Khamis, November 16, 2023

Suhaimi Saad meninggal dunia

 



Bekas ahli kumpulan nasyid, In-Team, Mohd Suhaimi Mohd Saad, 43, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, kira-kira jam 7.42 malam tadi akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Berita pemergian Suhaimi disahkan penerbit dan penyanyi ketuhanan, Hafiz Hamidun.

Hafiz dimaklumkan mengenai pemergian Allahyarham Mohd Suhaimi oleh wakil Persatuan Munshid Malaysia yang berada di hospital menziarahi arwah.

"Saya difahamkan keadaan kesihatan Suhaimi semakin merosot sejak semalam. Petang tadi doktor mencabut alat bantuan pernafasan kerana tidak mahu dia menanggung kesakitan.

"Badannya tidak mampu menerima apa-apa ubat atau air. Organ dalaman juga sudah rosak dan tidak boleh proses apa-apa lagi.

"Saya difahamkan arwah berhasrat meninggal dunia pada hari Khamis atau Jumaat tetapi Allah lebih menyayanginya," katanya kepada BH Online.

Hafiz berkata, dia masih belum dimaklumkan mengenai urusan pengebumian arwah dan berjanji berkongsi mengenainya sebaik mendapat tahu.

Hafiz mengenali Suhaimi pada 2002 ketika sama-sama bernaung di bawah label Hijazz Record.

Hafiz pernah menerbitkan album solo Allahyarham Mohd Suhaimi berjudul Maksud Hidup pada 2016.

Allahyarham Mohd Suhaimi dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) HSI sejak enam hari lalu selepas mengalami batuk berpanjangan dan cirit birit.

Mohd Suhaimi bernikah dengan Ina Naim pada 12 Ogos 2007.

Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Salman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwah, 11, dan Nur Layla Elghufrony, 9.

Sumber : Berita Harian


0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts