Memaparkan catatan dengan label Siti Nurhaliza. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Siti Nurhaliza. Papar semua catatan

Isnin, Mei 03, 2021

Siti Nurhaliza jawab tuduhan langgar SOP

 


Datuk Seri Siti Nurhaliza menepis dakwaan majlis tahnik sempena kelahiran anak kedua, Muhammad Afwa di kediamannya di sini, baru-baru ini, melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk larangan rentas negeri membabitkan salah seorang tetamu seperti yang tular dalam media sosial.

Siti, 42, berkata, individu terbabit yang juga seorang pendakwah bebas terkenal, bersetuju untuk hadir kerana kebetulan beliau berada di sini atas urusan kerja.

"Berhubung isu yang sedang tular, sebagai tuan rumah, saya dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ingin memberi pencerahan mengenai majlis tahnik yang dianjurkan pada 26 April lalu yang didakwa tidak mengikut SOP termasuk berlakunya aktiviti rentas negeri.

"Kami ingin memaklumkan tiada aktiviti rentas negeri berlaku. Sebaliknya, individu itu bersetuju hadir kerana kebetulan beliau berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan majlis tahnik itu dianjurkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Siti berkata, atur cara majlis dan bilangan tetamu adalah mengikut syarat yang tertakluk bagi acara yang dianjurkan dalam tempoh berkenaan.

"Majlis terbahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad, dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak mengikut sunnah Rasulullah.

"Mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka.

"Sebaliknya, beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain," katanya.

Sebagai rakyat Malaysia, Siti menegaskan dalam apa juga perkara yang dilakukan, beliau tidak akan sesekali membelakangkan undang-undang.

"Selain perlu peka pada situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini. Selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin," katanya.

Tambah Siti, penjelasan itu dibuat bertujuan untuk menjernihkan keadaan dan menamatkan spekulasi yang boleh menjurus kepada fitnah.

"Penjelasan ini bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberi pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu," katanya.

Enggan membiarkan kontroversi itu berlanjutan, pasangan ini turut memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak yang tersinggung dengan insiden itu.

"Kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak.

"Kami memahami dan berlapang dada dengan setiap teguran yang diberi. Kami juga bersedia memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

"Ini adalah kenyataan terakhir daripada kami mengenai isu ini. Saya ingin fokus berpantang selepas melahirkan Muhammad Afwa dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan serta difahami dengan baik," katanya.

Kontroversi tercetus selepas tular beberapa foto memaparkan seorang menteri dan pendakwah bebas terkenal dilihat hadir ke majlis tahnik yang dianjurkan di kediaman Siti.

Susulan daripada itu, netizen mempersoalkan bagaimana salah seorang pendakwah yang dipercayai menetap di Terengganu, dibenarkan merentas negeri untuk hadir ke majlis berkenaan.

Malah, ada netizen terkilan dengan penganjuran majlis berkenaan ketika rakyat Malaysia dilarang merentas negeri selain atas tujuan kecemasan.

Sumber : Berita Harian

 

Isnin, April 26, 2021

Muhammad Afwa lengkapkan Siti Aafiyah

 

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih nama Muhammad Afwa untuk nama anak keduanya.

Perkara berkenaan dikongsikan Siti, 42, menerusi Instagram sebentar tadi sambil memuat naik beberapa keping foto gambar bayi lelaki tersebut.

“Hari ini 26 April 2021 bersamaan dengan 14 Ramadan 1442 Hijrah, anakanda saya genap berusia tujuh hari.

“Sunat menamakan anak yang baru lahir dengan nama elok dan membawa makna baik kerana nama itu yang akan dipanggil di akhirat kelak.

“Alhamdulillah, hari ini suami dan saya ingin berkongsi wajah dan nama anakanda kedua kami. Kami menamakan anakanda Muhammad Afwa yang membawa makna keampunan dan kemaafan,” tulisnya.

Jelas Siti, pemilihan nama Afwa adalah kerana bayi tersebut dilahirkan pada bulan Ramadan yang merupakan bulan keampunan dan dalam doa malam Lailatuq Qadar juga ada menyebut afwa.

“Afwa melengkapnya aafiyah dan terdapat dalam doa yang saya dan suami pilih iaitu doa lengkap aafiyah.

“Semoga anakanda Muhammad Afwa sentiasa dalam keampunan dan kemaafan Allah SWT dan kita semua juga dalam lindungan-Nya,” katanya lagi.

Pada masa sama, pelantun lagu Siapa Tak Mahu itu berkata, beliau akan meluncurkan sebuah video muzik rasmi lagu Anakanda yang ditujukan khas buat anaknya itu dalam saluran YouTube miliknya sebentar lagi tepat pukul 9 malam.

Terdahulu, Siti selamat melahirkan bayi keduanya di sebuah pusat perubatan di Selangor dengan berat 3.84 kilogram pada 19 April lalu pukul 6.21 pagi secara pembedahan. 

Sumber : Kosmo!

Rabu, Oktober 07, 2015

Siti Nurhaliza tersenarai antara 500 Muslim berpengaruh



Datuk Siti Nurhaliza memanjat kesyukuran apabila mengetahui menjadi artis wanita pertama dipilih antara 500 Muslim paling berpengaruh di dunia untuk tahun 2016. 

Selain Siti, Hafiz Hamidun turut disenaraikan dalam buku 'The World's 500 Most Influential Muslim edisi 2016", yang menyenaraikan 500 orang paling berpengaruh dalam dunia Islam. 

Mereka yang disenaraikan dikelaskan dalam pelbagai sektor, termasuk ilmiah, politik, pentadbiran hal ehwal agama, pendakwah dan panduan rohani, kebajikan dan pembangunan, isu sosial, perniagaan, sains dan teknologi, seni dan budaya, qari dan qariah, media, selebriti serta bintang sukan. 

Kata Siti, beliau hanya mengetahui perkara itu apabila berita itu dimuat naik dalam laman Instagram oleh peminatnya. 

"Kalau nak dibandingkan Siti dengan mereka yang tersenarai itu, memang diri ini amat kecil. Tetapi Alhamdulillah, apa yang Siti perjuangkan dan buat selama ini orang nampak walaupun ia tidaklah sebesar mana. "Ia suntikan semangat untuk saya terus berjuang dan paling penting ialah istiqamah dalam apa sahaja yang dilakukan. 

"Terkejut juga apabila dapat tahu perkara ini. Ia juga menjadi hadiah paling bermakna dalam hidup. Tak silap saya, nama ini dipilih kerana kerja kebajikan dan pengaruh saya untuk memberikan teladan yang baik kepada orang lain khususnya buat masyarakat Islam," katanya.

Sumber



Recent Posts