Rabu, Ogos 12, 2009

Selesema babi di tahap darurat?

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini bahawa influenza A (H1N1) atau selesema babi adalah ancaman serius kepada negara, wajar diberikan perhatian serius.

Adakah ia bermakna virus tersebut merupakan ancaman keselamatan negara dan bukan lagi ancaman keselamatan insan (human security)?

Adakah kerajaan akan mengisytiharkan ia merupakan ancaman keselamatan negara seperti ancaman dadah?

Juga adakah langkah-langkah keselamatan seperti pengisytiharan darurat perlu dilakukan bagi membendung wabak ini? Apakah kita gagal membendung kemasukan penyakit import ini disebabkan kealpaan kita? Adakah virus ini merupakan serangan biologi dari negara barat? Adakah kita mempunyai statistik mereka yang mempunyai potensi dijangkiti H1N1 seperti kanak-kanak, pesakit diabetis dan sebagainya.

Musim perayaan akan tiba tidak berapa lama lagi dan sudah tentu virus ini akan terus merebak. Banyak lagi persoalan yang menjadi tanda tanya.

Jika dilihat daripada segi sejarah, wabak pandemik seperti ini telah wujud sejak awal abad ke-20 lagi. Pada 1918, dunia dikejutkan dengan Spanish Flu yang melibatkan 20 hingga 40 juta kes, diikuti dengan Asian Flu pada 1957 melibatkan sejuta kes. Hong Kong Flu pada 1968 pula melibatkan 700 ribu kes.

Virus selesema babi yang bermula pada 4 April di Mexico kini telah merebak serata dunia sehingga kawasan pedalaman. Maka benarlah bahawa globalisasi menyebabkan dunia tanpa sempadan. Sehingga kini, ia telah meragut lebih daripada 30 nyawa rakyat Malaysia dan mungkin akan meningkat lagi.

Wabak ini boleh dibendung dari awal jika kita mempunyai kesedaran yang tinggi. Kebanyakan kes berpunca daripada virus import dan yang menjadi mangsa, mereka yang tidak langsung mempunyai kemampuan ke luar negeri.

Bagi yang berkemampuan, mereka boleh mendapatkan rawatan awal di hospital swasta. Bagaimana pula mereka yang tinggal di kampung dan kawasan pedalaman? Berapa ramaikah yang mati terdiri daripada mereka yang berada?

Walaupun beberapa langkah diambil seperti pemantauan di pintu masuk utama negara, penutupan sekolah dan sebagainya, ia tidak mampu menangani wabak sepenuhnya. Ini kerana mereka yang mengidap influenza H1N1 tersebut mungkin masuk melalui jalan haram. Penutupan sekolah pula hanya menyelamatkan sekolah tetapi bukan kawasan perumahan atau kampung yang diduduki oleh pelajar yang terdedah dengan virus tersebut. Ini menyebabkan ia semakin merebak.

Mungkin pengisytiharan darurat langkah terakhir untuk membendungnya walaupun mempunyai implikasi kepada ekonomi negara.

Kerajaan perlu mengambil tindakan wajar sepeti berikut:

*Memastikan apa yang diarahkan Kementerian Kesihatan dilaksanakan dan bukan sekadar kenyataan politik sahaja. Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Pengarah dan Pengarah Kesihatan serta semua yang terlibat perlu turun ke hospital atau klinik bagi membuat lawatan atau pemeriksaan.

*Meningkatkan mutu perkhidmatan di hospital dan klinik kerajaan bagi merawat pesakit H1N1 yang sudah tentu bimbang dengan kesihatan mereka. Juga memastikan hospital dan klinik swasta juga memberikan khidmat yang sama dengan caj yang berpatutan.

*Memastikan bekalan topeng muka yang mencukupi dan membuat pemeriksaan serta penguatkuasaan ke atas harga topeng muka yang dijual di farmasi, kedai dan sebagainya yang mungkin dijual dengan harga yang tinggi.

*Jika perlu, mengisytihar wabak H1N1 sebagai ancaman keselamatan negara dan langkah-langkah keselamatan perlu dilaksanakan. Perkara ini perlu dikaji dengan mendalam oleh Majlis Keselamatan Negara. Jika perlu, pengisytiharan darurat setempat perlu dilaksanakan.

Semua pihak perlu berganding bahu bagi menangani ancaman yang datangnya bukan dari negara tapi daripada virus yang bermula daripada haiwan. Kesihatan rakyat didahulukan, baru negara mencapai kejayaan.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.