Rabu, November 15, 2023

PTPTN perkenal Portal Majikan Online, mudahkan urusan potongan gaji


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan Portal Majikan Online sebagai satu inisiatif baharu untuk memudahkan urusan potongan gaji yang lebih cekap dan efisyen.

Perkhidmatan dalam talian ini memberi kemudahan platform kepada majikan dengan proses pengesahan dan semakan data yang lebih mudah dengan proses keseluruhan potongan gaji dilaksanakan secara digital.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata potongan gaji pelanggan yang sebelum ini diuruskan secara manual boleh dilaksanakan pihak majikan secara dalam talian melalui Portal Majikan Online di pautan https://www.ptptn.gov.my/PortalMajikan/Utama.

Katanya, Portal Majikan Online yang diperkenalkan adalah sebagai salah satu agenda pendigitalan ke arah penambahbaikan perkhidmatan dalam talian untuk memudahkan urusan potongan gaji ke arah perkhidmatan PTPTN yang lebih cekap dan efisyen.

"Dengan adanya Portal Majikan Online, majikan boleh melakukan transaksi potongan gaji pekerja pada bila-bila masa dengan mudah, cepat dan selamat.

"Melalui inisiatif ini akan memudahkan majikan melaksanakan potongan gaji untuk bayaran balik pinjaman atau penabungan dalam Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) oleh peminjam PTPTN atau pendeposit Simpan SSPN," katanya dalam kenyataan

Katanya lagi, kerajaan melalui Belanjawan 2024 juga telah bersetuju dengan pemberian insentif diskaun 15 peratus untuk bayaran balik pinjaman PTPTN secara potongan gaji bermula 14 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024.

"Diharapkan majikan membantu pekerja mereka yang merupakan peminjam PTPTN untuk mengambil peluang membuat bayaran balik melalui potongan gaji dan menikmati insentif diskaun yang diberikan oleh kerajaan," katanya.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts