Isnin, April 26, 2010

BN menang tapi hilang sokongan Cina

Menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Hulu Selangor semalam, sebagai kemenangan yang baik, para pemimpin BN berkata parti masing-masing telah dapat menawan hati dan fikiran rakyat di kawasan tersebut.

Namun Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata walaupun menang dengan majoriti 1,725, tetapi pengundi Cina didapati tidak menyokong BN, bukan sahaja dalam pilihan raya kecil itu tetapi juga semasa pilihan raya umum 2008.

"Kita perlu melihat di mana silap kita. Saya akan berjumpa dengan parti-parti komponen untuk membincangkan perkara ini, tetapi kita gembira kerana pengundi India kembali menyokong BN. Begitu juga dengan pengundi Melayu.

"Kita hilang kerusi pada pilihan raya 2008 dengan majoriti kecil 198 undi tetapi kini mengekalkan kembali kerusi dengan majoriti yang lebih besar. Ini menunjukkan rakyat menyambut baik konsep yang diutarakan pucuk pimpinan seperti gagasan 1Malaysia dan Model Ekonomi Baru," katanya selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor diumumkan di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Baharu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pula berkata MCA memerlukan anjakan paradigma bagi mendekati masyarakat Cina yang dilihat tidak begitu memberi perhatian kepada soal kehendak dan keperluan asas.

"Anjakan paradigma ini mesti datang dari pemimpin MCA. Selain itu Hulu Selangor mempunyai masalah dalamannya sendiri. Bagi saya dan pemimpin parti yang lain, banyak perkara yang perlu dilakukan.

"Ia satu lagi isyarat, jika mereka tidak meletak ke tepi perbezaan antara mereka, maka MCA akan menjadi bakul sampah politik atau dinosur politik.

"Kami perlu melihat kembali diri kami, sama ada selepas 50 tahun menumpukan perhatian kepada masyarakat peringkat setempat, kami perlu melihat lebih lagi. Anda boleh pasti bahawa kami akan menjadi lebih vokal selepas ini," katanya.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata walaupun BN menang, tetapi terdapat pelbagai isu yang perlu ditangani dan diselesaikan.

"Sokongan di kalangan masyarakat Cina tidak bertambah. Apabila kita mula berkempen di sini, tahap sokongan hanya sekitar 12 hingga 15 peratus. Selepas perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) turun menemui rakyat, ia meningkat kira-kira 25 peratus.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu pula berkata partinya perlu menggandakan usaha untuk menarik kembali sokongan pengundi India.

"Ya, kami mendapat sedikit kejayaan dalam memenangi pengundi India. Dalam pilihan raya ini kami mendapat kira-kira 65 peratus sokongan. Ia pernah mencapai 80 peratus sebelum 2008. Kami perlu mencapai sasaran ini," katanya.

Timbalannya Datuk G Palanivel (bawah, berbaju perang) yang juga bekas wakil rakyat Hulu Selangor sebelum tewas pada pilihan raya 2008 berkata, sementara kejayaan kali ini meningkatkan motivasi BN, ia perlu menilai semula dan memperbaiki kelemahannya.

"Kemenangan ini adalah baik, kita mendapat majoriti yang lebih baik tetapi terdapat kelemahan yang perlu difikirkan," katanya.

Beliau berkata MIC perlu melakukan bedah sasat dan terus berusaha mendapat sokongan pengundi India menerusi pelbagai strategi.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula menyifatkan keputusan pilihan raya kecil itu sebagai kemenangan Najib dan juga kemenangan rakyat Malaysia yang ingin melihat kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.

"Wanita Umno telah menjalankan tugas dengan penuh komitmen, disiplin dan kesungguhan sebagai jentera utama parti dalam menentukan kemenangan ini. Adalah amat penting juga untuk kita tunaikan setiap janji yang telah dibuat," katanya.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kemenangan itu menunjukkan rakyat yakin dengan dasar yang di bawa Perdana Menteri berbanding keyakinan mereka terhadap pembangkang.

"Rakyat telah pilih parti yang lebih jamin masa depan, itu tanda pemulihan rakyat dan keyakinan rakyat pada BN. Saya harap ini akan menjadi titik tolak untuk BN untuk pilihan raya kecil yang lain pada masa depan," katanya.

- Bernama

Kenapa Tidak Boleh Jadi Seorang Yang Budiman!

Oleh ROZAID A. RAHMAN

Kini semuanya telah terjawab. MIC berjaya mengembalikan maruahnya di Hulu Selangor dengan kemenangan P. Kamalanathan dengan majoriti yang jauh lebih besar daripada pilihan raya 2008 yang dimenangi oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika itu.

Kemenangan itu juga dengan jelas sekali menunjukkan Barisan Nasional (BN) telah membuat pilihan yang tepat dengan mempertaruhkan nyawa mereka di tangan seorang muka baru yang masih belum tercalar balar dalam mana-mana pertarungan politik.

Calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim yang sepanjang kempen pilihan raya kecil ini diselubungi dengan pelbagai persoalan dan isu peribadi khabarnya siang-siang lagi telah memberi indikasi yang seandainya beliau tewas, ia adalah kerana pada pandangan beliau, pilihan raya kecil ini berlangsung atas landasan yang tidak adil.

Zaid berkata, beliau mendapat sokongan padu daripada masyarakat Hulu Selangor, tetapi mempertikaikan sama ada mereka (para pengundi) telah diberi peluang untuk mengundi.

"Kita yakin kita akan mendapat sokongan daripada rakyat tetapi soalannya ialah sama ada mereka dapat menyatakan sokongan mereka menerusi undi atau tidak. Ini kerana lokasi mereka telah berubah.Inilah masalah yang kita sedang hadapi walaupun semua kaum sama ada Melayu, Cina atau India menyokong kita," kata Zaid kepada pemberita ketika berhenti makan tengah hari pada hari mengundi.

Dan dalam nada yang sinis Zaid menambah kata, adalah penting untuk menjadi realistik.

Realitinya, ayat Zaid yang terakhir itulah - "realistik" - yang merupakan hakikat sebenar. PKR dan barisan pembangkang telah dapat menghidu kekalahan mereka menjelang tengah hari mengundi. Ini adalah satu realiti yang pahit untuk ditelan.

Tetapi masalah dengan barisan pembangkang ialah mereka mempunyai satu penyakit - iaitu penyakit suka mencari alasan apabila terasa hendak tewas atau apabila tewas.

Alasan yang paling popular ialah pertama, berlaku penipuan dan kedua ialah pilihan raya yang berlangsung tidak adil.

Ironiknya pula, apabila menang, kesemua alasan ini tidak langsung timbul malah tak kedengaran mereka berkata berlakunya ketidakadilan dan juga penipuan dalam pilihan raya.

Ini ternyata benar apabila Pakatan Rakyat menyapu bersih lima negeri dan berjaya menafikan majoriti dua pertiga kedudukan Barisan di Dewan Rakyat. Pada masa itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiba-tiba menjadi adil seadil-adilnya.

Tidak pula kedengaran SPR tidak adil dan adanya berlaku penipuan dalam proses berkempen dan mengundi. Lucu bukan!

Tidak bolehkah mereka ini belajar menjadi gentleman sikit. Tidak bolehkah apabila kalah belajar menerima kekalahan itu dengan dada yang lapang dan niat sangka yang baik.

Kenapa dalam lima lagi pilihan raya kecil yang terdahulu yang dimenangi oleh mereka, isu seperti ini tidak langsung berbangkit? Sebaliknya diraikan dengan penuh kegembiraan dan senang hati.

Adalah amat malang sekali apabila seorang lelaki budiman seperti Zaid apabila terasa tidak boleh makan cekak, siang-siang lagi cuba memberi indikasi yang pilihan raya kecil ini tidak akan menjadi pilihan raya yang adil.

Kenapa berkata demikian pada hari terakhir sahaja. Kenapa pada hari terakhir baru hendak menuduh jabatan kerajaan dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli telah bersekongkol untuk membantu apa yang beliau labelkan "mereka yang berkuasa".

Pada hari mengundi juga Zaid mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, cuba merasuah para pengundi secara terang-terangan. Beliau tidak memberi contoh apa yang beliau maksudkan dengan kata-kata itu. Tetapi jika ia adalah berkaitan soal menyelesaikan isu tanah peneroka Felda, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim juga membuat janji yang sama iaitu Kerajaan Negeri akan menyelesaikan isu tanah mereka jika Kerajaan Persekutuan gagal berbuat demikian.

Lain-lain janji adalah perkara lumrah dalam pilihan raya. PKR juga berjanji macam-macam dalam kempen kerana mereka juga menguasai kerajaan negeri dan ada kuasa untuk mengotakan janji-janji itu jika calon mereka menang.

Jadi tolonglah, kalau dah terasa hendak kalah atau apabila dah kalah, terimalah ia dengan baik. Tak perlu diciptakan pelbagai alasan untuk menjustifikasikan kekalahan itu. Jadilah seorang gentleman iaitu seorang yang budiman!

- MSTAR

Mari Belajar Cara Australia Jadikan Perpustakaan Milik Masyarakat

Oleh DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI
Honarary Visiting Academician di University of Melbourne

Budaya membaca sebenarnya adalah satu sikap yang sukar dipupuk walaupun dalam mana-mana masyarakat sekali pun. Sikap ingin menambah pengetahuan terutama selepas zaman persekolahan merupakan bukan sesuatu perkara yang mudah dilaksanakan.

Bagaimanapun, cara Australia memajukan perpustakaannya dan cara mereka menarik masyarakat mendampingi perpustakaan sangatlah unik dan wajar diteladani oleh kita semua.

Pengalaman saya meninjau ke beberapa buah perpustakaan terutamanya perpustakaan desa di sekitar Victoria, banyak membuka mata saya, bagaimana sistem di sini memupuk budaya ingin membaca berlaku walaupun tanpa wujudnya kempen-kempen tertentu.

Perpustakaan awam di Australia didirikan di setiap daerah, tanpa mengira bilangan populasi setempat. Ini bermakna walaupun populasi di sesuatu tempat tidak sampai satu ribu penduduk pun, tetap diadakan sebuah bangunan khusus untuk perpustakaan.

Pengurusan perpustakaan diletakan di bawah seliaan kewangan perbandaran tempatan. Yang menariknya, setiap perpustakaan tidak mempunyai sebarang dana tertentu untuk menjalankan apa jua aktiviti yang direncanakan, melainkan gaji tetap para pekerja pustakaan tersebut.

Dan untuk menjadi ahli di mana-mana perpustakaan di sini, tidaklah sesusah di Malaysia. Keahlian tidak memerlukan sebarang gambar passport ataupun penjamin, apatahlagi mengisi borang-borang yang menyusahkan.

Secara tidak langsung, peraturan yang longgar ini dapat manarik minat masyarakat setempat untuk menjadi ahli perpustakaan. Apatahlagi peraturan-peraturan yang disediakan cukup mesra pengguna.

Perpustakaan dibuka untuk kegunaan semua orang, tidak kira sama ada anda merupakan ahli ataupun bukan. Kelebihan menjadi ahli adalah sekadar untuk pinjaman dan penggunaan peralatan alatan.

Lebih menarik, bila anda mendaftar untuk sesebuah perpustakaan awam, secara automatis anda menjadi ahli untuk kesemua perpustakaan yang terdapat di daerah tersebut. Anda boleh meminjam sebuah buku di perpustakaan A dan menghantarnya ke perpustakaan B, menarik bukan?

Tambah teruja, perkhidmatan penghantaran dan pengambilan buku/video/cd ke rumah sebagai perkhidmatan tambahan, tanpa dikenakan sebarang caj tertentu. Maka secara tidak langsung anda tidak ada sebarang alasan untuk tidak membaca.

Perpustakaan di sini tidak menegah untuk membuat bising…sesuatu yang pastinya kita tidak akan jumpa di mana-mana perpustakaan pun di dunia mungkin. Bagi masyarakat Australia, perpustakaan tidak perlu senyap, kerana bagaimana ilmu dapat disalurkan tanpa adanya diskusi dan interaksi.

Perpustakaan juga menyediakan perkhidmatan membantu menyiapkan kerja sekolah - satu tarikan utama untuk golongan pelajar, untuk datang ke perpustakaan. Perkhidmatan ini juga disediakan secara percuma.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sini melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur mahupun latarbelakang seseorang. Menariknya, mereka menggalakkan penggunaan internet, permainan video malah PS (Play Station) mahupun WII (Nintendo) disediakan - mungkin juga sebagai satu daya penarik agar golongan muda mengunjungi perpustakaan.

Bayangkan setiap hari ada sahaja aktiviti dijalankan, dari kelas membaca sehingga ke kelas komputer, secara tidak langsung mengamit orang untuk datang ke perpustakaan. Disamping itu setiap persatuan sejarah setempat diletakkan di bawah seliaan perpustakaan.

Bayi (di bawah umur 2 tahun) juga telah disediakan aktiviti tertentu, agar dapat dipupuk dari awal sikap ingin tahu, budaya membaca dan budaya bersosial.

Kesimpulannya, semua ini secara tidak langsung melibatkan masyarakat setempat, dalam berkongsi pengalaman dan menyalurkan ilmu kepada yang lain. Setiap aktiviti bukan sahaja dijayakan oleh perpustakawan malah para sukarelawan yang tidak dibayar, bersama-sama mengemblengkan tenaga untuk menjayakan sesuatu aktiviti.

Duit mahupun dana bukan penghalang untuk melaksanakan sesuatu aktiviti. Masyarakat setempat tidak memerlukan makanan percuma untuk hadir sesuatu aktiviti, mahupun t-shirt tanda kenangan ataupun sijil kehadiran.

Pengguna perpustakaan amat dahagakan ilmu, bukannya cenderahati. Penceramah juga tidak menuntut sebarang saguhati atau honorari, kerana kesedaran tanggungjawab sosial yang tinggi.

Perpustakaan bukan sekadar tempat lambakan buku, ia dijadikan tempat tumpuan setempat. Tempat perbincangan dan tempat untuk berkongsi pengalaman. Pendek kata perpustakaan janganlah terlampau menakut-nakutkan pengguna, dengan peraturan-peraturan yang rigid.

Ilmu janganlah dijadikan terlampau eksklusif hanya untuk golongan tertentu sahaja dan janganlah sama sekali kita menjadikan duit sebagai penghalang untuk maju ataupun melakukan sebarang aktiviti-aktiviti.

- MSTAR

Banyakkan Bersabar

Hadith :

Daripada Anas r.a. katanya, “ Aku berjalan bersama-sama Rasulullah s.a.w. Baginda memakai selendang kasar tepinya buatan Najran. Baginda bertemu dengan seorang Arab badwi lalu direntapnya selendang baginda dengan rentapan yang kasar sehingga aku melihat kesan di tengkuk baginda akibat rentapan yang kasar itu. Kemudian orang Arab itu berkata: “Wahai Muhammad perintahkanlah supaya diberikan kepadaku daripada harta Allah apa yang ada pada kamu,” Maka rasulullah s.a.w berpaling kepadanya sambil ketawa. Kemudian baginda memerintahkan supaya diberikan sedekah kepadanya”.

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian:

1.Rasulullah s.a.w adalah seorang yang pemaaf dan tidak suka membalas dendam serta tidak mudah marah.

2.Umat Islam hendaklah mencontohi sifat-sifat mulia tersebut kerana sifat-sifat ini mempunyai nilai-nilai kebaikan yang amat tinggi yang akan menimbulkan kesedaran kepada orang lain yang menerimanya.

3.Islam menggalakkan umatnya supaya bertindak dengan cara yang bijaksana apabila berhadapan dengan golongan yang jahil dan hendaklah menunjukkan sikap yang lemah lembut agar dapat menarik hati mereka kepada Islam.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Nenek 99 tahun mahir guna iPad


LAKE OSWEGO, Amerika Syarikat (AS) - Siapa menyangka seorang nenek berumur hampir 100 tahun, Virginia Campbell mahir menggunakan komputer terbaru keluaran syarikat Apple Inc., iPad, lapor sebuah akhbar semalam.

Virginia yang berumur 99 tahun tidak pernah tertarik untuk memiliki komputer sebelum ini sehingga dia mendengar tentang komputer tablet itu.

"iPad merubah hidupnya kerana kini semua orang dapat membaca tulisannya tidak seperti tulisan tangannya," kata salah seorang anak perempuannya, Ginny Adelsheim.

Menurut Ginny, ibunya yang tinggal di sebuah pusat penjagaan warga emas di sini, Oregon, amat meminati komputer tablet itu dan menggunakannya pada setiap hari.

Klip video memperlihatkan nenek itu sedang duduk di sofa dan menggunakan iPad dan ia menjadi popular di laman perkongsian video YouTube. - Agensi

Universiti Antarabangsa Albukhary ambil pelajar sulung Julai

Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) akan mula menerima kemasukan 500 orang pelajar sulung Julai ini.

Naib Pengerusi Eksekutif AIU, Datuk Ismail Yusof berkata, sebanyak 20 peratus pelajar dijangka merupakan pelajar tempatan manakala selebihnya pelajar luar negara.

"Universiti Antarabangsa Albukhary menyasarkan pelajar pintar daripada masyarakat kurang bernasib baik terutama dari Asia dan Afrika,” katanya dalam satu kenyataan.

Yayasan Albukhary akan membiayai sepenuhnya biasiswa kepada pelajar yang diterima masuk ke AIU, yang kini ditempatkan sementara di institusi pengajian tinggi awam sementara menunggu kampus AIU siap dibina di Alor Setar, Kedah.

Buat permulaan, AIU akan menawarkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang teknologi maklumat, kajian perniagaan dam sains sosial.

– Bernama

Lindungi hak harta intelek

Sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN) tahun ini memberi tumpuan kepada golongan yang terlibat dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk melindungi harta intelek mereka sama ada dalam aspek paten, cap dagangan, reka bentuk industri, hak cipta dan petunjuk geografi.

Masih mengekalkan tema Harta Intelek - Memacu Daya Saing Negara, sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN) tahun ini diharap dapat menyuntik kesedaran di kalangan masyarakat terhadap kepentingan menghormati hak harta intelek (IP) seperti kita menghormati hak ke atas harta-harta yang lain.

Perkara itu harus dipandang serius memandangkan tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap keperluan melindungi harta intelek masih rendah berbanding negara-negara maju yang lain.

Sehubungan itu, penganjuran HHIN yang masuk tahun keenam sejak diperkenalkan pada tahun 2005 secara tidak langsung dapat memberi maklumat dan kefahaman kepada orang ramai mengenai harta intelek yang berpotensi untuk menggalakkan daya saing negara.

Berlangsung selama dua hari mulai hari ini hingga esok di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur, sambutan tahun ini dilihat agak istimewa. Mengapa? Ia bertepatan dengan pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Inovatif 2010 dan pengumuman Model Ekonomi Baru (MEB) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi penekanan kepada kreativiti dan inovasi secara komprehensif.

Di samping itu, sambutan tahun ini juga akan lebih memberi tumpuan kepada golongan yang terlibat dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memandangkan masih terdapat peratusan besar di kalangan pengusaha IKS yang kurang arif tentang pentingnya melindungi harta intelek mereka sama ada dalam aspek paten, cap dagangan, reka bentuk industri, hak cipta dan petunjuk geografi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usahawan IKS perlu diberi pengetahuan tentang peri pentingnya melindungi harta intelek masing-masing.

"Kita tidak mahu mereka hanya mampu berputih mata jika sesuatu produk yang dikeluarkan berjaya meneroka pasaran, tetapi pada masa yang sama ia ditiru oleh individu lain. Kesannya, akan ditanggung oleh mangsa yang terpaksa menanggung kerugian akibat kealpaan diri untuk melindungi harta intelek yang dihasilkan," kata Ismail Sabri dalam satu pertemuan dengan wakil-wakil media di Putrajaya baru-baru ini.

Selain bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap isu berkaitan harta intelek, program HHIN juga bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan pereka cipta dalam pembangunan ekonomi negara.

Malah, paling utama matlamat jangka panjang HHIN ialah memupuk budaya inovatif dan kreatif iaitu beralih daripada pengguna IP kepada pengeluar IP, menghormati hak IP dan seterusnya meningkatkan daya saing negara.

Tambahnya, tema sambutan juga dikekalkan seperti sambutan tahun-tahun sebelumnya kerana ia dilihat masih relevan dalam konteks ekonomi global yang kompetitif di mana negara-negara berdaya maju biasanya bijak mengurus dan mengeksploitasi harta intelek.

Pengiktirafan

Antara pengisian sepanjang dua hari itu termasuklah seminar memperkasa IKS menerusi Harta Intelek. Program itu akan mendedahkan peserta kepada pengetahuan asas harta intelek, pengalaman IKS-IKS Malaysia dan luar negara dalam mengurus harta intelek, kemudahan pembiayaan dan khidmat nasihat mengenainya.

Selain itu, turut diadakan pameran harta intelek oleh KPDNKK serta agensi-agensi berkaitan seperti Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Majlis Anugerah Harta Intelek.

