Rabu, Februari 01, 2012

1 Februari - Hari Wilayah Persekutuan


RIBUAN bendera Wilayah Persekutuan kelihatan gah di tangan-tangan para peserta perbarisan yang mengambil bahagian dalam perarakan perbarisan sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012 Sabtu lalu.

Perayaan Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Februari setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

Sambutan pada tahun ini merupakan perayaan kali kelapan yang menggabungkan ketiga-tiga wilayah berkenaan sejak wujudnya Kementerian Wilayah Persekutuan pada 27 Mac 2004.

Walaupun tidak semua negeri di Malaysia meraikan Hari Wilayah Persekutuan, namun aura kemeriahan di Dataran Merdeka menyamai taraf sambutan kemerdekaan yang disambut di seluruh negara.

Wajah bangga dan ceria terpancar sambil tangan mengibar bendera berona kuning, biru dan merah. Bendera itu dihiasi lambang jata negara di bahagian tengah yang dikongsi oleh ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bendera terbabit menerapkan warna asas Jalur Gemilang yang melambangkan Wilayah Persekutuan adalah milik Kerajaan Persekutuan dan seluruh rakyat Malaysia.

Kibar panji-panji

Sebelum penggunaan bendera Wilayah yang baharu sejak tahun 20 Ogos 2006 ketiga-tiga Wilayah Persekutuan menggunakan bendera masing-masing.

Pada 20 Ogos 2006, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah berkenan mengisytiharkan bendera Wilayah Persekutuan dengan rasminya.

Sebelum itu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) telah memohon khidmat mereka bentuk bendera daripada Dekan Fakulti Seni lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara.

Persoalannya, sekuat manakah aura warga Wilayah Persekutuan menyambut perayaan yang bersejarah ini?

Hasil tinjauan di dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Wilayah Putrajaya sebelum 1 Februari mendapati, tidak ramai warga Wilayah yang mengibarkan panji-panji kebanggaan Wilayah Persekutuan itu di kediaman masing-masing. Sebaliknya, bendera tersebut hanya berkibar di bangunan-bangunan kerajaan, sebahagian bangunan swasta dan premis-premis perniagaan.

Apakah tidak ada langsung semangat kekitaan terhadap wilayah yang menjadi tempat tinggal mereka?

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, bendera membawa maksud sepotong kain biasanya segi empat bujur yang ada reka bentuk tertentu digunakan sebagai lambang sesebuah negeri atau sebagai isyarat dan panji-panji.

"Bendera Malaysia contohnya, merujuk kepada negeri-negeri yang wujud di Malaysia. Malaysia terdiri daripada banyak negeri dan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Ia melibatkan negara bangsa, namun perlembangaan itu lebih penting kerana setiap negara perlu ada perlembagaan. Bendera itu cuma lambang sesuatu negara bangsa dan rakyat dikehendaki menghormati lambang yang mewujudkan negara bangsa," kata pakar sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim.

Mungkin ramai antara kita tidak begitu endah mengenai bendera, namun apabila ada pihak luar yang mencetuskan provokasi dengan memijak dan membakar bendera, ia membangkitkan api kemarahan kerana tindakan tersebut seolah-olah menghenyak maruah mereka walaupun sebelum ini mereka tidak ambil pusing mengenai bendera.

"Di Barat contohnya, insiden memijak dan membakar bendera sebagai satu kesalahan yang sangat serius. Di sana bendera sangat penting. Jika bertempur di medan perang, seboleh-bolehnya individu yang memegang bendera itu perlu pastikan bahawa bendera itu tidak jatuh.

"Jika dia sendiri rebah, dia perlu berikannya pada rakan seperjuangan yang lain. Kini, rakyat Malaysia juga begitu kerana bendera melambangkan maruah negara," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengapa tidak ramai warga Wilayah Persekutuan tidak mengibarkan bendera di kediaman mahupun kenderaan masing-masing? Kay Kim berpendapat, kemungkinan mereka tidak begitu faham mengenai sejarah Hari Wilayah Persekutuan itu dan apa yang mereka tahu setiap 1 Februari ialah cuti umum.

Katanya, sejarah mengenai Kuala Lumpur dan pengiktirafannya sebagai Wilayah Persekutuan perlu dipupuk di peringkat sekolah.

"Mereka tidak ambil pusing mungkin kerana kesannya tidak begitu mendalam berbanding Hari Kemerdekaan dan sambutan itu terhad di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja.

"Apa yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kesedaran mereka ialah tekankan aspek sejarahnya. Kebanyakan anak muda sekarang tidak menghargainya kerana bagi mereka sejarah itu tidak penting dan mungkin juga kurang kesedaran mengenai pentingnya sesuatu sejarah," ujarnya sambil memberitahu golongan muda kini sukar untuk digerakkan.

Baginya, pembangunan di Kuala Lumpur yang bermula pada abad ke-19 hingga kini amat luar biasa.

Kay Kim memberitahu, 1 Februari begitu signifikan dalam dirinya. Ia merakam satu memori indah kerana pada tahun 1949, beliau mewakili sekolahnya Anglo Chinese School Teluk Anson, Perak dalam pertandingan bola sepak.

Sementara itu, mengulas mengenai kesuraman warga Wilayah Persekutuan mengibarkan bendera menjelang Hari Wilayah Persekutuan, salah seorang orang kuat KWPKB iaitu Ketua Setiausahanya, Datuk Ahmad Phesal Talib menjelaskan, senario tersebut berlaku kemungkinan warga Wilayah Persekutuan menganggap 1 Februari ialah cuti umum yang disambut secara berulang.

Tingkat kesedaran

"KWPKB perlu memperhebatkan lagi kesedaran menggerakkan penglibatan aktif seluruh warga Wilayah Persekutuan untuk menjadikan 1 Februari sebagai hari yang bermakna pada mereka.

"Justeru, kempen Kibar Bendera akan dipergiatkan ke sekolah-sekolah dengan kerjasama Jabatan Pelajaran ke tiga-tiga Wilayah Persekutuan," katanya.

Melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Labuan (PL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) akan bekerjasama bersama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Penduduk dan pelbagai persatuan seperti Persatuan Penjaja, Persatuan Sukan dan Dewan Perniagaan untuk membolehkan peningkatan kesedaran dan memupuk semangat jati diri dan rasa bangga yang lebih tinggi sebagai warga Wilayah Persekutuan.

"Sewajarnya warga Wilayah Persekutuan menghayati Hari Wilayah Persekutuan ini sebagai sesuatu yang penting kerana terbentuknya sebuah identiti bagi ketiga-tiga Wilayah yang ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan.

"Dengan adanya status ini, pelbagai keistimewaan diberikan oleh kerajaan bagi memastikan Wilayah Persekutuan yang menjadi gerbang dan mercu tanda pembangunan Malaysia secara keseluruhan," jelasnya.

Bagaimana dengan alasan mereka tidak mengibarkan bendera kerana tidak diberi bendera percuma?

Ahmad Phesal mengakui bahawa kebanyakan warga kota khususnya penduduk kawasan perumahan mengharapkan bendera dibekalkan secara percuma.

"Tetapi melihat kepada sambutan yang diberikan oleh sektor swasta, kibaran bendera dijalankan atas inisiatif sendiri dengan menggunakaan kos masing-masing.

"Saya yakin dengan usaha yang diambil KWPKB, DBKL, Perbadanan Labuan dan Perbadanan Putrajaya akan terus meningkatkan kesedaran dan penglibatan warga Wilayah Persekutuan untuk mengibarkan bendera pada 1 Februari setiap tahun sebagai Hari Wilayah Persekutuan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

- KOSMO!

Buku : Kuasai Dunia Dengan berfikir


Cetuskan idea luar biasa dengan teknik berfikir yang betul.

72 teknik berfikir dan menyelesaikan masalah.

Dibayar sejuta bagi berfikir

Pekerjaan yang paling mahal gajinya di dunia ini adalah berfikir. Satu idea hebat ada yang bernilai berjuta-juta ringgit dan ada idea hebat yang tidak perlu dibayar, tetapi ideanya mampu mengubah dunia. Buku ini menunjukkan teknik berfikir yang betul dan cara menghasilkan idea yang bernilai jutaan ringgit.

Idea hebat yang diyakini

Banyak idea yang hebat ditolak oleh orang ramai kerana idea itu tidak realistik. Ramai juga orang yang mempunyai idea yang hebat, tetapi tidak dapat menerangkan ideanya dengan cara yang mudah. Paling menghairankan, ada idea yang biasa-biasa, tetapi dianggap hebat kerana tuan punya idea pandai mempersembahkan ideanya. Buku ini membantu kita meyakinkan orang dengan idea kita yang hebat.

Terbukti Berkesan

Buku ini adalah manual berfikir yang mudah difahami, praktikal, dan terbukti berkesan. Binatang buas pun dapat dijinakkan apabila betul caranya. Dunia dapat ditawan apabila betul strateginya. Begitu juga dengan berfikir. Kita dapat mencetuskan idea yang kreatif, luar biasa, dan hebat apabila betul cara berfikirnya.

Teknik berfikir dalam buku ini membantu kita:

- Mencipta idea hebat daripada idea gila-gila

- Meyakinkan orang bagi menerima idea kita

- Menyelesaikan masalah harian dengan efektif

- Membuat keuntungan daripada masalah

- Membuat keputusan yang menguntungkan diri



Bahagian 1: Mengeluarkan Idea

Bab 1: Bagaimana Idea Hebat Dicetus

Bab 2: Daftar Pertanyaan

Bab 3: Pencetus Idea

Bab 4: Terbalikkan dan Terbalikkan

Bab 5: Keluarga Idea

Bab 6: Memberi Kegunaan Baru

Bab 7: Senarai Semakan

Bab 8: Peta Minda

Bab 9: ‘Bagaimana Untuk’

Bab 10: Kad Idea

Bab 11: Perah Otak

Bab 12: Analogi

Bab 13: Teknik-Teknik Jepun

Bab 14: Kumpulan Kreatif

Bab 15: Kaedah Mitsubishi

Bab 16: Kaedah NHK

Bab 17: Menuliskan Otak

Bab 18: Kaedah KJ



Bahagian 2: Menyelesaikan Masalah

Bab 19 Buat Duit dengan Masalah

Bab 20 Masalah Logikal

Bab 21 Kebekuan

Bab 22 Peranan Pengetahuan

Bab 23 Peranan Kepakaran

Bab 24 Pemikiran Reflektif

Bab 25 Pendekatan Saintifik



Bahagian 3: Membuat Keputusan

Bab 26 Pedoman bagi Membuat Keputusan

Bab 27 Anggaran

Bab 28 Heuristika

Bab 29 Peraturan Konjungsi

Bab 30 Saiz Sampel

Bab 31 Falasi Penjudi

Bab 32 Heuristika Ketercapaian

Bab 33 Otak Kumpulan

Bab 34 Menangguhkan Penilaian



Bahagian 4: Pengaruh Faktor Kognitif

Bab 35 Punca Kesilapan Berfikir

Bab 36 Peningkatan Persepsi

Bab 37 Penilaian Dalaman Dan Luaran

Bab 38 Orientasi Sudut Pandangan

Bab 39 Atribusi Bela-Diri

Bab 40 Hepotesis Dunia Ini Adil

Bab 41 Pewajaran

Bab 42 Bias Balik kepada Diri

Bab 43 Bias Penting-Diri

Bab 44 Bias Untung-Diri

Bab 45 Bias-Pengesahan

Bab 46 Kesan Homogen Orang Luar

Bab 47 Kesan Penampilan

Bab 48 Keterampilan dan Keserupaan

Bab 49 Kesan Pigmalion

Bab 50 Kesan Pertama

Bab 51 Kesan Pemerhati

Bab 52 Kesan Keawalan-Kebaruan

Bab 53 Kesan Kesepakatan Palsu

Bab 54 Kesan Keunikan Palsu

Bab 55 Kesan Hiasan Ruang

Bab 56 Habit Mental

Bab 57 Konformiti

Bab 58 Mindset



Bahagian 5: Pengaruh Faktor Psikologi ke Atas Pemikiran

Bab 59 Mentafsir Diri Sendiri

Bab 60 Maklum-Balas



Bahagian 6: Mempengaruhi Pemikiran Orang Lain

Bab 61 Strategi Mempengaruhi Orang Lain

Bab 62 Pengaruh Model

Bab 63 Kesan Teruk Awal

Bab 64 Keterhadan Palsu

Bab 65 Teknik Sebelah-Kaki-Masuk-Pintu

Bab 66 Teknik Muka Di-Depan-Pintu

Bab 67 Rasa Bersalah

Bab 68 Budi Dibalas Budi

Bab 69 Sumber Pengaruh

Bab 70 Penerima Pengaruh

Bab 71 Kandungan Mesej

Bab 72 Pengaruh Bukti

Buku ini boleh dibeli secara online di : http://www.bookcafe.com.my/en/bisnes-and-pengurusan/kuasai-dunia-dengan-berfikir-en.html

http://www.pts.com.my/

Degupan kencang tanda tidak normal


SERANGAN strok atau angin ahmar boleh mengubah kehidupan seseorang sepanjang hayat.

Ini kerana mangsa serangan strok yang terselamat daripada maut kebiasaannya akan mengalami lumpuh dan lemah anggota badan sama ada sebelah tubuh atau keseluruhan badan.

Ini menyebabkan pesakit memerlukan rawatan dan penjagaan berterusan lebih-lebih lagi jika terlantar di katil.

Di Malaysia, strok merupakan punca kematian yang ketiga terbesar selepas sakit jantung dan kanser.

Malangnya hanya segelintir sahaja yang mengetahui tanda amaran tentang apa yang patut dilakukan sekiranya disyaki mengalami strok.

Satu masalah paling kerap menyebabkan strok ialah Fibrilasi Atrium (FA) iaitu keadaan degupan jantung tidak normal berpunca daripada kegagalan impuls elektrik jantung semula jadi.

Apabila ia berlaku, jantung berdegup dengan lebih laju.

Menurut Perunding Kanan Pulmonori dan Penjagaan Kritikal Hospital Kuala Lumpur, Prof. Datuk Dr. Jeyaindran Sinnadurai, FA merupakan rentak jantung tidak normal yang paling kerap berlaku.

Ia memberikan kesan terhadap keupayaan jantung menjalankan tugasnya.

"Keadaan itu disebabkan wujudnya aktiviti elektrikal yang tidak terkawal di atrium kiri jantung dan mengganggu pusat isyarat elektrik yang berfungsi untuk mengawal kadar denyutan jantung.

"Keadaan ini menyebabkan kadar denyutan jantung dan nadi menjadi luar biasa dan tidak stabil," ujarnya.

Kadar denyutan jantung seseorang yang normal katanya, ialah 60 hingga 100 kali seminit.

Manakala dalam keadaan FA ruang atas jantung berdegup antara 350 hingga 700 kali seminit.

Keadaan ini mengakibatkan aliran darah berkurangan antara 20 hingga 30 peratus dalam sesetengah keadaan.

Kata beliau, FA memberikan kesan yang berbeza kepada para pesakit.

Malangnya ramai yang tidak sedar mereka mengalami masalah FA dan penyakit itu sebenarnya lebih mencabar daripada pesakit jantung yang lain.

Katanya, keadaan itu menyebabkan proses mengepam darah dari jantung ke seluruh badan akan terjejas.

"Pesakit akan berasa letih dan lemah. Sebahagian darah mungkin tertinggal dan bertakung dalam atrium dan akan membentuk darah beku.

Menurutnya, darah beku akibat FA mungkin terpecah dan bergerak ke otak serta bahagian tubuh yang lain, Ini yang menyebabkan strok atau kerosakan serius kepada organ lain seperti jantung (lemah jantung).

Tambah beliau, pesakit FA mempunyai risiko lima kali ganda untuk mendapat strok berbanding mereka yang tidak mempunyai penyakit struktur atau organik jantung.

Ditanya mengenai simptom-simptom penyakit itu, beliau menegaskan seseorang yang menghidapi FA biasanya mudah berdebar secara tiba-tiba, merasa cepat letih, lemah dan juga sukar untuk bernafas.

Selain itu, penglihatan juga mungkin kelihatan kabur dan leher mudah berdenyut serta berpeluh selain panas badan.

Satu cara untuk mengetahui sama ada degupan jantung normal atau tidak ialah dengan mengira dan merasa denyutan nadi di pergelangan tangan.

Jika denyutan terlalu cepat atau tidak sekata, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun pesakit FA kini tidak perlu gusar kerana terdapat penemuan baru di mana syarikat farmaseutikal, Bayer Healthcare baru-baru ini, melancarkan ubat terbaru yang dinamakan Xarelto sebagai perlindungan terhadap ancaman penyakit tersebut.

Xarelto yang juga dikenali sebagai rivaroxaban adalah ubat antipenggumpal oral yang dicadangkan pengambilannya sekali sehari pada dos yang ditetapkan tanpa perlu melakukan pemeriksaan darah secara rutin.

Pengurus Besar Bayer Healthcare Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr. Axel Bouchon berkata, Malaysia adalah negara pertama di Asia dan yang ketiga di dunia meluluskan penggunaan pil itu.

- UTUSAN

‘Bunyi dari langit’ cuma ujian tekanan dandang

KUCHING: Penemuan awal hasil siasatan bunyi ‘ngauman dari langit’ di Kota Samarahan pada 11 dan 12 Januari lalu, mendapati kemungkinan ia berpunca daripada aktiviti kilang sawit milik FELCRA di Kampung Endap, dekat situ.

Penemuan awal itu diperoleh hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Ngauman Langit yang diwujudkan di bawah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof, berkata kilang berkenaan menjalankan ujian tekanan dandang secara automatik, yang mengakibatkan pelepasan wap akibat lebihan tekanan dandang secara berkala dan ia disahkan Penolong Pengurusnya, Yusmizan Desa.
“Proses berkenaan menghasilkan bunyi yang didakwa sebagai ‘ngauman langit’ oleh penduduk setempat. Pelepasan tekanan dandang adalah bagi tujuan mengekalkan tekanan pada nilai yang ditetapkan semasa aktiviti pemprosesan kelapa sawit.

“Corong lepasan wap juga didapati menghala ke arah kampung yang mana saksi mendengar bunyi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Demonstrasi semula penghasilan bunyi pelepasan wap dandang oleh pihak kilang disaksikan sendiri jawatankuasa siasatan dan saksi berkaitan, yang berpuas hati berhubung persamaan bunyi proses terbabit dengan rakaman ngauman seperti dilaporkan sebelum ini.

Fadillah bagaimanapun berkata, analisis saintifik dan pencirian frekuensi yang sedang dilakukan pakar tempatan masih diteruskan bagi pengesahan secara saintifik.
Sebelum ini, antara andaian mengaitkan bunyi itu dengan kejadian gempa bumi di Sumatera dan High Frequancy Active Auroral Research Programme (HAARP) yang dijalankan kerajaan Amerika Syarikat, namun siasatan mendapati kedua-dua andaian tiada asas dan kaitan langsung dengan bunyi berkenaan.

“Jawatankuasa Siasatan menggunakan beberapa metodologi seperti menemubual saksi kejadian, mengenal pasti sumber potensi punca bunyi dan siasatan berkaitan, mendapatkan khidmat pakar tempatan untuk menganalisis audio bunyi berkenaan dan analisis maklum balas yang diterima daripada orang ramai,” katanya.

- BERITA HARIAN

Elak remaja ketagih Facebook


Oleh Rosmah Dain

ADAKAH anak-anak anda khususnya yang berusia belasan tahun, rela menghabiskan masa berkurung di dalam bilik melayari Internet khususnya laman sosial seperti Facebook (FB) daripada keluar bermain bersama rakan-rakan mereka?

Mungkin ada ibu bapa yang melihat perkembangan ini sebagai satu yang positif memandangkan anak-anak mereka tidak lagi keluar dan dapat mengelakkan mereka terjebak dengan pengaruh yang buruk.

Apakah dengan perkembangan terbaru seperti ini ia merupakan satu perkara dan petanda baik kepada anak-anak remaja kini yang diyakini lebih terarah untuk memilih budaya aktiviti yang sihat?

Namun sebenarnya, ketagihan Internet atau khususnya penggunaan laman sosial ini sekiranya berlarutan pastinya memudaratkan kepada perkembangan interaksi sosial anak-anak remaja berkenaan.

Ini diakui oleh Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya, Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, yang memberitahu, remaja dan kanak-kanak memerlukan kemahiran berkomunikasi dan bersosial dengan masyarakat bagi membentuk perkembangan kognitif mereka.

Justeru, golongan ini perlu ada skil kemahiran sosiall bagi menyesuaikan diri bersosial dengan masyarakat dan ini tidak akan didapati sekiranya mereka hanya banyak menghabiskan masa berinteraksi menggunakan laman-laman sosial.

''Apabila kita berinteraksi di laman sosial tanpa berkomunikasi secara bersemuka dengan individu, bagaimana seseorang insan itu mendapat pengalaman kehidupan bermasyarakat.

''Ini pastinya akan menimbul kesukaran terhadap seseorang individu itu apabila diperlukan di kalangan masyarakat mungkin ketika memulakan kerjaya mereka nanti," jelasnya.

Dalam pada itu Dr. Muhammad Muhsin berkata, laman sosial sebenarnya adalah tempat yang paling banyak bagi penggunanya meluahkan perasaan negatif seperti kemarahan, kekecewaan, dendam dan sebagainya yang sekiranya menjadi ikutan remaja berkenaan pastinya bakal membentuk personaliti negatif dalam kehidupan mereka.

''Sukar untuk mengendalikan masalah sekiranya tiada kemahiran untuk berinteraksi dengan manusia.

''Remaja hari ini lebih senang memilih laman-laman sosial untuk berinteraksi menyebabkan pergantungan penyelesaian masalah tidak dapat diberikan jalan penyelesaiannya dan individu berkenaan terdedah pula kepada budaya mendapatkan maklumat secara kurang tepat," katanya.

Ini berlaku sebagai contoh katanya, ada yang meminta jalan kepada masalah yang sedang dilalui, namun ada di kalangan rakan-rakan di laman sosial itu memberikan jalan yang salah sebagai punca penyelesaian seperti menggunakan najis dadah atau membunuh diri sebagai salah satu jalan terakhir.

Apa yang menakutkan, remaja si pengguna laman sosial tadi pula 'menyedut' segala-galanya apa yang diusulkan oleh rakan-rakan di laman sosial tadi menyebabkan mereka boleh terjerumus ke dalam satu fakta yang memberikan impak yang terpesong.

Begitu juga dengan wujudnya budaya-budaya songsang yang turut mempengaruhi menerusi laman sosial tadi selain pencemaran penggunaan bahasa yang teruk, seperti selanga, bahasa ringkas SMS dan bahasa rojak.

''Apabila golongan ini menyerap fakta dan panduan yang disalurkan menerusi laman sosial itu tanpa mendapatkan pandangan daripada ibu bapa atau mereka yang lebih 'berakal' menyebabkan pengaruh unsur-unsur negatif itu semakin tersimpan dalam sanubari mereka," Dr. Muhammad Muhsin yang mengakui ada di kalangan mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam di kafe siber untuk melayari Internet apabila tidak mendapat peluang itu di rumah.

Katanya, pengguna yang menggunakan laman sosial keterlaluan boleh dikatakan sebagai ketagih.

Menurut beliau, ini adalah satu penyakit alaf baru yang biarpun belum dikategorikan sebagai 'penyakit' di negara ini tetapi masalah ketagihan Internet atau penggunaan laman sosial pasti mempunyai keburukan.

Jelasnya, di Korea Selatan, sudah ada langkah-langkah pencegahan di peringkat sekolah terhadap golongan ketagihan Internet seperti ini.

Selain ada intervensi di peringkat sekolah jika dilihat menganggu pembelajaran, golongan ini akan dirujuk kepada bahagian kesihatan dan badan-badan kesihatan luar untuk mendapatkan bimbingan kaunseling.

Justeru Dr. Muhammad Muhsin mengharapkan banyak lagi kajian dilakukan di peringkat universiti mahupun pengajian tinggi lain dalam melakukan penyelidikan di peringkat nasional terhadap unsur-unsur ketagihan Internet dan laman sosial ini sama ada ia melibatkan masalah sosial, kesihatan, pendidikan dan perkembangan kognitif anak-anak remaja di negara ini sebelum keadaan ini bertambah buruk.

Begitu juga unsur-unsur negatif lain seperti laman pornografi dan terpengaruh pula dengan perjudian di laman-laman berkenaan.

Apabila ditanya mengapa golongan ini mudah untuk terjerumus sebagai pengguna laman sosial, dia menegaskan, selain mudah, murah dan rangkaian jaringannya banyak penggunanya, mereka dapat bersosial sebagai komuniti komputer.

Dalam pada itu Dr. Muhammad Muhsin menjelaskan, anak-anak yang tidak akrab dengan ibu bapa mereka serta adik-beradik akan bergantung sepenuhnya dengan Internet dan bersosial dengan rakan-rakan menerusi laman sosial.

Remaja dan kanak-kanak yang menghabiskan masa keterlaluan di laman sosial boleh menyebabkan pelajaran mereka terganggu.

- UTUSAN

SPR gugurkan 42,000 pengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggugurkan nama 42,025 pengundi yang status mereka meragukan daripada senarai daftar pemilih selepas tempoh semakan tamat semalam.

Sebelum ini, SPR meminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memeriksa senarai daftar pemilih yang berjumlah 12.46 juta pengundi dan mendapati status mereka meragukan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, berkata tempoh semakan sepatutnya tamat akhir tahun lalu, tetapi dilanjutkan sebulan atas permintaan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC).
Katanya, sepanjang tempoh itu, SPR menerima 50 maklum balas daripada pemilih dan waris dari Kedah, Perlis, Terengganu, Kelantan, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala tiada maklum balas daripada negeri lain, termasuk Sabah membabitkan 13,000 pengundi yang statusnya meragukan.

“Semakan di JPN mendapati sebanyak 26 daripada 50 maklum balas yang diterima menunjukkan rekod pemilih terbabit adalah aktif, manakala 24 lagi tidak aktif.

“Kita tidak mempunyai pilihan dan menggugurkan 42,025 pengundi yang diragukan statusnya. Kita sudah memberi masa mencukupi untuk mereka memeriksa senarai itu di laman web SPR dan memberi cakera padat (mengandungi senarai terbabit) kepada parti politik,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan taklimat kepada pengurus dan penolong pegawai pengurus SPR di sini, semalam.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, daripada 16.1 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas yang layak mendaftar sebagai pengundi, 12.4 juta sudah berdaftar, manakala 3.7 juta belum berbuat demikian.
“Kita harap mereka yang layak segera mendaftar bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, SPR dalam proses menentukan kriteria perlu diikuti rakyat Malaysia di luar negara untuk membolehkan mereka mengundi.

“Kami mahu tentukan kategori orang Malaysia di luar negara yang boleh mengundi. Adakah hendak bagi (mengundi) orang yang tinggal 20 atau 30 tahun di luar negara dan tidak tahu apa-apa mengenai Malaysia.

“Kita akan ikut negara lain. Contohnya, ada yang tetapkan tiga tahun kena balik dan ada yang empat tahun. Singapura berikan tempoh tertentu... macam di Amerika Syarikat seseorang mestilah pembayar cukai,” katanya.

Mengenai cadangan membenarkan warga Malaysia di luar negara mengundi awal, Abdul Aziz berkata, pihaknya sudah membincangkan perkara itu dengan Wisma Putra yang menyatakan tidak sanggup melaksanakannya kerana proses yang rumit.

- BERITA HARIAN

PKS: Pelaburan melalui Internet kurang

Oleh AZMAN IBRAHIM

Walaupun pengguna Internet di Malaysia antara yang tertinggi di dunia, namun syarikat-syarikat tempatan masih lagi tidak menggunakan kesempatan untuk meningkatkan pelaburan terutamanya dalam pengiklanan menerusi medium itu, menurut kaji selidik McKinsey&Company.

Malah, komuniti perniagaan di negara ini dianggarkan hanya melabur satu peratus daripada perbelanjaan tahunan mereka ke dalam internet.

Pengetuanya, Nimal Manuel berkata, ia secara tidak langsung meletakkan Malaysia pada kedudukan 10 peratus terakhir daripada 57 buah negara yang dinilai.

Jelas Manuel, pelaburan dalam Internet termasuk pengiklanan, dagangan dan sistem kecekapan pengoperasian sesebuah syarikat.

Katanya, McKinsey turut membandingkan pencapaian syarikat-syarikat tempatan dengan syarikat-syarikat di negara maju yang memperuntukkan kira-kira 25 hingga 30 peratus dalam pengiklanan internet.

Jelasnya, komuniti perniagaan di negara-negara maju lebih komited dan mempercayai keupayaan internet dalam melariskan perniagaan masing-masing.

"Daripada 700,000 komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini, hanya 100,000 yang mengambil kesempatan untuk membuat pelaburan dalam internet bagi mengembangkan perniagaan mereka.

"Masih terdapat banyak ruang untuk komuniti perniagaan berkenaan berkembang melalui internet,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan laporan kajian McKinsey&Company serta Google Malaysia terhadap impak internet dalam ekonomi Malaysia di sini hari ini.

Hadir pada majlis ialah Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum dan Pengurus Negara Google Malaysia, Sajith Sivanandan.

Tambah Manuel, kajian yang dijalankan turut mendapati pengguna Malaysia kini menghabiskan lebih banyak masa melayari Internet, berbanding media yang lain termasuk menonton televisyen, mendengar radio dan membaca akhbar.

Katanya, kadar penembusan rangkaian Internet di seluruh negara adalah kira-kira 91 peratus dan pengguna berusia lingkungan 30-an didapati menghabiskan masa lebih dua kali ganda di Internet berbanding menonton televisyen.

''Bagaimanapun, penggunaan kandungan domestik masih berkurangan berbanding kandungan antarabangsa,'' ujarnya.

Sementara itu, Joseph dalam ucapannya memberitahu, negara sewajarnya memperkenalkan lebih banyak syarikat tempatan dan kandungan tempatan di Internet.

Katanya, ia amat penting bagi mempopularkan aktiviti perniagaan dan perkhidmatan dari Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sivanandan pula berkata, nilai ekonomi digital Malaysia tidak pernah dinilai sebelum ini dan laporan yang diperoleh menunjukkan pengguna Internet Malaysia amat tinggi.

Jelas beliau, internet telah merubah persekitaran perniagaan di negara ini daripada tradisional kepada digital.

"Jika lima tahun lalu, perniagaan karipap hanya di warung dan tepi jalan, tetapi kini karipap yang sama boleh ditempah secara dalam talian,'' katanya.

- UTUSAN

Rasulullah ketua keluarga mithali

Oleh Tuan Asmawi Tuan Umar

Pembinaan sebuah keluarga yang dilimpahi kebahagiaan bukanlah menjadi satu fatamorgana atau ilusi yang tidak mampu dicapai seandainya semua umat Islam mempunyai iltizam yang tinggi untuk menggapainya.

Bak kata pepatah Melayu, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". Begitu juga pepatah bagi masyarakat Barat yang menyatakan when there is a will, there is a way.

Setiap manusia lelaki dan wanita diciptakan oleh Allah sememangnya memerlukan pasangan bagi saling melengkapi antara sama lain seperti Allah menciptakan Saidatina Hawa untuk menjadi teman dan pasangan kepada Abul Basyar Saidina Adam a.s.

Penciptaan insan yang bergelar lelaki dan wanita ini sudah menjadi fitrah dan tabie yang termaktub dalam setiap firman Allah menerusi al-Quran yang bermukjizat itu.

Bak kata sesetengah orang "perkahwinan dan pernikahan menurut kebiasaannya hanya dilihat dan dirasakan kemanisan dan kenikmatannya hanya sebulan atau paling lama tiga bulan sahaja".

Andainya benar kenyataan ini, apakah pernikahan tersebut hanya menjadi satu perkara sia-sia. Malah ia akan menjadi beban besar yang terpikul ke atas kedua-dua pihak - suami dan isteri.

Apabila ditanya mengapa situasi seperti ini boleh terjadi, maka kita akan dapati kesimpulannya hanya kerana "melihat orang lain berkahwin, maka saya pun berkahwin".

Justeru, keikhlasan dan ketulusan memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri kerana Allah itu sudah hilang. Sebabnya, sesetengah pasangan menganggap sebagai satu halangan yang besar dalam erti seorang lelaki dan wanita yang masih belum dan tidak merasa puas dengan kebebasan yang diperlukan dalam diri masing-masing.

Oleh yang demikian, sebagai umat Islam barangkali ada kebenaran di sebalik kata-kata bahawa mengahwini orang yang dicintai suatu keharusan dan mencintai orang yang dinikahi adalah suatu kewajipan.

Bersempena kedatangan tarikh ulang tahun keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal 1433 Hijri bersamaan 5 Februari 2012 Masihi yang menjadi qudwah (contoh) dalam pelbagai aspek.

Maka umat Islam bukan sahaja memperingati baginda sebagai insan suci yang membawa obor Islam di atas muka bumi akan tetapi ia perlu dilihat - jika dalam aspek rumahtangga, maka kita sewajarnya mendalami bagaimana untuk kita mencontohi teladan Rasulullah SAW dalam menyantuni para isteri (Ummahaat Al-Mukminin) serta kaum keluarganya.

Barangkali ada yang berkata bahawa terlalu jauh impian kita untuk menyamai taraf dan kedudukan serta segala teladan yang baginda lakukan. Namun, sebagai umat baginda perlu sentiasa menanam impian dan hasrat melakukan yang terbaik untuk keluarga.

Pelbagai contoh yang mungkin menjadi sumber inspirasi kepada kita semua seperti baginda pernah bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya ; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi". (riwayat Abu 'Asakir)

Di dalam hadis yang lain juga ada baginda SAW berpesan: "Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya". (riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Sekiranya kita mempunyai darjat dan kedudukan yang tinggi di mata masyarakat, maka tidaklah menjadi hina dan tercela darjat berkenaan dengan sebab kita menyantuni keluarga.

Bahkan dalam konteks ini, baginda SAW seorang yang Allah telah angkat dan iktirafnya sebagai kekasih-Nya tetap tidak melupakan tugas dan tanggungjawab baginda sebagai manusia biasa.

Maka, situasi ini agak kontradik dengan apa yang nabi SAW paparkan iaitu sesetengah suami yang percaya bahawa dengan ketegasan dan kemarahan sahaja 'jawapan' dalam mendidik seseorang isteri.

Baginda lemah-lembut dengan isteri

Sifat lemah lembut baginda SAW jelas terpapar dalam satu situasi pernah baginda pulang pada waktu pagi yang kebetulannya baginda teramat lapar pada ketika itu akan tetapi apabila dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk menjadi makanan sarapan. Lalu nabi bertanya: "Adakah masih belum ada sarapan wahai Humaira?" (Humaira adalah panggilan mesra untuk Saidatina Aisyah yang bererti pipi yang kemerah-merahan).

Maka Saidatina Aisyah menjawab dengan agak serba salah: "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah". Rasulullah SAW lantas berkata: "Jika begitu saya puasa saja hari ini" tanpa sedikit tergambar rasa sekelumit kemarahan dan kekesalan pada raut wajah baginda.

