Memaparkan catatan dengan label PRK Hulu Selangor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK Hulu Selangor. Papar semua catatan

Isnin, April 26, 2010

Zaid terima kalah, dakwa pilihan raya tak bersih

KUALA KUBU BHARU: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim, menerima kekalahannya pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, tetapi mendakwa sistem pilihan raya di negara ini tidak adil dan bersih.

Katanya, walaupun tewas pada pilihan raya kecil itu, beliau menerimanya dengan hati terbuka dan menyifatkan ia sebagai adat dalam pertandingan akan ada pihak kalah dan menang.

“Saya berpuas hati dengan jentera parti termasuk daripada Pas dan DAP yang sudah bekerja secara bersungguh-sungguh berkempen untuk saya,” katanya di hadapan kira-kira 200 penyokongnya selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil itu, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengarah Strategik PKR, Tian Chua.

Bagaimanapun, penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak kelihatan.

Zaid yang juga bekas menteri Kabinet menjadi pertaruhan PKR untuk mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor, tewas kepada calon BN, P Kamalanathan dengan majoriti undi 1,725 undi.

Sementara itu, Khalid berkata, kemenangan BN menjadi cabaran kepadanya untuk terus bekerja dengan lebih kuat dan akan memberi tumpuan terhadap pengundi di kawasan Felda kerana PKR gagal meraih sokongan di kawasan berkenaan.

- BERITA HARIAN

Kamalanathan janji bangunkan Hulu Selangor

KUALA KUBU BHARU: Calon Barisan Nasional (BN), P Kamalanathan, 44, berjanji akan bekerja keras tanpa mengira bangsa atau agama bagi memastikan Hulu Selangor mendapat pembangunan yang secukupnya.

Beliau bersyukur kerana pengundi menunaikan permintaannya dengan memberi peluang memenangi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

"Saya akan turun padang dan menemui semua pengundi tidak kira sama ada mereka menyokong saya atau tidak," katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Hulu Selangor di sini, malam tadi.

Kamalanathan juga mengumumkan beliau akan berpindah ke Hulu Selangor seperti yang dijanjikannya kepada penduduk kawasan itu sekiranya beliau diberi peluang menjadi Ahli Parlimen di kawasan itu.

“Saya kini dalam proses mencari sebuah kawasan kediaman yang sesuai untuk diduduki. Saya amat terharu dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan rakyat Hulu Selangor.

"Kemenangan ini adalah untuk BN dan juga semua rakyat di Parlimen Hulu Selangor,' katanya.

Kamalanathan memenangi pilihan raya kecil itu mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi.

Beliau memperoleh sebanyak 24,997 undi manakala Zaid meraih 23,272 undi.

- BERITA HARIAN

Selasa, April 20, 2010

Hulu Selangor: BN lwn PKR, 2 calon Bebas tarik diri


HULU SELANGOR 19 APRIL 2010 - Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor Ahad ini akan menyaksikan perebutan satu lawan satu antara calon BN dan PKR selepas dua calon Bebas menarik diri hari ini.

Siang tadi, V S Chandran mengumumkan diri, diikuti oleh seorang lagi calon Bebas, Johan Mohd Diah.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengesahkan Johan Mohd Diah telah menarik diri.

Berikutan itu, calon BN, P Kamalanathan akan berdepan dengan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim Ahad ini.

Kerusi tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya dari PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad bulan lalu.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Johan menandatangani borang menarik diri di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru, kira-kira pukul jam 9.05 malam ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut. Lewat petang tadi Johan, yang juga AJK Pemuda Umno Bahagian Shah Alam, mengadakan sidang media di Felda Sungai Tengi, Hulu Bernam, antara lain mengenai persediaannya menghadapi pilihan raya.

Wan Ahmad Wan Omar berkata calon yang berhasrat menarik diri daripada bertanding perlu berbuat demikian selewat-lewatnya 12 tengah malam ini.

- MALAYSIAKINI

Sabtu, April 17, 2010

Pertandingan empat penjuru di Hulu Selangor

9-10pagi: Penyerahan borang pencalonan

10-11pagi: Waktu bantahan

11-12 tengahari: SPR buat pengumuman rasmi calon

11.50pagi: Keadaan sudah semakin lengang apabila sebahagian besar penyokong BN dan Pakatan sudah bersurai.

Manakala beberapa penyokong Pakatan mendakwa mereka terkena botol dan batu yang dibaling ke arah mereka.

11.23pagi; Pasukan polis yang lengkap berperisai mengarahkan penyokong Pakatan supaya bersurai.

11.22pagi: Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor akan menyaksikan pertandingan empat penjuru. Mereka ialah P Kamalanathan (BN), Datuk Zaid Ibrahim (PKR) dan dua calon Bebas VS Chandran dan Johan Mohd Diah.

Johan adalah ahli jawatankuasa Pemuda Umno Shah Alam.

11pagi: Pegawai pengurus pilihan raya mengumumkan tempoh bantahan tamat. Tiada sebarang bantahan diterima.

10.46pagi: Timbalan presiden MIC Datuk G Pananivel tiba di kemah BN - kemunculan pertamaya selepas pengumuman calon BN Khamis lalu. Dia disambut dengan sorakan pemimpin dan penyokong BN.

10.20pagi: Polis meletakkan trak antara penyokong BN dan Pakatan selepas mereka semakin menghampiri satu sama lain. Mereka berada 20 meter antara sama lain. Mereka saling melaungkan antaranya 'Altantuya', 'Chua Soi Lek', 'kaki botol' dan 'liwat' serta 'Umno-Apco, Umno-Apco'.

10.04pagi: Di luar, penyokong BN melaungkan 'liwat' dan 'kaki botol'. Manakala penyokong Pakatan pula melaungkan 'Altantuya'.

10pagi: Proses penamaan calon ditutup.

Calon-calon mempunyai masa satu jam untuk memfailkan bantahan.

Mereka yang memfailkan borang pencalonan ialah P Kamalanathan (BN), Datuk Zaid Ibrahim (PKR) dan dua calon Bebas VS Chandran (kiri) dan Johan Mohd Diah.

Seorang lagi, Anuradh Jeyasingam gagal memfailkan borang pencalonan sebagai calon bebas.

9.57pagi: Salah seorang calon bebas yang memfailkan borang pencalonan pagi ini ialah bekas pemimpin MIC Hulu Selangor VS Chandran.

9.50pagi: Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar menganggarkan penyokong BN dan Pakatan masing-masing 10,000 orang.

9.46pagi: Pemimpin BN dan Pakatan bersalaman dan berbual di kemah.

9.45am: Di dalam pusat penamaan calon, Kamalanathan memfail borang pencalonan. Dua orang lagi turut memfailkan borang pencalonan untuk bertanding sebagai calon bebas.

9.43pagi: Seorang lagi pemimpin MIC S Ganesan turut cedera ketika cuba masuk ke dalam kawasan pagar duri polis. Ganesan luka di tangan dan dibalut oleh kakitangan sebuah ambulans yang ditempatkan di luar pusat penamaan calon.

9.40pagi: Kira-kira 50 anggota unit amal PAS membuat rantai manusia untuk mengelak tolak menolak.

9.31pagi: Kamalanathan masuk pusat penamaan calon bersama pencadang dan penyokong. Sedang memfailkan borang pencalonannya.

930pagi: Ketua zon DSP Ruslan Abdullah memberi amaran kepada para penyokong agar tidak menolak-nolak kerana orang di hadapan akan cedera kerana kawat berduri merentangi jalan ke tempat penamaan calon.

9.28pagi: Dalam keadaan tolak menolak, Presiden MIC Datuk Seri S Samy tercedera di kakinya terkena duri kawat dan dirawat di situ.

Turut kelihatan ialah timbalan presiden MIC, Datuk G Palanivel, yang tidak dicalonkan semula mewakil BN di Hulu Selangor.

9.22am: Perakan BN tiba di pintu pagar pusat penamaan calon di KKB. Ribuan penyokong BN dan Pakatan dipisahkan bagi mengelak mereka menjerit antara satu sama lain.

9.10pagi: Calon BN P Kamalanathan, berarak dari pejabat Umno di KKB ke pusat penamaan calon. Antara yang turut serta ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam.

Yang lainnya termasuk Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Noh Omar, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan naib presiden, Datuk Ng Yen Yen.

9.02pagi: Calon PKR Datuk Zaid Ibrahim memfailkan borang pencalonan. Beliau bersama pencadang dan penyokongnya. Zaid memakai baju Melayu dan kain pelikat.

Di luar dewan, penyokong BN menyanyikan 'Inilah Barisan Kita' serta lagu Umno.

9pagi: Pemimpin DAP Lim Kit Siang, exco kerajaan Selangor Elizabeth Wong dan Teresa Kok memasuk 'zon larangan'. Polis kata: "Bagi pass kita, senang buat kerja."

8.55pagi: MB Tan Sri Khalid Ibrahim, calon Pakatan Datuk Zaid Ibrahim dan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalam pusat penamaan calon bersama pemimpin Pakatan yang lain.

8.50pagi: Di 'zon larangan', ahli parlimen PJ Utara, Tony Pua mengedarkan pas kepada pemimpin, ahli parlimen dan ADUN Pakatan untuk memasuki pusat penamaan calon.

8.46pagi: Kedua-dua belah pihak berhenti berarak ketika sampai di son larangan 100 meter yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

kain rentang dari BN Kota Raja Menggambarkan Anwar sebagai Hitler dan Khinzir. Ia berbunyi "Saya dan keluarga besar di Selangor'.

Satu lagi plakad berbunyai: "PKR: Parti Kelentong Rakyat'. Penyokong BN yang lain membawa kain rentang yang menuduh Anwar sebagai sahabat Israel. Mereka juga melaungkan 'Hancur Khalid".

8.30pagi: Kumpulan penyokong Pakatan meningkat kepada kira-kira 10,000. Mereka mula berarak menuju ke pusat penamaan calon. Mereka melaungkan slogan 'Hidup Rakyat, Hidup Pakatan' dan bertakbir. Ada juga yang memalu kompang.

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai Zaid dan pemimpin Pakatan lain dalam perarakan tersebut.

8.20pagi: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim tiba di tempat perhimpunan bersama sekumpulan penyokong. Zaid ditemani isteri dan anak perempuannya.

8.15pagi: Kira-kira 2,000 penyokong Pakatan berhimpun di stesen bas KKB. Antara pemimpin Pakatan yang ada di situ ialah Salahuddin Ayub, Datuk Hasan Ali, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Khalid Samad.

8.10pagi: Pusat penamaan calon adalah di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. Kawasan itu dilingkungi dengan kawat duri yang dipasang oleh pihak polis. Sekurang-kurangnya 200 anggota polis ditempat di situ.

8pagi: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba, diikuti laungan 'Hidup BN' dan nyanyian lagu 'Inilah barisan Kita'. Penyokong BN yang sebahagian besarnya anggota Wanita, Pemuda dan Puteri Umno membawa kain rentang dan mengebar bendera.

Penyokong Pakatan yang lalu melepasi kemah BN itu menjadi sasaran penyokong BN yang menjerit "Babi mana?"

7.50pagi: Bandar KKB penuh dengan gerai PAS yang menjual baju-T dan bahan-bahan kempen serta makanan. Penyokong Pakatan kelihatan di situ. Manakala lebih 1,000 penyokong telah berhimpun di bilik operasi BN.

7.45pagi: Polis membuat sekatan di jalan-jalan utama sebelum Sungai Cho, kira-kira 30km dari pusat penamaan calon di Kuala Kubu Bahru.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu kelihatan di kawasan pusat penamaan calon. Ketika beliau berjalan melalui penyokong Pakatan, kedengaran beliau diboo. Presiden MIC itu hanya tersenyum.

7.30pagi: Penyokong kedua belah pihak mula berhimpun di tempat masing-masing - Pakatan Rakyat di stesen bas Kuala Kubu Bahru (KKB) manakala penyokong BN berhimpun di pejabat Umno.

Risalah yang mengandungi foto separuh bogel exco Selangor Elizabeth kelihatan berselerak di jalan-jalan di bandar KKB. Gambar-gambar lain menunjukan gambar yang telah diubahsuai, menunjukkan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim dengan botol arak serta tulisan "Kalau memilih pemimpin negeri, pertama elok, kedua pantai."

- MALAYSIAKINI

Isnin, April 05, 2010

KDN yakin pilihan raya kecil lancar

Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin proses Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini akan berjalan lancar berdasarkan pengalaman mengendalikan beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, namun pihaknya tetap akan berhati-hati memandangkan pilihan raya itu berlangsung di bawah negeri yang diperintah oleh pembangkang.

