Skim insurans nelayan diperkenal

Masa depan kira-kira 65,000 nelayan di negara ini akan lebih terjamin apabila Kerajaan Persekutuan mengambil inisiatif memperkenalkan skim insurans bagi memastikan golongan itu mendapat pembelaan sewajarnya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, skim insurans itu diwujudkan sebagai persediaan kewangan luar jangka kepada nelayan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini termasuk kehilangan nyawa.

Beliau berkata, skim insurans berkenaan adalah cadangan pihaknya dan telah mendapat persetujuan Kabinet.

Pelaksanaannya kelak jelas Noh, akan diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Kabinet telah menyerahkan kepada pihak kementerian untuk membuat tawaran secara tender terbuka kepada lima syarikat insurans bagi pelaksanaan skim ini. Hasil tawaran tersebut, sebuah syarikat telah dipilih berdasarkan manfaat yang tinggi diberikan kepada golongan itu.

"Malah, kita juga telah menerima maklum balas daripada pihak persatuan-persatuan nelayan di seluruh negara yang sebelum ini bersetuju agar skim insurans tersebut dilaksanakan," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang Ke-33 di Bandar Sultan Suleiman, di Klang.

Mengulas lanjut mengenai skim insurans itu, Noh berkata, para nelayan hanya perlu membayar RM100 setahun sebagai premium insurans yang akan ditolak terus daripada elaun sara hidup tahunan mereka yang diberikan Kerajaan Pusat sebanyak RM2,400.

Menerusi skim insurans itu kata beliau, mana-mana nelayan yang meninggal dunia akibat kemalangan di laut akan menerima bayaran sebanyak RM100,000 manakala RM50,000 akan dibayar sekiranya mereka meninggal dunia akibat kemalangan di darat.

Selain itu, ujarnya, para nelayan juga akan dibayar sebanyak RM50,000 jika mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan, menerima bayaran sebanyak RM100 sehari sekiranya dimasukkan ke hospital untuk rawatan, menerima elaun ambulans sebanyak RM500 dan bayaran khairat kematian sebanyak RM2,000.

Selain melaksanakan skim insurans, Noh memberitahu, pihaknya turut merancang untuk membangunkan kompleks perumahan nelayan bagi membantu mereka yang memerlukannya.

- BERNAMA Skim insurans nelayan diperkenal

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.