Memaparkan catatan dengan label Forum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Forum. Papar semua catatan

Khamis, September 10, 2009

Usah beri ruang lagu & drama Indonesia

Saya merujuk tulisan Noorhani bertajuk Kita Diam Diganyang Indonesia? dalam ruangan ini pada 7 September lalu. Saya amat bersetuju dengan pandangan beliau.

Dicemuh, dicaci dan dihina oleh jiran yang serumpun, malah sebilangan besarnya saudara seagama, amat menyakitkan. Tetapi lebih menyakitkan apabila media kita seolaholah tiada semangat nasionalisme dalam isu ini.

Media penyiaran khususnya hanya lebih mementingkan keuntungan berbanding menyelami isi hati rakyat Malaysia.

Kenapa kita diperlakukan sebegini rupa, sehinggakan ada rakyat Indonesia yang sudah bersiap siaga untuk melancarkan perang ke atas Malaysia, kita masih mengagungkan mereka di dalam radio dan televisyen?

Bahkan dengan angkuh sekali, seorang penyanyi utama kumpulan seberang yang terkenal di Malaysia, melabel Malaysia sebagai pencuri dan mengatakan bahawa beliau tidak kisah jika tidak dibenarkan membuat persembahan di Malaysia selepas ini.

Kenyataan angkuh artis ini mungkin hanya berlalu seiring waktu apabila nanti ada pihak yang tidak peka dan terus menjemput artis yang begitu nyata menghina negara kita.

Boleh dikatakan setiap siaran TV di Malaysia ini menayangkan drama-drama Indonesia yang mana lebih 80 peratus daripadanya begitu murahan dan mempunyai unsur-unsur yang tidak elok.

Begitu juga halnya dengan radio, setiap kali menukar siaran pasti terdengar lagu-lagu dari seberang.

Bukanlah kita ingin bersikap tidak rasional seperti Indonesia tapi sekurang-kurangnya biarlah nampak kita berbuat sesuatu, bukan sekadar memejamkan mata dan memekakkan telinga.

Hati saya, bahkan seluruh rakyat Malaysia, rasa terhiris apabila mereka membakar bendera negara ini yang amat dicintai.

Jika kita melayari Internet tidak terkira begitu banyak sekali kata-kata nista yang dihambur ke atas Malaysia, bukan sahaja di sesawang individu bahkan laman web yang terkenal seperti Youtube.

Di sini, tidak perlulah kita menyatakan lagi siapa yang bersalah dalam ketegangan ini, kerana yang pasti, pihak Indonesia telah memekakkan telinga dan membutakan mata, dan hanya berpegang pada kepercayaan awal mereka.

Fitnah yang dilempar dengan tanpa usul periksa, itulah yang mereka laung-laungkan dan dipegang menjadi dendam. Betapa kuat bukti dan fakta yang cuba Malaysia sampaikan hanyalah sekadar angin lalu bagi mereka.

Kelmarin kita melihat ekstremis mereka dengan mengadakan sekatan jalan raya dengan bersenjatakan buluh runcing untuk mengusir rakyat Malaysia di sana.

Apakah mereka tidak sedar berapa sangat nisbah rakyat kita di sana berbanding rakyat mereka di sini? Apakah mereka tidak sedar akibatnya jika rakyat Malaysia juga berfikiran singkat seperti mereka?

Indonesia seperti lupa apa ertinya kesefahaman, bertolak ansur dan saling memaafkan seperti mana yang dituntut dalam agama. Mereka seperti tidak menghayati rahmat Ramadan, dan masih melihat sesuatu isu dengan penuh perasaan benci.

Oleh itu, saya menyeru pihak media janganlah hanya berpeluk tubuh, media tidak perlu menghasut rakyat untuk mengangkat senjata berperang tapi cukuplah dengan mengadakan sekatan pada bahan-bahan produksi dari negara Indonesia.

Hentikanlah segala kerjasama hiburan dengan Indonesia kerana mereka tidak pernah menghormati negara kita.

Tidak perlu lagi kita mengagung-agungkan karya daripada pihak yang mempunyai dendam kesumat kepada kita.

- UTUSAN

Rabu, September 09, 2009

Lagu Terang Bulan bukan pemberian Indonesia kepada Malaysia

Merujuk kepada petikan berita dalam Utusan Malaysia, Sabtu 5 September 2009 di laman Luar Negara dengan judul Terang Bulan diberi kepada Malaysia.

Saya ingin menyanggah kenyataan bahawa lagu tersebut milik Indonesia yang kononnya diberikan dengan ihsan Bung Karno melalui Saiful Bahri.

Meski pun lagu itu popular di Indonesia suatu ketika dulu yang dijadikan lagu pembukaan persembahan bangsawan, ia bukan milik Indonesia.

Lagu tersebut telah diciplak dari lagu asal ciptaan ahli muzik Perancis bernama Pierrr Jean de Beranger (1780-1857).

Karya-karya Beranger digunakan oleh Napoleon Bonaparte sebagai lagu-lagu march band untuk kempen ketenteraannya.

Ketika Sultan Abdullah dibuang ke Pulau Seychelles pada tahun 1876-1892, saban petang baginda dan puterinya Tengku Mariam akan bersiar-siar di padang awam di Mahe, Seychelles.

Di tengah-tengah padang itu, ada wakaf tempat brass band memainkan lagu-lagu march. Salah satu lagu yang dimainkan itu dirakam dalam memori Tengku Mariam yang juga seorang pemain biola.

Apabila mereka kembali pada tahun 1892, lagu itu kemudian diangkat menjadi lagu negeri Perak yang kemudiannya dalam satu pertandingan memilih lagu Kebangsaan Persekutuan Malaya sempena hari kemerdekaan, lagu negeri Perak dengan senikata baru telah memenangi pertandingan tersebut. Bagi 26 juta rakyat Malaysia, lagu kebangsaan itu dikenali sebagai Negaraku bukan Terang Bulan.

Semoga dua bangsa serumpun tidak terus bergaduh soal-soal sebegini sedangkan lagu itu bukan milik kedua-dua bangsa. Indonesia terus menghidupkan propaganda lapuk zaman konfrontasi-PKI untuk menangani isu-isu sosio-politik masa kini. Berhentilah menjadi abang tiri yang mencemburui adik tirinya.

Cubalah membina hubungan baik antara kedua-dua negara dan hubungan akrab antara kedua-dua bangsa serumpun. Jangan lupa, yang menjadi bangsa serumpun mempunyai banyak persamaan atau pun kemiripan dalam aspek budaya dan sosial.

- UTUSAN

Rabu, Ogos 26, 2009

Luahan hati 2,504 pelajar DPLI di UPSI

Oleh SALINA

Saya mewakili 2,504 orang pelajar program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) pengambilan Julai 2009/2010. Kami yang ditempatkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengalami 1001 satu pengalaman dan cabaran besar buat kami yang bakal bergelar guru suatu hari kelak.

Kami terpaksa membayar yuran sebanyak RM250 sebagai yuran pendaftaran Minggu Suai Kenal walaupun kami pelajar tajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia selama satu tahun.

Kami juga tertanya-tanya kenapa yuran tersebut terlalu mahal dan tidak berpatutan dengan apa yang kami lalui sepanjang tiga (3) hari program induksi itu.

Untuk pengetahuan, kami hanya mendapat beg, baju batik, tali leher, payung, dokumen-dokumen seperti buku program, brosur dan etika pemakaian (kesemua ini difotokopi sahaja).

Selain itu, kami juga dihidangkan dengan dua jenis lauk sahaja dan apa yang menyedihkan adalah kualiti makanan serta air tersebut tidak setimpal dengan harga yang kami bayar. Kami turut dihidangkan dengan lauk yang sama pada dua hari berturut-turut iaitu sayur taugeh dan ikan goreng sahaja. Malahan pelajar-pelajar DPLI tidak langsung disediakan dengan minuman air mineral selama berlangsungya minggu suai kenal.

Menurut rakan-rakan lain yang mengambil program DPLI di universiti-universiti lain, mereka tidak dicaj untuk yuran pendaftaran induksi kecuali UPM yang hanya mengenakan RM50.

Kami ditempatkan di bilik kuliah Proton City yang memuatkan lebih 90 orang pelajar dalam suasana bilik darjah biasa.

Dapatkah anda bayangkan betapa sesak dan tidak kondusif suasana pembelajaran yang sedemikian? Sepatutnya pihak pengurusan harus menyediakan dewan dengan susunan tempat duduk teater. Ini memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran di antara pensyarah dan pelajar.

