PIDM rangka pakej baru perlindungan pendeposit

Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sedang merangka satu pakej perlindungan kewangan pelanggan untuk melindungi kepentingan pendeposit sebagai persediaan menjelang tamatnya Jaminan Deposit Kerajaan yang dikendalikannya pada 31 Disember ini.

Ketua Eksekutifnya, Jean Pierre Sabourin, berkata PIDM sudah mengemukakan beberapa cadangan khusus bagi dimuatkan dalam pakej itu kepada ahlinya untuk dipertimbangkan dan diperbaiki sebelum ia dilaksanakan.

Katanya, pakej perlindungan kewangan pelanggan itu bagi memastikan pendeposit dilindungi terhadap kehilangan deposit disimpan di bank.

“Kami kini pada peringkat akhir menyiapkan cadangan pakej perlindungan kewangan pelanggan itu dan pengumuman mengenainya akan dibuat sebelum akhir tahun ini,” katanya pada sidang media sempena penerbitan Laporan Tahunan 2009 PIDM di Kuala Lumpur, semalam.

PIDM ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2005 (Akta PIDM) sebagai penginsurans deposit nasional Malaysia yang dipertanggungjawabkan mentadbir sistem insurans deposit Malaysia yang dilancarkan pada 1 September 2005.

Institusi anggota PIDM adalah semua bank perdagangan (termasuk bank asing yang diperbadankan dan beroperasi di Malaysia) yang dilesenkan di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 serta semua bank Islam yang dilesenkan di bawah Akta Perbankan Islam 1983.

Ketika ini, 40 institusi perbankan (17 bank Islam dan 23 bank perdagangan) adalah institusi anggota PIDM.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009, PIDM mencatatkan pendapatan sebanyak RM139.4 juta yang mana RM131.8 juta daripadanya adalah pendapatan daripada premium, manakala baki RM7.6 juta menerusi pendapatan pelaburan.

Untuk tempoh kajian, PIDM mencatatkan perbelanjaan operasi berjumlah RM44.9 juta yang menghasilkan lebihan bersih RM94.5 juta.

Jumlah Kumpulan Dana Insurans Deposit PIDM pada akhir 2009 berjumlah RM369.9 juta, dengan Dana Insurans Deposit Konvensional sebanyak RM320.9 juta dan Dana Insurans Deposit Islam, RM49 juta.

- BERITA HARIAN PIDM rangka pakej baru perlindungan pendeposit

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.