Jumaat, Ogos 06, 2021

Vaksin Moderna diberi kelulusan bersyarat - KKM

 

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memberikan kelulusan bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi vaksin COVID-19, jenis Moderna di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketika mengumumkan perkembangan itu berkata kelulusan pendaftaran bersyarat berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat PBKD kali ke-362 yang bersidang, hari ini.

Katanya, kelulusan sedemikian memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin itu dipantau serta dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

"Ia bagi memastikan perbandingan manfaat berbanding risiko bagi produk-produk vaksin kekal positif.

"KKM juga sentiasa komited dalam meningkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan PBKD," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelulusan bersyarat dikeluarkan PBKD untuk menggunakan pelalian jenis Moderna, sekali gus menyaksikan ia vaksin kelapan yang diiktiraf di Malaysia dan dimasukkan dalam portfolio Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Vaksin Moderna atau Spikevax 0.2 miligram bagi setiap mililiter, menggunakan teknologi mRNA ini dari pemegang pendaftaran produk (PRH) Zuellig Pharma Sdn Bhd dan pengilang Rovi Pharma Industrial Services, Sepanyol.

Tujuh vaksin yang diberikan kelulusan sama sebelum ini ialah Pfizer, Sinovac, AstraZeneca, CanSino dan Sinopharm, selain dua pelalian jenis Johnson & Johnson (J&J) masing-masing menerusi pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX serta pengilang dari Belgium.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts