Elak remaja ketagih Facebook


Oleh Rosmah Dain

ADAKAH anak-anak anda khususnya yang berusia belasan tahun, rela menghabiskan masa berkurung di dalam bilik melayari Internet khususnya laman sosial seperti Facebook (FB) daripada keluar bermain bersama rakan-rakan mereka?

Mungkin ada ibu bapa yang melihat perkembangan ini sebagai satu yang positif memandangkan anak-anak mereka tidak lagi keluar dan dapat mengelakkan mereka terjebak dengan pengaruh yang buruk.

Apakah dengan perkembangan terbaru seperti ini ia merupakan satu perkara dan petanda baik kepada anak-anak remaja kini yang diyakini lebih terarah untuk memilih budaya aktiviti yang sihat?

Namun sebenarnya, ketagihan Internet atau khususnya penggunaan laman sosial ini sekiranya berlarutan pastinya memudaratkan kepada perkembangan interaksi sosial anak-anak remaja berkenaan.

Ini diakui oleh Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya, Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, yang memberitahu, remaja dan kanak-kanak memerlukan kemahiran berkomunikasi dan bersosial dengan masyarakat bagi membentuk perkembangan kognitif mereka.

Justeru, golongan ini perlu ada skil kemahiran sosiall bagi menyesuaikan diri bersosial dengan masyarakat dan ini tidak akan didapati sekiranya mereka hanya banyak menghabiskan masa berinteraksi menggunakan laman-laman sosial.

''Apabila kita berinteraksi di laman sosial tanpa berkomunikasi secara bersemuka dengan individu, bagaimana seseorang insan itu mendapat pengalaman kehidupan bermasyarakat.

''Ini pastinya akan menimbul kesukaran terhadap seseorang individu itu apabila diperlukan di kalangan masyarakat mungkin ketika memulakan kerjaya mereka nanti," jelasnya.

Dalam pada itu Dr. Muhammad Muhsin berkata, laman sosial sebenarnya adalah tempat yang paling banyak bagi penggunanya meluahkan perasaan negatif seperti kemarahan, kekecewaan, dendam dan sebagainya yang sekiranya menjadi ikutan remaja berkenaan pastinya bakal membentuk personaliti negatif dalam kehidupan mereka.

''Sukar untuk mengendalikan masalah sekiranya tiada kemahiran untuk berinteraksi dengan manusia.

''Remaja hari ini lebih senang memilih laman-laman sosial untuk berinteraksi menyebabkan pergantungan penyelesaian masalah tidak dapat diberikan jalan penyelesaiannya dan individu berkenaan terdedah pula kepada budaya mendapatkan maklumat secara kurang tepat," katanya.

Ini berlaku sebagai contoh katanya, ada yang meminta jalan kepada masalah yang sedang dilalui, namun ada di kalangan rakan-rakan di laman sosial itu memberikan jalan yang salah sebagai punca penyelesaian seperti menggunakan najis dadah atau membunuh diri sebagai salah satu jalan terakhir.

Apa yang menakutkan, remaja si pengguna laman sosial tadi pula 'menyedut' segala-galanya apa yang diusulkan oleh rakan-rakan di laman sosial tadi menyebabkan mereka boleh terjerumus ke dalam satu fakta yang memberikan impak yang terpesong.

Begitu juga dengan wujudnya budaya-budaya songsang yang turut mempengaruhi menerusi laman sosial tadi selain pencemaran penggunaan bahasa yang teruk, seperti selanga, bahasa ringkas SMS dan bahasa rojak.

''Apabila golongan ini menyerap fakta dan panduan yang disalurkan menerusi laman sosial itu tanpa mendapatkan pandangan daripada ibu bapa atau mereka yang lebih 'berakal' menyebabkan pengaruh unsur-unsur negatif itu semakin tersimpan dalam sanubari mereka," Dr. Muhammad Muhsin yang mengakui ada di kalangan mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam di kafe siber untuk melayari Internet apabila tidak mendapat peluang itu di rumah.

Katanya, pengguna yang menggunakan laman sosial keterlaluan boleh dikatakan sebagai ketagih.

Menurut beliau, ini adalah satu penyakit alaf baru yang biarpun belum dikategorikan sebagai 'penyakit' di negara ini tetapi masalah ketagihan Internet atau penggunaan laman sosial pasti mempunyai keburukan.

Jelasnya, di Korea Selatan, sudah ada langkah-langkah pencegahan di peringkat sekolah terhadap golongan ketagihan Internet seperti ini.

Selain ada intervensi di peringkat sekolah jika dilihat menganggu pembelajaran, golongan ini akan dirujuk kepada bahagian kesihatan dan badan-badan kesihatan luar untuk mendapatkan bimbingan kaunseling.

Justeru Dr. Muhammad Muhsin mengharapkan banyak lagi kajian dilakukan di peringkat universiti mahupun pengajian tinggi lain dalam melakukan penyelidikan di peringkat nasional terhadap unsur-unsur ketagihan Internet dan laman sosial ini sama ada ia melibatkan masalah sosial, kesihatan, pendidikan dan perkembangan kognitif anak-anak remaja di negara ini sebelum keadaan ini bertambah buruk.

Begitu juga unsur-unsur negatif lain seperti laman pornografi dan terpengaruh pula dengan perjudian di laman-laman berkenaan.

Apabila ditanya mengapa golongan ini mudah untuk terjerumus sebagai pengguna laman sosial, dia menegaskan, selain mudah, murah dan rangkaian jaringannya banyak penggunanya, mereka dapat bersosial sebagai komuniti komputer.

Dalam pada itu Dr. Muhammad Muhsin menjelaskan, anak-anak yang tidak akrab dengan ibu bapa mereka serta adik-beradik akan bergantung sepenuhnya dengan Internet dan bersosial dengan rakan-rakan menerusi laman sosial.

Remaja dan kanak-kanak yang menghabiskan masa keterlaluan di laman sosial boleh menyebabkan pelajaran mereka terganggu.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.