Sabtu, Oktober 01, 2016

Pelajar Hilang Di Paris Dijumpai



Ibu kepada pelajar Malaysia yang hilang di Paris baru-baru ini memaklumkan beliau sudah berhubung secara terus dengan anaknya Nur Sakinah Naim, 19, melalui telefon dan WhatsApp.

Bagaimanapun Nur Halizah Ahmad, 43, berkata beliau masih belum mengetahui kejadian sebenar yang berlaku sehingga menyebabkan penuntut Universitaire de Technologie (IUT), Rouen, Normandy itu menghilangkan diri selama beberapa hari.

"Tak tahulah nak kata apa. Saya pun tidak jumpa dia lagi, jadi saya tak mahu tanya macam-macam takut dia tertekan. Dia cuma beritahu dia sihat," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Masjid, Tikam Batu dekat sini, Jumaat.

Nur Shakinah Naim, 19, dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu dan kembali ke kediamannya di Paris semalam. Khabar gembira itu disampaikan wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang berkunjung ke rumah keluarga itu di sini, Khamis.

Terdahulu Umno Bahagian Sungai Petani yang diwakili Naibnya, Mohd Rodhi Rejab menyampaikan tiket penerbangan pergi-balik ke Perancis kepada Nur Halizah dan suaminya Naim Awang, 46, yang mereka dijadual berlepas ke Paris Ahad ini.

Mohd Rodhi berkata pembiayaan termasuk kos penginapan, makan dan minum yang ditaja sepenuhnya Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad yang akan turut mengiringi mereka ke Perancis.

Pasangan tersebut akan bertolak ke Kuala Lumpur esok sebelum menaiki penerbangan pada pukul 2.10 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba di Paris pada 1.30 petang (waktu tempatan).

Sementara itu Naim berterima kasih atas bantuan yang dihulurkan sehingga  membolehkan beliau dan isterinya bakal bertemu anak mereka di Paris dan  seterusnya mengetahui lebih lanjut perkara yang menimpa anaknya.

"Sama ada kami akan membawa Nur Shakinah pulang bersama atau tidak, itu saya belum dapat membuat sebarang keputusan kerana kami perlu berbincang dulu.

"Saya memang mahu dia balik ke sini terlebih dahulu untuk tenangkan fikirannya," katanya.

- Bernama

Persepsi Buruk Rakyat Faktor Ranking Ekonomi Malaysia Turun



Persepsi buruk yang diberikan oleh rakyat Malaysia dipercayai menjadi punca ranking negara ini menurun dalam Laporan Kompetitif Global Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Malaysia turun enam anak tangga pada kedudukan ke-25, jauh ketinggalan di belakang negara jiran, Singapura yang menduduki senarai kedua.

Laporan tersebut dirumuskan berdasarkan tinjauan umum yang melibatkan 70 peratus daripada laporan manakala maklumat kerajaan hanya meliputi 30 peratus.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, jumlah peratusan tersebut antara faktor ranking Malaysia menurun.

"Sebanyak 70 peratus markah dalam tinjauan itu berdasarkan persepsi. Saya terpaksa katakan bahawa di Singapura, mereka mendapat markah tinggi kerana rakyatnya memberi komen yang bagus tentang negara mereka.

"Kita perlu mendidik rakyat berbuat demikian apabila menerima tinjauan tersebut," katanya di sini pada Khamis.

Selain itu, Ka Chuan menyeru rakyat Malaysia untuk berkata benar tanpa dipengaruhi emosi memandangkan penurunan ranking dalam WEF akan menggugat minat pelabur asing ke negara ini.

Berdasarkan laporan WEF, Malaysia perlu mengatasi isu pentadbiran kerajaan, rasuah, kesihatan dan pendidikan utama kepada rakyat.

Malaysia turut mengalami penurunan paling buruk dalam bidang kesihatan dan pendidikan utama apabila turut sebanyak 20 tangga ke senarai ke-44 pada 2016 berbanding tangga ke-24 sebelum ini.

Sehubungan dengan itu, Ka Chuan berkata, satu mesyuarat melibatkan beberapa kementerian akan diadakan pada Jumaat depan untuk membincangkan kandungan laporan itu dan merancang perubahan bagi menaikkan semula ranking Malaysia.

- mSTAR

Kontroversi PhD: Azizan Osman 'Kunci Mulut'



Penceramah motivasi popular, Azizan Osman masih berdiam diri mengenai kontroversi kelayakan akademiknya selepas Universiti Malaya (UM) menafikan menganugerahkan ijazah doktor kehormat kepadanya.

Sehingga kini Azizan gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan.

Sebaliknya, firma yang diasaskan Azizan - Richworks Group of Companies tampil menyatakan kekesalan berhubung kontroversi berkenaan.

"Merujuk kepada kenyataan  Universiti Malaya, kami ingin memaklumkan bahawa kami mengambil perkara ini secara serius.

"Kami juga telah memohon untuk penjelasan lanjut dan sebaik sahaja proses ini berakhir, kami akan memaklumkan secara umum. Kami kesal di atas kesulitan yang mungkin berlaku," demikian menurut syarikat itu menerusi kenyataan pada Khamis malam.

Menurut syarikat itu lagi, pihak mereka akan menangani perkara berkenaan dengan sebaik mungkin.

Sebelum ini UM menafikan pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Azizan.

Ia susulan kekecohan yang dibangkitkan netizen sebelum ini mengenai kelayakan akademik Azizan apabila beliau sendiri mendakwa telah dianugerahkan gelaran doktor kehormat oleh UM di atas "kerja keras, dedikasi, sumbangan dalam pembangunan usahawan di Malaysia, terutamanya bumiputera".

- mSTAR

IUKL Tidak Pernah Beri Anugerah Ijazah Sarjana, PHD Kepada Azizan


Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL) menjelaskan universiti itu tidak pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) kepada pengasas syarikat Richworks International Sdn Bhd Azizan Osman.

