Forum - Guru KPLI sekolah rendah sering 'dihentam' pendidik senior

Saya menyokong pendapat TESLIAN KPLI 2008 sebelum ini. Ramai pihak menyalahkan guru KPLI dengan alasan kurang latihan, tidak berdisiplin, tiada komitmen dan sebagainya. Mungkin ada kes sebegini tetapi bukan berlaku di kalangan guru KPLI saja. Guru lepasan maktab juga mempunyai masalah sama tetapi tidak diperbesarkan dengan alasan mereka bukan lepasan ijazah.

Dari pemerhatian saya, masalah guru KPLI ini hanya banyak dilaporkan di sekolah rendah. Amat jarang masalah ini kedengaran di sekolah menengah. Mungkin faktor guru di sekolah menengah ini kebanyakannya berkelulusan ijazah, maka jurang perbezaannya amat kecil. Jurang perbezaan ini dijadikan alasan untuk 'menghentam' guru KPLI.

Berdasarkan pengalaman sendiri dan beberapa rakan ketika mula mendaftarkan diri di buah sekolah di daerah ini. Semua kerja sebelum ini dilakukan guru senior lain diberikan terus kepada kami. Sehinggakan kursus sepatutnya dihadiri mereka juga diwakilkan kepada kami dengan alasan gaji kami besar, maka mesti buat kerja lebih. Apabila kami mengeluh atau menolak, kami dilabelkan sebagai guru bermasalah. Semua masalah membabitkan sekolah diletakkan di atas tanggungjawab kami. Perkataan sering dilabelkan ialah 'gaji besar', 'cikgu grab duit (graduate)' dan lain-lain. Tidakkah ini menjadikan kami mangsa diskriminasi? Kadangkala masalah ini hanya akan membuatkan kami patah semangat.

Tidak dinafikan ada antara kami menjadikan opsyen perguruan ini sebagai pilihan terakhir sebagai kerjaya tetapi kenyataannya ada juga guru lepasan maktab juga berbuat demikian. Ada segelintir guru KPLI ini sanggup meninggalkan kerjaya lebih gah untuk menjadi guru. Ada yang meninggalkan kerjaya sebagai seorang jurutera dengan tekad ingin melahirkan 100 lagi jurutera lebih baik daripadanya.

Kesimpulannya, dalam setandan pisang tidak akan semuanya buruk dan tidak semuanya akan baik. Apa yang penting ialah keikhlasan mendidik anak bangsa.

E-JAD,
Kulai,
Johor. Forum - Guru KPLI sekolah rendah sering 'dihentam' pendidik senior

1 comment... add one now

Tanpa NamaTanpa Nama Selasa, 22 September 2009 pada 5:51:00 PTG SGT
saya setuju dgn pendapat E-jad sebab saya juga merupakan guru keluaran kpli. saya telah diberi tugas sebagai guru data, guru penyelaras makmal, guru smm, guru pembangunan, ketua panitia, guru kelas, guru pembantu pusat sumber dan guru bantuan. apabila ada kursus atau mesyuarat, mereka akan suruh saya yg jadi wakil sedangkan ianya untuk mereka. kadang-kadang boleh dikira berapa kali dalam sebulan saya masuk kelas kerana masa banyak dihabiskan pergi kursus dan mesyuarat. kepada guru senior, jangan jadikan alasan bahawa sudah lama berkhidmat atau sudah berkeluarga sebagai alasan untuk menyerahkan sepenuhnya tugas kepada guru kpli. ini kerana walaupun mereka graduan U tetapi pengalaman berkerja sebagai guru amatlah sedikit dibandingkan dgn guru senior. jika hendak menyerahkan tugas, perlulah diberi latihan secara berperingkat. bukannya menyerahkan sepenunhnya seperti melepaskan batuk di tangga. lagi satu, apabila tiba musim cuti sek guru yang sama juga yang dipanggil ke sekolah sedangkan ada banyak guru yang lain. alasan yang sama juga diberi sebab kamu guru ada ijazah dan cari pengalaman. guru kpli juga manusia bukanya robot. kami juga perlu cuti dan bersama keluarga..kalau nak panggil pun, jgnlah guru yg sama..sekali-sekala tu panggil lah guru senior yang datang..

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.