Memaparkan catatan dengan label ccris. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ccris. Papar semua catatan

Jumaat, Julai 02, 2021

Peminjam tidak direkodkan CCRIS sepanjang moratorium

 

Peminjam yang memilih kemudahan moratorium tidak akan dikenakan penalti dan tidak direkodkan dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kemudahan yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) itu juga tidak mempunyai faedah berkompaun, iaitu tidak dikenakan faedah ke atas faedah.

"Hanya faedah terkumpul dikenakan seperti biasa apabila kita mula membuat bayaran selepas enam bulan. Ada yang ingin membayar semula dengan kadar bayaran balik asal selepas tempoh moratorium selesai, ada juga yang ingin bayar dengan jumlah lebih rendah dan memanjangkan tempoh bayaran balik.

"Bagi mereka yang memilih melanjutkan tempoh bayaran pinjaman lebih lama dari tempoh asal, sudah tentu faedah perlu dibayar lebih tinggi, tetapi perkara ini perlu dirunding dengan bank masing-masing," katanya ketika membentangkan laporan LAKSANA ke-59.

Tengku Zafrul berkata, mana-mana peminjam yang masih menghadapi kesukaran selepas berunding dengan bank boleh menghubungi BNMTELELINK menerusi bnm.my/RAsurvey.

"Hutang kad kredit pula masih perlu dibayar, tetapi kalau memerlukan, boleh ditukar kepada pinjaman dengan kadar faedah lebih rendah. Maksudnya masih berhutang, tetapi kosnya lebih rendah dan masa membayar juga lebih panjang," katanya.

Beliau berkata, pemberian moratorium ini langkah sementara, iaitu sebahagian daripada inisiatif Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan perlu dilihat bersama dengan usaha kerajaan mempercepatkan peralihan ke fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seterusnya.

"Lagi cepat kita beralih fasa, lagi cepat pelbagai sektor boleh beroperasi, maka lagi cepat pemulihan ekonomi kita. Sekiranya rakyat sudah boleh keluar mencari rezeki, lebih cepat dapat kehidupan kita semula," katanya.

Menyentuh i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tengku Zafrul berkata, pengeluaran melalui i-Citra tidak membatalkan bayaran pengeluaran i-Sinar.

"Pengeluaran ini akan dilakukan bersama pengeluaran Program i-Sinar sebelumnya. Ini bermakna jika ahli sudah memohon pengeluaran melalui i-Sinar, pengeluaran melalui i-Citra tidak akan membatalkan bayaran pengeluaran i-Sinar," katanya.

Menerusi i-Citra di bawah PEMULIH, seramai 12.4 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.

Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian, dengan permohonan kemudahan pengeluaran KWSP mulai 15 Julai ini, manakala pembayaran pertama dijangka dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan depan.

Sumber : Berita Harian

 

 

Rabu, September 23, 2020

Bank jamin peminjam tidak dimasukkan CCRIS

 

Institusi perbankan memberi jaminan peminjam yang layak menerima moratorium pinjaman bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik pinjaman tidak akan terpapar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam sepanjang tempoh bantuan kewangan yang dinikmati mereka itu.

Justeru, peminjam individu dan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan masalah dan terjejas akibat COVID-19 perlu segera menghubungi dan berbincang dengan bank masing-masing bagi mendapatkan moratorium bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik yang diperlukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata institusi perbankan telah memberi komitmen dan berusaha keras untuk menghubungi peminjam yang mungkin memerlukan bantuan.

Beliau berkata, setakat 11 September 2020, lebih dua juta peminjam dihubungi institusi perbankan di negara ini untuk ditawarkan bantuan pembayaran balik.

Katanya, daripada jumlah itu, institusi perbankan telah berbincang dengan 1.4 juta peminjam, dan lebih 380,000 peminjam sudah mengesahkan mereka memerlukan bantuan pembayaran balik, manakala masih ramai lagi sedang mempertimbangkan opsyen bantuan yang disediakan.

"Daripada permohonan bantuan pembayaran balik pinjaman yang lengkap diterima dan diproses, 98 peratus telah diluluskan," katanya pada sidang meja bulat bersama media dengan pengurusan tertinggi bank terpilih dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di sini, hari ini.

Mengulas mengenai proses permohonan, Abdul Rahman berkata, bagi pelanggan individu, proses permohonan dijangka mengambil masa antara satu hingga lima hari.

Bagi PKS pula, beliau berkata, proses permohonan dijangka mengambil masa antara tiga hari hingga dua minggu selepas permohonan lengkap diterima bank.

"Justeru, kami menggesa peminjam yang berdepan masalah untuk segera berjumpa dan berbincang dengan bank masing-masing bagi mengelakkan mereka berdepan kegagalan membayar hutang mereka apabila tempoh moratorium automatik tamat 31 September ini," katanya.

Bank Negara Malaysia, persatuan perbankan, bank dan AKPK telah mengadakan lebih 150 sesi libat urus dengan persatuan pengguna, persatuan dan dewan perniagaan termasuk menganjurkan Kempen Pembayaran Balik Pinjaman serta telah berbincang dan berinteraksi dengan lebih 30,000 individu dan perniagaan di seluruh negara.

