Khamis, Disember 21, 2023

Cukai barang bernilai rendah (LVG) bagus kepada peniaga tempatan

 


Pelaksanaan cukai jualan 10 peratus bagi pembelian barang bernilai rendah (LVG) dalam talian bermula 1 Januari depan adalah berita baik untuk peniaga tempatan dan akan membantu merapatkan jurang ketidaksetaraan dengan penjual asing.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng, berkata pihaknya adalah antara penyokong awal cukai itu dan bersyukur kerajaan mengambil langkah tegas untuk melaksanakannya, walaupun terdepat desakan kuat daripada pengendali-pengendali laman e-dagang untuk menangguhkan cukai berkenaan.

Katanya, peniaga tempatan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), berdepan dengan persaingan yang tidak adil daripada penjual luar negeri.

"Peniaga tempatan terpaksa membayar cukai pada pelbagai titik rantaian bekalan, termasuk ketika membawa masuk komponen atau bahan mentah serta barang siap ke Malaysia.

"Namun, penjual asing dan peniaga 'dropship' tempatan, kebanyakannya terlepas daripada membayar cukai kepada Malaysia. Ini secara langsung menyebabkan harga barangan tempatan lebih tinggi daripada yang dibawa masuk melalui saluran dalam talian.

"Selain itu, barangan luar negeri yang dibawa masuk menggunakan kurier kebanyakannya tidak melalui ujian keselamatan dan kualiti dari SIRIM untuk barangan elektrik, makanan dan produk farmaseutikal seperti yang diwajibkan untuk pengilang dan pengimport tempatan. Ini boleh menimbulkan risiko kebakaran, keselamatan, dan kesihatan kepada pengguna tempatan," katanya.

Ng berkata, cukai LVG adalah berita baik untuk peniaga tempatan dan akan membantu merapatkan jurang ketidaksetaraan dengan penjual asing.

"Pendaftaran wajib serta cukai LVG juga dapat memberi pendapatan tambahan kepada negara dan menyokong nilai matawang ringgit. Kami menggalakkan rakyat Malaysia untuk membeli daripada peniaga tempatan.

"Ini bukan sahaja menyokong ekonomi tempatan, tetapi juga melindungi diri dan keluarga kita daripada penipuan atas talian dan risiko kebakaran, keselamatan, dan kesihatan," katanya.

Tambah beliau, SAMENTA turut menggesa pengendali-pengendali laman e-dagang untuk segera memudahcarakan pelaksanaan cukai LVG bagi penjual tempatan dan asing.

"Penjual barangan tempatan tidak terlibat dalam cukai LVG ini dan tidak harus dikenakan sebarang kos tambahan.

"Ia adalah tanggungjawab sosial laman-laman e-dagang untuk menyokong penjual tempatan dan produk buatan Malaysia selepas mendapatkan pelbagai bantuan dalam bentuk pemudahcaraan peraturan, sokongan promosi, dan bantuan kewangan yang diberikan kepada mereka oleh pelbagai agensi kerajaan selama ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.