Adam Zakri (bukan nama sebenar), dua tahun, adalah anak sulung kepada Jamila (bukan nama sebenar), sentiasa aktif dan sihat.
Bulan lalu, Adam mengalami sakit tekak, muntah-muntah dan demam panas melebihi 39 darjah Celsius.
Ketika ibunya memberikannya minuman, badan Adam secara tiba-tiba menjadi kejang dan matanya menjuling ke atas.
'Adam Adam!' Jamila menjerit ketakutan tetapi Adam seperti tidak sedar dan tidak memberi sebarang tindak balas.
Jamila cemas, lantas membuka baju Adam dan mengelap badannya dengan air sehingga suhu badan turun semula.
Selepas beberapa minit, Adam mula merengek dan kembali sedar seperti biasa.
Pensyarah Perubatan (Neurologi), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr
Wan Aliaa Wan Sulaiman, berkata kes yang berlaku ke atas Adam ini adalah
contoh serangan sawan demam (febrile fits) atau dikenali dengan sawan
tarik.
"Serangan ini adalah sejenis penyakit sawan yang berpunca akibat
demam panas dalam kalangan kanak-kanak yang berusia tiga bulan hingga
enam tahun.
"Sawan demam bukan disebabkan masalah lain seperti jangkitan kuman
otak (meningitis) atau ketidakseimbangan garam galian di dalam badan,"
katanya.
Suhu badan terlalu panas
Beliau berkata, sawan demam berlaku apabila suhu badan menjadi
terlalu panas, aktiviti sel otak terganggu yang menyebabkan pesakit
hilang kesedaran, badan, tangan dan kaki menjadi kejang, pergerakan mata
hitam ke atas, air liur meleleh dan terkencing atau termuntah.
Kadangkala katanya, episod kekejangan badan akan disusuli dengan
pergerakan tangan dan kaki yang berulang-ulang. Bagaimanapun, tempoh
sawan selalunya singkat dan tidak melebihi lima minit.
Jika sawan berlarutan melebihi dua minit, panggil ambulans atau bawa
anak segera ke unit kecemasan hospital. Dalam tempoh itu juga, jika anak
anda kembali normal pemeriksaan doktor di hospital masih diperlukan
untuk memastikan anak tidak mempunyai masalah lain yang lebih serius.
"Situasi begini semestinya mencemaskan untuk setiap ibu bapa tetapi
anda dinasihatkan bertenang supaya dapat membantu anak dengan memastikan
mereka berada di tempat selamat dan tiada sebarang bahaya di
sekelilingnya.
"Kenal pasti waktu bermula sawan dan letakkan mereka dalam posisi mengiring ke sebelah kiri," katanya.
"Jangan cuba memasukkan sebarang objek seperti sudu atau jari anda ke dalam mulut walaupun anak mengancing gigi," katanya.
Longgarkan pakaian anak
Berdepan situasi itu, Dr Wan Aliaa berkata, ibu bapa digalak
melonggarkan pakaian anak mereka terutama di sekitar leher dan lap
badannya dengan air bersuhu bilik bagi menghilangkan haba panas badan ke
udara melalui proses penyejatan.
Kanak-kanak yang hanya mengalami sawan demam saja kata beliau,
lazimnya tidak ada masalah atau komplikasi dan berupaya membesar secara
normal tanpa sebarang kesan negatif jangka panjang akibat sawan.
Ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang kerana penyakit ini secara
umumnya tidak bahaya dan tidak akan mendatangkan kesan jangka masa
panjang kronik kepada pesakit.
Tambahan lagi, kebanyakan kanak-kanak yang mengalami masalah sawan
demam tidak lagi akan mengalami masalah ini selepas usia mencecah enam
tahun.
Jejas sistem otak
Namun, ibu bapa perlu mengetahui langkah yang perlu dilakukan ketika serangan sawan demam sebagai langkah awal menanganinya.
Setiap kanak-kanak yang mengalami sawan demam di rumah hendaklah
dibawa ke hospital dengan segera bagi pemeriksaan lanjut oleh doktor.
Bagaimanapun, bagi sesetengah kes yang lebih teruk dengan masa
melebihi 15 minit, sel otak mungkin akan terganggu dan pesakit berisiko
mendapat sawan epilepsi pada masa akan datang.
Sawan yang berlaku bukan susulan daripada demam adalah bukan sawan demam sebaliknya berkemungkinan akibat masalah lain.
INFO
*Setiap 100 kanak-kanak, lima akan mengalami sawan demam.
*Punca
-Demam dengan suhu mencecah 39 darjah selsius.
-Keturunan- selalunya ibu, ayah atau keluarga terdekat juga mempunyai sejarah sawan demam ketika kanak-kanak.
*Adakah sawan demam berulang?
-Terdapat kebarangkalian berulang selepas serangan pertama tetapi selepas usia enam tahun serangan tidak akan berulang.
*Suhu normal:
-Bayi : 36.1 - 37.7 darjah Celsius.
-Dewasa : 36.5 - 37.5 darjah Celsius.
Langkah tambahan menangani sawan
* Sapukan sebarang muntah atau air liur yang keluar.
* Elakkan daripada merendam anak di dalam air kerana selain daripada
faktor keselamatan, ia juga kurang berkesan bagi penurunan suhu.
* Rutin pemeriksaan kanak-kanak sawan demam di hospital?
-Pemeriksaan klinikal.
-Ujian darah atau sinar x (mengenal pasti punca demam dan garam galian cukup dalam badan)
-Sekiranya demam akibat bakteria, rawatan antibiotik diperlukan.
Sekiranya jangkitan virus yang biasa selalunya tidak memerlukan antibiotik.
-Bagi gejala sawan, doktor perlu memastikan yang sawan bukan berpunca dari jangkitan otak.
Bagaimana cara penjagaan anak yang demam di rumah?
-Paracetamol boleh diberi secara berkala tetapi ia tidak akan membendung dari sawan demam.
-Pastikan anak minum air secukupnya.
- Sediakan alat penyukat suhu badan atau termometer dirumah.
-Sekiranya terlalu tinggi melebihi 39 selsius, kaedah terbaik adalah tuam atau lapkan dengan air bersuhu bilik atau suam kuku.
-Ubat punggung (suppository) boleh menurunkan suhu badan dengan cepat.
Apakah kesan jangka masa panjang sawan demam?
-Tiada sebarang kesan negatif jangka panjang akibat sawan.
-Sesetengah kes lebih teruk dengan jangkamasa melebihi 15 minit, sel
otak mungkin akan terganggu dan pesakit berisiko untuk mendapat sawan
epilepsi pada masa akan datang.
Sumber : Berita Harian