian semula itu dibuat berdasarkan data, sains dan pengalaman negara-negara lain berkaitan pengurusan kes positif COVID-19 dan kontak rapat kepada kes positif.

    Sebelum ini, individu yang disahkan positif COVID-19 perlu menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari dan tidak perlu melakukan ujian ulangan.

    Bagi kontak rapat yang sudah mendapatkan pelalian COVID-19 yang lengkap, mereka perlu menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari dan menjalani ujian pada hari kelima.

    Sekiranya kontak rapat berkenaan masih belum mendapatkan pelalian lengkap atau tiada vaksin, mereka perlulah menjalankan kuarantin selama 10 hari dan ulangi ujian pada hari kelapan.

    Sementara itu, Khairy berkata, bagi tempoh pengasingan kontak rapat pula, individu yang sudah menerima dos penggalak perlu menjalani kuarantin selama lima hari.

    "Tujuh hari ke atas individu yang lengkap vaksinasi, yang belum lengkap atau tiada vaksinasi," katanya.

    Beliau berkata, sekiranya individu berkenaan menunjukkan gejala, mereka haruslah melakukan ujian pengesanan jangkitan COVID-19 menggunakan RTK-Ag, sama ada kendiri atau ke fasiliti kesihatan, bagi mendapatkan rawatan lanjut.

    "Keputusan ujian kendiri hendaklah dimasukkan ke dalam Mysejahtera, jalani ujian RTK-Ag sama ada di fasiliti kerajaan atau swasta pada hari ke-5 (untuk kuarantin 5 hari) dan hari ke-7 (untuk kuarantin 7 hari).

    "Pelepasan kuarantin akan diberikan pada hari yang sama ujian pengesanan RTK-Ag dijalankan, sekiranya keputusan negatif dan tidak bergejala," katanya.

    Khairy berkata, pihaknya sudah meningkatkan kesiapsiagaan sistem perkhidmatan kesihatan dalam menghadapai kemungkinan peningkatan kes susulan pelaporan kes jangkitan varian Omicron dalam negara.

    "Oleh itu, KKM menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin COVID-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optimum serta mengelakkan gejala jangkitan COVID-19 yang teruk serta komplikasinya," katanya. 

    Sumber dari Berita Harian

     

     

     

    Khamis, Januari 13, 2022

    Mati pucuk serang lelaki muda

     

    Kekurangan hormon testosteron yang penting untuk fungsi seksual kebiasaannya dikaitkan dengan lelaki yang semakin menginjak usia, tetapi turut berlaku dalam kalangan lelaki muda.

    Pakar Perunding Urologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kolonel Dr Ngoo Kay Seong, berkata kekurangan testosteron kepada lelaki muda boleh berlaku sekiranya mereka menghidap penyakit genetik seperti sindrom Kallman atau Klinefelter.

    Bagi lelaki yang sihat katanya, paras hormon kebiasaannya akan mula menurun apabila usia memasuki lewat 30-an sehingga 80 tahun.  

    "Namun, bagi lelaki muda boleh juga berlaku sekiranya mereka menghidap penyakit genetik tertentu atau penyakit membabitkan buah zakar atau testis atau penyakit dalam otak pada peringkat awal kehidupan.

    "Ramai belum mengetahui mengenai fenomena kekurangan hormon testosteron ini termasuk dalam kalangan pengamal perubatan," katanya.

    Fungsi seksual

    Dr Kay Seong berkata, hormon testosteron bukan saja penting untuk fungsi seksual dan penghasilan sperma, malah ia diperlukan bagi pertumbuhan dan kematangan alat kelamin pada peringkat awal kelahiran seseorang lelaki.

    "Hormon testosteron di paras optimum penting kepada lelaki mengikut peringkat umur.

    "Ketika akil baligh, hormon ini bertanggungjawab ke atas ciri seksual sekunder lelaki seperti pertumbuhan rambut di badan, tumbesaran kemaluan dan pertukaran suara.

