Rabu, Mei 02, 2012

Amerika dedah amalan guna dron


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Pegawai anti pengganas White House, John Brennan mendedahkan kepada umum berhubung keputusan untuk membunuh sasaran Al-Qaeda dengan menggunakan dron.

Ia merupakan kali pertama pentadbiran Obama mendedahkan amalan tersebut secara terperinci kepada umum tentang penggunaan pesawat tanpa juruterbang itu.

Bercakap di sini kelmarin, Brennan berkata, Presiden Barack Obama mahukan amalan tentera AS diketahui setahun selepas serbuan oleh komando Tentera Laut telah menyebabkan Ketua Al- Qaeda, Osama bin Laden terbunuh di bandar Abbottabad, Pakistan.

"Ya, bagi menghalang serangan pengganas ke atas AS dan bagi menyelamatkan nyawa rakyat AS, pentadbiran negara ini melancarkan serangan terhadap pengganas Al-Qaeda tertentu, kadangkala dengan menggunakan pesawat kawalan jauh yang dikenali sebagai dron," kata Brennan.

Menurutnya, sasaran serangan dron dipilih bergantung kepada tahap ancaman individu ke atas keselamatan AS.

Brennan berkata, membunuh anggota Al-Qaeda dengan menggunakan dron adalah sah di sisi undang-undang seperti yang dilakukan terhadap komander tentera Jerman dan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Pakistan kelmarin mengutuk serangan tentera AS yang menyebabkan tiga suspek militan mati di barat laut negara tersebut.

Sebelum ini, negara tersebut mengutuk serangan yang menggunakan pesawat tanpa juruterbang itu.

Bagaimanapun, dia membenarkan dron tersebut digunakan di beberapa kawasan yang didiami penduduk suku kaum.

- AGENSI

Memori Buku Biodata - Cara Manual Menjalinkan Hubungan





BUKU berbalut kertas warna hitam itu tampak sedikit usang. Ditenung secara kasar, ia tidak ubah seperti buku nota biasa kepunyaan pelajar sekolah. Apabila diselak sehelai demi sehelai lembaran muka surat buku tersebut, terbongkar nostalgia yang mencuit hati.

Cukup popular dengan nama buku biodata, buku peribadi milik Mohd. Haiqal Abdullah Chik, 24, itu dipenuhi profil lebih 200 rakan sekolah menengahnya.

Usia buku itu sahaja sudah mencecah 12 tahun, tetapi masih disimpan sebagai kenangan terindah Haiqal. Masih hijau dalam benak lelaki itu, fenomena buku biodata cukup kuat sehingga hampir setiap remaja dahulu mempunyai buku biodata masing-masing.

"Saya mula membuat buku biodata pada tahun 2001. Ketika itu saya merupakan pelajar tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Pendang, Kedah.

"Tujuan asal membuat buku itu adalah bagi mengumpulkan maklumat asas rakan-rakan maktab seperti alamat dan nombor telefon mereka. Kami semua datang dari negeri berbeza dan buku itu penting sebagai rujukan untuk berhubung ketika waktu cuti.

"Maklum sahaja, waktu itu komunikasi menerusi telefon bimbit baru hendak berkembang. Internet pula masih berada pada tahap awal. Hanya buku biodata menjadi pengerat hubungan kami," imbas Haiqal yang berasal dari Kuala Selangor.

Selaku trend yang pantas berkembang, tujuan asal buku tersebut berubah menjadi lebih menarik. Ruangan maklumat asas diri turut memberi peluang kepada rakan-rakan berkongsi informasi yang sebelum itu dikategorikan sebagai rahsia.

Selain nama penuh dan alamat, maklumat seperti nama timangan, makanan dan minuman kegemaran, rakan baik, cita-cita, kata-kata semangat dan artis pujaan menunjukkan betapa ikhlas persahabatan yang dijalin saat itu.

Tidak dinafikan informasi yang dikongsi adakalanya agak tidak relevan tetapi hakikatnya, ia mencerminkan personaliti dan karakter seseorang itu.

"Kelebihan buku biodata terletak pada kesungguhan seseorang itu menghasilkan biodata diri mereka. Masing-masing cuba memberi maklumat terbaik tentang diri dan bangga dengan apa yang ditulis.

"Fakta yang diberikan juga tepat dan paling penting adalah kreativiti mereka jelas dilihat berdasarkan biodata yang diisi. Ada dalam kalangan mereka yang mengambil serius buku biodata ini sampai sanggup menghiasnya dengan cantik," jelas Haiqal yang sedang mengikuti program ijazah sarjana muda pendidikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Kreativiti perempuan

Seorang lagi bekas pelajar MRSM Pendang, Nur Khalilah Khalid, 24, juga tidak terkecuali daripada memiliki buku biodata ketika zaman sekolah. Menariknya, wanita yang kini bertugas sebagai pembantu juruaudit itu menyediakan buku biodata mengikut kelas.

Bicara anak jati Kuala Lumpur itu, perbezaan ketara antara biodata pelajar lelaki dan perempuan adalah dari segi kreativiti. Tidak dinafikan, perempuan lebih kreatif, manakala lelaki gemarkan biodata ringkas.

"Perempuan suka bersaing menghasilkan biodata yang paling cantik. Selepas melihat kawan lain menonjolkan skil tersendiri, yang lain cuba menyaingi dengan membuat biodata lebih kreatif.

"Disebabkan itu, biodata perempuan sering dipenuhi kertas-kertas warna yang dipotong pelbagai bentuk dan ditampal mengikut susunan menarik.

"Pen warna juga sangat popular sebagai pelengkap hiasan biodata pelajar perempuan. Kadang-kadang duit belanja diperuntukkan bagi membeli pen warna dan ada pula yang meminjam rakan lain demi mencantikkan ruangan maklumat mereka," lucu kenangan yang disingkap Khalilah yang juga suka bersaing pada waktu itu.

Berbeza dengan lelaki, tambah Khalilah, pen biru atau hitam dan karikatur pemain bola sepak sudah cukup melengkapkan biodata kaum Adam.

Cerita graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu, kebanyakan lelaki menggunakan sehelai muka surat sahaja untuk biodata mereka dan ada antara mereka tanpa segan silu meletakkan nama perempuan yang diminati.

Taktik yang digunakan lelaki itu kadangkala menjadi dan dalam diam perempuan yang diminati itu memberi maklum balas positif.

"Buku biodata bukan sekadar buku maklumat kepada kami. Ia memberi keceriaan, menghidupkan suasana dan paling penting memberi kesempatan untuk kami mengenali kawan-kawan berlainan kelas.

"Cikgu-cikgu juga tidak pernah merasakan buku biodata sebagai perkara melekakan malah mereka juga sama-sama berkongsi maklumat dalam buku biodata pelajar.

"Maklumat yang diberi dahulu banyak telah berubah namun, apabila kita melihat kembali ia sebenarnya menunjukkan diri kita yang masih mentah dan jujur," ujar Khalilah.

Diganti Facebook

Kecanggihan teknologi telah mendorong perkembangan perhubungan. Dalam konteks buku biodata, ia kian pupus dan tidak lagi dipraktikkan majoriti pelajar sekolah.

Kelahiran laman-laman sosial bermula daripada Friendster, Myspace dan Facebook menggugat populariti buku biodata. Kemudahan perkongsian maklumat hari ini dirasakan lebih praktikal dalam kalangan anak-anak muda moden.

Haiqal sendiri lebih bersetuju dengan laman sosial baharu sebagai pengerat hubungan tetapi, tetap tidak menyangkal kelebihan yang dimiliki buku biodata.

"Banyak orang dalam laman sosial tidak jujur. Maklumat yang dikongsi juga kebanyakannya palsu. Masing-masing cuba menjadi orang lain agar kelihatan menarik sedangkan dalam dunia realiti karakter mereka bertentangan dengan apa yang dipaparkan.

"Buku biodata ditulis dengan keikhlasan. Tujuan kita untuk berkenalan itu berasaskan nilai persahabatan. Setiap orang menjadi diri sendiri dan komunikasi secara bersemuka juga dipraktikkan," ungkap Haiqal yang juga seorang penulis blog menggunakan nama QarlHaiqal.

Bagi Michelle Francif, 23, membesar pada era kegemilangan buku biodata memang seronok. Walaupun penguasaan Internet kian melebar kini, ia masih gagal menandingi ciri klasik yang dipunyai 'buku remaja' itu.

Wanita yang berasal dari Ipoh, Perak itu menyifatkan penggunaan tulisan tangan pada buku biodata menyerlahkan perbezaan yang dipunyai sahabat.

"Facebook dan laman sosial lain menggunakan tulisan bertaip dan kriteria itu tidak menarik. Perkongsian gambar dalam alam maya mungkin mudah, tetapi sudah tentu ia lebih baik dalam bentuk fizikal.

"Saya sering menampalkan gambar waktu sekolah dalam buku biodata. Apabila diselak kembali, ia mengingatkan betapa pentingnya nilai persahabatan ketika itu.

"Hanya dengan sebuah buku, ia dapat mengajar saya dan rakan-rakan lain berkomunikasi dan berkenalan dengan rakan baharu," kongsi Michelle yang masih menyimpan buku biodatanya yang dibuat pada tahun 2002.

- KOSMO!

Niat dan lafaz cerai

Bersama DR SALAM

SOALAN:

SAYA sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berumur setahun. Baru-baru ini, suami saya menghantar mesej, ‘Saya terpaksa lepaskan kamu.’

Jadi saya nak tanya status saya sekarang, adakah saya sudah dicerai ataupun tidak?

JAWAPAN:

LAFAZ cerai dan talak adalah lafaz sarih (jelas). Ia tidak perlu niat apabila dilafazkan. Dalam kes anda, ada beberapa kemungkinan sama ada jatuh talak atau tidak.

Pertama, lafaz ‘terpaksa lepaskan’ adalah lafaz bukan sarih atau disebut lafaz kinayah. Ia boleh diertikan sebagai talak apabila ada niat suami untuk menceraikan isterinya.

Seterusnya kata ‘terpaksa’ boleh membawa kemungkinan suami dalam keadaan terpaksa ketika itu. Ini menyebabkan talak tidak jatuh.

Seterusnya, mesej SMS yang dihantar kedudukannya sama dengan lafaz talak melalui tulisan.

Ia perlu dibuktikan siapa penghantar atau penulisnya. Sekiranya ia benar daripada suami, suami pula perlu melafazkannya dan perlu ada niat untuk menceraikan isteri.

Sekiranya ia sekadar tulisan atau niat semata-mata tanpa lafaz, maka talak tidak jatuh dalam keadaan itu.

Perlu merujuk dan disahkan oleh Mahkamah Syariah dengan kehadiran pihak yang terlibat.

- HARIAN METRO

Penetapan gaji minimum swasta untuk kebajikan pekerja

Penetapan kadar gaji minimum pekerja swasta perlu diterima dan bukan dipolitikkan kerana ia diasaskan oleh mereka yang pakar dalam bidang ekonomi, bukannya ahli politik kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

"Kadar gaji minimum ini bukan diwujudkan oleh pihak politik tetapi diasaskan menerusi input Jawatankuasa Teknikal Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) iaitu penyelaras-penyelaras ekonomi serta Bank Dunia yang telah membuat kajian mendalam sebelum kadar itu diterima oleh majlis-majlis yang diwakili para majikan dan pekerja," katanya selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Pekerja Sektor Awam Peringkat Kebangsaan 2012 di Kuantan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penetapan kadar gaji minimum swasta iaitu RM900 bagi Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena sambutan Hari Pekerja, di Putrajaya.