Beliau berkata, berikutan itu, langkah keselamatan akan diperketatkan bagi mengelakkan mana-mana pihak sengaja mencetuskan huru-hara demi mencapai kepentingan politik.

"Kita bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor kerana kita mempunyai banyak pengalaman, bukan sahaja polis tetapi saya sendiri.

"Apa pun, saya mengambil berat tentang pilihan raya ini kerana pertama kali berlangsung di Selangor iaitu negeri diperintah oleh pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Menteri Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ujian Kemahiran Menembak KDN/PDRM 2010 di Briged Tengah, Cheras di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan timbalannya, Tan Sri Ismail Omar.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Menurut Hishammuddin, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Hussin Ismail yang dipertanggungjawabkan memantau keselamatan semasa pilihan raya ini turut yakin dapat melaksanakan tugas tanpa masalah berdasarkan pengalaman mengendalikan pilihan raya lain sebelum ini.

Beliau turut meminta parti-parti yang bertanding agar mematuhi segala undang-undang ditetapkan dan membiarkan pengundi menentukan sendiri calon pilihan.

"Ini kerana selalunya akan ada orang yang sanggup mengambil keputusan di tangan sendiri.

"Perbuatan ini boleh mencetuskan emosi. Apabila diimbangkan antara emosi dan rasional, biasanya emosi mengawal keadaan dan sesetengah orang akan mengambil kesempatan daripada aspek emosi ini untuk kepentingan politik," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Naib Presiden UMNO yakin siapapun calon Barisan Nasional (BN) dipilih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut, pasti mengambil kira kepentingan pengundinya.

Katanya, BN adalah parti yang konsisten iaitu pemimpin atasan akan membuat keputusan berdasarkan perbincangan, timbang rasa dan kefahaman antara pemimpin dalam parti itu.

- UTUSAN

Sabtu, April 03, 2010

Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor: 25 April undi, 17 April penamaan calon


Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor ditetapkan pada Ahad, 25 April.

Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 17 April.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat selama dua jam di pejabatnya di Putrajaya.

Katanya, SPR menerima pemakluman kekosongan kerusi Hulu Selangor pada 29 Mac oleh speaker Dewan Rakyat.

Writ pilihan raya akan dikeluarkan hari ini - 2 April dan notisnya pula akan dikeluarkan tiga hari selepas itu.

SPR juga mengumumkan pelatinkan pegawai daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan sebagai pegawai pengurus pilihan raya dan tujuh orang pembantunya.

Abdul Aziz berkata, Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah mensyaratkan supaya kekosongan kerusi yang berlaku perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

Katanya, Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi sementara pusat mengundi akan melibatkan 46 buah sekolah dan sebuah dewan orang ramai dengan 146 saluran mengundi.

Kawasan pilihan raya parlimen Hulu Selangor itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Katanya 32,380 pengundi terdiri daripada pengundi lelaki manakala 32,120 adalah wanita.

Daripada jumlah tersebut, Abdul Aziz berkata kaum Melayu merupakan pengundi majoriti dengan 34,020 pengundi atau 52.7 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16,964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus.

Mengenai undi pos, beliau berkata ia mungkin diadakan dua hari sebelum hari mengundi dan proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dilakukan di Pejabat Daerah Hulu Selangor.

Beliau juga berkata SPR akan menubuhkan enam pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) mengikut Seksyen 27B AKta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen dari hari penamaan calon sehingga tamat hari pengundian.

Kerusi Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G.Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.

Kematian Zainal Abidin dilihat ramai penganalisis memburukkan lagi keadaan di PKR yang baru-baru menghadapi masalah apabila tiga ahli parlimennya berpaling tadah manakala seorang lagi dipecat.

Bagaimanapun, kekosongan kerusi Hulu Selangor juga bukan berita gempira bagi Barisan Nasional yang menghadapi dilema untuk mencari calon yang sesuai.

Sejak kematian bekas timbalan menteri besar Selangor itu, Umno berusaha keras untuk melobi kerusi itu yang secara tradisinya diserahkan kepada sekutunya, MIC.

- MALAYSIAKINI

Recent Posts