Oleh yang demikian, dewasa ini, dengan situasi yang sama walau pun sekilas dipandang kecil tetapi ia boleh menjadi isu dan perkara besar sehingga boleh membawa kepada pergaduhan dan perbalahan.

Apa yang jelas bahawa jika bertindak dengan terburu-buru tanpa usul periksa maka pastinya akan berkesudahan dengan keputusan yang menjadikan syaitan dan iblis bergembira kerana telah berjaya mengkucar-kacirkan sebuah rumahtangga Muslim.

Menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai seorang ketua dalam sesebuah keluarga bukan sahaja memerlukan ilmu pengetahuan agama yang cukup malah kesabaran menjadi paksi yang teras dalam melayari bahtera kehidupan.

Ini kerana andainya tersalah dalam membuat sebarang keputusan seperti contoh dalam sesebuah rumahtangga maka banyak pihak yang akan menanggung permasalahan seperti anak-anak, pembahagian harta benda dan sebagainya.

Betapa tulus dan bersih hati seorang insan berdarjat mulia yang tidak keberatan untuk menjahit serta menampalnya sendiri jika ada pakaian baginda yang terkoyak tanpa menyuruh isterinya.

Malah lebih daripada itu baginda juga seperti insan yang lain tidak segan silu memerah susu kambing sama ada untuk kegunaan keluarga atau pun untuk dijual.

Masya-Allah, di manakah kita sekarang? Hanya dengan kerana darjat dan kedudukan, tugas-tugas seperti tadi barangkali tidak menjadi kegemaran kita.

Bersama kita sematkan dalam diri dan keazaman kita bahawa seandainya seorang nabi dan rasul yang mulia itu sanggup menyantuni keluarganya dengan baik. Beratkah kita untuk menjejaki langkah dan teladan Baginda.

Semoga iltizam dan cita-cita kita untuk menjadi seorang ketua keluarga yang mengambil semangat dan model paparan Nabi Muhammad SAW menjadi realiti.

* Jika ada kemusykilan agama, sila ke Facebook dan Twitter Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar, Pegawai Perhubungan Awam Jawi merangkap Pengasas & Penasihat Imam Muda & Ustazah Pilihan di www.facebook.com/tuanasmawi dan www.twitter.com/tuanasmawi

- UTUSAN

Beruang Matahari ditangkap di Jeli


JELI – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kelmarin berjaya menangkap seekor beruang Matahari (Malayan Sun Bear) di Kampung Pasir Dusun di sini yang memusnahkan tanaman penduduk sejak sebulan lalu.

Beruang jantan seberat 48 kilogram dan setinggi kira-kira satu meter itu membinasakan pokok salak di kebun seluas 47.1 hektar yang diusahakan oleh 15 penduduk.

Penolong Pegawai Perhilitan negeri, Cosmas Ngau berkata, pihaknya memasang perangkap selepas menerima aduan daripada pemilik kebun pada awal bulan lalu.

“Setelah sebulan memasang perangkap, kami akhirnya berjaya menangkap binatang tersebut. Haiwan berkenaan dipercayai datang dari Hutan Basor yang terletak berhampiran kampung ini.

“Kami akan terus memasang perangkap kerana dipercayai banyak lagi haiwan itu yang berkeliaran dan mengancam tanaman penduduk,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di kampung itu di sini semalam.

- KOSMO!

Beza politik tak halang memartabatkan Islam

Oleh Lokman Ismail

KEHARMONIAN dan keamanan negara perlu dipertahankan. Nikmat ini jangan dipandang mudah kerana tidak semua rakyat di seluruh dunia dapat menikmati suasana hidup seperti di negara kita. Oleh itu, nikmat ini perlu disyukuri dan dijaga sebaiknya.

Firman Allah bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)
Apabila keamanan dan keharmonian hancur, sukar untuk mengembalikannya. Lihatlah apa yang berlaku di negara luar. Negara aman dan mencapai tahap tamadun yang gemilang pada masa lalu bertukar huru-hara dan seluruh rakyat menanggung kesengsaraan gara-gara tindakan mereka sendiri. Dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama, hubungan baik seluruh rakyat amat penting. Isu kaum dan agama mudah mencetuskan keadaan huru-hara dan tegang. Sebab itu, semangat perpaduan dan tolak ansur penting diamalkan setiap masa.

Islam mementingkan hubungan baik dengan penganut agama lain. Nikmat keamanan dan keharmonian turut dinikmati penduduk bukan Islam kerana mereka juga sebahagian yang menyumbang ke arah itu.

Biarpun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan agama Islam agama Persekutuan, ia tidak sekali-kali menyekat kebebasan bukan Islam mengamalkan agama masing-masing seperti terkandung dalam Perkara 11.

Justeru, penduduk bukan Islam tidak perlu bimbang mengenai keselamatan dan kebebasan selagi mereka mematuhi prinsip Rukun Negara.

Antara perkara yang perlu diamalkan ialah sifat sederhana dan menjauhi elemen ekstrem yang boleh menghancurkan keamanan dan keharmonian. Formula mengamalkan toleransi, sifat terbuka dalam hubungan sosial, saling memahami, menghormati dan mempercayai perlu dipertahankan.
Sebab itu, jika ada perkara berbentuk fitnah dan provokasi membabitkan kaum dan agama, jangan mudah melatah atau bertindak melulu. Tindakan buruk sangka akan memburukkan keadaan dan lebih parah jika ada pihak ingin menjadi jaguh atau mengambil kesempatan.

Allah SWT mengingatkan melalui firman yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan jangan kamu mencari kesalahan dan keaiban orang lain dan jangan sesetengah kamu mengumpat akan sesetengah yang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Fenomena fitnah dan khabar angin menjadi senjata berbisa digunakan pihak berkepentingan. Senjata ini membunuh keamanan dan keharmonian. Islam melarang fitnah dan menyebar khabar angin, penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah dengan balasan azab amat pedih.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Awasi diri kamu daripada buruk sangka kerana perbuatan itu adalah pembohongan besar. Jangan mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikan diri kamu bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan bersangka buruk terhadap orang lain sebenarnya timbul daripada perasaan tidak puas hati dan dengki atas sebab tertentu. Perbuatan seperti ini melambangkan rendahnya moral pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain.