Menurutnya, sebelum kadar itu ditetapkan, pihak majikan dan pekerja mempunyai pandangan yang berbeza namun setelah mengambil kira semua perkara ke dalam perbincangan bersama maka akhirnya kadar itu dipersetujui.

"Memang majikan mahu kadar yang lebih rendah manakala pekerja mahu kadar yang lebih tinggi, ada pihak yang cakap kadar perlu lebih RM1,200 atau RM1,300 tetapi kalau mengikut kajian yang dibuat, kalau lebih RM1,000 maka implikasi kepada ekonomi kita teruk dan kesan negatif lain seperti meningkatkan pengangguran.

"Tetapi selepas semua pihak berbincang tentang perkara ini maka satu persetujuan telah dicapai iaitu dengan kadar tersebut yang dianggap munasabah dan tidak memberikan implikasi negatif kepada ekonomi," katanya.

Subramaniam berkata, dua perkara utama yang diambil kira oleh Jawatankuasa Teknikal MPGN dalam kajian berhubung kadar gaji minimum ialah dari segi indeks garis kemiskinan dan gaji penengah.

Menurutnya, kajian juga dibuat bersandarkan kepada tiga faktor lain iaitu Indeks Harga Pengguna (CPI) yang merujuk kepada kos kehidupan semasa, aspek produktiviti dan kadar pengangguran.

"Sebelum kadar RM800 ditetapkan di Sabah dan Sarawak, wakil-wakil majikan di kedua-dua negeri itu meminta gaji minimum sebanyak RM700 tetapi ia di bawah paras garis kemiskinan iaitu RM800 jadi kita tetapkan kadar di kedua-dua negeri itu RM800, kalau lebih RM800 industri kecil dan sederhana pula tidak mampu dan akan menyebabkan mereka kerugian," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kadar gaji minimum di Sabah dan Sarawak itu akan diselaraskan dengan kadar gaji di Semenanjung selepas ekonomi di sana semakin meningkat pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Subramaniam berkata, dia tidak menolak kemungkinan kadar gaji minumum swasta ini akan dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh terutamanya pada musim menjelang pilihan raya umum.

"Perkara ini akan dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu, kalau ada orang tidak bertanggungjawab cakap RM1,500 sepatutnya kadar miminum, saya cabar mereka buat di kawasan masing-masing, saya yakin mesti tutup kilang kerana mereka keluarkan kenyataan ini hanya untuk kepentingan politik," katanya.

- BERNAMA

Selasa, Mei 01, 2012

Pelajar Terpilih PLKN boleh tangguh sehingga tamat pengajian

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil pada Selesa berkata, pelajar yang dipilih untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) boleh menamatkan pengajian mereka sebelum melaporkan diri untuk latihan.

Beliau berkata, umur mereka boleh menjangkau sehingga 35 tahun, bersesuaian dengan syarat latihan.

Bagi pelajar perempuan yang dipilih untuk PLKN, mereka dikecualikan sekiranya melahirkan anak, katanya.

“Semua pelajar yang melanjutkan pengajian mereka dalam atau luar negara di bawah program-program yang diluluskan oleh Kerajaan boleh memohon untuk menangguhkan latihan.

“Kami akan memproses permohonan mereka dan penangguhan akan diluluskan secara automatik. Pelajar harus menyertakan dokumen-dokumen seperti surat tawaran dalam permohonan mereka,” katanya.

Abdul Hadi berkata, sebelum ini pelatih perlu menangguhkan pengajian mereka terlebih dahulu bagi melaporkan diri di PLKN, namun di bawah perjanjian baru antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pelajaran, mereka dapat menamatkan pengajian mereka dahulu.

“Sebagai contoh, apabila mereka tamat Tingkatan Enam, dan belum mula bekerja, mereka akan dipanggil semula untuk latihan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kumpulan kedua bagi pelatih PLKN tahun ini dari JLKN Wangsa Maju.

Sehingga Khamis ini, sejumlah 53,348 pelatih akan dihantar ke 79 kem seluruh negara.

- MSTAR

Hayati Etika Pekerja

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

PELBAGAI acara dianjurkan untuk meraikan sambutan Hari Pekerja sebagai menghargai sumbangan serta jasa pekerja. Ia juga menzahirkan penghormatan terhadap pekerja di segenap peringkat yang selama ini banyak menyumbang ke arah kelangsungan pembangunan negara.

Bekerja demi mencari nafkah diri dan ahli keluarga termasuk dalam amal ibadat dianjurkan agama. Malah orang yang bekerja dipandang mulia di sisi Allah, tetapi untuk memperoleh janji Allah bagi keberkatan rezeki atau ganjaran pahala, kita perlu menepati piawai kualiti kerja digariskan agama.

Setiap pekerjaan perlu bermula dengan niat yang ikhlas kerana Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Baginda seterusnya berpesan lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menerima sesuatu amalan itu melainkan ia dilakukan dengan ikhlas (jujur) semata-mata kerana-Nya saja.” (Hadis riwayat An-Nasa’i)

Daripada dua peringatan Rasulullah SAW, jelas kepada kita bahawa memulakan gerakan sesuatu pekerjaan mesti dititik mulakan dengan niat ikhlas kepada Allah. Sesungguhnya niat yang bersih suci kerana Allah akan memancarkan daya usaha yang bersungguh-sungguh serta komited.

Ciri kedua harus dimiliki setiap pekerja ialah nilai integriti yang akan menerbitkan sikap amanah menjalankan sesuatu kerja. Sikap ini jika dipelihara dan diterjemahkan dalam pekerjaan akan membawa kejayaan serta kepercayaan.
Agama meletakkan amanah pada kedudukan tertinggi apabila melakukan sesuatu tanggungjawab seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di kalangan kamu hendaklah menetapkannya dengan adil dan saksama. Sesungguhnya Allah memberikan peringatan yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah an-Nisa’, ayat 58)

Rasulullah SAW berpesan supaya tidak mengkhianati akujanji atau amanah yang diberikan kerana apabila seseorang lupa amanah yang terpikul di bahunya, maka mereka mudah terpesong daripada landasan etika kerja sepatutnya.

Maka terjadilah pecah amanah ketika melaksanakan tugas dan berlaku perkara yang bersalahan kehendak agama. Banyak kes seperti rasuah, ponteng kerja, menyalahgunakan kemudahan kerja untuk tujuan peribadi berpunca daripada lunturnya nilai amanah dalam diri.

Rasulullah SAW dengan tegas menyatakan: “Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberi amanah kepada kamu dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianati kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Tidak konsisten menjalankan sesuatu tugas juga dikira sebagai tidak amanah dan menyalahi etika kerja Islam. Dalam Fatawa Lil Mawazhzafin wal ‘Umat yang ditulis Syeikh Ibnu Baz menyatakan, status gaji pekerja yang tidak konsisten dan tidak melaksanakan tugas secara sempurna dikira sebagai syubhah.

Katanya lagi, seharusnya seseorang itu takut kepada Allah dan bersungguh-sungguh ketika menjalankan tugasnya sehingga gajinya tidak mengandungi syubhah.

Wajib melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan sempurna supaya gaji diterima halal. Jika tidak, maka status sebahagian gajinya haram. Justeru, hendaklah seseorang itu sentiasa berwaspada dan bertakwa kepada Allah.

Komited terhadap tugas adalah satu perintah agama dan kita tidak boleh memandang remeh isu sebegini kerana ia membabitkan urusan gaji sama ada halal atau haram yang kita terima setiap akhir bulan.

Bagaimana halnya jika ada yang terbabit dengan penyalahgunaan kenderaan atau kemudahan syarikat ketika bekerja? Dalam merungkai permasalahan ini ada baiknya kita teliti apa yang terkandung dalam Fatawa Lil Muwazhzhafin wal ‘Ummah, ditulis Syeikh Ibnu Jibrin.

Katanya, pekerja yang bekerja dengan kerajaan atau syarikat adalah pekerja yang diupah. Dia diberikan amanah untuk memegang tugas diserahkan kepadanya. Dia juga diamanahkan dengan pelbagai kemudahan untuk melaksanakan tugas, maka dia tidak boleh menggunakannya kecuali ketika bertugas atau untuk kepentingan kerja yang diserahkan kepadanya saja.

Justeru, seseorang pekerja tidak boleh menggunakan kenderaan syarikat atau kerajaan untuk keperluan urusan peribadinya. Demikian juga segala peralatan di pejabat dilarang sama sekali digunakan untuk urusan peribadi yang di luar bidang tugas.

Demikian juga dalam isu menggunakan tenaga pekerja untuk melakukan urusan peribadi seperti mengarahkan pemandu syarikat membawa dan menguruskan keperluan sendiri yang tiada kaitan dengan tugas.

Syeikh al-Fauzan dalam Kitab ad-Da’wah berkata, seseorang itu tidak boleh menggunakan pekerja, pemandu milik syarikat atau pejabat kerajaan untuk keperluan peribadi, kerana menyuruh melakukan sesuatu di luar bidang tugasan mereka adalah unsur kezaliman.

Sebagai seorang pekerja kita wajib pada setiap masa menekankan aspek niat yang ikhlas kerana Allah, beramanah, sentiasa bekerja kuat dan penuh komited dalam menjalankan tugas diberikan.

- BERITA HARIAN

Generasi iPad Baru


Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN

SELEPAS lama menanti, produk komputer tablet generasi ketiga daripada Apple, iPad Baru telah pun memasuki pasaran negara 20 April lalu.

Tidak mahu melepaskan peluang menjadi antara pemilik pertama, peminat tegar produk pengkomputeran itu berpusu-pusu mendapatkan peranti berkenaan daripada pengedar rasmi dan syarikat-syarikat telekomunikasi yang menawarkan pakej langganan.

iPad Baru hadir bersama pelbagai peningkatan spesifikasi terbaik bagi menawarkan pengalaman komunikasi lebih cemerlang dan menyeluruh kepada pengguna.

Antaranya adalah seperti integrasi paparan skrin beresolusi tinggi Retina untuk peningkatan kualiti imej dan juga teks.

Daripada segi teknikal, peranti berkenaan dipacu oleh pemproses A5X, disokong oleh cip grafik empat teras serta mempunyai jangka hayat bateri melebihi 10 jam sehari.

Di samping itu, gajet dengan rekaan semakin nipis dan ringan tersebut turut disempurnakan bersama kamera lima megapiksel dan keupayaan merakam video 1080p HD.

Harganya pula dijual antara RM1m499 untuk versi WiFi dan berkapasiti memori 16 gigabit (GB) sehingga RM2,499 bagi 32GB dengan sokongan HSPA+ dan 4G.

- UTUSAN
 

Guru mesti terlebih dulu kuasai BI

Tiada kaedah pengajaran yang lebih berkesan melainkan guru menguasai bahasa Inggeris terlebih dulu sebelum berdepan dengan pelajar bagi mengajar bahasa itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kaedah diguna pakai pada 1950-an yang mana guru dihantar ke Maktab Kirkby, England untuk belajar daripada tenaga pengajar yang juga penutur jati bahasa Inggeris ternyata dapat melahirkan guru yang menguasai bahasa itu dengan cemerlang.

Katanya, guru pelatih di Maktab Kirkby ketika itu berpeluang berkomunikasi dalam bahasa Inggeris selama dua tahun dengan penutur jati, selain mempelajari budaya mereka yang menjadi asas kepada pembentukan budaya berbahasa Inggeris.

“Pendekatan sama boleh bantu kita mengatasi salah satu rungutan utama sektor profesional di sini iaitu mengenai tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan graduan universiti tidak memuaskan, sekali gus membawa implikasi besar terhadap daya saing dan pembangunan negara.

“Saya yakin semangat Maktab Kirkby dapat memainkan peranan dalam melonjakkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru pelatih dan masyarakat umum ,” katanya ketika berucap merasmikan Kolej Antarabangsa Kirkby Cyberjaya (KIC), di Cyberjaya semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut melancarkan buku bertajuk Warisan Maktab Kirkby sempena majlis itu. Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud; Pengerusi Lembaga Pengarah KIC, Tan Sri Dr Yahya Ibrahim dan Presiden KIC, Bismillah Khatoon.

Bangunan KIC yang dibina dengan kos RM54 juta itu menempatkan 1,030 pelajar termasuk kira-kira 1,000 pelajar lepasan diploma yang kini mengikuti Program Pensiswazahan Guru, selain 126 pelajar lepasan sekolah menengah yang kini mengikuti Program Latihan Perguruan Peringkat Ijazah Pertama.

Muhyiddin berkata, tokoh guru seperti Yahya, yang juga Alumni Maktab Kirkby, wajar memanfaatkan kelulusan dan pengalaman luas beliau serta rakan seangkatannya untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan tenaga pengajar di sini.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia (PAMKM) turut menyumbang cadangan dan pemikiran dalam Dialog Kebangsaan Kajian Semula Pendidikan yang beliau lancarkan kelmarin, menjurus kepada aspek khusus memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris.

Katanya, walaupun bahasa Inggeris diletakkan di tempat kedua selepas bahasa Melayu, kerajaan tetap mengiktiraf kepentingan usaha memastikan rakyat menguasai bahasa antarabangsa itu.

- BERITA HARIAN

Skim insurans nelayan diperkenal

Masa depan kira-kira 65,000 nelayan di negara ini akan lebih terjamin apabila Kerajaan Persekutuan mengambil inisiatif memperkenalkan skim insurans bagi memastikan golongan itu mendapat pembelaan sewajarnya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, skim insurans itu diwujudkan sebagai persediaan kewangan luar jangka kepada nelayan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini termasuk kehilangan nyawa.

Beliau berkata, skim insurans berkenaan adalah cadangan pihaknya dan telah mendapat persetujuan Kabinet.

Pelaksanaannya kelak jelas Noh, akan diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Kabinet telah menyerahkan kepada pihak kementerian untuk membuat tawaran secara tender terbuka kepada lima syarikat insurans bagi pelaksanaan skim ini. Hasil tawaran tersebut, sebuah syarikat telah dipilih berdasarkan manfaat yang tinggi diberikan kepada golongan itu.

"Malah, kita juga telah menerima maklum balas daripada pihak persatuan-persatuan nelayan di seluruh negara yang sebelum ini bersetuju agar skim insurans tersebut dilaksanakan," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang Ke-33 di Bandar Sultan Suleiman, di Klang.

Mengulas lanjut mengenai skim insurans itu, Noh berkata, para nelayan hanya perlu membayar RM100 setahun sebagai premium insurans yang akan ditolak terus daripada elaun sara hidup tahunan mereka yang diberikan Kerajaan Pusat sebanyak RM2,400.

Menerusi skim insurans itu kata beliau, mana-mana nelayan yang meninggal dunia akibat kemalangan di laut akan menerima bayaran sebanyak RM100,000 manakala RM50,000 akan dibayar sekiranya mereka meninggal dunia akibat kemalangan di darat.

Selain itu, ujarnya, para nelayan juga akan dibayar sebanyak RM50,000 jika mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan, menerima bayaran sebanyak RM100 sehari sekiranya dimasukkan ke hospital untuk rawatan, menerima elaun ambulans sebanyak RM500 dan bayaran khairat kematian sebanyak RM2,000.

Selain melaksanakan skim insurans, Noh memberitahu, pihaknya turut merancang untuk membangunkan kompleks perumahan nelayan bagi membantu mereka yang memerlukannya.

- BERNAMA

Tuanku Abdul Halim Canselor UiTM keempat

PELANTIKAN Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember tahun lalu mencatat sejarah tersendiri kepada seluruh warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila Seri Paduka menjadi Canselor UiTM yang keempat.

Tuanku Abdul Halim menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong sekali gus selaku Canselor UiTM yang ketiga.

Canselor UiTM yang pertama ialah Sultan Selangor, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan diikuti Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail sebagai Canselor kedua.

Istiadat pemasyhuran Tuanku Abdul Halim sebagai Canselor UiTM akan berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor universiti berkenaan di Shah Alam, Selangor pada hari Sabtu (esok), 12 Mei. Ia akan disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pelantikan Seri Paduka adalah mengikut Seksyen 19A(2) Akta UiTM (Pindaan) 2000 yang menyebut Canselor UiTM ialah Yang di-Pertuan Agong secara langsung sepanjang tempoh pemerintahannya.

Ia selaras dengan asas penubuhan UiTM di atas Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Maka, tanggungjawab untuk memelihara keistimewaan golongan tersebut adalah terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Ini memberi tafsiran bahawa peranan Seri Paduka mengikut Perkara 153 dan peranan UiTM mengikut penubuhannya di bawah Seksyen 1A Akta 173 sebenarnya adalah serupa.

Oleh kerana peranan sama untuk melindungi dan memajukan hak istimewa golongan itu, kerajaan dan Parlimen memilih Yang di-Pertuan Agong sebagai Canselor UiTM

Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar menjelaskan, jawatan tertinggi universiti itu bukan suatu pelantikan khas yang dipilih oleh kerajaan atau UiTM, sebaliknya sudah termaktub dalam peruntukan undang-undang Persekutuan yang dibuat di Parlimen.

Kurniaan unik

Menurutnya, undang-undang tersebut telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 15 Mei 2000 dan diterbitkan dalam Warta pada 18 Mei 2000.

Berdasarkan peruntukan itu, setiap Seri Paduka adalah Canselor UiTM untuk tempoh lima tahun semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Mempunyai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Canselor merupakan suatu kurniaan yang unik untuk UiTM dan seluruh warga universiti rasa amat berbangga,” kata beliau ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di UiTM Shah Alam baru-baru ini.

Sahol Hamid menjelaskan, Canselor berfungsi sebagai Ketua Universiti dan bertindak di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak di UiTM.

Selain itu, Canselor boleh melantik atas nasihat Menteri mana-mana individu menjadi Pro-Canselor dan memegang jawatan tersebut selama tempoh yang diperkenankan.

“Jika Canselor tidak dapat menjalankan mana-mana fungsinya, Seri Paduka boleh memberi kuasa kepada mana-mana Pro-Canselor untuk menjalankan fungsi ini bagi pihak baginda,” ujar beliau.

Katanya, istiadat konvokesyen UiTM turut diadakan mengikut sebagaimana diarahkan oleh Canselor.

Pada setiap istiadat konvokesyen, Canselor akan menganugerahkan ijazah, diploma dan kepujian akademik lain kepada para graduan cemerlang.

Di samping itu, Canselor akan menganugerah ijazah atau kurniaan kehormat kepada individu yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara dalam pelbagai bidang.

“Pada 12 Mei, Tuanku Abdul Halim juga bakal melaksanakan antara fungsinya sebagai Canselor baharu sempena Istiadat Konvokesyen ke-76 UiTM,” katanya.

- KOSMO!