Pada pandangan kami, UPSI lebih mementingkan kuantiti berbanding kualiti. Diharap pihak pengurusan UPSI memberi perhatian terhadap perkara ini supaya mutu pengurusan dapat dipertingkatkan.

- SINAR HARIAN

Rabu, Ogos 12, 2009

Selesema babi di tahap darurat?

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini bahawa influenza A (H1N1) atau selesema babi adalah ancaman serius kepada negara, wajar diberikan perhatian serius.

Adakah ia bermakna virus tersebut merupakan ancaman keselamatan negara dan bukan lagi ancaman keselamatan insan (human security)?

Adakah kerajaan akan mengisytiharkan ia merupakan ancaman keselamatan negara seperti ancaman dadah?

Juga adakah langkah-langkah keselamatan seperti pengisytiharan darurat perlu dilakukan bagi membendung wabak ini? Apakah kita gagal membendung kemasukan penyakit import ini disebabkan kealpaan kita? Adakah virus ini merupakan serangan biologi dari negara barat? Adakah kita mempunyai statistik mereka yang mempunyai potensi dijangkiti H1N1 seperti kanak-kanak, pesakit diabetis dan sebagainya.

Musim perayaan akan tiba tidak berapa lama lagi dan sudah tentu virus ini akan terus merebak. Banyak lagi persoalan yang menjadi tanda tanya.

Jika dilihat daripada segi sejarah, wabak pandemik seperti ini telah wujud sejak awal abad ke-20 lagi. Pada 1918, dunia dikejutkan dengan Spanish Flu yang melibatkan 20 hingga 40 juta kes, diikuti dengan Asian Flu pada 1957 melibatkan sejuta kes. Hong Kong Flu pada 1968 pula melibatkan 700 ribu kes.

Virus selesema babi yang bermula pada 4 April di Mexico kini telah merebak serata dunia sehingga kawasan pedalaman. Maka benarlah bahawa globalisasi menyebabkan dunia tanpa sempadan. Sehingga kini, ia telah meragut lebih daripada 30 nyawa rakyat Malaysia dan mungkin akan meningkat lagi.

Wabak ini boleh dibendung dari awal jika kita mempunyai kesedaran yang tinggi. Kebanyakan kes berpunca daripada virus import dan yang menjadi mangsa, mereka yang tidak langsung mempunyai kemampuan ke luar negeri.

Bagi yang berkemampuan, mereka boleh mendapatkan rawatan awal di hospital swasta. Bagaimana pula mereka yang tinggal di kampung dan kawasan pedalaman? Berapa ramaikah yang mati terdiri daripada mereka yang berada?

Walaupun beberapa langkah diambil seperti pemantauan di pintu masuk utama negara, penutupan sekolah dan sebagainya, ia tidak mampu menangani wabak sepenuhnya. Ini kerana mereka yang mengidap influenza H1N1 tersebut mungkin masuk melalui jalan haram. Penutupan sekolah pula hanya menyelamatkan sekolah tetapi bukan kawasan perumahan atau kampung yang diduduki oleh pelajar yang terdedah dengan virus tersebut. Ini menyebabkan ia semakin merebak.

Mungkin pengisytiharan darurat langkah terakhir untuk membendungnya walaupun mempunyai implikasi kepada ekonomi negara.

Kerajaan perlu mengambil tindakan wajar sepeti berikut:

*Memastikan apa yang diarahkan Kementerian Kesihatan dilaksanakan dan bukan sekadar kenyataan politik sahaja. Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Pengarah dan Pengarah Kesihatan serta semua yang terlibat perlu turun ke hospital atau klinik bagi membuat lawatan atau pemeriksaan.

*Meningkatkan mutu perkhidmatan di hospital dan klinik kerajaan bagi merawat pesakit H1N1 yang sudah tentu bimbang dengan kesihatan mereka. Juga memastikan hospital dan klinik swasta juga memberikan khidmat yang sama dengan caj yang berpatutan.

*Memastikan bekalan topeng muka yang mencukupi dan membuat pemeriksaan serta penguatkuasaan ke atas harga topeng muka yang dijual di farmasi, kedai dan sebagainya yang mungkin dijual dengan harga yang tinggi.

*Jika perlu, mengisytihar wabak H1N1 sebagai ancaman keselamatan negara dan langkah-langkah keselamatan perlu dilaksanakan. Perkara ini perlu dikaji dengan mendalam oleh Majlis Keselamatan Negara. Jika perlu, pengisytiharan darurat setempat perlu dilaksanakan.

Semua pihak perlu berganding bahu bagi menangani ancaman yang datangnya bukan dari negara tapi daripada virus yang bermula daripada haiwan. Kesihatan rakyat didahulukan, baru negara mencapai kejayaan.

Rabu, Julai 22, 2009

Pelatih Institut Perguruan Raja Melewar tiada katil, almari

Anak saya adalah antara 180 orang guru pelatih tahun pertama (Ambilan KPLSPM Julai 2009) yang telah melaporkan diri ke Institut Perguruan Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan.

Pada 13 Julai 2009, selepas mendaftarkan diri, alangkah sedih dan hampa anak saya apabila ditempatkan ke dalam bilik asrama Blok D yang dihuni oleh dua guru pelatih senior.

Guru-guru pelatih lain yang baru mendaftar juga menghadapi nasib yang sama.

Di bilik tersebut hanya terdapat dua buah katil milik pelatih senior dan pelatih baru terpaksa tidur di atas lantai.

Para pelatih baru juga tiada almari untuk meletak dan menyimpan barangan yang dibawa dari kampung kerana dua buah almari yang sedia adalah milik dua orang senior.

Beg-beg berisi pakaian, barangan keperluan harian dan sebagainya terpaksa diletakkan di ruangan antara dua buah katil yang merupakan ruang kosong tunggal bilik tersebut.

Bilik tersebut hanya ada dua buah meja tulis dan dua kerusi untuk guru pelatih membuat assignment atau tugasan dan sebagainya dan kesemua itu telah dimiliki pelatih senior.

Di manakah para pelatih baru dapat membuat tugasan dan menelaah pelajaran?

Pihak Institut Perguruan Raja Melewar (IPRM) perlu prihatin terhadap kebajikan asas seorang guru pelatih baru.

Adalah menjadi tanggungjawab IPRM untuk menyedia dan membekalkan kemudahan asas seperti sebuah katil, almari dan meja tulis untuk setiap guru pelatih. Itu adalah hak setiap guru pelatih.

Yang paling menyedih dan menghampakan ialah pihak IPRM telah menyatakan bahawa guru-guru pelatih yang baru mendaftar terpaksa akur dengan keadaan sedemikian sehingga bulan November kerana kekurangan bilik.

Pihak IPRM telah memberi alasan yang tidak profesional dan berasas kerana pihak IPRM sudah sedia maklum dengan bilangan pelatih baru sebelum tarikh pendaftaran tetapi tidak membuat persediaan yang sepatutnya.

Keadaan serba kekurangan dan tidak terurus ini telah dan sedang memberi tamparan besar terhadap semangat guru pelatih baru yang datang dari jauh.

HAMBA ALLAH
Negeri Sembilan

- FORUM UTUSAN

Isnin, Julai 13, 2009

Forum - Ujian Mtest didakwa tak telus

Saya merayu kerajaan supaya menggubal semula cara pemilihan bakal guru terutama yang mengikuti kursus Perguruan Lepas Ijazah yang dilihat kurang berkesan melahirkan guru berkualiti.

Ujian Mtest tidak begitu telus dan tepat menilai sikap dan sahsiah bakal guru terutama pada bahagian soalan Insak yang begitu subjektif. Oleh sebab itu ramai yang rasanya lebih berbakat menjawat profesion ini terlepas pandang kerana hanya yang lulus ujian Mtest layak ditemuduga.

Saya mencadangkan Kementerian Pelajaran, khasnya Bahagian Pendidikan Guru mengembalikan semula cara tapisan guru seperti pada 2003 yang dikatakan lebih baik di mana ujian bertulis Mtest dibuat bersama tapisan temu duga.

Ujian temu duga ini banyak membantu penilai atau penemuduga dapat melihat bakal pendidik secara lebih telus kerana berhadapan secara langsung dan dapat membuat penilaian sewajarnya. Sesi temu duga ini memerlukan keyakinan tinggi untuk berhadapan dengan orang lain berbanding sesi ujian bertulis yang bersifat objektif.

