Memaparkan catatan dengan label Parlimen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Parlimen. Papar semua catatan

Selasa, November 22, 2022

Fahami fenomena Parlimen tergantung

 


Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan pelbagai sejarah baharu. Paling jelas, buat pertama kali PRU di Malaysia tidak menghasilkan mana-mana parti dominan yang memperoleh cukup kerusi untuk mencapai majoriti mudah.

Ini mewujudkan kemelut yang berlanjutan. Sehingga hari ini, empat hari selepas berakhirnya PRU15, belum ada mana-mana parti politik yang diangkat sebagai kerajaan.
Rakyat pastinya gelisah dengan situasi ini namun yang paling penting, rakyat perlu faham apa yang berlaku.

Seperti biasa, Relevan akan cuba menjelaskan kekeliruan yang ada. Maka, berikut merupakan enam perkara yang anda perlu tahu bagi memahami krisis yang berlaku.

Majoriti mudah

Kemenangan majoriti mudah bermaksud satu-satu gabungan atau parti politik berjaya memperoleh kerusi lebih separuh daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya.

Dalam kes Malaysia, garisan majoriti mudah untuk PRU ialah 112 kerusi Parlimen. Untuk setiap negeri pula berbeza, bergantung kepada jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Mana-mana gabungan atau parti politik yang dapat memenangi lebih daripada 112 kerusi secara lazimnya akan menjadi kerajaan, seperti yang berlaku dalam 14 PRU sebelum ini.

Situasi PRU sebelum ini lebih mudah kerana hanya melibatkan pertembungan besar antara dua gabungan politik. Contohnya, Pakatan Harapan (PH) menentang Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.

Dalam PRU15, situasinya lebih rumit kerana persaingannya melibatkan tiga gabungan utama, iaitu PH, BN dan Perikatan Nasional (PN). 

Hasilnya, tiada gabungan yang berjaya memperolehi majoriti mudah. Ini mewujudkan fenomena Parlimen tergantung seperti yang berlaku sekarang.

Kedudukan kerusi
PRU15 berakhir dengan PH mendapat kerusi tertinggi namun belum mencukupi untuk melintasi garisan majoriti mudah.

Disebabkan tidak ada gabungan prapilihan raya yang memperoleh majoriti mudah, Parlimen ketika ini dalam keadaan tergantung..

Parlimen tergantung

Mengapa dinamakan Parlimen tergantung? Kerana dalam situasi ini, fungsi perundangan Parlimen tidak dapat dijalankan lagi.

Sedikit ulang kaji. Sistem pemerintahan Malaysia berasaskan doktrin pengasingan kuasa yang memecahkan pemerintahan kepada tiga badan yang berfungsi secara berasingan, iaitu badan perundangan (legislatif), pentadbiran (eksekutif) dan kehakiman (judisiari).

PRU diadakan untuk rakyat memilih wakil mereka dalam badan perundangan.

Dalam badan perundangan, perlu ada kerajaan dan pembangkang. Dalam situasi sekarang, belum ada mana-mana pihak yang boleh digelar kerajaan lagi, maka tiada jugalah pembangkangnya. Mereka mahu bangkang siapa kalau kerajaan pun tiada.

Itu maksud Parlimen tergantung. Ahli-ahli Parlimen telah dipilih tetapi belum ada kerajaan mahupun pembangkang lagi. Kedudukan ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat pun belum dapat ditetapkan.

Proses pemilihan kerajaan

Menurut Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan, pelantikan kerajaan yang dianggotai oleh Jemaah Menteri bermula dengan pelantikan seorang Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 43 (2) (a) menyatakan, “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu…”.

Jika anda membaca berita tentang titah Yang di-Pertuan Agong meminta ketua parti mengemukakan gabungan politik yang memperolehi majoriti mudah, itu merupakan proses yang merujuk kepada Perkara 43 (2) (a).

Perlu ada seorang ahli Dewan Rakyat yang memenangi pilihan raya baru-baru ini tampil dengan bukti sokongan parti politik dengan kerusi yang cukup untuk mencapai majoriti mudah. Dia seterusnya akan dilantik sebagai Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan Malaysia yang baharu.

Seterusnya, Perdana Menteri akan mengemukakan nama-nama cadangannya untuk dilantik sebagai Jemaah Menteri kerajaan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan Perkara 43 (2) (b).