Menurut Ismail Sabri, secara keseluruhan terdapat 226 penyertaan dihantar tahun ini untuk pertandingan Anugerah Harta Intelek Negara dalam enam kategori iaitu Sekolah (70), Organisasi (26), Universiti/Politeknik/ Institusi pendidikan (117), syarikat (39), Individu bawah 18 tahun (70) dan Individu 18 tahun ke atas (130).

"Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan Malaysia terhadap daya kreativiti dan inovasi seseorang individu atau kumpulan dalam menghasilkan produk yang bermanfaat untuk kegunaan ramai," jelasnya.

Mula diperkenalkan pada tahun 2006, pemenang kategori Organisasi akan membawa pulang wang tunai RM30,000, piala pusingan dan sijil; Individu 18 tahun ke atas RM10,000, piala dan sijil manakala dua hadiah saguhati pula akan menerima RM2,000; manakala kategori Individu 18 tahun ke bawah memperoleh RM5,000, piala dan sijil diikuti dua hadiah saguhati berupa RM1,000.

Antara kriteria yang dinilai untuk penerima anugerah adalah kreativiti, kualiti produk, kecenderungan inovasi, tahap pengkomersialan, faedah kepada masyarakat dan negara, nilai tambah produk dan pengiktirafan dalam negeri mahu pun antarabangsa.

Majlis ini akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

- KOSMO!

Guru edar pil khayal kena tahan

BETONG: Kegiatan seorang guru lelaki dari Semenanjung menjual dadah dan pil khayal kepada pelajar di sebuah sekolah menengah di sini, terbongkar apabila polis menahannya bersama 1,862 pil nospan, di sini, petang semalam.

Dalam tangkapan di Jeti Sungai Saribas, Pusa, kira-kira jam 4.30 petang semalam, suspek yang berusia 24 tahun dan berasal dari Kedah dalam perjalanan pulang ke Beladin bersama isteri dan seorang anaknya selepas dipercayai mengambil bekalan dadah dari Kuching.

Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata suspek yang bertugas di sebuah sekolah di Beladin, dipercayai menjadi pengedar dadah kepada pelajar sekolah sekitar kawasan berkenaan.

“Ketika ditahan, suspek cuba melawan dan cuba melarikan diri namun terpaksa menyerah selepas dikepung anggota polis yang mendapat maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah.

“Selain sejumlah pil nospan yang dianggar bernilai lebih RM1,000, turut ditemui dadah jenis ganja seberat 10 gram. Suspek dan keluarganya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Difahamkan, suspek yang berkahwin dengan isterinya, seorang warga tempatan, bertugas lebih lima tahun di sekolah berkenaan selain kerap ke Kuching bagi mendapatkan bekalan dadah pelbagai jenis bagi dijual kepada pelajar sekolah.
Bukhori berkata, berdasarkan siasatan awal, polis mempercayai suspek menjalankan kegiatan mengedar dadah di Beladin sejak setahun lalu dan mempunyai rangkaian pelajar yang dijadikan orang tengah.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan akan menahan beberapa individu tempatan lagi yang dipercayai menjadi orang tengah kepada suspek.

“Siasatan ke atas suspek sedang dilakukan mengikut Seksyen 6 dan 30 Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan perintah tahanan reman akan dibuat esok (hari ini) di Mahkamah Majistret Betong,” katanya.

Tangkapan ini adalah yang pertama di Betong membabitkan guru yang bertugas di kawasan pedalaman mengedar dadah.

Bulan lalu, seorang bekas guru berasal dari Kedah ditahan di Kuching kerana cuba menyeludup daun ketum.

- BERITA HARIAN

Zaid terima kalah, dakwa pilihan raya tak bersih

KUALA KUBU BHARU: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim, menerima kekalahannya pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, tetapi mendakwa sistem pilihan raya di negara ini tidak adil dan bersih.

Katanya, walaupun tewas pada pilihan raya kecil itu, beliau menerimanya dengan hati terbuka dan menyifatkan ia sebagai adat dalam pertandingan akan ada pihak kalah dan menang.

“Saya berpuas hati dengan jentera parti termasuk daripada Pas dan DAP yang sudah bekerja secara bersungguh-sungguh berkempen untuk saya,” katanya di hadapan kira-kira 200 penyokongnya selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil itu, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengarah Strategik PKR, Tian Chua.

Bagaimanapun, penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak kelihatan.

Zaid yang juga bekas menteri Kabinet menjadi pertaruhan PKR untuk mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor, tewas kepada calon BN, P Kamalanathan dengan majoriti undi 1,725 undi.

Sementara itu, Khalid berkata, kemenangan BN menjadi cabaran kepadanya untuk terus bekerja dengan lebih kuat dan akan memberi tumpuan terhadap pengundi di kawasan Felda kerana PKR gagal meraih sokongan di kawasan berkenaan.

- BERITA HARIAN

Kamalanathan janji bangunkan Hulu Selangor

KUALA KUBU BHARU: Calon Barisan Nasional (BN), P Kamalanathan, 44, berjanji akan bekerja keras tanpa mengira bangsa atau agama bagi memastikan Hulu Selangor mendapat pembangunan yang secukupnya.

Beliau bersyukur kerana pengundi menunaikan permintaannya dengan memberi peluang memenangi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

"Saya akan turun padang dan menemui semua pengundi tidak kira sama ada mereka menyokong saya atau tidak," katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Hulu Selangor di sini, malam tadi.

Kamalanathan juga mengumumkan beliau akan berpindah ke Hulu Selangor seperti yang dijanjikannya kepada penduduk kawasan itu sekiranya beliau diberi peluang menjadi Ahli Parlimen di kawasan itu.

“Saya kini dalam proses mencari sebuah kawasan kediaman yang sesuai untuk diduduki. Saya amat terharu dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan rakyat Hulu Selangor.

"Kemenangan ini adalah untuk BN dan juga semua rakyat di Parlimen Hulu Selangor,' katanya.

Kamalanathan memenangi pilihan raya kecil itu mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi.

Beliau memperoleh sebanyak 24,997 undi manakala Zaid meraih 23,272 undi.

- BERITA HARIAN

Misi mewujudkan persekitaran sejahtera

Hari Bumi 2010 disambut dengan sederhana di negara kita pada 22 April lalu dan sebulan sebelumnya Sambutan Hari Air Sedunia. Pelbagai acara diadakan oleh pelbagai pihak seperti menanam pokok atau mencuci pantai dan aktiviti meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan air kepada pelbagai kumpulan masyarakat.

Sambutan Hari Bumi tahun ini adalah kali ke-40, yang diiringi pelbagai kebimbangan apatah lagi apabila kawasan luar bandar Iceland digegarkan dengan gegaran kuat daripada gunung berapi Eyjafjallajokull baru-baru ini.

Gegaran ini mengeluarkan abu yang menyebabkan berpuluh-puluh ribu penerbangan di seluruh Eropah dibatalkan malah juga di pelbagai negara lain termasuk Malaysia. Ibu negara, Reykjavik dan pusat penempatan lain dilaporkan terselamat daripada pencemaran apabila kepulan abu dari Eyjafjallajokull bergerak ke tenggara menghala ke benua Eropah, tetapi peladang dan ternakan di Iceland terpaksa berlindung di dalam bangunan apabila kawasan sekitar diselubungi abu.

Walaupun kesannya terhadap perubahan iklim dan pelbagai aspek yang membabitkan alam sekitar masih lagi diteliti dan dibincang, dalam jangka pendek ini, ia memberi impak ekonomi dan mobilisasi manusia di seluruh dunia.

Dalam bayangan itu, sambutan Hari Bumi seharusnya memberikan peluang sejenak untuk kita sama-sama merenungi peranan masing-masing dalam usaha mewujudkan bumi yang sejahtera dalam pelbagai aspek kerana ia memberi kesan besar terhadap masa depan seluruh umat manusia.

Perubahan iklim menjadi antara cabaran besar kepada semua pihak dalam memastikan bumi dapat diwariskan kepada generasi akan datang dalam keadaan yang sewajarnya dan sejahtera.
Di samping perubahan iklim, wujud sekurang-kurangnya tujuh lagi isu yang disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menyambut Hari Bumi pada tahun ini yang harus diberikan perhatian sewajarnya.

Ia meliputi usaha advokasi yang memerlukan kerjasama rapat di antara aktivis alam sekitar yang seiring dengan dasar diputuskan oleh pemimpin masyarakat, usaha pemuliharaan dan kepelbagaian bio, proses pendidikan, tenaga, makanan dan pertanian, ekonomi hijau, persekolahan yang lebih bersifat ‘hijau’, kitar semula dan pengurangan bahan buangan, pembangunan lestari dan air.

Jaringan Hari Bumi seharusnya mendekatkan jurang antara mereka yang begitu prihatin terhadap alam sekitar dengan mereka yang membuat keputusan dasar terutama pemimpin masyarakat.

Kesibukan kita dalam menangani pelbagai isu politik semasa barangkali menyebabkan kita tidak peduli isu alam sekitar yang akan menentukan nasib dan masa depan umat manusia bukan saja di dalam negara, malah juga nasib manusia sejagat.

Proses pendidikan yang ada harus berupaya mendorong pelajar seawal mungkin untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjaga bumi ini.
Kanak-kanak harus dididik untuk menghargai alam di mana dia berada, daripada saat bangun tidur hinggalah kembali tidur dan seterusnya memulakan hari berikutnya.

Kita tahu bahawa air adalah antara sumber yang sering diabaikan. Daripada data yang ada, hanya satu peratus sumber air yang ada di bumi sesuai untuk diminum. Kira-kira 70 peratus daripada sumber air yang ada digunakan untuk pertanian di seluruh dunia, manakala 20 peratus lagi digunakan untuk industri dan hanya 10 peratus untuk kegunaan harian.

Kegiatan manusia dalam tempoh 50 tahun ini menjadikan sumber air kita tidak lagi seperti dulu. Dianggarkan 2.5 bilion manusia di seluruh dunia menghadapi masalah bekalan air bersih.

Setiap hari dianggarkan 2 juta tan bahan buangan tercemar dibuang dalam pengairan di seluruh dunia.

Kira-kira 1.5 juta kanak-kanak mati setiap tahun kerana penyakit disebabkan oleh kualiti air yang tidak sempurna.

Bagaimana pula kita berupaya melaksanakan proses pembangunan yang lestari untuk mewujudkan bumi yang sejahtera kerana aktiviti manusia yang tidak lestarilah menyebabkan bumi terancam.

Antaranya ialah pencemaran air dan alam sekitar yang semakin meruncing, pembangunan fizikal yang merosakkan alam semula jadi, aktiviti pembangunan pantai tidak terkawal malah juga pembangunan lain dilakukan dari semasa ke semasa, termasuk di negara kita.

Kerana itu, walaupun secara umumnya kita masih mengekalkan kehijauan alam di banyak tempat di negara kita, masih banyak kehidupan dan ‘kehijauan’ dikorbankan untuk pembangunan.

Bagi generasi lama yang kini berusia sekitar 50 tahun ke atas yang berasal dari kampung dan desa, tentunya sedikit sebanyak dapat merasakan yang generasi semasa yang lahir sekitar tahun lapan puluhan, sudah hilang peluang menikmati ‘kehijauan’ dan keseronokan hidup di desa pedalaman.

Hari Bumi datang dan pergi, namun yang penting ialah sejauh mana ia mampu menyedarkan kita terhadap peranan yang boleh dimainkan oleh semua pihak dalam mensejahterakannya.

Pendidikan pada semua peringkat termasuk pengajian tinggi perlu menjadi alat utama dalam mentransformasikan pemikiran dan tindakan secara lestari pada masa depan. Ini memerlukan tindakan bersama oleh semua pihak secara berterusan.

Kejadian seperti letusan gunung berapi Eyjafjallajokull, tsunami di pelbagai ceruk dunia, bencana alam dan pelbagai kemusnahan yang sebahagiannya disebabkan oleh kesilapan manusia dan pelbagai lagi yang terjadi kebelakangan ini, memberi isyarat kepada kita untuk lebih menghargai kehidupan dan bumi yang didiami ini untuk kesejahteraan pada masa depan.

Di negara kita, cuaca panas begitu dirasai, banjir kilat, tumbangnya bangunan tinggi, bekalan air yang dikatakan semakin kontang dan sebagainya harus dilihat sebagai antara tanda amaran yang kita tidak harus mengabaikan proses pendidikan untuk pembangunan lestari di kalangan anak-anak malah juga masyarakat, apatah lagi mereka yang membuat keputusan penting terhadap proses pembangunan setempat.

Sikap tidak peduli dan tidak kisah akan menyebabkan bumi terancam dan kehidupan kita akan terus diselubungi kebimbangan dan ketakutan apatah lagi kesannya terhadap kehidupan manusia sejagat apabila berlakunya pelbagai kehancuran dan kerosakan disebabkan oleh tindak balas alam yang tidak kita ingini.

- BERITA HARIAN

Recent Posts