Sabtu, September 30, 2023

Bank akan kecualikan caj DuitNow QR ke atas peniaga

 


Bank-bank dan penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank utama akan mengecualikan fi transaksi bagi perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran secara DuitNow QR, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu dalam satu kenyataan menjelaskan, fi transaksi yang dikenakan oleh beberapa pemeroleh ke atas perniagaan yang menerima pembayaran secara DuitNow QR mulai 1 Oktober 2023, adalah susulan tamatnya pengecualian fi sementara yang diperkenalkan pada 2019.

Ia berkata, fi transaksi ini bertujuan untuk menampung kos dan pelaburan yang diperlukan oleh industri untuk menyenggara sistem pembayaran mereka, termasuk kawalan keselamatan siber dan pencegahan fraud.

Katanya, langkah ini untuk mengekalkan standard perkhidmatan dan keselamatan yang tinggi bagi perkhidmatan pembayaran.

"DuitNow QR tetap menjadi kaedah pembayaran yang mampu milik dan menjimatkan kos. Bagi pelanggan individu, penggunaan DuitNow QR untuk membuat pembayaran tidak akan dikenakan apa-apa caj tambahan.

"Bagi perniagaan, sebarang fi transaksi yang dikenakan terhadap pembayaran secara QR kekal rendah sama seperti fi yang dikenakan ke atas pembayaran menggunakan kad debit, atau lebih rendah daripada fi terbabit.

"Perniagaan yang menggunakan DuitNow QR sebagai kaedah pembayaran juga tidak perlu membayar kos berulang untuk sewaan terminal jualan (POS) bagi saluran pembayaran berasaskan kad atau kos tambahan untuk overhed dan pentadbiran bagi mengendalikan pembayaran tunai," katanya.

BNM berkata, industri akan mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kesan fi transaksi yang mungkin dihadapi oleh perniagaan kecil.

"Bank-bank utama dan penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank terpilih, yang menguruskan 75 peratus perniagaan yang menerima pembayaran secara DuitNow QR pada masa ini, telah mengumumkan bahawa mereka akan terus mengecualikan fi transaksi ke atas perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran secara DuitNow QR.

"Selain itu, PayNet (Payments Network Malaysia Sdn Bhd) akan memperuntukkan sumber bagi membantu membiayai kos yang ditanggung oleh pemeroleh yang terus menawarkan pengecualian penuh kepada perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran secara DuitNow QR," katanya.

Bank pusat itu menambah, secara bersama, langkah-langkah ini akan membolehkan perniagaan mikro dan kecil terus menikmati perkhidmatan pembayaran secara DuitNow QR tanpa kos, dan pada masa yang sama memastikan perkhidmatan pembayaran QR kekal cekap, boleh diharap serta selamat untuk semua pengguna.

"BNM terus memberikan komitmen penuh bagi menyokong penerapan pembayaran digital secara meluas di Malaysia melalui ekosistem pembayaran yang memberangsangkan, selamat dan inklusif, yang juga mampan untuk jangka panjang," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.