Beza politik tak halang memartabatkan Islam

Oleh Lokman Ismail

KEHARMONIAN dan keamanan negara perlu dipertahankan. Nikmat ini jangan dipandang mudah kerana tidak semua rakyat di seluruh dunia dapat menikmati suasana hidup seperti di negara kita. Oleh itu, nikmat ini perlu disyukuri dan dijaga sebaiknya.

Firman Allah bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)
Apabila keamanan dan keharmonian hancur, sukar untuk mengembalikannya. Lihatlah apa yang berlaku di negara luar. Negara aman dan mencapai tahap tamadun yang gemilang pada masa lalu bertukar huru-hara dan seluruh rakyat menanggung kesengsaraan gara-gara tindakan mereka sendiri. Dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama, hubungan baik seluruh rakyat amat penting. Isu kaum dan agama mudah mencetuskan keadaan huru-hara dan tegang. Sebab itu, semangat perpaduan dan tolak ansur penting diamalkan setiap masa.

Islam mementingkan hubungan baik dengan penganut agama lain. Nikmat keamanan dan keharmonian turut dinikmati penduduk bukan Islam kerana mereka juga sebahagian yang menyumbang ke arah itu.

Biarpun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan agama Islam agama Persekutuan, ia tidak sekali-kali menyekat kebebasan bukan Islam mengamalkan agama masing-masing seperti terkandung dalam Perkara 11.

Justeru, penduduk bukan Islam tidak perlu bimbang mengenai keselamatan dan kebebasan selagi mereka mematuhi prinsip Rukun Negara.

Antara perkara yang perlu diamalkan ialah sifat sederhana dan menjauhi elemen ekstrem yang boleh menghancurkan keamanan dan keharmonian. Formula mengamalkan toleransi, sifat terbuka dalam hubungan sosial, saling memahami, menghormati dan mempercayai perlu dipertahankan.
Sebab itu, jika ada perkara berbentuk fitnah dan provokasi membabitkan kaum dan agama, jangan mudah melatah atau bertindak melulu. Tindakan buruk sangka akan memburukkan keadaan dan lebih parah jika ada pihak ingin menjadi jaguh atau mengambil kesempatan.

Allah SWT mengingatkan melalui firman yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan jangan kamu mencari kesalahan dan keaiban orang lain dan jangan sesetengah kamu mengumpat akan sesetengah yang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Fenomena fitnah dan khabar angin menjadi senjata berbisa digunakan pihak berkepentingan. Senjata ini membunuh keamanan dan keharmonian. Islam melarang fitnah dan menyebar khabar angin, penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah dengan balasan azab amat pedih.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Awasi diri kamu daripada buruk sangka kerana perbuatan itu adalah pembohongan besar. Jangan mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikan diri kamu bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan bersangka buruk terhadap orang lain sebenarnya timbul daripada perasaan tidak puas hati dan dengki atas sebab tertentu. Perbuatan seperti ini melambangkan rendahnya moral pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain.

Jangan dibenarkan nafsu menguasai akal kerana tindakan itu adalah perbuatan iblis. Manusia mempunyai pertimbangan akal, iman dan nafsu, justeru, letakkan keamanan dan keharmonian sebagai nilai yang tidak ada harga untuk membayarnya.

Apabila penyebaran fitnah berlaku secara berleluasa bermakna kehidupan masyarakat berada di ambang kemusnahan. Masing-masing keliru dan sukar untuk membuat pilihan yang mana berada di pihak benar.

Jangan biarkan negara musnah disebabkan perebutan kuasa. Sistem demokrasi yang diamalkan memberi peluang rakyat memilih pemimpin paling layak. Pemilihan pemimpin perlu dilakukan berdasarkan rekod perkhidmatan, bukan atas sentimen atau persepsi semata-mata.

Perbezaan fahaman politik tidak harus dijadikan penghalang kepada satu matlamat yang sama, memartabatkan kedudukan Islam pada kedudukan terbaik.

Setiap individu Muslim mempunyai tanggungjawab menyokong apa-apa usaha untuk kebaikan ummah. Siapa atau pihak mana yang mencetuskan idea dan memulakan usaha tidak perlu dipedulikan, asalkan perkara itu memberi kebaikan kepada ummah.

Sikap melakukan sesuatu untuk nama puak atau golongan tertentu menjadi penyakit yang boleh melemahkan perpaduan. Golongan yang tidak sealiran akan menidakkan kebaikan dilakukan pihak lain, sedangkan mereka sendiri tidak melakukan apa-apa yang lebih baik.

Budaya berpuak dan mementingkan ideologi tertentu menyebabkan umat Islam berpecah dan berada dalam keadaan lemah. Usaha lebih banyak dihabiskan untuk berlawan sesama sendiri dan membiarkan ummah terus dalam keadaan lemah.

Sebab itu Nabi Muhammad SAW sentiasa mementingkan soal perpaduan. Setiap individu Muslim diumpamakan seperti bahan binaan yang saling menguatkan antara satu sama lain. Jika ada yang runtuh, maka keseluruhan bangunan akan roboh atau tidak lagi sempurna.

- BERITA HARIAN Beza politik tak halang memartabatkan Islam

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.