Rabu, Ogos 05, 2020

Bayaran balik PTPTN ditangguh hingga 31 Disember 2020



Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tempoh tiga bulan lagi bermula 1 Oktober ini.

Langkah itu diambil seiring pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar bagi mereka yang terkesan dengan penularan COVID-19.

Menteri Pengajian tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata penangguhan terbabit membabitkan jumlah bayaran balik kira-kira RM375 juta.

"Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion.

"Semua peminjam PTPTN akan diberikan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini.

"Sekiranya ada peminjam ingin meneruskan bayaran balik pinjaman, mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi segelintir peminjam PTPTN yang terkesan akibat kehilangan punca pendapatan susulan penularan wabak itu.

"Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN," katanya.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN menerusi talian di 03 - 2193 3000 yang beroperasiIsnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau layari portal rasmi, www.ptptn.gov.my.

Pada 29 Julai lalu, kerajaan dilaporkan bersetuju melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar khusus kepada rakyat yang hilang pekerjaan dan masih belum mendapat pekerjaan baharu.

Muhyiddin dipetik berkata, lanjutan moratorium akan diberikan untuk tempoh tiga bulan.


Selasa, Ogos 04, 2020

Khamis, Julai 23, 2020

Jumaat, Julai 17, 2020

Bahaya dadah NPS

 

Kewujudan 'new psychoactive substance' atau bahan psikoaktif baharu (NPS) dikhuatiri menjadi alternatif dalam aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang kerana belum dikategorikan dalam dadah berjadual.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata setakat ini, terdapat lebih 950 jenis dadah disyaki mengandungi NPS dilaporkan berada dalam pasaran seluruh dunia.

"Bagaimanapun hanya 44 jenis daripadanya yang diwartakan dalam undang-undang negara menerusi Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

"Ini adalah satu cabaran besar yang dihadapi semua elemen pasukan penguatkuasaan negara dalam membanteras aktiviti penyeludupan, pemerosesan, pengedaran dan penagihan dadah di negara kita," katanya ketika ditemui di Bukit Aman, baru-baru ini.

Katanya, NPS dikhuatiri menjadi dadah alternatif pada masa ini atau akan datang kerana ada sesetengah NPS belum dikategorikan sebagai dadah jadual dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.

NPS adalah kandungan bahan yang disalah guna bertujuan meniru ubat-ubat terkawal yang boleh menimbulkan kemudaratan kesihatan.

Kandungan utama dalam NPS adalah campuran pelbagai bahan kimia yang diubahsuai menjadi dadah tiruan.

Dalam pada itu, katanya seramai 70,803 individu ditahan membabitkan pelbagai kesalahan dadah seperti membekal, memiliki dan positif ujian saringan air kencing sejak Januari hingga Jun lalu.

"Dalam tempoh yang sama, kita merampas RM201 juta pelbagai jenis dadah dan melumpuhkan 91 sindiket dadah di seluruh negara.

"Selain itu, sebanyak sembilan makmal dadah haram turut dibongkar sepanjang tahun ini sehingga Jun lalu membabitkan 36 tangkapan individu.

"Sepanjang tahun ini juga, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sudah membuka 27,291 kertas siasatan dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 21,929 atau 80 peratus sudah dituduh," katanya.

Beliau juga berkata, nilai harta yang disita berkait dengan kegiatan dadah adalah sebanyak RM420 juta manakala RM1.3 juta lagi dilucuthak membabitkan pelbagai harta.

PDRM juga mendapati trend tangkapan membabitkan penyalahgunaan dadah dalam parti-parti liar semakin meningkat iaitu seramai 664 individu sepanjang Januari hingga Jun lalu.

Sumber : Berita Harian

 

 

Rabu, Julai 01, 2020

Pengajaran dalam talian kurang berkesan



Kementerian Pendidikan mendapati pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan belajar dari rumah kurang berkesan, berbanding secara bersemuka.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata kementerian juga sedar terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian.

"Kaedah 'home-based learning' sesuatu yang baharu dalam kalangan guru, murid dan ibu bapa.

"Selain itu, ramai dalam kalangan murid tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana akses kepada teknologi komunikasi yang terhad.

"Ini menyebabkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan 'home-based learning' agak terhad jika dibandingkan dengan kaedah secara bersemuka," katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

Mohd Radzi berkata, jika situasi itu berterusan, murid akan menghadapi kesukaran untuk mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap mata pelajaran yang diikuti.

"Ini akan memberi kesan kepada minat dan motivasi murid untuk terus mengikuti pengajaran dan pembelajaran.

"Hubungan murid dengan sekolah juga akan terkesan kerana mereka terasing dari suasana persekolahan untuk satu tempoh yang panjang," katanya.

Beliau berkata, kementerian yakin murid, ibu bapa dan guru menyedari betapa perlunya sekolah dibuka semula bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat.

Selasa, Jun 09, 2020

Soalan lazim mengenai Program Subsidi Upah SIP PERKESO

Berikut adalah soalan-soalan lazim (FAQ) mengenai Program Subsidi Upah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

1. Apakah Program Subsidi Upah (PSU)?

• Program Subsidi Upah (PSU) adalah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

• Di bawah Pakej PRIHATIN pada 27 Mac 2020, subsidi upah bagi PSU kepada majikan adalah untuk tempoh 3 bulan.

• Pada 5 Jun 2020, bantuan PSU telah dilanjutkan untuk 3 bulan tambahan di bawah PENJANA (6 bulan secara keseluruhan).

• Tujuan PSU ialah untuk membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat COVID-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan bagi semua perusahaan.

2. Bilakah PSU mula berkuatkuasa?

• PSU mula berkuatkuasa pada 1 April 2020.

• Tempoh PSU adalah selama 6 bulan bermula 1 April 2020 atau mengikut bulan permohonan dikemukakan.

3. Bilakah PSU akan berakhir?

• Tarikh akhir permohonan PSU adalah pada 30 September 2020.

4. Apakah perluasan PSU yang diumumkan pada 5 Jun 2020?

• PSU yang diumumkan pada 5 Jun 2020 adalah seperti di Jadual 1 berikut:

5. Bolehkah pekerja yang diarahkan mengambil cuti tanpa gaji (CTG) memohon PSU, yang mana sebelum ini diliputi di bawah program Employment Retention Program (ERP)?

• Mulai 15 Jun 2020, program ERP akan digabungkan di bawah PSU.

• Perluasan PSU ini meliputi pekerja yang telah diarahkan mengambil CTG dengan syarat bekerja di sektor pelancongan atau sektor-sektor yang tersenarai dalam aktiviti ekonomi yang masih dilarang (prohibited) sepanjang tempoh PKPP. Majikan tersebut boleh memohon PSU dengan syarat pekerja tersebut menerima bayaran subsidi secara langsung.

• Majikan di bawah sektor pelancongan perlu mengesahkan aktiviti industri (berdasarkan pendaftaran SSM / ROS / ROB / PBT atau lain-lain pertubuhan) semasa mengemukakan permohonan PSU.

Nota: Contoh industri pelancongan adalah seperti hotel, penerbangan, taman tema, agen pelancongan, sewa kereta, pemandu coach, pengangkutan air, cruise, eco-tourism farm dan lain-lain.

6. Siapakah yang tidak layak memohon PSU?

• Majikan atau perusahaan yang mendaftar dan beroperasi pada atau selepas 1 Januari 2020

• Majikan dan pekerja yang belum berdaftar atau mencarum dengan PERKESO sebelum 1 April 2020

• Pekerja yang bergaji bulanan melebihi RM4,000

• Pekerja yang telah diberhentikan kerja

• Pekerja sektor awam, badan berkanun persekutuan dan negeri, semua badan berkanun yang diasingkan saraan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mereka yang bekerja sendiri (tidak mempunyai majikan) termasuk freelancers

• Pekerja asing dan pegawai dagang (expatriate)

• Majikan yang menarik diri dari permohonan PSU selepas mengemukakan permohonan selepas atau pada 15 Jun 2020.

7. Adakah majikan yang telah menarik diri dari PSU sebelum 15 Jun 2020 layak mengaktifkan permohonan PSU asal?

• Majikan yang telah menarik diri dari PSU sebelum 15 Jun 2020 layak untuk membuat pengaktifan permohonan sebelum ini semula melalui e-mel aduansip@perkeso.gov.my

8. Bagi permohonan PSU, apakah dokumen yang diperlukan?

• Dokumen yang diperlukan untuk permohonan PSU ialah:

i. Senarai nama pekerja (mengikut had kelayakan saiz perusahaan)

ii. Maklumat akaun bank majikan (salinan muka depan penyata bank sahaja)

iii. Maklumat Business Registration Number (BRN) yang didaftarkan oleh majikan ketika pembukaan akaun bank seperti di 5 (ii) di atas. Sila rujuk pihak bank dan memastikan No BRN dan No Akaun adalah tepat bagi mengelakkan sebarang kesulitan

iv. Salinan pendaftaran SSM / ROS / ROB / PBT atau lain-lain pertubuhan

v. Akuan Pengisytiharan PSU50

vi. Bagi perusahaan bersaiz 76 orang pekerja dan ke atas hendaklah kemukakan dokumen sokongan seperti penyata kewangan atau laporan jualan yang telah disahkan oleh pihak pengurusan atau lain-lain dokumen berkaitan

9. Apakah yang dimaksudkan dengan maklumat Business Registration Number (BRN) yang perlu diperolehi daripada pihak bank?

• Maklumat Business Registration Number (BRN) adalah maklumat nombor pendaftaran perniagaan majikan yang didaftarkan oleh majikan ketika pembukaan akaun semasa syarikat di bank.

• Majikan hendaklah berhubung dengan pihak bank masing-masing bagi memastikan BRN yang diberikan adalah yang betul dan tepat.

• Majikan perlu mengisi Borang BRN yang perlu dimuat turun dari portal PRIHATIN melalui capaian laman sesawang prihatin.perkeso.gov.my dan memuat naik kembali ke laman sesawang tersebut setelah ianya dilengkapkan.

• Maklumat Akaun Bank dan BRN syarikat seperti di atas diperlukan bagi tujuan pembayaran terus ke akaun majikan secara Electronic Fund Transfer (EFT).

• Kegagalan majikan dalam memberikan BRN yang betul akan melambatkan proses pembayaran subsidi upah.

10. Apakah Akuan Pengisytiharan PSU50?

• Akuan Pengisytiharan PSU50 ialah suatu dokumen pengesahan dan aku janji secara bertulis bahawa majikan mengesah atau mengisytiharkan perkara-perkara yang terkandung di dalamnya adalah benar dan betul bagi tujuan permohonan PSU. Borang ini perlu diisi oleh semua majikan tanpa mengira saiz perusahaan.

11. Kenapakah pekerja yang bergaji RM4,000 ke atas tidak diliputi di bawah PSU walaupun membuat caruman bulanan PERKESO?

• PSU adalah peruntukan daripada Kerajaan yang disalurkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRIHATIN) untuk membantu majikan yang terkesan akibat krisis COVID-19 untuk meneruskan pengoperasian dan mengekalkan pekerja mereka. Program ini juga adalah untuk lebih membantu pekerja dalam golongan B40 yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah.

12. Apakah tafsiran gaji atau pendapatan RM4,000 ke bawah yang dimaksudkan bagi permohonan PSU ini?

• Tafsiran gaji atau pendapatan adalah mengikut tafsiran gaji di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4]. Semua pembayaran berbentuk wang kepada pekerja dianggap sebagai gaji seperti gaji pokok / kerja lebih masa / komisen / bayaran-bayaran sewaktu cuti tahunan, sakit, bersalin, rehat, kelepasan am dan sebagainya / elaun-elaun insentif, kelakuan baik, sara hidup dan sebagainya / caj perkhidmatan (service charge).

13. Bagi permohonan PSU bulan berikutnya, adakah majikan perlu mengemukakan permohonan yang baharu bagi tuntutan yang seterusnya?

• Majikan tidak perlu mengemukakan permohonan PSU yang baru bagi tuntutan bulan-bulan berikutnya. Bagaimanapun, majikan dikehendaki mengemaskini perubahan maklumat setelah mendapat bayaran tuntutan bulan-bulan berikutnya, sekiranya berlaku apa-apa perubahan kepada status keaktifan perniagaan atau bilangan pekerja yang layak melalui sistem. Kegagalan majikan tidak melaporkan perubahan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.

• Sekiranya berlaku perubahan (pengurangan atau penambahan) pada senarai nama pekerja, majikan hendaklah mengemukakan perubahan tersebut selewat–lewatnya pada 15 hari bulan pada bulan berkenaan.

• Permohonan yang mengandungi maklumat yang tidak tepat seperti bilangan pekerja tempatan tidak sama dengan maklumat majikan di PERKESO (Portal ASSIST) atau permohonan yang mengandungi senarai pekerja asing, permohonan tersebut akan dikuiri untuk tindakan selanjutnya. Sehubungan dengan itu, majikan hendaklah mengisi maklumat pekerja tempatan dengan tepat bagi mengelakkan kelewatan pemprosesan permohonan tersebut.

14. Bolehkah majikan yang telah beroperasi sebelum 1 Januari 2020 tetapi tidak berdaftar dengan PERKESO memohon PSU?

• Tidak. Mana-mana majikan yang ingin mengemukakan permohonan PSU hendaklah berdaftar dengan PERKESO sebelum 1 April 2020, berdaftar dengan SSM, PBT atau lain-lain badan professional sebelum 1 Januari 2020 dan mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja.

15. Sekiranya majikan telah berdaftar dengan Perkeso sebelum 1 April 2020 dan mempunyai pekerja yang telah mula bekerja pada 1 Februari 2020 tetapi belum berdaftar dengan PERKESO. Adakah majikan layak untuk memohon PSU?

• Ya, majikan layak untuk mengemukakan permohonan PSU. Pekerja hendaklah seseorang yang telah mula bermula bekerja di bawah majikan tersebut sebelum 1 April 2020 dan majikan hendaklah mendaftarkan pekerja tersebut dengan PERKESO (Portal ASSIST) terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan bagi bulan berkenaan.

16. Bagaimanakah perusahaan yang bersaiz 76 orang pekerja dan ke atas hendak membuktikan kadar penurunan pendapatan atau jualan sebanyak 50% atau lebih?

• Majikan boleh membuktikan penurunan pendapatan atau jualan sebanyak 50% atau lebih dengan dokumen sokongan seperti akaun penyata, penyata kewangan, rekod jualan, dan sebagainya yang menunjukkan penurunan hasil jumlah jualan atau pendapatan pada bulan Januari 2020 atau berbanding bulan-bulan berikutnya.

17. Sekiranya majikan mengemukakan permohonan PSU pada bulan Jun, adakah subsidi upah akan dibayar dari bulan April (backdated) atau bermula pada bulan Jun?

• Subsidi upah akan dibayar mulai dari bulan permohonan yang dikemukakan dan tiada pembayaran bulanan ke belakang (backdated). Permohonan yang diterima sebelum 30 September akan menerima subsidi upah selama 6 bulan pada kadar yang telah dijelaskan di soalan 4.

18. Sekiranya terdapat pekerja yang berhenti secara sukarela dengan majikan dan menerima PSU sebelum ini, adakah majikan perlu mengemukakan permohonan yang baharu?

• Tidak. Majikan tidak perlu mengemukakan permohonan yang baharu dan hanya perlu mengemaskini maklumat pekerja mengikut kelayakan dengan mengemukakan senarai baru pekerja melalui sistem Portal PRIHATIN pada bulan berikutnya. Kegagalan majikan tidak melaporkan perubahan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.

19. Apakah yang boleh dilakukan oleh pekerja sekiranya majikan yang menyertai PSU tidak membayar gaji pekerja, memotong gaji, mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji ataupun memberhentikan perkhidmatan pekerja?

• Pekerja boleh menyemak senarai nama majikan yang telah diluluskan permohonan PSU di laman web PERKESO https://eiscentre.perkeso.gov.my/

• Sebarang masalah perburuhan di luar PSU, pekerja juga boleh merujuk kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di talian 03-8890 3404 atau 03-88862409 atau eemel di jtksm@mohr.gov.my

20. Syarikat saya mempunyai pekerja warganegara Malaysia dan juga pekerja bukan warganegara yang berdaftar dengan PERKESO. Bolehkah jumlah pekerja asing tidak dimasukkan dalam kiraan penentuan saiz jumlah pekerja?

• Tidak boleh. Majikan perlu mengisytihar jumlah keseluruhan bilangan pekerja yang digaji termasuk pekerja bukan warganegara.

21. Adakah majikan atau pemilik syarikat termasuk dalam pengiraan penentuan saiz perusahaan bagi permohonan PSU?

• Tidak termasuk.

22. Bagaimanakah majikan akan dapat mengetahui sama ada permohonan PSU telah diterima, diluluskan atau ditolak?

• Majikan akan menerima No. Rujukan sebaik sahaja permohonan lengkap telah diisi di Portal PRIHATIN prihatin.perkeso.gov.my dan boleh menyemak status permohonan menggunakan No. Rujukan yang diberikan.

• Senarai nama majikan yang diluluskan permohonan PSU juga akan dipaparkan di laman web PERKESO https://eiscentre.perkeso.gov.my/ termasuk bilangan pekerja yang diluluskan.

TARIKH KUATKUASA

Soalan Lazim Bil. 5 Tahun 2020 adalah berkuatkuasa mulai 9 Jun 2020. Dengan berkuatkuasanya Soalan Lazim Bil. 5 Tahun 2020, maka Soalan Lazim Bil. 4 Tahun 2020 adalah dibatalkan.

Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi Pegawai Perkhidmatan Pelanggan PERKESO di talian 03-4264 5555 / 1-300-22-8000 atau emel kepada perkeso@perkeso.gov.my

Khamis, Jun 04, 2020

Semakan kelulusan permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) kepada IKS




Semakan kelulusan permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) boleh dibuat mulai 3 Jun melalui portal rasmi GKP di https://gkp.hasil.gov.my, kata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN berkata pihaknya menerima sebanyak 642,976 permohonan dalam tempoh permohonan GKP dibuka mulai 1 Mei sehingga 15 Mei, dan sebanyak 488,857 atau 76 peratus permohonan telah diluluskan.

"Bakinya sebanyak 81,260 (12.6 peratus) permohonan masih dalam proses semakan lanjut agensi dan 72,859 (11.3 peratus) permohonan lagi telah ditolak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut LHDN, pemohon GKP yang diluluskan dijangka menerima bayaran secara pengkreditan terus ke akaun masing-masing mulai 15 Jun.

Bagi permohonan yang masih dalam semakan pula, LHDN berkata keputusan permohonan akan dimaklumkan mulai 8 Jun dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat mulai 15 Jun.

LHDN berkata kerajaan bersetuju untuk memberikan peluang kepada pemohon yang gagal dalam permohonan GKP untuk membuat permohonan rayuan mulai 3 Jun hingga 15 Jun melalui portal rasmi GKP bagi memastikan semua pihak yang layak menerima GKP tidak tercicir.

"Setiap permohonan rayuan akan diproses dengan teliti dan keputusan rayuan akan dimaklumkan mulai 22 Jun manakala pembayaran pula dijangka dibuat mulai 29 Jun," katanya.

- BERNAMA

Jumaat, Mei 01, 2020

Permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) untuk Usahawan IKS


Geran Khas Prihatin (GKP) merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu peniaga kecil dan sederhana di Malaysia dari segi pembayaran bantuan tunai kepada mereka yang layak.

Berapakah jumlah pembayaran bagi geran ini?

RM3000 secara one-off.

Bilakah keputusan GKP akan diketahui?

Anda boleh menyemak keputusan GKP pada awal bulan Jun 2020.

Bilakah pula pembayaran akan dikreditkan?

Pembayaran kepada pemohon yang lulus dijangka dibuat pada bulan Jun 2020.

Bilakah tarikh akhir permohonan ?

Buat permohonan sebelum 15 Mei 2020.

Apakah syarat utama untuk membuat permohonan Geran Khas Prihatin?

Pemohon mestilah mempunyai SSM yang mempunyai fail cukai LHDN atau berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT)

Permohonan boleh dibuat dengan melayari laman web ini: https://gkp.hasil.gov.my/

Selasa, Mac 31, 2020

Semakan Bantuan Prihatin Nasional


SOAL JAWAB BANTUAN PRIHATIN

1. Apakah Bantuan Prihatin Nasional?

Bantuan Prihatin Nasional adalah salah satu bantuan yang disediakan oleh Kerajaan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang akan diberikan secara one-off kepada golongan B40 dan M40.

Pemberian Bantuan Prihatin Nasional bagi golongan B40 adalah berdasarkan pangkalan data Bantuan Sara Hidup.

Manakala Bantuan Prihatin Nasional bagi golongan M40 adalah berdasarkan data percukaian 
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). 

2. Siapakah yang layak menerima Bantuan Prihatin Nasional B40 & M40?

Kategori yang layak menerima Bantuan Prihatin Nasional B40 adalah seperti berikut:

1) Isi Rumah
a) Kahwin; atau
b) Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang ada melaporkan maklumat Anak 
pada permohonan BSH 2020; dan 
c) Pendapatan Isi Rumah adalah RM4,000 dan ke bawah

2) Bujang
a) Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak melaporkan 
maklumat Anak pada permohonan BSH 2020; dan
b) Had umur adalah 21 tahun dan ke atas termasuk kategori warga emas (60 tahun dan ke atas); dan
c) Pendapatan Bujang adalah RM2,000 dan ke bawah.

Kategori yang layak menerima Bantuan Prihatin Nasional M40 pembayar cukai yang berdaftar 
dengan LHDNM yang berstatus adalah seperti berikut:

1) Isi Rumah
a) Kahwin; atau
b) Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda berdasarkan data percukaian; dan
c) Pendapatan agregat bulanan adalah RM4,001 hingga RM8,000 berdasarkan Borang 
Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) terkini.

2) Bujang
a) Individu yang berstatus bujang dalam data percukaian; dan
b) Had umur adalah 21 tahun dan ke atas; dan
c) Pendapatan bulanan adalah RM2,001 hingga RM4,000 berdasarkan Borang Nyata Cukai 
Pendapatan (BNCP).

3) Pembayar cukai yang merupakan warganegara Malaysia yang menetap di Malaysia.

3. Berapakah bayaran Bantuan Prihatin Nasional yang akan diterima bagi golongan B40 & 
M40?

Jumlah bayaran yang akan diterima adalah secara one-off seperti berikut:

Isi Rumah
Pendapatan RM0 – RM4,000 
RM1,000 + RM600 
Jumlah RM1,600

Pendapatan RM4,001 – RM8,000 
RM500 + RM500 
Jumlah RM1,000

Bujang
Pendapatan RM0 – RM2,000 
RM500 + RM300 
Jumlah RM800

Pendapatan RM2,001 – RM4,000 
RM250 + RM250 
Jumlah RM500

4. Bilakah tarikh pembayaran Bantuan Prihatin Nasional B40 & M40 boleh dibuat?

Tarikh pembayaran Bantuan Prihatin Nasional B40 & M40 akan dibuat pada bulan April dan Mei 
2020. 

5. Bagaimanakah kaedah bayaran Bantuan Prihatin Nasional B40 & M40 ini dilaksanakan?

Kaedah bayaran Bantuan Prihatin Nasional B40 adalah seperti berikut: 
Pembayaran sekiranya:

1) Ada maklumat akaun – bayaran adalah secara kredit ke akaun; atau
2) Jika status bayaran adalah gagal kredit – bayaran adalah secara tunai di Bank Simpanan Nasional
3) Tiada akaun – bayaran adalah secara tunai di Bank Simpanan Nasional (BSN)

Kaedah bayaran Bantuan Prihatin Nasional M40 adalah seperti berikut:

1) Bayaran akan dibuat melalui akaun bank yang dinyatakan di dalam BNCP terkini yang telah dikemukakan.

2) Bayaran akan dikreditkan ke akaun bank ketua isi rumah.

3) Jika taksiran bersama telah dipilih semasa mengemukakan BNCP, bayaran akan dikreditkan ke akaun bank atas nama pembayar cukai yang ditaksir.

6. Bagaimana jika akaun bank yang didaftarkan adalah tidak aktif atau tutup?

Bagi Bantuan Prihatin Nasional B40: 
Sekiranya status pengkreditan adalah Gagal Kredit, pembayaran akan dibuat secara tunai melalui 
Bank Simpanan Nasional.

Bagi Bantuan Prihatin Nasional M40: 
Pemohon boleh mengemaskini maklumat akaun bank melalui aplikasi e-Kemaskini
(https://ez.hasil.gov.my/ci/ > e-Kemaskini > Profil Diri) untuk memastikan maklumat akaun bank 
adalah terkini dan aktif. Pastikan akaun bank adalah atas nama penerima.

7. Bila dan bagaimana semakan status penerimaan Bantuan Prihatin Nasional B40 & M40 boleh dibuat?

Penerima yang layak menerima Bantuan Prihatin Nasional B40 & M40 boleh membuat semakan 
status mulai 1 April 2020. Pangkalan data BPN adalah berdasarkan:
1) Untuk B40, senarai penerima BSH yang diluluskan, dan
2) Untuk M40, senarai pembayar cukai pendapatan yang memenuhi kriteria pendapatan BPN 
yang ditetapkan

Semakan status boleh dibuat di Portal Rasmi berikut:
1) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, http://www.hasil.gov.my
2) Bantuan Sara Hidup (BSH), https://bsh.hasil.gov.my
3) Kementerian Kewangan Malaysia, https://www.treasury.gov.my

8. Adakah permohonan baru boleh dibuat sekiranya tidak tersenarai sebagai penerima Bantuan Prihatin Nasional B40 & M40?

Ya. Jika memenuhi kriteria tetapi tidak tersenarai, permohonan baharu Bantuan Prihatin Nasional untuk B40 dan M40 boleh dibuat mulai 1 April 2020 secara dalam talian di Portal Rasmi berikut sahaja:

1) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, http://www.hasil.gov.my
2) Bantuan Sara Hidup (BSH), https://bsh.hasil.gov.my
3) Kementerian Kewangan Malaysia, https://www.treasury.gov.my

9. Apakah dokumen yang diperlukan semasa membuat permohonan rayuan Bantuan Prihatin 
Nasional?

Selain daripada mengisi borang atas talian, pemohon boleh mengemukakan bukti pendapatan. 
Kesemua permohonan akan disemak berdasarkan data agensi yang telah ditetapkan.

10. Bilakah bayaran bagi mereka yang membuat permohonan Bantuan Prihatin Nasional akan dilakukan?

Sekiranya permohonan baharu Bantuan Prihatin Nasional diluluskan, bayaran akan dibuat pada 
bulan Mei 2020 secara sekaligus.

11. Jika pemohon Bujang berstatus Pelajar Sepenuh Masa, adakah layak menerima Bantuan Prihatin Nasional B40 & M40? 

Tidak. Pemohon Bujang yang berstatus pelajar sepenuh masa adalah tidak layak menerima 
Bantuan Prihatin Nasional B40 & M40.

12. Adakah penerima Bantuan Prihatin Nasional B40 & M40 yang berada di pedalaman negeri 
Sabah dan Sarawak akan menerima bayaran pada April 2020?

Tidak. Pembayaran Bantuan Prihatin Nasional B40 bagi penerima Pedalaman di Negeri Sabah 
dan Sarawak akan dibuat secara sekaligus bersekali dengan bayaran Bantuan Sara Hidup 2020.

13. Bagaimanakah kaedah pembayaran Bantuan Prihatin Nasional bagi penerima pedalaman 
di Negeri Sabah dan Sarawak dilaksanakan?

Kaedah pembayaran akan dilaksanakan melalui pembukaan kaunter di kawasan pedalaman 
Negeri Sabah dan Sarawak yang akan diselaraskan oleh Perbendaharaan Malaysia Sabah dan Sarawak melalui Kementerian Kewangan Malaysia. Lokasi dan tarikh akan dimaklumkan 
kemudian.





Sabtu, Mac 28, 2020

Program Subsidi Upah dibuka


Hanya majikan yang tidak membuang pekerja, tidak memotong gaji dan tidak mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji akan memperoleh manfaat Program Subsidi Upah, yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata menerusi inisiatif baharu itu, majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus sejak 1 Januari lalu boleh membuat tuntutan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Majikan boleh membuat tuntutan sebanyak RM600 bagi tempoh tiga bulan untuk setiap pekerja berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah, yang berdaftar dan mencarum dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

“Syarat kelayakan untuk bantuan subsidi di bawah program ini adalah majikan tidak dibenarkan membuang pekerja, memotong gaji dan mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Saravanan berkata, bayaran subsidi akan dikreditkan terus ke dalam akaun majikan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh permohonan termasuk proses kelulusan.

“Permohonan boleh dikemukakan oleh majikan melalui laman www.perkeso.gov.my dan akan dikuat kuasa mulai 1 April ini,” katanya.

Beliau berkata program itu akan memberi manfaat kepada 3.3 juta pekerja swasta negara.

Beliau menjelaskan, Program Subsidi Upah ini adalah penambahbaikan dan perluasan kepada Program Pengekalan Pekerjaan (Employment Retentaion Program, ERP) yang diumumkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 pada 16 Mac lalu.

“Ia membantu majikan mengekalkan pekerja sedia ada tanpa perlu memberhentikan mereka dalam menghadapi cabaran semasa serta meringankan beban yang dialami pekerja pada waktu ini,” katanya.

Selasa, Mac 10, 2020

Senarai Kabinet Malaysia 2020


SENARAI PENUH MENTERI KABINET MALAYSIA 2020

Perdana Menteri : Tan Sri Muhyiddin Yassin

Menteri Kanan – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Timbalan Menteri: Datuk Lim Ban Hong (akan dilantik sebagai senator)

Menteri Kanan – Menteri Pertahanan

Datuk Seri Ismail Sabri Bin Yaakob

Timbalan Menteri: Datuk Seri Sri Ikhmal Hisham Bin Abdul Aziz

Menteri Kewangan

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (akan dilantik sebagai senator)

Timbalan Menteri I: Datuk Abd Rahim Bin Bakeri

Timbalan Menteri II: Mohd Shahar Bin Abdullah

Menteri Kanan – Menteri Kerja Raya

Datuk Seri Fadillah Yusof

Timbalan Menteri: Datuk Dr Shahruddin Bin Md Salleh

Menteri Kanan – Menteri Pendidikan

Mohd Radzi Md Jidin

Timbalan Menteri I: Datuk Mah Hang Soon (akan dilantik sebagai senator)

Timbalan Menteri II: Muslimin Bin Yahaya

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)

Datuk Seri Mustapa Mohamed

Timbalan Menteri: Arthur Joseph Kurup

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas)

Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof

Timbalan Menteri: Datin Mastura Yazid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang)

Datuk Takiyuddin Hassan

Timbalan Menteri: Datuk Eddin Syazlee Shith

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri (akan dilantik sebagai senator)

Timbalan Menteri: Ahmad Marzuk Bin Shaary

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak)

Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili

Timbalan Menteri: Datuk Hanifah Hajar Taib

Menteri Pengangkutan

Datuk Seri Wee Ka Siong

Timbalan Menteri: Hasbi Habibollah

Menteri Alam Sekitar

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Timbalan Menteri: Datuk Ahmad Masrizal Muhammad (akan dilantik sebagai senator)

Menteri Sumber Manusia

Datuk Seri M Saravanan

Timbalan Menteri: Awang Hashim

Menteri Wilayah Persekutuan

Tan Sri Annuar Musa

Timbalan Menteri: Datuk Seri Santhara Kumar

Menteri Wanita dan Keluarga

Datuk Seri Rina Mohd Harun

Timbalan Menteri: Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff

Menteri Pengajian Tinggi

Datuk Noraini Ahmad

Timbalan Menteri: Datuk Mansor Bin Othman

Menteri Tenaga dan Sumber Asli

Datuk Shamsul Anuar Nasarah

Timbalan Menteri: Ali Anak Biju

Menteri Dalam Negeri

Datuk Seri Hamzah Zainuddin

Timbalan Menteri I: Datuk Seri Ismail Mohamed Said

Timbalan Menteri II: Jonathan Yassin

Menteri Kesihatan

Datuk Seri Sri Dr Adham Baba

Timbalan Menteri I: Datuk Dr Noor Azmi Ghazali

Timbalan Menteri II: Datuk Aaron Ago Dagang

Menteri Pertanian dan Industri Makanan

Datuk Seri Ronald Kiandee

Timbalan Menteri I: Datuk Seri Ahmad Hamzah

Timbalan Menteri II: Datuk Che Abdullah Mat Nawi

Menteri Pembangunan Luar Bandar

Datuk Abd Latiff Ahmad

Timbalan Menteri I: Datuk Abdul Rahman Mohamad

Timbalan Menteri II: Datuk Henry Sum Agong

Menteri Luar Negeri

Datuk Seri Hishammuddin Hussein

Timbalan Menteri: Datuk Kamaruddin Jaffar

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

Datuk Alexander Nanta Linggi

Timbalan Menteri: Datuk Rosol Wahid

Menteri Komunikasi dan Multimedia

Datuk Seri Saifuddin Abdullah

Timbalan Menteri: Datuk Zahidi Zainul Abidin

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Zuraida Kamaruddin

Timbalan Menteri: Datuk Seri Ismail Abd Mutalib

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi

Khairy Jamaluddin

Timbalan Menteri: Ahmad Amzad Hashim

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

Datuk Seri Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar

Timbalan Menteri: Datuk Mas Ermieyati Samsudin

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali

Timbalan Menteri I: Datuk Seri Wee Jeck Seng

Timbalan Menteri II: Willie anak Mongin

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan

Datuk Seri Nancy Shukri

Timbalan Menteri: Datuk Jeffrey G. Kitingan

Menteri Perpaduan Negara

Datuk Halimah Mohamed Sadique

Timbalan Menteri: Datuk Seri Tiong King Sing

Menteri Belia dan Sukan

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

Timbalan Menteri: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (akan dilantik sebagai senator)

Barisan kabinet baru menampilkan dua individu bukan ahli politik yang akan dilantik sebagai senator bagi memegang jawatan menteri iaitu Ketua pegawai eksekutif CIMB Group Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan menerajui Kementerian Kewangan dan bekas mufti wilayah persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik sebagai menteri hal ehwal agama.


Recent Posts