    "Dalam kalangan lelaki dewasa, tahap hormon testosteron yang optimum penting untuk kesejahteraan hidup dan bagi membendung mereka daripada menghidap penyakit metabolik," katanya.

    Kesan kurang hormon testosteron

    Beliau berkata, gejala lazim yang menandakan lelaki mengalami kekurangan testosteron termasuk kurangnya dorongan seks atau libido serta kurangnya upaya untuk zakar mengeras secara spontan pada waktu pagi.

    Hormon testosteron bertanggungjawab ke atas seluruh pengalaman atau proses seksual seseorang lelaki, justeru mati pucuk juga sebahagian sindrom kekurangan hormon itu.

    Bagaimanapun pada masa sama, terdapat tanda bukan seksual yang boleh menjadi 'petunjuk' lelaki mengalami kekurangan hormon testosteron termasuk cepat berasa penat, kemurungan dan kurang motivasi serta daya tumpuan.

    "Ia boleh disahkan melalui ujian darah hormon testosteron, di mana tahap total testosteron mereka akan disukat," katanya.

    Kesan obes dan kencing manis

    Ditanya sama ada kekurangan testosteron boleh menyebabkan penyakit lain, Dr Kay Seong berkata dalam kalangan pesakit kencing manis, 42 peratus daripadanya didapati mengalami masalah kekurangan hormon itu.

    "Kekurangan hormon testosteron sememangnya dikaitkan dengan penyakit metabolik yang lain.

    Malah masalah obesiti juga dikaitkan dengan fenomena ini.

    "Penyakit kardiovaskular dan kolesterol juga dipengaruhi paras hormon testosteron. Setakat ini, kajian saintifik membuktikan kencing manis dan obesiti adalah penyakit utama yang berkait rapat dengan sindrom kekurangan testosteron," katanya.

    Perlu kekalkan BMI

    Dr Kay Seong berkata, gaya hidup yang tidak sihat akan menyebabkan paras hormon merundum dengan lebih ketara justeru penting untuk sentiasa mengekalkan indeks jisim badan (BMI) pada tahap yang normal.

    Meskipun mengakui tiada makanan tertentu yang boleh membendung sindrom ini tetapi, pengekalan BMI normal akan membolehkan penyakit metabolik dielakkan, sekali gus menyebabkan sindrom kekurangan hormon tidak begitu ketara.

    "Sekiranya sesuai, terapi gantian hormon oleh pakar urologi boleh dilakukan tetapi rawatan susulan berkala amat penting khasnya, pada tahun pertama rawatan.

    "Rawatan itu sudah lama wujud dan lebih penting lagi ia boleh membantu seseorang lelaki kembali ke arah fungsi seksual dan kesejahteraan hidup yang normal terutamanya dalam kalangan mereka berusia 40 sehingga 60 tahun," katanya.

    Rawatan terapi hormon

    Terapi hormon juga membolehkan kawalan gula kencing manis bertambah baik di samping mengurangkan jisim lemak dalam badan.

    "Selain itu, rawatan hormon ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang sudah mengalami masalah kencing manis dan penyakit metabolik lain untuk kembali ke tahap kawalan penyakit yang lebih teratur.

    "Sekiranya diabaikan terlalu lama, penyakit kencing manis dan metabolik yang lain mungkin akan lebih buruk," katanya.

    Info

    • Testosteron hormon dihasilkan lelaki pada bahagian testis

    • Merangsang penghasilan sperma, dorongan seksual lelaki

    • Berperanan menghasilkan otot dan tulang

    • 2 daripada 10 lelaki 60 tahun ke atas, kadar testosteron rendah

    • 3 daripada 10 lelaki usia 70 ke atas, kadar testosteran rendah

    • Bacaan normal testosteron, 300 - 1,000 nanogram per desiliter (ng/dl)

    • Testosteron rendah dikesan ketika bacaan menurun di bawah 300 ng/dl.

    Sumber : Berita Harian