Produk kacang tanah Amerika beracun

Semua produk berasaskan kacang tanah dari Amerika Syarikat (AS) termasuk mentega kini diwajibkan menjalani pemeriksaan tahap lima sebelum dipasarkan di negara ini.

Ini berikutan kes pencemaran bakteria Salmonella typhimurium dalam mentega kacang dan pasta kacang keluaran syarikat Peanut Corporation of America (PCA) yang sehingga kini meragut tujuh nyawa di negara itu.

Pemeriksaan tahap lima iaitu proses tahan, uji dan lepas akan dilakukan melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) di semua pintu masuk negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, hanya sampel produk yang lulus pemeriksaan saja akan dibenarkan dipasarkan di negara ini.

"Ini bagi menjamin keselamatan pengguna. Bagaimanapun setakat ini ia hanya melibatkan produk berasaskan kacang AS kerana bakteria itu secara spesifik berasal dari kacang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian angpau kepada penduduk Valley of Hope di Dewan Orang Ramai Pusat Kawalan Kusta Negara di Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Salmonella typhimurium adalah sejenis bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan serius dan membawa maut terutama di kalangan kanak-kanak dan warga tua serta individu bersistem imuniti rendah.

Jangkitan bakteria itu antara lain menyebabkan jangkitan kuman dalam darah dan pembuluh darah.

Awal tahun ini, ia dikesan pada lebih 125 produk berasaskan mentega kacang yang dihasilkan oleh lebih 70 syarikat makanan di AS.

Setakat hari ini, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) melaporkan sekurang-kurangnya 486 rakyat dari 43 negeri sakit ekoran wabak bakteria berbahaya itu.

Difahamkan, CDC menerima laporan tujuh kes kematian dan 107 kes pesakit dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, pengilang biskut tempatan seperti The Famous Amos Chocolate Chip Cookie Corporation (M) Sdn. Bhd. telah bertindak menarik balik kumpulan produk yang dikatakan diperbuat daripada kacang AS tercemar itu untuk menjamin keselamatan pengguna.

Dalam pada itu, Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia meminta kerajaan menubuhkan kumpulan tindakan untuk menangani masalah itu dengan lebih berkesan.

Presidennya, Datuk N. Marimuthu berkata, kumpulan itu boleh dianggotai wakil pihak industri, kerajaan atau penguat kuasa, persatuan pengguna serta pakar teknologi makanan dan perubatan.

"Semua hospital dan klinik perlu memberi perhatian serius terhadap kes-kes keracunan makanan dan masalah sistem penghadaman.

"Talian awam 24 jam atau sekurang-kurangnya 16 jam perlu disediakan untuk memberikan khidmat nasihat kepada pengguna dan media dengan segera dalam tempoh 48 jam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

- Utusan Produk kacang tanah Amerika beracun

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.