Jumaat, Mei 07, 2010

1,411 rakyat Malaysia dipenjara di 59 negara

SERAMAI 1,411 rakyat Malaysia masih dipenjarakan di 59 negara kerana terbabit dengan pelbagai kesalahan jenayah termasuk dadah, pemalsuan dokumen dan pemerdagangan manusia.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Lee Chee Leong (bawah), berkata daripada jumlah itu, 98 orang masih menunggu tarikh perbicaraan termasuk Omar Atan, 59, yang merengkuk di Penjara Phunthong, Laos sejak setahun lalu atas dakwaan pemerdagangan manusia.

“Sejak (Omar) ditahan, kerajaan sentiasa memberi bantuan dengan memaklumkan status terkini kepada keluarganya dari semasa ke semasa, malah Kedutaan Malaysia di Laos sudah pun berjumpa dengan Menteri Luar negara itu dan merayu supaya kes diselesaikan segera.

“Pegawai kedutaan kita juga sentiasa melawat Omar di penjara dan atas rayuan kedutaan, Omar dibenarkan pulang selama 10 hari bermula 20 Mac hingga 30 Mac lalu bagi menziarahi isterinya yang meninggal dunia.

“Kesnya akan dibicarakan pada 7 Mei 2010 (hari ini),” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Lee Cheam Choon.

Terdahulu kepada soalan Senator Datuk Saripah Aminah Syed Mohamed yang bertanya statistik terkini rakyat Malaysia masih ditahan dalam penjara luar negara dan tindakan diambil kerajaan memastikan kes seperti Omar tidak berlaku lagi, Lee berkata kementerian sentiasa mengambil langkah proaktif.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara sering diingatkan supaya berkelakuan baik bagi mengelak timbul masalah dengan pihak berkuasa negara itu.
“Kita ingatkan supaya tidak mudah menjadi mangsa penipuan oleh sindiket yang menawarkan pakej pelancongan atau ganjaran yang lumayan ke luar negara.

“Kempen kesedaran media massa turut dilakukan dengan kerjasama agensi berkaitan dengan terbaru Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillai muncul dalam program Dialog di TV 1, yang disiarkan secara langsung pada 31 Mac lalu membincangkan mengenai keldai dadah,” katanya.

Lee berkata, 733 orang ditahan kerana terbabit dengan kes dadah, 243 lagi atas dakwaan memalsukan dokumen dan kad kredit, kesalahan imigrasi (72), pemerdagangan manusia (40), jenayah perdagangan (93), mencuri (74), membunuh (17), penipuan seramai 47 orang dan lain-lain (122).

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts