Top Ad 728x90

,

Saham Astro jatuh ke paras terendah dalam sejarah


 Harga saham Astro Malaysia Holdings Bhd jatuh ke paras paling rendah dalam sejarah kepada 40 sen dalam dagangan petang tadi.

Ia susulan prestasi kewangan yang tidak memberangsangkan yang dicatatkan pengendali televisyen berbayar itu baru-baru ini.

Kaunter Astro kemudian meningkat sedikit 1.5 sen kepada 41.5 sen setakat jam 4.20 petang, bagaimanapun ia masih rendah 2.5 sen atau 5.68 peratus daripada harga pembukaan pagi tadi.

Pada harga 41.5 sen sesaham menjadikan permodalan pasaran syarikat itu kepada RM2.349 bilion.

Harga sahamnya mulai jatuh pada 26 September lalu selepas melaporkan keputusan kewangan yang mengecewakan sehari sebelumnya.

Keuntungan bersih Astro Malaysia susut mendadak kepada RM23.65 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2023, daripada RM98.47 juta dalam tempoh sama setahun lalu.

Hasilnya merosot sebanyak 5.6 peratus kepada RM869.82 juta daripada RM921.12 juta, terutamanya berpunca daripada penurunan pendapatan langganan dan jualan barang dagangan.

Penganalisis Kenanga Research, Kylie Chan Sze Zan, berkata pendapatan Astro Malaysia pada separuh pertama tahun kewangan 2024 menguncup sebanyak tujuh peratus berikutan sumbangan lebih rendah daripada langganan televisyen dan hasil iklan radio.

Katanya, penurunan lebih besar 45 peratus keuntungan bersih teras Astro pula berpunca daripada kenaikan kos pembiayaan, selain kos kandungan dan susut nilai yang lebih tinggi.

"Bagaimanapun, kemerosotan keuntungan sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan iklan lebih tinggi, kerugian beli-belah di rumah yang lebih kecil, sumbangan daripada segmen radio yang lebih baik dan cukai lebih rendah," katanya dalam satu nota penyelidikan baru-baru ini.

Penyedia perkhidmatan televisyen berbayar terbesar tempatan itu turut mengumumkan akan menghentikan operasi Astro GS Shop Sdn Bhd (AGSS) yang mengendalikan perniagaan beli belah di rumah di bawah jenama 'Go Shop' pada 11 Oktober 2023.

Langkah yang diputuskan bersama rakan usaha sama dari Korea, GS Retail Co Ltd (GSR) itu berikutan landskap ekonomi keseluruhan yang mencabar dan perubahan dalam tingkah laku membeli-belah pengguna.

AGSS ialah usaha sama yang ditubuhkan antara Astro Retail Ventures Sdn Bhd (ARV), anak syarikat milik penuh Astro yang memegang 60 peratus kepentingan ekuiti dan GSR memegang baki 40 peratus.

Sumber : Berita Harian


0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90