Di Parlimen nanti, blok kerajaan akan dianggotai oleh Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan ahli Parlimen penyokong kerajaan. Blok pembangkang pula ada Ketua Pembangkang dan ahli Parlimen pembangkang.

Pakatan politik pascapilihan raya
Oleh sebab pakatan politik prapilihan raya tidak berjaya mendapatkan majoriti mudah, terdapat keperluan untuk gabungan dan parti politik membentuk pakatan politik pascapilihan raya.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin pada 20 November lalu, gabungan parti politik yang mempunyai cukup sokongan perlu mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat untuk menjadi calon Perdana Menteri.

Setakat 21 November, terdapat dua pakatan pasca-PRU15 yang berkemungkinan dibentuk. Pertama, gabungan antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Parti Warisan yang mempunyai 115 kerusi keseluruhan.

Kedua, gabungan antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Parti Bangsa Malaysia yang mempunyai keseluruhan 134 kerusi.

Walau bagaimanapun, disebabkan Barisan Nasional telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk tidak menyokong mana-mana gabungan, baik Perikatan Nasional mahupun Pakatan Harapan, maka ada kemungkinan kerajaan minoriti akan dibentuk.

Apa pula maksud kerajaan minoriti?

Bentuk kerajaan

Walaupun Parlimen tergantung, kerajaan tetap perlu dilantik bagi menjalankan kuasa eksekutif selepas ini. 

Mengambil contoh pengalaman Parlimen United Kingdom (UK), terdapat tiga bentuk kerajaan yang boleh dilantik, iaitu:
  • Kerajaan minoriti
Kerajaan ini tidak bergabung dengan mana-mana parti lain untuk membentuk kerajaan, sebaliknya kekal dengan jumlah kerusi yang ada. Walau bagaimanapun, beberapa bentuk perjanjian boleh diusahakan bersama parti lain bagi menjamin kestabilan kerajaan dan mengelakkan undi tidak percaya serta penolakan terhadap rang undang-undang (RUU) yang penting di Parlimen.
  • Perjanjian rasmi antara parti/gabungan 
Kerajaan ini akan menggubal sebuah perjanjian rasmi bagi menjamin sokongan parti lawan kepada kerajaan. Ini bagi mengelakkan kerajaan yang tidak mendapat sokongan majoriti disingkirkan dengan mudah melalui undi tidak percaya.
  • Kerajaan gabungan rasmi
Kerajaan ini menggabungkan beberapa parti yang tidak berpakat sebelum pilihan raya untuk membentuk kerajaan. Dalam kerajaan ini, ahli dari parti berbeza boleh dilantik menganggotai jemaah menteri.

Setakat ini, ketiga-tiga bentuk kerajaan ini boleh diwujudkan bagi memecah kebuntuan politik negara. 

Apa pun kerajaan yang dibentuk, mereka yang memegang kuasa perlu segera menyusun strategi bagi membebaskan Malaysia daripada krisis ekonomi yang dijangka melanda tahun hadapan dan mengukuhkan semula perpaduan dalam kalangan rakyat. 

Sumber : RELEVAN


Jumaat, Julai 30, 2021

Proklamasi darurat perlu dibentang, dibahaskan di Parlimen - Majlis Peguam

 

Majlis Peguam Malaysia hari ini berkata, Ordinan Darurat hendaklah dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

Presidennya, AG Kalidas, berkata Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa 'Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu'.

Beliau berkata, peranan Parlimen mendasari nilai-nilai yang diperlukan bagi fungsi demokrasi dan oleh itu, ia harus mematuhi standard integriti yang tinggi apabila melaksanakan tanggungjawabnya.

"Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh Kabinet, Ahli Parlimen dan Speaker Parlimen.

"Justeru, adalah mustahak untuk Kabinet menyalurkan maklumat tepat semasa sidang Parlimen bagi memastikan Parlimen dapat mengadakan perbahasan yang berkesan dan bermakna. Dalam apa keadaan sekali pun, Parlimen tidak boleh dikelirukan lebih-lebih lagi semasa pandemik global yang menjejaskan kehidupan semua orang di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin iaitu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lalu bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat, sedangkan ia belum lagi diperkenan Baginda.

Katanya, Majlis Peguam berkongsi rasa amat dukacita Seri Paduka berhubung kenyataan bercanggah serta mengelirukan di Parlimen semasa persidangan baru-baru ini. 

Sumber : BERNAMA

 

Selasa, Julai 06, 2021

Parlimen bersidang mulai 26 Julai 2021

 

Kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya, berkata Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.

Katanya, persidangan itu bertujuan memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

"Berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

"Mesyuarat ini akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Nota Jemaah Menteri telah diedar secara berutus kepada Jemaah Menteri untuk mengambil maklum mengenai perkara ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Ahad, Jun 27, 2021

Penjelasan Peguam Negara berhubung isu persidangan Parlimen

 

Kebelakangan ini terdapat pelbagai pihak telah memberikan pandangan mengenai kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ("Yang diPertuan Agong") untuk memanggil Parlimen bersidang dan kewajipan Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Jemaah Menteri seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kenyataan ini bertujuan memperjelaskan kedudukan perkara ini dari segi undang-undang.

2. Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antara lain, pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima serta bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan.

3. Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan yang perlu bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri adalah berasaskan kepada Perkara 39 dan 40 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kuasa eksekutif Persekutuan adalah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan bolehlah dijalankan oleh Baginda atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri. Peruntukan tersebut juga hendaklah dibaca bersama dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menghendaki Baginda untuk melantik Jemaah Menteri bagi menasihati Baginda dalam penjalanan fungsinya. Perkara ini dijelaskan dalam Laporan Suruhanjaya bagi Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 (the Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission 1957) ("Suruhanjaya Reid") di perenggan 58 seperti yang berikut: "58. The Yang di-Pertuan Besar will be the Head of the State (Art. 27), but he must be a constitutional Ruler. He must therefore act on the advice of his Ministers with regard to all executive action…".

4. Kedudukan Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Raja Berperlembagaan seperti yang dihasratkan oleh penggubal Perlembagaan negara ini telah diiktiraf secara konsisten dalam penghakiman mahkamah seperti penghakiman Privy Council dalam kes-kes Teh Cheng Poh v. PP [1979] 1 MLJ 50 dan kes Stephen Kalong Ningkan v. Government of Malaysia [1968] 2 MLJ 238; Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes Abdul Ghani bin Ali @Ahmad & Ors v. PP [2001] 3 MLJ 561; Merdeka University Berhad v. Government of Malaysia [1982] 2 MLJ 243; Balakrishnan v. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia dan Kerajaan Malaysia [1981] 2 MLJ 259 dan Karam Singh v. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Malaysia [1969] 2 MLJ 129 dan Mahkamah Tinggi dalam kes N Madhavan Nair v. Government Of Malaysia [1975] 2 MLJ 286.

5. Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana tersebut di atas juga tidak berubah walaupun Proklamasi Darurat telah diisytiharkan. Petikan penghakiman YA Hakim Chang Min Tat dalam kes N Madhavan Nair v. Government Of Malaysia [1975] 2 MLJ 286 di muka surat 289 adalah jelas - "But while the legislative power has shifted from Parliament to the Yang Dipertuan Agung, the executive power of the Federation remains where it has always lain. By Article 39, the executive power of the Federation is vested in the Yang Dipertuan Agung and exercisable, subject to the provisions of any federal law and of the Second Schedule, by him or by the Cabinet. However Article 40 limits the executive authority of the Yang Dipertuan Agung to acting on the advice of the Cabinet or of a minister acting under the general authority of the Cabinet. It is only in certain matters,spelt out to be the appointment of a Prime Minister, the dissolution of Parliament and the requisition of a meeting of the Council of Rulers that he has a discretion.

Emergency rule which passes the legislative power from Parliament to the Yang Dipertuan Agung has not displaced his position as the Constitutional Monarch, bound by the Constitution to act at all times on the advice of the Cabinet.".

6. Dalam kes Teh Cheng Poh v. PP [1979] 1 MLJ 50 semasa menimbangkan Perkara 150(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang DiPertuan Agong mempunyai kuasa perundangan untuk memasyhurkan ordinan sekiranya Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa adanya hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, Privy Council telah menyatakan bahawa kuasa ini, seperti juga lain-lain kuasa di bawah Perlembagaan, "is conferred nominally upon the Yang di-Pertuan Agong by virtue of his office as the Supreme Head of the Federation....his functions are those of a constitutional monarch... he does not exercise his functions under the Constitution on his own initiatives but is required by Article 40(1) to act in accordance with the advice of the Cabinet".

