Rabu, Februari 01, 2012

PKS: Pelaburan melalui Internet kurang

Oleh AZMAN IBRAHIM

Walaupun pengguna Internet di Malaysia antara yang tertinggi di dunia, namun syarikat-syarikat tempatan masih lagi tidak menggunakan kesempatan untuk meningkatkan pelaburan terutamanya dalam pengiklanan menerusi medium itu, menurut kaji selidik McKinsey&Company.

Malah, komuniti perniagaan di negara ini dianggarkan hanya melabur satu peratus daripada perbelanjaan tahunan mereka ke dalam internet.

Pengetuanya, Nimal Manuel berkata, ia secara tidak langsung meletakkan Malaysia pada kedudukan 10 peratus terakhir daripada 57 buah negara yang dinilai.

Jelas Manuel, pelaburan dalam Internet termasuk pengiklanan, dagangan dan sistem kecekapan pengoperasian sesebuah syarikat.

Katanya, McKinsey turut membandingkan pencapaian syarikat-syarikat tempatan dengan syarikat-syarikat di negara maju yang memperuntukkan kira-kira 25 hingga 30 peratus dalam pengiklanan internet.

Jelasnya, komuniti perniagaan di negara-negara maju lebih komited dan mempercayai keupayaan internet dalam melariskan perniagaan masing-masing.

"Daripada 700,000 komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini, hanya 100,000 yang mengambil kesempatan untuk membuat pelaburan dalam internet bagi mengembangkan perniagaan mereka.

"Masih terdapat banyak ruang untuk komuniti perniagaan berkenaan berkembang melalui internet,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan laporan kajian McKinsey&Company serta Google Malaysia terhadap impak internet dalam ekonomi Malaysia di sini hari ini.

Hadir pada majlis ialah Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum dan Pengurus Negara Google Malaysia, Sajith Sivanandan.

Tambah Manuel, kajian yang dijalankan turut mendapati pengguna Malaysia kini menghabiskan lebih banyak masa melayari Internet, berbanding media yang lain termasuk menonton televisyen, mendengar radio dan membaca akhbar.

Katanya, kadar penembusan rangkaian Internet di seluruh negara adalah kira-kira 91 peratus dan pengguna berusia lingkungan 30-an didapati menghabiskan masa lebih dua kali ganda di Internet berbanding menonton televisyen.

''Bagaimanapun, penggunaan kandungan domestik masih berkurangan berbanding kandungan antarabangsa,'' ujarnya.

Sementara itu, Joseph dalam ucapannya memberitahu, negara sewajarnya memperkenalkan lebih banyak syarikat tempatan dan kandungan tempatan di Internet.

Katanya, ia amat penting bagi mempopularkan aktiviti perniagaan dan perkhidmatan dari Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sivanandan pula berkata, nilai ekonomi digital Malaysia tidak pernah dinilai sebelum ini dan laporan yang diperoleh menunjukkan pengguna Internet Malaysia amat tinggi.

Jelas beliau, internet telah merubah persekitaran perniagaan di negara ini daripada tradisional kepada digital.

"Jika lima tahun lalu, perniagaan karipap hanya di warung dan tepi jalan, tetapi kini karipap yang sama boleh ditempah secara dalam talian,'' katanya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts