Selasa, Mei 01, 2012

Tuanku Abdul Halim Canselor UiTM keempat

PELANTIKAN Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember tahun lalu mencatat sejarah tersendiri kepada seluruh warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila Seri Paduka menjadi Canselor UiTM yang keempat.

Tuanku Abdul Halim menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong sekali gus selaku Canselor UiTM yang ketiga.

Canselor UiTM yang pertama ialah Sultan Selangor, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan diikuti Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail sebagai Canselor kedua.

Istiadat pemasyhuran Tuanku Abdul Halim sebagai Canselor UiTM akan berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor universiti berkenaan di Shah Alam, Selangor pada hari Sabtu (esok), 12 Mei. Ia akan disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pelantikan Seri Paduka adalah mengikut Seksyen 19A(2) Akta UiTM (Pindaan) 2000 yang menyebut Canselor UiTM ialah Yang di-Pertuan Agong secara langsung sepanjang tempoh pemerintahannya.

Ia selaras dengan asas penubuhan UiTM di atas Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Maka, tanggungjawab untuk memelihara keistimewaan golongan tersebut adalah terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Ini memberi tafsiran bahawa peranan Seri Paduka mengikut Perkara 153 dan peranan UiTM mengikut penubuhannya di bawah Seksyen 1A Akta 173 sebenarnya adalah serupa.

Oleh kerana peranan sama untuk melindungi dan memajukan hak istimewa golongan itu, kerajaan dan Parlimen memilih Yang di-Pertuan Agong sebagai Canselor UiTM

Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar menjelaskan, jawatan tertinggi universiti itu bukan suatu pelantikan khas yang dipilih oleh kerajaan atau UiTM, sebaliknya sudah termaktub dalam peruntukan undang-undang Persekutuan yang dibuat di Parlimen.

Kurniaan unik

Menurutnya, undang-undang tersebut telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 15 Mei 2000 dan diterbitkan dalam Warta pada 18 Mei 2000.

Berdasarkan peruntukan itu, setiap Seri Paduka adalah Canselor UiTM untuk tempoh lima tahun semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Mempunyai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Canselor merupakan suatu kurniaan yang unik untuk UiTM dan seluruh warga universiti rasa amat berbangga,” kata beliau ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di UiTM Shah Alam baru-baru ini.

Sahol Hamid menjelaskan, Canselor berfungsi sebagai Ketua Universiti dan bertindak di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak di UiTM.

Selain itu, Canselor boleh melantik atas nasihat Menteri mana-mana individu menjadi Pro-Canselor dan memegang jawatan tersebut selama tempoh yang diperkenankan.

“Jika Canselor tidak dapat menjalankan mana-mana fungsinya, Seri Paduka boleh memberi kuasa kepada mana-mana Pro-Canselor untuk menjalankan fungsi ini bagi pihak baginda,” ujar beliau.

Katanya, istiadat konvokesyen UiTM turut diadakan mengikut sebagaimana diarahkan oleh Canselor.

Pada setiap istiadat konvokesyen, Canselor akan menganugerahkan ijazah, diploma dan kepujian akademik lain kepada para graduan cemerlang.

Di samping itu, Canselor akan menganugerah ijazah atau kurniaan kehormat kepada individu yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara dalam pelbagai bidang.

“Pada 12 Mei, Tuanku Abdul Halim juga bakal melaksanakan antara fungsinya sebagai Canselor baharu sempena Istiadat Konvokesyen ke-76 UiTM,” katanya.

- KOSMO!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.