Jangan dibenarkan nafsu menguasai akal kerana tindakan itu adalah perbuatan iblis. Manusia mempunyai pertimbangan akal, iman dan nafsu, justeru, letakkan keamanan dan keharmonian sebagai nilai yang tidak ada harga untuk membayarnya.

Apabila penyebaran fitnah berlaku secara berleluasa bermakna kehidupan masyarakat berada di ambang kemusnahan. Masing-masing keliru dan sukar untuk membuat pilihan yang mana berada di pihak benar.

Jangan biarkan negara musnah disebabkan perebutan kuasa. Sistem demokrasi yang diamalkan memberi peluang rakyat memilih pemimpin paling layak. Pemilihan pemimpin perlu dilakukan berdasarkan rekod perkhidmatan, bukan atas sentimen atau persepsi semata-mata.

Perbezaan fahaman politik tidak harus dijadikan penghalang kepada satu matlamat yang sama, memartabatkan kedudukan Islam pada kedudukan terbaik.

Setiap individu Muslim mempunyai tanggungjawab menyokong apa-apa usaha untuk kebaikan ummah. Siapa atau pihak mana yang mencetuskan idea dan memulakan usaha tidak perlu dipedulikan, asalkan perkara itu memberi kebaikan kepada ummah.

Sikap melakukan sesuatu untuk nama puak atau golongan tertentu menjadi penyakit yang boleh melemahkan perpaduan. Golongan yang tidak sealiran akan menidakkan kebaikan dilakukan pihak lain, sedangkan mereka sendiri tidak melakukan apa-apa yang lebih baik.

Budaya berpuak dan mementingkan ideologi tertentu menyebabkan umat Islam berpecah dan berada dalam keadaan lemah. Usaha lebih banyak dihabiskan untuk berlawan sesama sendiri dan membiarkan ummah terus dalam keadaan lemah.

Sebab itu Nabi Muhammad SAW sentiasa mementingkan soal perpaduan. Setiap individu Muslim diumpamakan seperti bahan binaan yang saling menguatkan antara satu sama lain. Jika ada yang runtuh, maka keseluruhan bangunan akan roboh atau tidak lagi sempurna.

- BERITA HARIAN

Tukaran antara mata wang asing kini tak perlu guna ringgit

BERMULA hari ini, pemastautin di Malaysia boleh membuat tukaran mata wang asing yang dimiliki dengan mata wang asing lain tanpa perlu menukarkannya kepada ringgit terlebih dulu.

Transaksi ini hanya boleh dibuat menerusi rangkaian bank komersial, bank Islam dan bank pelaburan tempatan dan bukannya menerusi rangkaian pengurup wang berlesen.
Mengumumkan perkara itu semalam, Bank Negara Malaysia, menerusi satu kenyataan di Kuala Lumpur berkata, langkah baru itu adalah sebahagian daripada usaha berterusannya meningkatkan lagi daya saing ekonomi dan membangunkan pasaran kewangan domestik.

“Langkah itu juga seiring dengan teras am Rangka Tindakan Sektor Kewangan dalam meningkatkan lagi tahap kecairan, keluasan dan penyertaan pelbagai peserta dalam pasaran kewangan domestik,” katanya.

Pemastautin bukan merujuk kepada individu biasa, tetapi ialah individu, pertubuhan atau syarikat berdaftar dengan atau diluluskan oleh pihak berkuasa di Malaysia; dan mana-mana kerajaan negeri, yang memiliki nilai kekayaan tinggi.

Sebagai contoh, warga negara atau syarikat pemastautin di Malaysia yang memiliki mata wang yuan dan mahu menukar atau membeli mata wang dolar Amerika Syarikat (AS), mereka kini tidak lagi perlu menukarnya kepada ringgit terlebih dulu, sebaliknya terus boleh membuat tukaran kepada mata wang dolar AS yang diinginkan, sekali gus memudahkan dan mengurangkan kos tukaran mata wang.

Selain meliberalisasikan proses tukaran, Bank Negara mengumumkan bank tempatan turut boleh menawarkan derivatif kadar faedah berasaskan ringgit kepada ‘bukan pemastautin bukan bank’, iaitu pelabur atau syarikat yang tidak bermastautin di Malaysia.
Katanya, langkah itu bertujuan memperluaskan lagi jangkauan pasaran derivatif kadar faedah domestik, bukan hanya kepada pelabur atau syarikat tempatan, malah turut merangkumi pelabur dan syarikat asing lain.

Bank Negara berkata, bagi menambah baik sistem pengurusan tanggungan aset pemastautin, fleksibiliti turut diberikan kepada pemastautin untuk menukar tanggungan hutang ringgit atau mata wang asing yang dimiliki mereka kepada bentuk tanggungan hutang menggunakan mata wang asing lain.

Sebagai contoh, jika pemastautin itu memiliki tanggungan hutang dalam ringgit atau dolar AS dan ingin mengurangkan pendedahan mata wang sedia ada berkenaan dalam pasaran kewangan terbuka, mereka boleh menukarkannya kepada mata wang lain bagi menguruskan tahap pendedahannya.

Pada masa sama, mereka boleh menikmati keuntungan apabila mata wang asing yang baru ditukarkan itu mengukuh di pasaran.

Bagaimanapun, Bank Negara berkata, dalam melaksanakan urus niaga berkenaan kepada mana-mana pemastautin, bank tempatan dikehendaki memastikan pemastautin itu menepati penilaian kesesuaian seperti yang ditetapkan di bawah garis panduan yang dikeluarkan Bank Negara.

Bagi mendapatkan maklumat dan pertanyaan mengenai langkah terbabit, orang ramai boleh menghubungi Bank Negara di talian bebas tol 1 300 88 5465 (BNMTELELINK), menghantar e-mel ke bnmtelelink@bnm.gov.my atau melayari laman web di http://www.bnm.gov.my/fxadmin.

- BERITA HARIAN