 "IUKL ingin mengesahkan bahawa Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan PhD tidak dianugerahkan kepada Encik Azizan Osman seperti yang didakwa di media sosial," menurut universiti itu dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya.

Menurut kenyataan itu adalah diharap kenyataan tersebut menyelesaikan kekeliruan berikutan dakwaan itu.

Pada Khamis, Universiti Malaya (UM) turut memaklumkan tidak pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Azizan.  

UM dalam kenyataan semalam memberi penjelasan berhubung status gelaran berkenaan yang didakwa dianugerahkan oleh universiti berkenaan kepada Azizan sepertimana dibangkitkan dalam laman media sosial.

Richworks, yang ditubuhkan pada 2008, merupakan sebuah syarikat penganjuran seminar berkaitan pembangunan kemuncak prestasi dalam bidang perniagaan dan keusahawanan serta pembelian barangan dalam talian.  

Sementara itu, Richworks dalam kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi Azizan, berkata syarikat itu kesal atas kesulitan tersebut dan akan menangani perkara itu sebaik mungkin.  

Azizan juga adalah pengasas, pengerusi eksekutif dan pengarah urusan kumpulan syarikat Richworks.

- Bernama

Jumaat, September 30, 2016

Desa Water Park Ditutup 1 Oktober 2016



30 September 2016 merupakan hari terakhir operasi taman tema air, Desa Water Park.

Taman tema air popular yang terletak di Taman Danau Desa, Jalan Kelang Lama di Kuala Lumpur akan ditutup selepas beroperasi selama 16 tahun.

Tanah itu dijual kepada pembida tertinggi.

Kini timbul persoalan apa yang akan dibina di kawasan itu?

Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memiliki tanah seluas 16.99 hektar itu, tanah tersebut akan dibangunkan dengan pembangunan bercampur terdiri daripada banglo mewah, menara bertingkat dan kondominium serta Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip).

Tapak tanah taman tema air itu terletak bersebelahan dengan Desa Tasik.

"DBKL menjual tanah itu kepada pembida tertinggi," kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abd Aziz.

Walaupun Mohd Amin tidak berkongsi maklumat lain berkaitan projek itu, StarMetro difahamkan ia adalah penjualan secara terus dan DBKL tidak lagi mempunyai kaitan dengan tanah tersebut.

"Ia dijual dengan syarat pemaju bersetuju membina rumah mampu milik di tapak tanah itu," kata sumber DBKL.

Difahamkan Berjaya Corp yang mengendalikan Desa Water Park dan menyewakan salah sebuah bangunan itu kepada Restoran Dragon Hut diberi notis untuk mengosongkan premis tersebut pada 30 September ini oleh DBKL.

DBKL memajak tanah itu kepada Berjay Corp.

Ketika dihubungi, seorang kakitangan jabatan komunikasi korporat Berjaya Corp berkata mereka tidak lagi mempunyai kaitan dengan Desa Water Park dan atas sebab itu tidak mahu mengulas lanjut mengenainya.

StarMetro berjaya menghubungi pemilik baharu tanah itu, Aset Kayamas Sdn Bhd yang mengesahkan mereka membeli tanah tersebut dari DBKL baru-baru ini.

"Ya kami membeli tanah itu sejak dua bulan lalu. Pelan di tanah itu masih diperingkat reka bentuk dan rancangan.

"Ia akan menjadi satu pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan sebanyak RM6 bilion hingga RM7 bilion.

"Kami mengambil kira keperluan untuk membina rumah mampu milik serta memanfaatkan kawasan tasik," kata Pengarah Eksekutifnya, Michael Chai.

- mSTAR

Soalan PT3 Berkaitan Kondom Jadi Bualan



Satu soalan berkaitan kondom dalam peperiksaan percubaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) hangat diperkatakan di laman media sosial.

Soalan peperiksaan percubaan PT3 bagi mata pelajaran Sains itu bertanya maklum balas mengenai penjualan kondom.

Soalan itu berbunyi: "Jualan kondom secara terbuka akan membawa kesan negatif yang menyebabkan masalah sosial. Adakah anda bersetuju? Sila jelaskan.

Jawapan pelajar itu didakwa berbunyi: "Tidak. Kondom adalah satu langkah mengawal kelahiran yang diperlukan untuk mencegah kehamilan.

Namun, pemeriksa yang menyemak kertas soalan itu menandakan jawapan tersebut salah.

Bercakap kepada pemberita selepas pertandingan akhir Game4Life untuk sisipan pendidikan akhbar The Star, Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon berkata: "Mari kita siasat dan lihat apa masalah sebenar. Sesuatu tidak kena kerana kondom digunakan untuk mencegah kehamilan.

Chong berkata soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) itu adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan malaysia 2013-2025.

"KBAT memerlukan pelajar mempertahankan pendapat mereka ketika menjawab soalan-soalan tersebut. Kita perlu menghormati maklum balas mereka," katanya.

Bekas Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPKKN) Datuk Dr Raj Karim menyifatkan tindakan menandakan salah pada jawapan tersebut sebagai tidak adil.

"Kami sentiasa mengatakan bahawa kita perlu mengajar pendidikan seks atau pendidikan kehidupan keluarga di sekolah dan kanak-kanak untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat dan selamat.

"Ia tidak bermakna anda perlu mengajar mereka mengenai perancangan keluarga, tetapi anda meminta mereka untuk mengamalkannya di kemudian hari.

"Walaupun pendidikan sedia diajar semasa mata pelajaran Biologi, pelajar tidak diajar mengenai fakta utama. Guru mungkin atau tidak mahu bercakap mengenainya atau hanya meminta pelajar membacanya sendiri," kata Dr Raj.

Goh Seng Chui, 46, yang anak perempuan menduduki PT3 tahun depan juga berkata adalah tidak adil bagi pemeriksa untuk menandakan jawapan itu sebagai tidak tepat.

"Soalan berbentuk pendapat tidak mempunyai jawapan tetap yang digunakan guru.

"Saya rasa masalah berlaku kerana pemikiran sempit guru terbabit, bukan soalan itu atau bagaimana cara pelajar menjawabnya," kata Seng Chui.

- mSTAR

Khamis, September 29, 2016

UM Nafi Beri PhD Kepada Azizan Osman



Penceramah motivasi popular, Azizan Osman tidak pernah dianugerahkan ijazah doktor kehormat daripada Universiti Malaya (UM), kata universiti itu.

"Pihak universiti dengan ini menegaskan bahawa kami tidak pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Encik Azizan Osman.

"Semoga penjelasan ini dapat menjawab kekeliruan yang timbul dikalangan masyarakat berkaitan dakwaan tersebut," kata UM menerusi kenyataan pada Khamis.

Netizen sebelum ini mempersoalkan mengenai kelayakan akademik Azizan apabila beliau sendiri mendakwa telah dianugerahkan gelaran doktor kehormat oleh UM di atas "kerja keras, dedikasi, sumbangan dalam pembangunan usahawan di Malaysia, terutamanya bumiputera".

Laman web Azizan (azizanosman.com) merujuk beliau sebagai "Dr Azizan Osman" kerana mempunyai PhD dalam bidang pengurusan dari sebuah universiti tempatan.

Sementara itu, laman web firmanya - Richworks Group of Companies menyatakan bahawa beliau adalah pemegang PhD Kehormat dalam bidang keusahawanan daripada UM.

The Star cuba untuk menghubungi Azizan untuk penjelasan.

- mSTAR

Debat Calon Presiden Amerika Pusingan Pertama - 29 September 2016



Calon-calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dari parti Demokrat, Hillary Clinton, dan dari parti Republikan, Donald Trump, masing-masing berdebat mengenai ekonomi, mempersoal polisi luar negara masing-masing dan saling mencelah hujah beberapa kali dalam perdebatan Presiden Amerika Syarikat yang pertama pada 29 September 2016.

Selepas bertemu dan berjabat tangan serta bertukar senyuman, kedua-dua pesaing terus berentap. Clinton memanggil polisi cukai Trump sebagai 'Trumped-up trickle-down' sebagai mengejek polisi beliau yang tidak memberi banyak manfaat untuk rakyat, lapor Reuters.

Trump pula menuduh bekas Setiausaha Negara itu sebagai seorang yang omong kosong namun tiada tindakan diambil bagi melaksanakannya.

Masing-masing menuduh bahawa fakta mereka diputar belit dan salah dan ini membuatkan penonton menyemak laman web mereka bagi mendapatkan fakta sebenar. Hillary memanggil beliau Donald dan Trump memanggil Hillary sebagai Setiausaha Clinton.

“Saya merasakan bahawa saya akan dipersalahkan atas segalanya,” ujar Clinton, wanita pertama yang memenangi pencalonan presiden dalam parti politik utama AS.

“Kenapa tidak?” Trump membalas.

Sebaik sahaja debat dimulakan, mereka mengeluarkan kesemua hujah bagi visi ekonomi AS.

“Jenis rangka pelan yang Donald telah utarakan adalah untuk menjatuhkan semula ekonomi dan ini merupakan versi paling ekstrem, pemotongan cukai terbesar bagi peratusan rakyat tertinggi dalam negara ini yang pernah kita lakukan.

"Saya menggelarkannya Trumped-up trickle-down, kerana itu adalah apa yang bakal terjadi," kata
Clinton.

Polisi perdagangan

Trump, seorang taikun hartanah dan bekas bintang program realiti televisyen yang tidak pernah memegang jawatan dalam kerajaan, mengkritik Clinton atas polisi perdagangan.

Menurutnya, Clinton akan tetap meluluskan perjanjian perdagangan kontroversi dengan negara-negara Asia walaupun menentang idea itu sebagai calon.

“Anda memang menyokongnya. Kemudian anda dengar apa yang saya katakan mengenai betapa buruk perjanjian itu, dan anda berkata, ‘Saya tidak boleh menang perdebatan mengenainya’. Namun anda tahu jika anda menang, anda akan meluluskannya,” ujar Trump.
Clinton bagaimanapun menolak kritikan tersebut.

“Donald, saya tahu anda hidup dalam realiti sendiri, namun itu bukan faktanya,” katanya.

Clinton, 68, memakai persalinan pantsuit merah, manakala Trump, 70, memakai sut gelap dan tali leher biru dalam pertemuan debat yang menandakan perlumbaan yang semakin sengit ke White House.

Moderator Lester Holt ‘bertungkus-lumus’ untuk mengendalikan kedua-dua calon, dengan peralihan beberapa topik seperti polisi perdagangan, penentangan terhadap Daish dan tuduhan Trump mengenai Clinton yang mendedahkan banyak maklumat di laman webnya tentang kaedah untuk mengatasi kumpulan pengganas berkenaan.

Rabu, September 28, 2016

Pelajar Nur Shakinah Naim Hilang di Paris



Kedutaan Malaysia di Paris terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa Rouen berkaitan kes seorang pelajar Malaysia, Nur Shakinah Naim, yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Perancis.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata Kementerian Luar telah menerima laporan rasmi tentang kes kehilangan pelajar itu.

Menurut kenyataan itu, pelajar terbabit hilang dari kediamannya sekitar tengah hari pada 25 September, dan perkara ini telah dilaporkan oleh rakan serumahnya kepada pejabat kedutaan Malaysia pada malam sama.

Sebaik sahaja menerima laporan itu, seorang wakil kedutaan berlepas ke Rouen, Normandy, untuk menyelaraskan prkara itu dan melaporkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan.

"Ini dilakukan pada hari sama, dan usaha sedang dijalankan dengan bantuan agensi tempatan untuk mengesan pelajar itu," menurut kenyataan itu.

Kenyataan Wisma Putra turut menyebut bahawa pejabat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di kedutaan itu mengesahkan bahawa Nur Shakinah, 19, adalah pelajar kejuruteraan di Universitaire de Technologie, Rouen, Normandy, dan merupakan pelajar tajaan JPA.

Ibu bapa Norshakinah Naim yang hilang di Rouen, kira-kira 140 kilometer (km) dari Paris pada sambutan hari lahirnya enam hari lalu akan berlepas ke Perancis untuk membantu operasi mencari anak perempuannya itu.

Bapa pelajar berusia 19 tahun itu, Naim Awang, 46, berkata mereka akan membawa Nurshakinah pulang ke tanah air sebaik sahaja dia ditemui supaya dia boleh menyambung pengajiannya di dalam negara.

Beliau percaya anak perempuannya itu tidak selesa belajar di Perancis kerana dia berdepan beberapa masalah dalam menguasai bahasa tersebut sebaik tiba di sana.

Kedutaan Malaysia dimaklumkan mengenai berita kehilangan Nurshakinah oleh rakan sebiliknya yang menyedari dia hilang selepas telefon bimbitnya dijumpai di bilik sewa kediaman mereka sejak Jumaat.

Naim berkata kali terakhir Norshakinah berhubung dengan keluarganya adalah pada hari lahirnya dan berbual dengan ibunya, Nor Halizah Ahmad.

Katanya, dia berbual seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik.

"Malah dia kedengaran ceria dan tidak kelihatan mempunyai masalah. Dia adalah anak yang baik dan cemerlang dalam pelajaran," katanya.

Naim berkata mereka sekeluarga cuba menghubungi Norshakinah pada Sabtu tetapi telefon bimbitnya tidak dijawab rakan sebiliknya yang memaklumkan dia tidak pulang ke rumah sewa.

"Sebagai bapa, saya perlu mencarinya.

"Saya dan isteri akan berlepas ke Paris pada Sabtu. Kami amat berterima kasih kepada Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad yang menaja tiket penerbangan kami," katanya yang bekerja sebagai petani di Kampung Masjid, Tikam Batu, dekat sini, Rabu.

Naim berkata Norshakinah pulang ke tanah air dari Paris bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga pada Julai lalu dan bergembira bersama-sama keluarga.

"Norshakinah ada beritahu kami bahawa dia okay di sana, tidak seperti kali pertama dia tiba di Paris," kata bapa enam anak itu.

Anak kedua daripada enam beradik itu yang merupakan lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Pekula, Tikam Batu memperoleh 10A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2014.


- Bernama

Ahad, September 25, 2016

Kemunculan Proton Saga Baru



Proton Saga baharu generasi ketiga dijangka laris dengan pembuat kereta nasional menyasarkan jualan 5,000 unit sebulan.

Harga yang ditawarkan adalah antara RM37,000 dan RM46,000.

Kemasukan kereta sedan empat pintu itu ke peringkat baharu ini akan dilancarkan secara rasmi pada Rabu di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam.

Seorang pegawai berkata Saga baharu itu telah direka untuk menawarkan harga berpatutan, jimat bahan api, bergaya, luas dan lebih praktikal serta memberikan keselesaan.

"Kami menyasarkan orang perseorangan dan eksekutif muda berusia antara 20 dan 30 tahun. Model terbaru ini adalah lebih cekap bahan api sehingga 11 peratus dan memberikan pemanduan yang lebih lancar," katanya.

Ia mempunyai enjin 1.3 liter pemasaan injap bervariasi  dan transmisi variasi berterusan.

Varian transmisi manual lima kelajuan juga disediakan.

Kereta itu menggunakan platform yang sama seperti Saga Base Line Model tetapi lebih panjang dan lebar sedikit serta lebih rendah.

Seperti Persona baharu, Saga baharu ini juga bakal mempunyai tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium.

Sistem brek cegah-kunci dan bantuan brek kecemasan hanya terdapat pada varian Executive dan Premium.

Semua varian Saga mempunyai penarafan keselamatan empat bintang (maksimum lima bintang) dari Program Penilaian Kereta Baharu Asean untuk negara-negara Asia Tenggara.

- mSTAR

Pengeluaran KWSP Untuk Pendidikan Naik Mendadak


Platform dalam talian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merangkumi i-Akaun, kiosk KWSP dan myEPF, terus menjadi mod transkasi pilihan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, KWSP berkata, prestasi operasi 2016 suku keduanya menyaksikan penggunaan i-Akaun setakat Jun tahun ini meningkat 44.26 peratus kepada 4.81 juta berbanding 3.33 juta pada suku kedua 2015.

Jumlah penggunaan Kios KWSP ketika suku di bawah kajian meningkat 25.87 peratus kepada 3.47 juta berbanding 2.75 juta sebelum ini.

Penggunaan kemudahan dalam talian e-Pengeluaran melonjak selepas ia diperluas untuk memasukkan permohonan bagi pengeluaran pendidikan dan kesihatan pada April, di samping pengeluaran untuk perumahan, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, perkhidmatan KWSP telah berubah pesat bagi disesuaikan dengan masa dan harapan ahlinya.

"Kemudahan e-Pengeluaran adalah bahagian perniagaan dan transaksi yang berkembang kerana ia menawarkan lebih banyak kemudahan kepada ahli mengemukakan permohonan pengeluaran mereka.

"Bank yang terlibat dalam e-Pengeluaran telah juga melaporkan pengurangan besar dalam masa yang diambil serta meningkatkan produktiviti harian," katanya.

Bank yang menyertai e-Pengeluaran pada masa ini termasuk Maybank, RHB Bank, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional, OCBC Bank, Ambank, UOB Bank dan CIMB Bank.

Shahril Ridza berkata, KWSP berusaha untuk menambah bilangan bank yang terlibat dalam e-Pengeluaran bagi membolehkan lebih ramai ahli mendapat manfaat daripada kemudahan dalam talian itu.

Setakat akhir Jun 2016, e-Pengeluaran telah meluluskan 18,707 permohonan untuk pengeluaran pendidikan sejak kemudahan dalam talian itu diperkenal April lepas.

"Keseluruhan permohonan diluluskan untuk pengeluaran pendidikan pada suku kedua 2016 menyaksikan peningkatan mendadak 200.43 peratus kepada 60,931 melibatkan RM370.39 juta berbanding 20,281 permohonan yang diluluskan bernilai RM96.86 juta pada tahun sebelumnya," katanya.

Shahril Ridza berkata, jumlah pemohon untuk pengeluaran simpanan persaraan secara berperingkat juga meningkat berikutan peningkatan kesedaran di kalangan ahli yang mengiktiraf manfaat menyimpan untuk tempoh lebih panjang di samping memperoleh dividen tahunan.

Suku di bawah kajian menyaksikan kenaikan 12.64 peratus dalam permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 55 kepada 91,111 daripada 80,890 dalam tempoh yang sama pada 2015.

Jumlah yang dikeluarkan di bawah skim itu ialah RM2.70 bilion berbanding RM3.12 bilion pada suku kedua 2015, katanya.

"Sebaliknya, jumlah permohonan dilulus untuk Pengeluaran Penuh Umur 55 pada suku kedua 2016 jatuh 8.56 peratus kepada 54,946 berbanding 60,087 permohonan tahun lalu," katanya.

Sementara itu, jumlah permohonan dilulus untuk pengeluaran perumahan turun kepada 111,169 pada suku kedua 2016 melibatkan RM1.62 bilion, berbanding 111,898 pada suku kedua 2015.

Keseluruhannya, jumlah ahli KWSP meningkat 3.05 peratus kepada 14.80 juta (suku kedua 2016) berbanding 14.38 juta (suku kedua 2015), di mana 6.85 juta atau 46.33 peratus adalah ahli aktif.

Jumlah majikan yang baru mendaftar pada suku di bawah kajian merosot 19.17 peratus daripada 18,903 (suku kedua 2015) kepada 15,279 pada suku kedua 2016, menjadikan majikan setakat 30 Jun 2016 berjumlah 539,291.

Sehingga akhir Jun 2016, kadar majikan ingkar adalah stabil pada 1.10 peratus, katanya.

"Seiring dengan pertambahan ahli, komitmen kami juga meningkat untuk memberi perkhidmatan yang lebih cepat, mudah dan menjimatkan kos dan kami menggalakkan lebih ramai ahli mendaftar untuk i-Akaun bagi memanfaatkan kemudahan berkenaan.

"i-Akaun juga membolehkan ahli memastikan majikan mereka mencarum bagi pihak mereka secara tetap dan tepat pada masanya," tambah beliau.

- Bernama

Peminjam PTPTN Kini Disenarai Hitam


Kira-kira 1.3 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) akan disenaraikan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), di mana ia akan memberi kesan kepada penarafan kredit jika mereka gagal membayar pinjaman pelajaran pada masa yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Oeprasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, sebaik sahaja disenaraikan dalam CCRIS, penarafan kredit seseorang mungkin akan 'jatuh menjunam' apabila seseorang itu dianggap tidak membuat atau menunjukkan rekod pembayaran dengan baik.

Ini boleh membawa kepada institusi kewangan mengambil langkah menafikan pinjaman mereka atau kemudahan kredit lain.

Beliau menambah, semua peminjam PTPTN akan disenaraikan dalam CCRIS sebaik sahaja tiba masanya untuk mereka mula membuat pembayaran balik, iaitu enam bulan selepas tamat pengajian.

"Apabila seseorang itu sepatutnya mula membayar balik, kami akan menyenaraikan nama mereka dalam CCRIS," katanya kepada The Star, Jumaat.

Sejak ia ditubuhkan pada 1997 sehingga Julai tahun ini, terdapat seramai 2.49 juta peminjam PTPTN.

PTPTN menawarkan pinjaman dari pengajian peringkat diploma ke peringkat PhD.

Walau bagaimanapun, untuk nama seseorang disenaraikan dalam CCRIS adalah satu perkara yang neutral, kerana sesiapa sahaja yang mempunyai kad kredit, gadai janji, pinjaman kenderaan, atau apa-apa bentuk pinjaman dari institusi kewangan berlesen akan disenaraikan dalam pangkalan data ini yang ditadbir oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia.

"Oleh itu, apabila nama seseorang berada dalam CCRIS ia tidak bermaksud sebagai satu 'hukuman' dan mereka yang kerap membayar balik PTPTN tidak perlu bimbang jika mereka disenaraikan dalam CCRIS kerana rekod mereka akan 'bersih'," kata Mastura.

"CCRIS adalah pangkalan data yang digunakan oleh institusi kewangan untuk menilai mereka yang membuat permohonan pinjaman. Jika mereka seorang pembayar yang baik, maka permohonan pinjaman mereka akan diluluskan," katanya.

Mastura mendedahkan bahawa sejak PTPTN mula menggunakan CCRIS pada 2015, lebih ramai peminjam telah tampil untuk berunding mengenai mod pembayaran balik yang lebih meringankan.

Walau bagaimanapun, PTPTN masih belum mengambil jalan keluar dengan menyenaraikan peminjam di sistem persendirian yang dikendalikan Credit Tip Off Services Sdn Bhd (CTOS).

Bergantung kepada kursus dan institusi, jumlah pinjaman maksimum mungkin berbeza, dari RM4,750 ke RM30,000 setahun.

Mastura berkata peminjam sepatutnya mula membayar balik pinjaman enam bulan selepas tamat pengajian walaupun tiada notis dihantar dari PTPTN.

Laman web PTPTN menyatakan bahawa notis itu hanya akan dihantar pada bulan ketujuh selepas tamat pengajian.

Sejak penubuhannya, beliau berkata seramai 1.2 juta peminjam sama ada telah membayar sepenuhnya atau telah membayar pinjaman mereka.

Selain menggunakan CCRIS, PTPTN juga menjejaki peminjam dengan memasukkan nama mereka dalam senarai Jabatan Imigresen orang yang dilarang ke luar negara, yang bermula pada tahun 2008.

Sehingga kini, 111,001 orang telah disekat daripada pergi ke luar negara kerana mereka gagal membuat pembayaran pinjaman PTPTN.

Mastura berkata sejak senarai hitam perjalanan itu dilaksanakan, kira-kira 40 peratus daripada peminjam telah menghubungi PTPTN untuk berunding semula pembayaran balik mereka atau untuk menjelaskan jumlah yang tertunggak.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan peminjam bahawa mereka harus memberikan masa sekurang-kurangnya tujuh hari bekerja untuk PTPTN mengeluarkan nama mereka daripada senarai hitam perjalanan.

PTPTN juga tidak akan mengambil langkah mengheret peminjam ke mahkamah.

Justeru, Mastura menggesa peminjam untuk membayar pinjaman mereka sebaik sahaja mereka menerima gaji pertama mereka.

"Jika gaji anda terlalu rendah, anda boleh datang kepada kami untuk menyusun semula pinjaman anda," katanya.

Bagaimanapun katanya langkah itu hanya akan menjadikan tempoh pembayaran balik menjadi lebih panjang.

Bulan lalu, Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah juga mengumumkan pinjaman penuh tidak lagi boleh diberikan kerana rekod buruk pembayaran balik.

Katanya hanya RM8 bilion telah berjaya dibayar semula dari RM56.4 bilion yang dikeluarkan sejak 1997.

Botol air eksklusif 125 tahun Shell Malaysia



Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-125 Shell Malaysia (Shell), syarikat minyak dan gas itu melancarkan botol air mineral edisi terhad Select water2go.

Direka oleh pereka bentuk tempatan, Cheeming Boey, setiap botol air mineral berkenaan menceritakan mengenai sejarah dan pencapaian Shell Malaysia sepanjang tempoh itu bermula dengan penemuan telaga minyak pertama Shell pada tahun 1910 di Miri, Sarawak, pembukaan stesen minyak Shell pertama di Klang, pelancaran Shell V-Power serta projek penyelidikan dan konservasi di Lembah Danum, Sabah.

Pengurus Besar Peruncitan Shell Malaysia dan Brunei, Shairan Huzani Husain berkata, pelancaran rupa baharu botol air mineral tersebut adalah usaha Shell untuk berkongsi sejarah dan pencapaian syarikat menggunakan karektor yang terdapat di dalam buku tulisan Boey, When I was a Kid.

“Kami berharap dengan inisiatif ini, ia akan mampu mengangkat karya seni selain merapatkan hubungan syarikat dengan pelanggan pada satu tahap yang lebih akrab.

“Kami juga ingin rakyat negara ini memiliki dan membawa pulang sebahagian daripada sejarah Shell ke rumah mereka.

“Namun, apa yang lebih penting, kami menyasarkan untuk melihat rakyat Malaysia sentiasa maju ke hadapan dan terus memiliki semangat yang membara,” katanya.

Botol air mineral edisi terhad itu boleh didapati di Shell Select atau kedai Shell pada harga RM1.70 sebotol.

Sebelum ini, Boey pernah bekerjasama dengan Shell menerusi projek seni mural bertajuk ‘Menyambut Ulang tahun Ke-125’ bagi menggambarkan budaya di Malaysia.

Kini, dengan kerjasama dengan kedai buku MPH, Shell menganjurkan peraduan eksklusif yang memerlukan pelanggan membeli karya Boey tersebut di mana-mana kedai Shell Select terpilih untuk berpeluang memenangi hadiah beg edisi terhad yang direka dan ditandatangani oleh Boey sendiri.

Pelanggan hanya perlu menulis nama penuh dan nombor telefon mereka di belakang resit pembelian dan meletakkannya di dalam kotak peraduan di kedai Shell Select antara 1 September hingga 30 November ini.

- Kosmo!

Fikir dulu sebelum viral sesuatu berita


Beberapa tahun kebelakangan ini, istilah viral biasa disebut di mana-mana sahaja.

Begitupun, pada hari ini, bahan-bahan viral turut menjadi berita kepada kita semua.

Ketika kempen pemilihan presiden Amerika Syarikat pada tahun 2008, video Yes We Can yang dicipta oleh penyokong Barack Obama telah ditonton lebih 20 juta manusia yang menjadikan beliau popular.

Malah, video itu sememangnya dibangunkan agar ia menjadi viral dan ditatap oleh orang lain.

Bagaimanapun, kini kebanyakan perkara seboleh-bolehnya diviralkan, daripada cerita pelajar sekolah yang tidak mampu menyebut huruf sehinggalah berita palsu kematian tokoh atau artis tertentu.

Ada viral yang mungkin memberikan manfaat selain menyebabkan orang lain teraniaya.

Walaupun tujuan asal sekadar suka-suka, tetapi akhirnya ia memalukan orang yang terlibat apabila ia menjadi berita besar.

Viral mengenai pelajar sekolah yang gagal menyebut perkataan dengan baik atau menghasilkan kraf tangan yang janggal boleh menjadi bahan yang dibualkan di kedai kopi.

Bagaimanapun, apabila ia menjadi viral di internet, ia mendapat reaksi pelbagai daripada pembaca, termasuk komen-komen menghina.

Pada akhirnya, mereka yang memulakan viral mungkin boleh melepaskan diri, tetapi mangsanya pula mendapat malu.

Ada pula gambar atau video yang sengaja diviralkan untuk mendapat simpati. Misalnya, bantuan derma untuk rawatan perubatan atau kos pengajian.

Tujuan

Tujuannya mungkin baik, tetapi ia memberikan kesan yang lain pula. Ini berlaku apabila ada gambar pesakit yang diambil dalam keadaan tidak sesuai untuk digambarkan, termasuk kesan luka atau membuka aurat.

Begitu juga dengan gambar rumah yang uzur atau persekitaran hidup sangat daif.

Walaupun tujuan asalnya baik, namun apabila ada hal-hal yang tidak dijaga, imej-imej ini akan terus menjadi rekod yang boleh ditatap oleh warga maya seluruh dunia.

Bayangkan jika kita sendiri yang berada dalam imej atau menjadi antara orang yang diberitakan di dalam viral itu. Adakah kita sanggup menviralkan imej atau berita yang memberikan kesan negatif tersebut?

Jika kita tidak sanggup melakukannya untuk diri sendiri, jadi janganlah pula kita melakukannya untuk orang lain.

Beberapa kajian psikologi menunjukkan ada kecenderungan viral ini berlaku mengikut situasi emosi seseorang.

Misalnya, sekiranya seseorang itu sedang bergembira, maka biasanya mereka akan berkongsi berita atau imej yang bersifat positif.

Sebaliknya, sekiranya sedang marah, mereka cenderung untuk menyebarkan hal-hal bersifat reaksi kemarahan.

Bagaimanapun, dalam banyak keadaan terdapat pula fenomena lain yang melibatkan ‘bias balik diri’.

Biasanya orang cenderung untuk menyebarkan viral yang bersifat positif mengenai kumpulan mereka sendiri, sebaliknya akan menyebarkan berita yang buruk mengenai pihak lain.

Dalam banyak keadaan, manusia cenderung untuk lebih cepat terjebak dengan emosi apabila membaca hal negatif, maka pada akhirnya ruang siber kita dipenuhi dengan berita yang tidak menyenangkan.

Hal inilah yang kini sedang mendominasi penyebaran viral yang berkaitan berita politik di negara kita.

Bayangkan jika kedua-dua blok penyokong ini setiap hari menghidangkan viral negatif mengenai musuh politik mereka, maka apa yang dibaca oleh pembaca semuanya berkisar hal negatif semata-mata.

Adakah orang yang membaca viral ini percaya apa yang dibacanya? Sebenarnya, bagi sesetengah orang, mereka tidak mempercayai apa yang dibaca atau dilihat.

Bagaimanapun dalam banyak keadaan, secara psikologinya manusia cenderung membaca apa yang ingin dibaca dan melihat apa yang ingin dilihat.

Isu keselamatan

Sebab itu, apabila ada berita yang mungkin sepadan dengan kesukaan, mereka akan lebih mudah percaya dan kemudiannya dikongsikan pula dengan pihak lain.

Sayangnya, apa yang kita suka tidak semestinya benar dalam semua keadaan. Hal yang benar sekalipun, tidak semestinya memberikan manfaat kepada pihak lain.

Viral mengenai kes buli pelajar sekolah misalnya mungkin bertujuan untuk menyedarkan masyarakat.

Begitupun, pada masa yang sama kita juga telah mendedahkan sesuatu yang buruk mengenai mereka yang masih berada di bawah umur.

Viral ini juga akan mendedahkan mereka dengan isu keselamatan yang lain. Mereka mungkin diekori pula oleh pihak lain bagi tujuan membalas dendam.

Akhirnya, sebaik mana pun sesuatu berita itu perlu diviralkan, bayangkan kita berada di dalamnya.

Jika kita tidak menyukainya, walaupun ia memberikan manfaat kepada mereka yang membaca dan melihatnya, maka kita juga wajar menghindarkannya.

- Kosmo!

Dian'z Bisnes Online Nurul Diana


Sesi temubual yang diatur bersama pengasas produk kecantikan Dian'z Beauty & Health, Nurul Diana Mohd. Pudzi di kediamannya di Bayan Lepas, Pulau Pinang berjalan dengan lancar.

Walaupun tidak mempunyai sebarang premis jualan, pemilik syarikat Dian'z Legacy Sdn. Bhd. itu tampak berjaya dalam bidang perniagaan yang diceburinya.

Sebaik tiba di pekarangan rumah teres yang dijadikan tempat kediaman dan simpanan stok produk, terdapat sebuah van milik Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) sedia menunggu.

“Inilah kaedah yang saya gunakan dalam perniagaan. Semua produk yang ditempah para pelanggan akan dipos tidak kira di mana lokasi mereka berada.

“Sebab itu saya tidak perlukan premis perniagaan, cukup sekadar sebuah bilik untuk dijadikan pejabat dan tempat simpanan stok,” jelas Nurul Diana sebaik penulis bertanya mengenai kehadiran petugas Pos Malaysia itu.

Nurul Diana, 24, banyak bercerita mengenai penglibatan awal dalam perniagaan kosmetik yang diasaskannya itu.

Dia mula berjinak-jinak dalam perniagaan itu ketika sedang melanjutkan pengajian di Politeknik Sultan Idris Shah di Sabak Bernam, Selangor antara tahun 2010 hingga 2012.

“Pada tahun pertama pengajian, saya menghadapi masalah kewangan kerana saya bukan berasal dari keluarga berada. Tambahan pula ketika itu bapa saya sudah bersara dan ibu hanya suri rumah sepenuh masa.

“Bagi menampung perbelanjaan di kampus, saya mula berjinak-jinak menjadi pengedar produk kosmetik keluaran sebuah syarikat dari Korea Selatan dan hasilnya, saya berjaya meraih pendapatan sehingga RM500 sebulan.

“Sejak itu, saya mula menanam azam dengan mengumpul duit untuk mengeluarkan produk sendiri di negara ini.

“Selepas tamat pengajian, saya melaburkan kesemua RM30,000 hasil simpanan saya untuk menubuhkan syarikat dan memasarkan produk di bawah jenama Dian'z,” katanya yang sudah berumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata.

Dia memilih untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian kerana ia lebih mudah dan mempunyai pasaran yang luas.

Katanya, dengan cara itu, dia dapat menjimatkan kos kerana tidak perlu menyewa bangunan kedai untuk dijadikan pejabat selain hanya memerlukan tenaga pekerja yang minimum.

“Terus terang saya katakan, perniagaan online menjadi nadi perniagaan saya kerana melalui cara ini, pelanggan boleh membeli produk keluaran syarikat saya tidak kira di mana mereka berada dan pada bila-bila masa.

“Malah, saya juga boleh menghantar produk yang ditempah terus ke rumah mereka dengan hanya menggunakan perkhidmatan pos dengan kos yang berpatutan,” katanya.

Jelasnya lagi, dia turut mengakui perniagaan secara online memang banyak membantu mempromosikan produk keluarannya secara tidak langsung kerana ia boleh diakses semua orang yang melayari laman sosial Facebook syarikatnya.

Bercerita mengenai Floral Mask yang merupakan produk pertama keluaran syarikatnya, Nurul Diana memberitahu, ia mula dipasarkan pada awal tahun 2013 dan merupakan satu-satunya topeng muka atau mask berwarna ungu yang berada di pasaran negara ini.

“Kebiasaannya mask yang dijual di pasaran berwarna putih atau hitam. Bagi memberikan sedikit kelainan, saya keluarkan mask berwarna ungu untuk nampak lebih feminin.

“Floral Mask mempunyai moisture complex untuk merawat masalah kulit kering dan kusam, vitamin A, B3, C dan E (masalah jerawat dan jeragat), Q10 (menegangkan kulit muka) selain asid hialuronik bagi melindungi kulit dari pencemaran dan radiasi UV,” katanya.

Permintaan tinggi

Sejak dipasarkan dua tahun lalu, Floral Mask yang dijual pada harga RM39.90 setiap satu mendapat permintaan yang sangat menggalakkan daripada pengguna. Dia perlu menghantar kira-kira 10,000 tiub kepada para pelanggan setiap minggu.

Selain itu, syarikat tersebut turut mengeluarkan produk Vitamin C & E + Whitening Collagen bagi merawat kulit yang bermasalah.

Menurut Nurul Diana, ia diperbuat daripada campuran vitamin C dan E selain kolagen berasaskan ikan talapia dan gluthone.

“Produk vitamin ini pula berfungsi sebagai agen pelembap dan merawat sel kulit mati selain mampu mengembalikan keanjalan dan ketegangan kulit.

“Ia juga sesuai untuk ibu yang mengandung dan menyusukan bayi selain boleh diambil oleh mereka yang alergi kepada makanan laut,” katanya dengan memberitahu produk berkenaan telah dipasarkan sejak hujung tahun 2013.

Produk terbaharu iaitu S Popping Crystal pula dipasarkan pada Januari lalu dan ia sangat berkesan untuk membantu pengguna membakar lebih banyak kalori bagi menurunkan berat badan serta mengembalikan bentuk tubuh yang diinginkan.

Nurul Diana memberitahu, kesemua produk tersebut hanya dijual menerusi pembelian secara online dalam laman sosial Facebook Dian'z Beauty & Health.

“Sehingga kini, saya sudah mempunyai kira-kira 400 pengedar sah di seluruh negara dan mereka yang berminat untuk menjadi pengedar masih dialu-alukan.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa ketiga-tiga produk keluaran Dian'z Healt & Beauty mendapat pengiktirafan halal dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jadi, gunalah tanpa ragu-ragu kerana ia 100% halal.

“Cuma saya minta agar pengguna berhati-hati supaya tidak terbeli produk Dian'z tiruan kerana saya sudah mengesan ada produk Floral Mask tiruan dipasarkan di kedai-kedai dan bentuk pembungkusannya sangat menyerupai produk tulen keluaran kami,” tegasnya dengan memberitahu laporan dan aduan mengenainya telah dibuat kepada KKM untuk tindakan lanjut.

Pengguna yang ingin mendapatkan penjelasan mengenai produk berkenaan boleh mengunjungi laman sosial Facebook syarikat atau menghubungi pengurus pemasaran, Zulkifli Hashim di talian 017-4020308 dan Ibrahim Mohamad di talian 019-6947352.

- Kosmo!

Jumaat, September 23, 2016

PENGAMBILAN PEGAWAI TADBIR DAN DIPLOMATIK PTD M41





Pengambilan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) September 2016

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) mencari individu untuk menyertai perkhidmatan awam sebagai:
- Pegawai Tadbir dan Diplomatik M41 (300 kekosongan)

Permohonan hendaklah dibuat secara online: di: http://www.spa.gov.my/



Tarikh Tutup Permohonan : 26 September 2016

CUEPACS Dedah Skim Pinjaman Tanpa Slip Gaji



Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendedahkan terdapat bank di negara ini yang menawarkan skim pemberian pinjaman tanpa slip gaji kepada penjawat awam.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata skim itu akan menjerumus penjawat awam berdepan masalah bankrap selain timbulnya isu kemiskinan tegar dalam kalangan mereka.

"Melalui skim ini, penjawat awam dibenarkan membuat pinjaman dengan bank dan potongan terus pada akaun di bank akan dibuat...bakal pesara atau yang sudah bersara juga dibenarkan membuat pinjaman dalam tempoh 10 tahun.

"Setakat ini, kita ada menerima aduan di mana pesara hanya menerima pencen RM400 manakala bakinya dipotong oleh pihak bank," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU) di Alor Star.

Majlis itu dirasmikan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang turut dihadiri Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff.

Justeru, Azih meminta kerajaan dan Bank Negara supaya campur tangan dalam perkara berkenaan bagi mengetahui mengapa pihak bank membenarkan pembiayaan kepada penjawat awam tanpa meminta slip gaji serta melihat kelayakan untuk membuat pinjaman.

"Macam mana mereka (penjawat awam) mahu teruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi semakin mencabar ini sekiranya institusi kewangan hanya memikirkan keuntungan, perkara ini seolah-olah seperti meminjam daripada ah long yang tidak bersimpati dengan keadaan penjawat awam," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan membawa perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan lebih jelas berhubung isu itu.

Sementara itu, Azih menyeru kepada semua penjawat awam supaya jangan mudah terpedaya dan terpengaruh dengan nilai pembiayaan ditawarkan oleh pihak bank bagi mengelak daripada kesusahan pada masa akan datang.

- BERNAMA

Recent Posts