Sabtu, Mac 28, 2020

Program Subsidi Upah dibuka


Hanya majikan yang tidak membuang pekerja, tidak memotong gaji dan tidak mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji akan memperoleh manfaat Program Subsidi Upah, yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata menerusi inisiatif baharu itu, majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus sejak 1 Januari lalu boleh membuat tuntutan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Majikan boleh membuat tuntutan sebanyak RM600 bagi tempoh tiga bulan untuk setiap pekerja berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah, yang berdaftar dan mencarum dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

“Syarat kelayakan untuk bantuan subsidi di bawah program ini adalah majikan tidak dibenarkan membuang pekerja, memotong gaji dan mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Saravanan berkata, bayaran subsidi akan dikreditkan terus ke dalam akaun majikan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh permohonan termasuk proses kelulusan.

“Permohonan boleh dikemukakan oleh majikan melalui laman www.perkeso.gov.my dan akan dikuat kuasa mulai 1 April ini,” katanya.

Beliau berkata program itu akan memberi manfaat kepada 3.3 juta pekerja swasta negara.

Beliau menjelaskan, Program Subsidi Upah ini adalah penambahbaikan dan perluasan kepada Program Pengekalan Pekerjaan (Employment Retentaion Program, ERP) yang diumumkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 pada 16 Mac lalu.

“Ia membantu majikan mengekalkan pekerja sedia ada tanpa perlu memberhentikan mereka dalam menghadapi cabaran semasa serta meringankan beban yang dialami pekerja pada waktu ini,” katanya.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts