Jumaat, Mei 07, 2010

Tiga peratus graduan dikecuali bayar PTPTN

Tiga peratus daripada keseluruhan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dijangka memperoleh ijazah kelas pertama apabila menamatkan pengajian tahun depan, akan dikecualikan membayar pinjaman berikutan kesediaan kerajaan menukar status pinjaman kepada biasiswa.

Ia membabitkan kira-kira RM70 juta yang terpaksa dikorbankan PTPTN bagi membantu melahirkan lebih ramai intelektual tanpa perlu membayar pinjaman itu, selain bukti komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mendukung konsep rakyat didahulukan.
Mengumumkannya di sini semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata bagi memastikan hanya pelajar benar-benar berkualiti memperoleh manfaat berkenaan, kementerian akan menyelaraskan sistem penggredan peperiksaan bagi 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Beliau tidak menyatakan jumlah pelajar tahun akhir yang dijangka menamatkan pengajian tahun depan.

Berita Harian difahamkan, 2,145 pelajar IPTA bagi pengambilan 2005 dan 2,267 pelajar pengambilan 2006 yang menamatkan pengajian sebelum Januari lalu memperoleh ijazah kelas pertama.

“Kementerian sedang mengenal pasti kaedah melaksanakan penggredan itu. Kita tidak mahu ada universiti menggunakan 3.5 atau 3.7 (purata nilai gred kumulatif) untuk melayakkan pelajar mendapat ijazah kelas pertama. Kita mahu semuanya diselaraskan.

“Setakat tahun lalu, PTPTN membelanjakan kira-kira RM32 bilion untuk 1.4 juta peminjam,” katanya selepas menyampaikan surat tawaran melanjutkan pengajian peringkat diploma politeknik dan asasi serta diploma IPTA kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di Dewan Suarah, di sini. Hadir sama, calon BN bagi kerusi Parlimen Sibu, Robert Lau Hui Yew.
Seramai 211 menerima surat tawaran peringkat diploma di pelbagai politeknik di Sarawak manakala 190 lagi pada peringkat pengajian asasi dan diploma IPTA di seluruh negara.

Mereka sebahagian daripada 26,000 bekas calon SPM yang diberi peluang ke politeknik berbanding 127,000 pemohon tahun ini.

Selain itu, 190 yang diberikan surat berkenaan adalah sebahagian daripada 76,900 yang diberikan tempat melanjutkan pengajian di peringkat asasi dan diploma IPTA berbanding 185,000 keseluruhan permohonan.

Mengenai pengambilan pelajar ke peringkat diploma dan asasi di IPTA, Mohamed Khaled berkata, sebanyak 76,900 tempat disediakan tahun ini dengan 74 peratus daripada mereka dalam bidang sains manakala baki 26 peratus dalam bidang sastera dan sains sosial.

"Sebanyak 58 peratus daripada mereka yang ditempatkan di IPTA adalah perempuan manakala baki 42 peratus lagi lelaki. Ini bermakna, pelajar lelaki harus berusaha lebih gigih untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan," katanya.

Katanya, tawaran pengambilan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah akan dikeluarkan bulan depan.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.