Untuk menjadi pendidik berkualiti kita memerlukan individu yang berkeyakinan berada di hadapan pelajar. Saya sudah masuk tahun ke empat mengambil Ujian Mtest, namun semuanya gagal untuk melepas ujian temu duga.

FAYRENE,
Kuala Lumpur.

- BERITA HARIAN

Rabu, Julai 08, 2009

Penjelasan isu 'Harapan Kecewa Gara-Gara Sistem Online UPU'

Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi telah meneliti aduan yang dibuat oleh Pemohon Kecewa dari Taiping, Perak yang disiarkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia pada 29 Jun 2009 bertajuk 'Harapan Kecewa Gara-Gara Sistem Online UPU'.

Pengadu kecewa dengan Sistem Permohonan Kemasukan Ke IPTA kerana beliau membuat permohonan dalam Kategori S (Aliran Sains, STPM 2008) sedangkan beliau ingin membuat permohonan dalam Kategori F (Aliran Sains, Diploma/Setaraf) kerana memiliki keputusan Himpunan Purata Mata Kredit (CGPA) 3.84.

Berdasarkan aduan, Jabatan ini mendapati bahawa tiada maklumat peribadi seperti Nama, Nombor Kad Pengenalan/MyKad dan Angka Giliran STPM 2008 dibekalkan bagi membolehkan Jabatan ini membuat semakan di pangkalan data UPU serta memberikan penjelasan yang lebih tepat, telus dan adil.

Dimaklumkan bahawa Aplikasi Dalam Talian bagi Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf bagi kategori STPM Tahun Semasa dibangunkan berdasarkan kriteria Closed System. Manakala bagi kategori Lepasan Diploma/Setaraf dibangunkan berdasarkan kriteria Open System.

Berdasarkan konsep Closed System, Jabatan telah membuat perkongsian pintar dengan agensi seperti Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) untuk mendapatkan maklumat permohonan calon yang telah mendaftar STPM bagi tahun 2008 serta keputusan STPM tahun 2008 bagi calon berkaitan. Kaedah ini digunakan bagi mengurangkan kesilapan calon semasa mengisi maklumat permohonan ke IPTA bagi kategori STPM tahun semasa.

Walau bagaimanapun, Jabatan ini membenarkan pertukaran kategori permohonan atas permintaan calon sendiri dengan mengemukakan surat permohonan pertukaran kategori ke Jabatan ini sebelum tarikh tutup permohonan. Jabatan juga telah mengenal pasti bahawa pengadu juga keliru mengenai kategori permohonan. Berdasarkan aduan yang ditulis, kategori E merupakan kod kategori untuk pemohon Lepasan Diploma/ Setaraf aliran Sains. Untuk makluman pengadu, kategori permohonan yang tepat adalah seperti berikut:

STPM Tahun 2008

- Kategori A - Aliran Sastera
- Kategori S - Aliran Sains

Lepasan Diploma/Setaraf

- Kategori E - Aliran Sastera
- Kategori F - Aliran Sains

Pihak Jabatan mencadangkan agar pengadu memohon semula menggunakan kelayakan Diploma/Setaraf bagi ambilan Semester Kedua (Disember 2009) yang diselaraskan oleh IPTA terpilih. Pohon pengadu merujuk ke laman web IPTA berkaitan untuk maklumat lanjut.

Jabatan Pengajian Tinggi sentiasa berusaha melaksanakan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada semua pelanggan untuk memastikan pemohon yang layak berpeluang mendapat pendidikan tinggi di IPTA.

REDZUAN ZAINUDDIN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pengajian Tinggi

- FORUM UTUSAN

Rabu, Julai 01, 2009

JPA jawab surat Pembantu Tadbir

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat pembaca yang disiarkan dalam ruangan ini pada 26 Jun 2009 bertajuk Masih Pembantu Tadbir selepas 28 tahun, gaji mati lima tahun lalu.

JPA sedang melaksanakan urusan kenaikan pangkat 15 tahun bagi penjawat awam kumpulan sokongan yang telah berkhidmat 15 tahun dan lebih, susulan daripada pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri pada 14 Mei 2009 sempena Hari Pekerja Sektor Awam.

Pertimbangan bagi kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) untuk kumpulan sokongan yang berkhidmat 15 tahun adalah tertakluk kepada kelulusan Lembaga Kenaikan Pangkat setelah memenuhi syarat kenaikan pangkat yang telah ditetapkan. Antaranya syarat lulus PTK (Penilaian Tahap Kecekapan) dan melepasi markah Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) yang ditetapkan.

Untuk makluman, lulus PTK adalah syarat umum bagi kenaikan pangkat dan syarat ini juga adalah terpakai bagi urusan kenaikan pangkat pegawai yang berkhidmat 15 tahun dan lebih untuk kumpulan sokongan.

Manakala LNPT pula merupakan tanggungjawab penyelia untuk membuat penilaian prestasi pegawai pada tahun berkenaan. Secara umumnya, penilaian yang dibuat adalah merangkumi tiga perkara iaitu sikap, kemahiran dan pengetahuan pegawai selain sumbangan yang diberikan sepanjang tempoh tahun yang dinilai.

Untuk maklumat lanjut mengenai syarat dan kaedah kenaikan pangkat secara KUP bagi pegawai Kumpulan Sokongan yang berkhidmat 15 tahun dan lebih, penulis diminta menghubungi Bilik Operasi Urusan Kenaikan Pangkat 15 Tahun di talian 03-88892206/88854006 atau e-mel kepada infoq@jpa.gov.my

Ketua Unit Komunikasi Korporat
b/p Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

- UTUSAN

Isnin, Jun 29, 2009

Forum - Harapan kecewa gara-gara sistem online UPU

Saya adalah pemegang diploma dalam jurusan Teknologi Maklumat dengan Himpunan Purata Mata Kredit (CGPA) 3.84 daripada salah sebuah kolej terkemuka di Malaysia. Saya bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di IPTA.

Pada masa yang sama, saya juga telah menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 sebagai calon persendirian individu, sekadar ingin mencuba nasib.

Nasib malang saya bermula apabila saya ingin membuat permohonan kemasukan ke IPTA menerusi sistem online UPU pada bulan Januari dan Februari lepas.

Apabila saya memasukkan nombor myKad, sistem tersebut telah secara automatik meletakkan kategori permohonan saya kepada S, iaitu kod kategori untuk pemohon lepasan STPM 2008 aliran sains, bukannya kategori E iaitu kod kategori untuk pemohon lepasan Diploma/setaraf aliran Sains, sedangkan saya bercadang untuk memohon menggunakan kelulusan diploma saya yang jauh lebih baik berbanding keputusan STPM saya.

Sistem tersebut tidak membenarkan saya menukar kod kategori dan memaparkan ralat yang menghalang saya memasuki sistem. Setelah berpuluh kali menelefon talian hotline Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP), panggilan saya dijawab oleh seorang pegawai yang bersikap endah tak endah kepada masalah saya.

Menurut pegawai tersebut tiada apa yang dapat dilakukan kerana sistem tersebut telah disetkan secara automatik.

Jawapan pegawai tersebut benar- benar meremukkan hati saya. Apa yang berlaku kepada saya, mungkin adalah kes terpencil dan dianggap remeh oleh ramai pihak, namun saya masih punyai hak yang sama seperti pemohon yang lain.

Saya berharap pendedahan ini mampu membantu pihak BPKP mengemaskini dan membetulkan sistem online UPU dengan segera, iaitu membiarkan pemohon sendiri yang menentukan kategori pemohon agar tiada lagi pemohon yang akan menerima nasib yang sama seperti saya di masa hadapan.

PEMOHON KECEWA
Taiping, Perak

- FORUM UTUSAN

Rabu, Jun 24, 2009

Guru Pendidikan Islam berlebihan di Kelantan

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat daripada Bapa Mithali, Kota Bharu, Kelantan di ruangan Forum Utusan 8 Jun lalu.

Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pelajaran Malaysia amat mengambil berat masalah yang dihadapi oleh guru yang memohon pertukaran. Namun guru perlu memahami bahawa BPI terikat dengan peraturan yang telah ditetapkan. Dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pertukaran, beberapa kriteria akan diambil kira, antaranya:

- Keperluan Perkhidmatan.

- Kekosongan Perjawatan di negeri yang dipohon.

Untuk makluman, pertukaran ke Kelantan telah dibekukan pada mesyuarat pertengahan tahun 2009 kerana negeri berkenaan mengalami lebihan guru Pendidikan Islam yang ramai. Dasar baru Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menentukan mana-mana negeri yang mengalami lebihan guru, boleh dikenakan surcharge. Dasar ini perlu dilaksanakan bagi memastikan taburan guru yang seimbang dan menyeluruh di seluruh negara. Sebagai penjawat awam, khususnya guru, keutamaan adalah memberi pendidikan walau di mana jua ditempatkan selaras dengan saranan Perdana Menteri 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan''.

BPI juga ingin memberi penjelasan tentang kes yang ditimbulkan oleh pengadu mengenai anak beliau yang telah disahkan mengidap penyakit Genetik Matabolik oleh doktor pakar Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur. Justeru, BPI merasakan beliau wajar berada di Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan terbaik. Sekiranya berjaya masuk ke Kelantan, besar kemungkinan penempatan akan berlaku di pedalaman. Hal ini tentunya merumitkan anak penulis untuk mendapatkan rawatan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Pelajaran Malaysia

Selasa, Jun 23, 2009

Laluan naik pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan 'istimewa'

Suratbertajuk 'Antara Guru, Pegawai Kerajaan' dalam ruangan Forum Utusan pada 1 Jun lalu dirujuk.

Laluan Kerjaya yang disediakan oleh kerajaan bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat adalah tersangat istimewa.

Terdapat sepuluh jenis Laluan Kenaikan Pangkat bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang merangkumi Laluan Hakiki, Cemerlang dan Time-Based, yang memberi peluang dan pilihan kepada PPPS untuk memilih Laluan Kerjaya masing-masing dengan tepat, terbaik dan menguntungkan mengikut kelayakan yang dimiliki.

- Urusan Pengisian Jawatan Kenaikan Pangkat Tingkatan Enam

Bagi pengisian jawatan kenaikan pangkat gred DG44 di sekolah-sekolah Tingkatan Enam, di bawah fasa 1, calon-calon ditawarkan pemangkuan dan penempatan di sekolah yang sama tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan termasuk lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan mempunyai opsyen yang sesuai dengan pakej mata pelajaran Tingkatan Enam yang ditawarkan oleh sekolah berkenaan.

Mereka yang tidak dapat ditempatkan di sekolah asal kerana jawatan dan mata pelajaran yang diajar dan opsyen telah diisi penuh akan ditawarkan penempatan untuk mengisi kekosongan jawatan dan kekosongan pakej mata pelajaran di sekolah-sekolah lain yang berhampiran di daerah yang sama atau daerah lain di negeri yang sama.

Jika masih terdapat kekosongan setelah fasa 1 dan fasa 2 dilaksanakan, permohonan dibuka kepada calon-calon yang mempunyai opsyen Tingkatan Enam atau pengalaman mengajar mata pelajaran Tingkatan Enam sekurang-kurangnya tiga tahun bersesuaian dengan pakej mata pelajaran Tingkatan Enam di sekolah berkenaan.

Bagi pengisian jawatan kenaikan pangkat gred DG44, calon yang dipertimbangkan perlu memenuhi syarat tempoh berkhidmat sekurang-kurangnya lima tahun.

Walau bagaimanapun bagi negeri-negeri yang mengalami masalah kekurangan calon, mereka yang mempunyai tempoh berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun dipertimbangkan juga untuk mengisi jawatan kenaikan pangkat Tingkatan Enam.

Walau bagaimanapun, mereka akan terus memangku gred DG44 sehingga layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred DG44.

Manakala mereka yang memenuhi syarat tempoh berkhidmat lima tahun akan diperakukan untuk kenaikan pangkat ke gred DG44 setelah cukup tempoh memangku enam bulan dan syarat-syarat lain yang ditetapkan.

- Urusan Pengisian Kuota Guru Cemerlang

Bagi urusan Guru Cemerlang, proses pemangkuan Guru Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Gred DGA32 (KUP) hingga Gred DGA38 (KUP) serta PPPS Gred DG44 (KUP) hingga Gred Khas C (KUP) bermula daripada permohonan calon yang diperaku oleh Ketua Jabatan masing-masing kepada Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK).

