Penjelasan isu 'Harapan Kecewa Gara-Gara Sistem Online UPU'

Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi telah meneliti aduan yang dibuat oleh Pemohon Kecewa dari Taiping, Perak yang disiarkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia pada 29 Jun 2009 bertajuk 'Harapan Kecewa Gara-Gara Sistem Online UPU'.

Pengadu kecewa dengan Sistem Permohonan Kemasukan Ke IPTA kerana beliau membuat permohonan dalam Kategori S (Aliran Sains, STPM 2008) sedangkan beliau ingin membuat permohonan dalam Kategori F (Aliran Sains, Diploma/Setaraf) kerana memiliki keputusan Himpunan Purata Mata Kredit (CGPA) 3.84.

Berdasarkan aduan, Jabatan ini mendapati bahawa tiada maklumat peribadi seperti Nama, Nombor Kad Pengenalan/MyKad dan Angka Giliran STPM 2008 dibekalkan bagi membolehkan Jabatan ini membuat semakan di pangkalan data UPU serta memberikan penjelasan yang lebih tepat, telus dan adil.

Dimaklumkan bahawa Aplikasi Dalam Talian bagi Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf bagi kategori STPM Tahun Semasa dibangunkan berdasarkan kriteria Closed System. Manakala bagi kategori Lepasan Diploma/Setaraf dibangunkan berdasarkan kriteria Open System.

Berdasarkan konsep Closed System, Jabatan telah membuat perkongsian pintar dengan agensi seperti Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) untuk mendapatkan maklumat permohonan calon yang telah mendaftar STPM bagi tahun 2008 serta keputusan STPM tahun 2008 bagi calon berkaitan. Kaedah ini digunakan bagi mengurangkan kesilapan calon semasa mengisi maklumat permohonan ke IPTA bagi kategori STPM tahun semasa.

Walau bagaimanapun, Jabatan ini membenarkan pertukaran kategori permohonan atas permintaan calon sendiri dengan mengemukakan surat permohonan pertukaran kategori ke Jabatan ini sebelum tarikh tutup permohonan. Jabatan juga telah mengenal pasti bahawa pengadu juga keliru mengenai kategori permohonan. Berdasarkan aduan yang ditulis, kategori E merupakan kod kategori untuk pemohon Lepasan Diploma/ Setaraf aliran Sains. Untuk makluman pengadu, kategori permohonan yang tepat adalah seperti berikut:

STPM Tahun 2008

- Kategori A - Aliran Sastera
- Kategori S - Aliran Sains

Lepasan Diploma/Setaraf

- Kategori E - Aliran Sastera
- Kategori F - Aliran Sains

Pihak Jabatan mencadangkan agar pengadu memohon semula menggunakan kelayakan Diploma/Setaraf bagi ambilan Semester Kedua (Disember 2009) yang diselaraskan oleh IPTA terpilih. Pohon pengadu merujuk ke laman web IPTA berkaitan untuk maklumat lanjut.

Jabatan Pengajian Tinggi sentiasa berusaha melaksanakan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada semua pelanggan untuk memastikan pemohon yang layak berpeluang mendapat pendidikan tinggi di IPTA.

REDZUAN ZAINUDDIN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pengajian Tinggi

- FORUM UTUSAN

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.