Memaparkan catatan dengan label PRK. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK. Papar semua catatan

Ahad, April 28, 2024

Pertarungan PH dan PN di Kuala Kubu Bharu

 


Empat calon yang bersaing pada PRK Kuala Kubu Bharu. (Dari kiri) Khairul Aizat (PN); Nyau Ke Xin (Bebas); Hafizah (PRM) dan Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan dari DAP.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang menyaksikan persaingan empat penjuru antara Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH memilih Pang Sock Toa, 31, yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ngar Kor Ming sebagai calon manakala Pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut menjadi ayam tambatan PN.

Kehadiran calon bebas Nyau Ke Xie atau dikenali Eris seperti sudah dijangka dan ia dikaitkan dengan tindakan protes daripada GERAKAN terhadap PN memandangkan GERAKAN bertanding di kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos tahun lalu.

Kehadiran calon PRM, Hafizah Zainuddin juga dikatakan protes kepada PH kerana tidak meletakkan calon Melayu sebagai taruhan. PRM dikatakan parti mesra PH walaupun tidak menyokong Kerajaan Perpaduan.


prk dun kuala kubu baru


Persoalan mengenai calon Melayu menjadi topik hangat diperkatakan seminggu lalu kerana 50 peratus pengundi di Kuala Kubu Bharu adalah orang Melayu. Perkara inilah menjadi pertimbangan PN dalam menentukan calonnya kali ini.

GERAKAN daripada awal menegaskan keperluan mengekalkan calon mereka, walaupun salah seorang dipertimbangkan adalah bekas calon kalah pada PRN, yang juga Pengerusi GERAKAN Selangor, Henry Teoh Kien Hong dengan alasan itu kerusi tradisi mereka.

Sementara itu, PH dikatakan menimbangkan calon Melayu di kerusi itu pada peringkat awal, iaitu ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Saripah Bakar tetapi menukar keputusan pada saat akhir.

Difahamkan tindakan menukar calon itu dibuat selepas ada desakan dalam kalangan Ahli Jawatankuasa DAP Hulu Selangor berdasarkan prestasi dan hubungan baik mendiang Lee Kee Hiong dengan penduduk tempatan disenangi pelbagai kaum.

Keputusan meletakkan calon Melayu di DUN itu juga seolah-olah tidak menghormati mendiang Kee Hiong atas sumbangannya ketika hayatnya.

Lebih penting pertimbangan DAP mahu pun PH dalam menentukan calon adalah mengenai memenangi pengundi dan penyokong yang sememangnya sudah bersama parti itu terutama pengundi Cina walaupun jumlahnya sedikit menurun berbanding sebelum ini.

DAP akhirnya menamakan Sock Toa, 31, walaupun beliau bukan calon anak tempatan, tetapi dikatakan sudah banyak pendedahan mengenai parti ketika beliau menjadi penerbit UbahTV kendalian DAP.

Pemilihan calon wanita itu juga dikatakan sebagai meneruskan legasi mendiang Kee Hiong yang juga calon wanita DAP dan namanya disenaraikan saat akhir selepas Pengarah PRK PH di DUN Kuala Kubu Bharu, Ng Sze Han menyatakan 10 nama berpotensi disenarai pendek sebagai calon.

Selain Saripah, turut disenaraikan adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Digital Gobind Singh, Mandeep Singh dan Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Alice Choo Foong Thye.

Pemilihan Sock Toa dibuat selepas dikatakan DAP belajar daripada sejarah susulan kekalahan parti itu pada PRK Parlimen Teluk Intan pada 2014 menyaksikan calon mereka, Dyana Sofya Mohd Daud tewas kepada Presiden GERAKAN, Datuk Dr Mah Siew Keong.

DAP elak insiden berulang

Kekalahan calon DAP pada PRK itu kerana penyokong tegar DAP tidak keluar mengundi sebagai protes kerana calon anak tempatan dalam kalangan orang Cina tidak dipilih selepas mengambil kira peratusan pengundi majoriti dalam kalangan bukan Melayu pada waktu itu.

Bimbang insiden sama berulang, maka percaturan DAP adalah mengekalkan calon kaum Cina di PRK DUN Kuala Kubu Bharu, walaupun wujud pertambahan pengundi orang Melayu.

Namun, penampilan calon Cina bukan hanya mahu mengekalkan status quo, tetapi sebarang keputusan pada PRK itu tidak beri kesan besar kepada kerajaan Selangor dan Persekutuan, walaupun seandainya kemenangan berpihak kepada PN.

Bagaimanapun, untuk menang bergaya, jentera kempen PH bukan sahaja perlu memenangi hati pengundi bukan Melayu tetapi pengundi Melayu dan pengundi muda 18 hingga 35 tahun yang sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menunjukkan sokongan meningkat kepada PN.

Namun, ada pendapat menyatakan PN mahu menampilkan calon Melayu kali ini dalam cubaan BERSATU untuk mengukuhkan kedudukan mereka selepas kehilangan satu kerusi di Selangor selepas ADUN mereka di Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menyatakan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sumber PN menegaskan, pemilihan Khairul Azhari dibuat selepas mengambil kira peratusan jumlah pengundi Melayu di Kuala Kubu Bharu, selain faktor kegagalan GERAKAN mempertahankan kerusi itu pada PRN lalu.

Sebelum ini, BERSATU menegaskan parti itu cenderung mencadangkan calon Melayu pada PRK Kuala Kubu Bharu selepas mengambil kira sokongan pengundi Melayu pasca PRN Ogos lalu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata PN yakin tidak akan berlaku sebarang protes sekiranya calon daripada parti gabungannya, GERAKAN tidak terpilih bertanding pada PRK ini.

Apa pun percaturannya, semuanya bergantung kepada bagaimana jentera kempen pilihan raya parti masing-masing memenangi pengundi di kawasan itu dengan isu nasional tetap akan menjadi pilihan berbanding isu tempatan pada PRK kali ini.

Sumber : Berita Harian

Ahad, Mac 22, 2015

Pas kekal di DUN Chempaka dengan majoriti lebih besar


Pas berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang disandang oleh bekas Mursyidul Am Pas yang juga bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut di sini semalam dan berjaya me­raih majoriti lebih besar.

Ini setelah calon Pas, Ahmad Fathan Mahmood @ Mahamad, 42, yang merupakan Imam Tua Masjid Mukim Baung Besar menewaskan empat calon Bebas dengan memperoleh sebanyak 10,899 undi.

Keputusan yang diumumkan Pegawai Pengerusi PRK DUN, Ibrahim Bakri Mat Deris pukul 9 malam tadi menyaksikan calon Pas itu memperolehi majoriti 10,092 undi iaitu lebih 3,592 undi berbanding Nik Abdul Aziz yang meraih majoriti 6,500 undi.

Ahmad Fathan menewaskan empat calon Bebas iaitu aktivis Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Shariff Mahmood yang memperoleh 807 undi diikuti Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat Kelantan, Fadzillah Hussin (89 undi); ahli perniagaan, Izat Bukhary Ismail Bukhary (51 undi) dan ahli perniagaan dari Pasir Puteh, Aslah Mamat (27 undi).

Sumber : Kosmo!



Khamis, Mac 13, 2014

Proses penamaan calon PRK Kajang

Bangi: Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang semalam, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Barisan Nasional (BN) dan PKR berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Dianggarkan lebih 5,000 penyokong kedua-dua parti hadir memberi sokongan dalam keadaan cuaca panas terik, memenuhi kawasan sekitar pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) seawal jam 7 pagi.

Bagi mengelak kejadian tidak diingini, pihak berkuasa memasang kawat berduri di sekitar padang dan pintu masuk tambahan ke kompleks berkenaan yang turut diawasi lebih 500 anggota polis dan Pasukan Tempur Ringan (LSF).

Kesesakan lalu lintas lebih dua kilometer dilaporkan di susur masuk Plaza Tol Bangi dari kedua-dua arah Lebuh Raya Utara-Selatan berikutan penutupan jalan di sekitar kompleks sukan berkenaan. Keadaan sama juga berlaku di beberapa laluan keluar masuk ke bandar Kajang dari Bandar Baru Bangi.

Di kem penyokong BN, slogan ‘Hidup BN’ dilaungkan berterusan dan semakin lantang sebaik Datin Paduka Chew Mei Fun kelihatan menghampiri pusat penamaan kira-kira jam 8.50 pagi. Ketibaan calon BN itu disambut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa pemimpin komponen lain.

Calon PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula diiringi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Mei Fun menyerahkan borang pencalonannya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Kajang, Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman, jam 9.07 pagi, disusuli Dr Wan Azizah tiga minit kemudian. Tepat jam 10.15 pagi, Hasan mengumumkan dua calon berkenaan disahkan bertanding PRK terbabit.

Selesai proses itu, kedua-dua calon bersama pemimpin dan penyokong parti masing-masing tanpa membuang masa terus bergegas memulakan agenda pertama kempen, melancarkan secara rasmi jentera pilihan raya mereka dan bertemu masyarakat untuk menagih undi pada 23 Mac nanti.

- BERITA HARIAN



Selasa, Julai 09, 2013

Tengku Zaihan Calon BN Kuala Besut



BESUT : Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon muka baru, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada pilihan raya kecil kawasan itu 24 Julai ini.

Tengku Zaihan merupakan bekas Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut, yang kini jurutera JPS di Putrajaya.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Besut sebentar tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Julai ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi adalah 24 Julai.

PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, akibat masalah paru-paru pada 26 Jun lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut yang dimenanginya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 mengatasi calon PAS, Napisah Ismail.

- mSTAR



Isnin, April 26, 2010

BN menang tapi hilang sokongan Cina

Menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Hulu Selangor semalam, sebagai kemenangan yang baik, para pemimpin BN berkata parti masing-masing telah dapat menawan hati dan fikiran rakyat di kawasan tersebut.

Namun Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata walaupun menang dengan majoriti 1,725, tetapi pengundi Cina didapati tidak menyokong BN, bukan sahaja dalam pilihan raya kecil itu tetapi juga semasa pilihan raya umum 2008.

"Kita perlu melihat di mana silap kita. Saya akan berjumpa dengan parti-parti komponen untuk membincangkan perkara ini, tetapi kita gembira kerana pengundi India kembali menyokong BN. Begitu juga dengan pengundi Melayu.

"Kita hilang kerusi pada pilihan raya 2008 dengan majoriti kecil 198 undi tetapi kini mengekalkan kembali kerusi dengan majoriti yang lebih besar. Ini menunjukkan rakyat menyambut baik konsep yang diutarakan pucuk pimpinan seperti gagasan 1Malaysia dan Model Ekonomi Baru," katanya selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor diumumkan di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Baharu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pula berkata MCA memerlukan anjakan paradigma bagi mendekati masyarakat Cina yang dilihat tidak begitu memberi perhatian kepada soal kehendak dan keperluan asas.

"Anjakan paradigma ini mesti datang dari pemimpin MCA. Selain itu Hulu Selangor mempunyai masalah dalamannya sendiri. Bagi saya dan pemimpin parti yang lain, banyak perkara yang perlu dilakukan.

"Ia satu lagi isyarat, jika mereka tidak meletak ke tepi perbezaan antara mereka, maka MCA akan menjadi bakul sampah politik atau dinosur politik.

"Kami perlu melihat kembali diri kami, sama ada selepas 50 tahun menumpukan perhatian kepada masyarakat peringkat setempat, kami perlu melihat lebih lagi. Anda boleh pasti bahawa kami akan menjadi lebih vokal selepas ini," katanya.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata walaupun BN menang, tetapi terdapat pelbagai isu yang perlu ditangani dan diselesaikan.

"Sokongan di kalangan masyarakat Cina tidak bertambah. Apabila kita mula berkempen di sini, tahap sokongan hanya sekitar 12 hingga 15 peratus. Selepas perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) turun menemui rakyat, ia meningkat kira-kira 25 peratus.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu pula berkata partinya perlu menggandakan usaha untuk menarik kembali sokongan pengundi India.

"Ya, kami mendapat sedikit kejayaan dalam memenangi pengundi India. Dalam pilihan raya ini kami mendapat kira-kira 65 peratus sokongan. Ia pernah mencapai 80 peratus sebelum 2008. Kami perlu mencapai sasaran ini," katanya.

Timbalannya Datuk G Palanivel (bawah, berbaju perang) yang juga bekas wakil rakyat Hulu Selangor sebelum tewas pada pilihan raya 2008 berkata, sementara kejayaan kali ini meningkatkan motivasi BN, ia perlu menilai semula dan memperbaiki kelemahannya.

"Kemenangan ini adalah baik, kita mendapat majoriti yang lebih baik tetapi terdapat kelemahan yang perlu difikirkan," katanya.

Beliau berkata MIC perlu melakukan bedah sasat dan terus berusaha mendapat sokongan pengundi India menerusi pelbagai strategi.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula menyifatkan keputusan pilihan raya kecil itu sebagai kemenangan Najib dan juga kemenangan rakyat Malaysia yang ingin melihat kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.

"Wanita Umno telah menjalankan tugas dengan penuh komitmen, disiplin dan kesungguhan sebagai jentera utama parti dalam menentukan kemenangan ini. Adalah amat penting juga untuk kita tunaikan setiap janji yang telah dibuat," katanya.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kemenangan itu menunjukkan rakyat yakin dengan dasar yang di bawa Perdana Menteri berbanding keyakinan mereka terhadap pembangkang.

"Rakyat telah pilih parti yang lebih jamin masa depan, itu tanda pemulihan rakyat dan keyakinan rakyat pada BN. Saya harap ini akan menjadi titik tolak untuk BN untuk pilihan raya kecil yang lain pada masa depan," katanya.

- Bernama

Recent Posts