Jumaat, Ogos 06, 2021

Kelonggaran jika liputan vaksin 40 peratus

 

Kelonggaran pergerakan kepada individu yang sudah mendapat pelalian lengkap wajar diberikan selepas tahap liputan vaksin mencapai sekurang-kurangnya 40 peratus.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, berkata keputusan mempertimbang kelonggaran dan pengecualian pergerakan tidak boleh dibuat secara terburu-buru.

Katanya, hal itu kerana keadaan semasa di negara lain seperti Israel dan Kesatuan Eropah yang memperuntuk kelonggaran sama menyaksikan mereka berdepan dengan peningkatan semula kes COVID-19.

"Kita kena ambil iktibar negara lain yang walaupun sudah mencatatkan liputan vaksin secara meluas, mereka kini meneliti kembali keputusan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) kerana dikatakan diberi terlampau awal.

"Kerajaan dan KKM kini mengambil pendekatan berhati-hati, dengan membincangkannya pada peringkat tertinggi mengenai apa bentuk kelebihan yang boleh diberikan kepada individu sudah divaksin.

"Tetapi, kelonggaran seperti ini perlu ada prasyarat. Antaranya liputan vaksin perlu mencapai sekurang-kurangnya 40 peratus," katanya pada sidang media.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam dilaporkan berkata kelonggaran pergerakan kepada individu yang sudah mendapat suntikan vaksin COVID-19 secara lengkap akan diumumkan, sama ada hari ini atau esok.

Kelonggaran itu meliputi pergerakan rentas negeri atau daerah, ziarah keluarga dan pasangan jarak jauh, selain membabitkan sektor sosial makan di premis perniagaan.

Pengumuman itu bagaimanapun menimbulkan kegusaran dalam kalangan pakar kesihatan awam dan epidemiologi yang berpendapat peningkatan kadar jangkitan semasa, mencecah 20,000 kes bakal mengundang risiko gelombang penularan baharu, sekiranya kelonggaran sedemikian diberikan.

Berdasarkan perangkaan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) setakat semalam, sebanyak 34.2 peratus daripada individu dewasa di seluruh negara sudah mendapat suntikan pelalian lengkap, manakala dari segi perbandingan jumlah penduduk, hanya 24.5 peratus.

Mengakui asas di sebalik kebimbangan itu, Dr Hishamshah berkata, pematuhan SOP perlu terus diamalkan walaupun liputan vaksin mencatatkan prestasi yang memberangsangkan, sejak kebelakangan ini.

"Ini kerana varian membimbangkan (VOC) sekarang seperti Delta lebih mudah menular. Kita masih kena jaga SOP, dengan memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal, tidak berkumpul dalam jumlah ramai," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts