Komentar - Tradisi peralihan kuasa berjaya dipertahankan

Hari ini tamat proses peralihan kuasa. Datuk Seri Najib Tun Razak secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Bersyukur kita kepada Tuhan -- proses peralihan kuasa yang dirancang tahun lalu berjalan dengan lancar. Kita harus berbangga kerana tradisi peralihan kuasa yang dipertahankan sejak negara merdeka 52 tahun lalu berjaya dikekalkan.

Daripada seorang Perdana Menteri kepada penggantinya berlaku tanpa pergolakan yang menggoncang politik negara.

Malah pelantikan Perdana Menteri negara ini tanpa melibatkan insiden rusuhan, demonstrasi jalanan, pembunuhan dan perang saudara seperti yang berlaku di sesetengah negara luar.

Eloklah kita merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah kerana sumbangan jasanya memimpin negara selama 65 bulan.

Pengorbanan terbesarnya ialah beliau berjaya mengekalkan tradisi peralihan pucuk pimpinan parti dan kerajaan dengan penuh bijaksana, penuh teratur dan penuh tertib.

Pendekatan yang dibawanya bersifat mesra rakyat, dengan slogan "bekerjalah bersama saya, dan bukan untuk saya."

Kita amat menghargai iltizam politiknya untuk mengurangkan kerenah birokrasi, meningkatkan sistem penyampaian kerajaan, membudayakan ketelusan, memerangi rasuah, membasmi kemiskinan.

Selepas Pak Lah berundur, Alhamdulillah tampil pula Najib sebagai Perdana Menteri yang keenam dengan perwatakan yang sederhana tetapi berwawasan sebagai mana diwarisi daripada sifat ayahnya, Bapa Pembangunan Malaysia yang juga Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Dengan suasana politik negara dan krisis ekonomi global yang sedang kita hadapi, pasti banyak harapan rakyat dan negara akan diletak di atas bahu Najib.

Pelbagai pihak menyarankan supaya Perdana Menteri yang baru meneruskan program-program di bawah pemerintahan Pak Lah terutama projek pembangunan yang memberi keuntungan kepada rakyat.

Dengan gaya kepimpinan dan pembaharuan dalam kementerian-kementerian yang pernah diterajui olehnya, kita percaya Najib mampu melakukan yang terbaik.

Sebagai rakyat di bawah pimpinannya, kita harus berasa yakin bahawa kerajaan yang diterajuinya nanti mampu memenuhi kehendak dan aspirasi majoriti kita.

Untuk itu, sudah tentu Najib akan menyusun saf Kabinetnya untuk menerajui kementerian dan seterusnya memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Sesungguhnya memilih barisan Kabinet pada masa ini adalah perkara yang amat serius. Ini kerana pemilihan anggota Kabinet akan memberi kesan kepada masa depan Barisan Nasional (BN) dan rakyat.

Kita berharap Najib akan menampilkan saf Kabinet yang diyakini berwibawa dan tidak dipersoalkan pemilihannya kelak. Rakyat ingin barisan yang diyakini mampu berkhidmat untuk mereka. Selamat bertugas Perdana Menteri baru.

- UTUSAN Komentar - Tradisi peralihan kuasa berjaya dipertahankan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.