Mengulas mengenai kualiti aset institusi perbankan susulan pelaksanaan moratorium automatik, Ketua Perbankan Runcit Kumpulan RHB Bank, Rakesh Kaul, berkata sememangnya institusi perbankan akan berdepan penyusutan aset susulan pelaksanaan moratorium automatik itu.

Namun, beliau berkata, kualiti aset bank akan kembali ke paras pra-COVID-19 dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas moratorium automatik tamat pada 30 September 2020.

Sumber : Berita Harian

Ahad, September 25, 2016

Peminjam PTPTN Kini Disenarai Hitam


Kira-kira 1.3 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) akan disenaraikan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), di mana ia akan memberi kesan kepada penarafan kredit jika mereka gagal membayar pinjaman pelajaran pada masa yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Oeprasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, sebaik sahaja disenaraikan dalam CCRIS, penarafan kredit seseorang mungkin akan 'jatuh menjunam' apabila seseorang itu dianggap tidak membuat atau menunjukkan rekod pembayaran dengan baik.

Ini boleh membawa kepada institusi kewangan mengambil langkah menafikan pinjaman mereka atau kemudahan kredit lain.

Beliau menambah, semua peminjam PTPTN akan disenaraikan dalam CCRIS sebaik sahaja tiba masanya untuk mereka mula membuat pembayaran balik, iaitu enam bulan selepas tamat pengajian.

"Apabila seseorang itu sepatutnya mula membayar balik, kami akan menyenaraikan nama mereka dalam CCRIS," katanya kepada The Star, Jumaat.

Sejak ia ditubuhkan pada 1997 sehingga Julai tahun ini, terdapat seramai 2.49 juta peminjam PTPTN.

PTPTN menawarkan pinjaman dari pengajian peringkat diploma ke peringkat PhD.

Walau bagaimanapun, untuk nama seseorang disenaraikan dalam CCRIS adalah satu perkara yang neutral, kerana sesiapa sahaja yang mempunyai kad kredit, gadai janji, pinjaman kenderaan, atau apa-apa bentuk pinjaman dari institusi kewangan berlesen akan disenaraikan dalam pangkalan data ini yang ditadbir oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia.

"Oleh itu, apabila nama seseorang berada dalam CCRIS ia tidak bermaksud sebagai satu 'hukuman' dan mereka yang kerap membayar balik PTPTN tidak perlu bimbang jika mereka disenaraikan dalam CCRIS kerana rekod mereka akan 'bersih'," kata Mastura.

"CCRIS adalah pangkalan data yang digunakan oleh institusi kewangan untuk menilai mereka yang membuat permohonan pinjaman. Jika mereka seorang pembayar yang baik, maka permohonan pinjaman mereka akan diluluskan," katanya.

Mastura mendedahkan bahawa sejak PTPTN mula menggunakan CCRIS pada 2015, lebih ramai peminjam telah tampil untuk berunding mengenai mod pembayaran balik yang lebih meringankan.

Walau bagaimanapun, PTPTN masih belum mengambil jalan keluar dengan menyenaraikan peminjam di sistem persendirian yang dikendalikan Credit Tip Off Services Sdn Bhd (CTOS).

Bergantung kepada kursus dan institusi, jumlah pinjaman maksimum mungkin berbeza, dari RM4,750 ke RM30,000 setahun.

Mastura berkata peminjam sepatutnya mula membayar balik pinjaman enam bulan selepas tamat pengajian walaupun tiada notis dihantar dari PTPTN.

Laman web PTPTN menyatakan bahawa notis itu hanya akan dihantar pada bulan ketujuh selepas tamat pengajian.

Sejak penubuhannya, beliau berkata seramai 1.2 juta peminjam sama ada telah membayar sepenuhnya atau telah membayar pinjaman mereka.

Selain menggunakan CCRIS, PTPTN juga menjejaki peminjam dengan memasukkan nama mereka dalam senarai Jabatan Imigresen orang yang dilarang ke luar negara, yang bermula pada tahun 2008.

Sehingga kini, 111,001 orang telah disekat daripada pergi ke luar negara kerana mereka gagal membuat pembayaran pinjaman PTPTN.

Mastura berkata sejak senarai hitam perjalanan itu dilaksanakan, kira-kira 40 peratus daripada peminjam telah menghubungi PTPTN untuk berunding semula pembayaran balik mereka atau untuk menjelaskan jumlah yang tertunggak.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan peminjam bahawa mereka harus memberikan masa sekurang-kurangnya tujuh hari bekerja untuk PTPTN mengeluarkan nama mereka daripada senarai hitam perjalanan.

PTPTN juga tidak akan mengambil langkah mengheret peminjam ke mahkamah.

Justeru, Mastura menggesa peminjam untuk membayar pinjaman mereka sebaik sahaja mereka menerima gaji pertama mereka.

"Jika gaji anda terlalu rendah, anda boleh datang kepada kami untuk menyusun semula pinjaman anda," katanya.

Bagaimanapun katanya langkah itu hanya akan menjadikan tempoh pembayaran balik menjadi lebih panjang.

Bulan lalu, Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah juga mengumumkan pinjaman penuh tidak lagi boleh diberikan kerana rekod buruk pembayaran balik.

Katanya hanya RM8 bilion telah berjaya dibayar semula dari RM56.4 bilion yang dikeluarkan sejak 1997.

Recent Posts