Setelah pemantauan dan penilaian dilaksanakan oleh JNJK, senarai calon-calon yang layak akan dikemukakan kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM).

Tapisan seterusnya dilakukan di peringkat BPSM dengan mengambil kira calon-calon yang masih belum dinaikkan pangkat secara KUP ataupun hakiki ke gred yang dipohon serta memenuhi syarat-syarat pemangkuan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP).

Memandangkan proses pemangkuan Guru Cemerlang melibatkan pemantauan dan penilaian oleh JNJK, hanya calon-calon yang memenuhi syarat-syarat kenaikan pangkat akan dipertimbangkan bagi urusan pemangkuan berdasarkan kekosongan kuota yang ada.

Bagi guru-guru yang telah memohon laluan Guru Cemerlang pada tahun 2007 dan 2008, jumlah yang telah ditawarkan pemangkuan Guru Cemerlang bagi semua gred kenaikan pangkat PPPS adalah seramai 4,801 orang PPPS dan seramai 2,476 orang PPPLD telah ditawarkan pemangkuan ke Gred DGA32 (KUP) dan Gred DGA34 (KUP).

Walau bagaimanapun, pada 16 Mei 2009, Menteri Pelajaran telah mengumumkan kuota Guru Cemerlang bagi PPPS yang juga telah diperluaskan kepada guru-guru Gred DG44 dan Gred DG48 di sekolah rendah.

Pewujudan kuota baru bagi Guru Cemerlang Gred DGA38 (KUP) serta pertambahan kuota bagi Gred DGA34 (KUP) dan DGA32 (KUP) di sekolah rendah telah diumumkan melalui media massa pada 22 Mei 2009.

Sehubungan itu, iklan bagi mengisi kekosongan kuota Guru Cemerlang akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Pelajaran Malaysia

Khamis, Jun 18, 2009

Forum - Guru KPLI sekolah rendah sering 'dihentam' pendidik senior

Saya menyokong pendapat TESLIAN KPLI 2008 sebelum ini. Ramai pihak menyalahkan guru KPLI dengan alasan kurang latihan, tidak berdisiplin, tiada komitmen dan sebagainya. Mungkin ada kes sebegini tetapi bukan berlaku di kalangan guru KPLI saja. Guru lepasan maktab juga mempunyai masalah sama tetapi tidak diperbesarkan dengan alasan mereka bukan lepasan ijazah.

Dari pemerhatian saya, masalah guru KPLI ini hanya banyak dilaporkan di sekolah rendah. Amat jarang masalah ini kedengaran di sekolah menengah. Mungkin faktor guru di sekolah menengah ini kebanyakannya berkelulusan ijazah, maka jurang perbezaannya amat kecil. Jurang perbezaan ini dijadikan alasan untuk 'menghentam' guru KPLI.

Berdasarkan pengalaman sendiri dan beberapa rakan ketika mula mendaftarkan diri di buah sekolah di daerah ini. Semua kerja sebelum ini dilakukan guru senior lain diberikan terus kepada kami. Sehinggakan kursus sepatutnya dihadiri mereka juga diwakilkan kepada kami dengan alasan gaji kami besar, maka mesti buat kerja lebih. Apabila kami mengeluh atau menolak, kami dilabelkan sebagai guru bermasalah. Semua masalah membabitkan sekolah diletakkan di atas tanggungjawab kami. Perkataan sering dilabelkan ialah 'gaji besar', 'cikgu grab duit (graduate)' dan lain-lain. Tidakkah ini menjadikan kami mangsa diskriminasi? Kadangkala masalah ini hanya akan membuatkan kami patah semangat.

Tidak dinafikan ada antara kami menjadikan opsyen perguruan ini sebagai pilihan terakhir sebagai kerjaya tetapi kenyataannya ada juga guru lepasan maktab juga berbuat demikian. Ada segelintir guru KPLI ini sanggup meninggalkan kerjaya lebih gah untuk menjadi guru. Ada yang meninggalkan kerjaya sebagai seorang jurutera dengan tekad ingin melahirkan 100 lagi jurutera lebih baik daripadanya.

Kesimpulannya, dalam setandan pisang tidak akan semuanya buruk dan tidak semuanya akan baik. Apa yang penting ialah keikhlasan mendidik anak bangsa.

E-JAD,
Kulai,
Johor.

Recent Posts