Rabu, November 15, 2023

Penipuan dalam talian meningkat 23 peratus, catat kerugian RM687 juta

 


Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memaklumkan kes penipuan dalam talian meningkat sebanyak 23 peratus, tahun 2023.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, kerugian membabitkan nilai RM687 juta.

Katanya, sebanyak 19,224 kes dicatatkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding 15,658 kes bagi tempoh sama tahun lalu mengikut statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

"Pusat Tindakbalas Insiden Siber Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia pula merekodkan sebanyak 7,292 insiden keselamatan siber sepanjang tahun lalu.

Majlis disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhamad Fa-Iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra.

Nie Ching berkata, setakat 31 Oktober tahun ini, sebanyak 4,013 penurunan akaun dan kandungan dibuat.

Katanya, bagi tempoh sama, sebanyak 1,764 laman sesawang palsu untuk penipuan pemancingan maklumat (phishing) turut disemat dan sebanyak 410,590,277 sistem pesanan ringkas (SMS) disekat daripada bulan Januari hingga September 2023.

"Sebanyak 19 juta SMS yang mengandungi pautan (hyperlink) juga disekat daripada 12 Mei hingga September tahun ini.

"Sebanyak 79,322 talian termasuk mudah alih dan tetap yang menghantar SMS meragukan sudah ditamatkan perkhidmatannya dengan jumlah 553,173,467 panggilan meragukan sudah disekat sejak Januari hingga September lalu," katanya.

Beliau berkata, dengan rekod yang tinggi itu, jenayah penipuan dalam talian dan ancaman scam perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak kerana semua lapisan usia selagi menjadi pengguna internet berisiko menjadi mangsa.

"Statistik turut menunjukkan mangsa scam termasuk golongan profesional seperti pensyarah, guruz jurutera, doktor, ahli perniagaan serta pesara dan warga emas," katanya.

Nie Ching berkata, jenayah penipuan dalam talian bukan sahaja menyebabkan negara mengalami kerugian jutaan ringgit tetapi turut memberi kesan emosi kepada mangsa yang membawa kepada penyakit kemurungan yang menurunkan kualiti kehidupan, produktiviti dan sosial mangsa.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts