Perempuan dijangka hidup lebih lama berbanding lelaki


Jika anda menyambut kelahiran bayi perempuan pada tahun ini, mereka dijangka hidup, mengikut statistik, sehingga 77.4 tahun. Jika bayi lelaki, usia mereka dijangka mencecah sehingga 72.5 tahun.

Itu merupakan antara dapatan dari penerbitan Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2021-2023 oleh Jabatan Perangkaan yang mengandungi jadual hayat ringkas mengikut kumpulan umur, kumpulan etnik dan jantina di Malaysia dan negeri bagi tahun 2021 hingga 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, secara puratanya bayi yang lahir pada 2023 dijangka hidup sehingga 74.8 tahun.

Ini berdasarkan data-data berkaitan jumlah kematian yang dicatatkan pada 2023.

Pada 2023, statistik jumlah kematian bertambah baik berbanding 2021 dan 2022 yang mencatatkan lebihan kematian disebabkan pandemik Covid-19.

Dari segi pecahan umur, menurut Mohd. Uzir, seorang lelaki yang mencapai umur 15 dan 60 tahun pada 2023 masing-masing dijangka hidup selama 58.3 tahun dan 18.3 tahun lagi. 

Ini bermakna, lelaki yang berumur 15 tahun pada 2023 dijangka hidup sehingga 73.3 tahun manakala lelaki berumur 60 tahun dijangka hidup sehingga 78.3 tahun.

“Sebaliknya, wanita dalam kumpulan umur yang sama dijangka hidup selama 63.1 tahun dan 21.1 tahun lagi, menghasilkan jangka hayat masing-masing 78.1 tahun dan 81.1 tahun,” katanya dalam kenyataan pada 26 September.

Dari segi kumpulan etnik pula, Cina mencatatkan jangkaan hayat tertinggi ketika lahir pada 2023, iaitu sehingga 77 tahun.

Jangkaan hayat ketika lahir pada 2023 terendah pula dicatatkan kumpulan etnik India, iaitu sehingga 71.4 tahun.

Mengikut negeri dan daerah pentadbiran

Kata Mohd. Uzir, jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut negeri bagi tempoh 2021 hingga 2023 dicatatkan di Selangor, manakala Terengganu mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada tempoh sama.

Katanya, terdapat lima negeri yang mempunyai jangkaan hayat melebihi jangkaan hayat paras nasional, iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak.

Penerbitan Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2021-2023 juga buat pertama kali membentangkan jangkaan hayat ketika lahir mengikut jantina bagi 156 daerah pentadbiran di Malaysia.

Jelas Mohd. Uzir, jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut daerah pentadbiran bagi tahun 2023 dicatatkan di Petaling, Selangor pada 80.5 tahun manakala Samarahan, Sarawak mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi tahun 2022 (79.6 tahun) dan 2021 (79.8 tahun).

“Kecil Lojing, Kelantan mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada 2023 (62.8 tahun) dan 2022 (63.2 tahun) manakala Kuala Penyu, Sabah mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada 2021 (64.2 tahun).

“Secara keseluruhan, 31 daripada 156 daerah melepasi jangka hayat di peringkat nasional. Jangka hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki adalah di Petaling, Selangor (78.9 tahun) dan perempuan di Kalabakan, Sabah (82.8 tahun),” katanya. 

Sumber : RELEVAN

Tiada ulasan:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.