Oleh itu sekiranya Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang Persekutuan memperuntukkan sesuatu keadaan bahawa apabila difikirkan perlu oleh Yang di-Pertuan Agong atau apabila Yang di-Pertuan Agong perlu berpuas hati, "the reference to his opinion or satisfaction is in reality a reference to the collective opinion or satisfaction of the members of the Cabinet...... to give advice upon the matter in question".

7. Malahan, semasa pembentangan untuk meminda Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan di Parlimen bagi memasukkan Fasal (1A) pada tahun 1994, tujuan peruntukan tersebut dimasukkan telah diperjelaskan sebagai memperkukuhkan dan memperjelaskan prinsip-prinsip Raja Berperlembagaan, mengukuhkan prinsip demokrasi berparlimen dan kedaulatan undang-undang. Dalam kes Abdul Ghani Ali v Pendakwa Raya [2001] 3 MLJ 561, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa "...It is my considered view, based on the constitutional provisions and the authorities cited, that the Yang di-Pertuan Agong, in acting under cl (1) of art 150 of the Constitution in the position of a constitutional monarch, must act on the advice of the Cabinet as provided in art 40 of the Constitution…". dan "…there can be no doubt that the Privy Council's 'opinion' in the case of Teh Cheng Poh v PP 'settles the point firmly that the Yang di-Pertuan Agong does not have a personal discretion under art 150(1) of the Constitution but

has at all times to act on Cabinet advice.".

8. Berdasarkan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memanggil Parlimen bersidang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Walau bagaimanapun peruntukan untuk memanggil Parlimen bersidang tidak mempunyai kesan di bawah perenggan 14(1)(a) Ordinan Darurat selama tempoh darurat berkuat kuasa. Perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat pula memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen pada tarikh "sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong". Sehubungan dengan itu, selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan, penjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, dan Baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

9. Subseksyen 14(1) Ordinan Darurat tersebut perlu dibaca bersamasama dengan peruntukan-peruntukan lain dalam Ordinan Darurat tersebut

seperti seksyen 17 dan 18. Seksyen 17 memperuntukkan bahawa bagi tempoh darurat berkuat kuasa, kuasa yang diberikan di bawah Ordinan Darurat tersebut adalah tambahan kepada, dan bukanlah sebagai menggantikan, kuasa yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa. Seksyen 18 pula

memperuntukkan sekiranya terdapat apa-apa percanggahan atau ketidakselarasan antara peruntukan Ordinan Darurat tersebut dengan mana-mana undang-undang bertulis yang lain, peruntukan Ordinan Darurat tersebut hendaklah mengatasi dan peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak selaras itu hendaklah disifatkan digantikan setakat percanggahan atau ketidakselarasan itu.

10. Berdasarkan seksyen 17 dan 18 tersebut, perenggan 14(1)(b) ataupun

mana-mana peruntukan dalam Ordinan Darurat tersebut tidak mengecualikan peruntukan prinsip Raja Berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

11. Berkait dengan kuasa Jemaah Menteri dalam menasihati Yang diPertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang, Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara memperuntukkan bahawa Ketua atau Timbalan Ketua Majlis iaitu (PerdanaMenteri atau Timbalan Perdana Menteri) hendaklah menetapkan, sekurangkurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam sesuatu Penggal dan Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh yang ditetapkan. Oleh itu, selaras dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang yang dijalankan mengikut nasihat Jemaah Menteri, tarikh-tarikh mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga ditentukan oleh Jemaah Menteri.

Peguam Negara

Malaysia

25 Jun 2021

Sumber : Berita Harian

 

Jumaat, April 06, 2018

PM umum Parlimen bubar 7 April 2018 untuk PRU14






Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa pada Sabtu bagi membuka laluan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diadakan.

Pengumuman itu dibuat selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, pagi Jumaat, yang mana pengumuman kali ini sedikit berbeza apabila pembubaran Parlimen akan berkuat kuasa sehari selepas pengumuman pembubaran dibuat.

“Saya ingin memaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa saya telah pun menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V dan menyembah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-13 dibubarkan pada hari Sabtu, 7 April 2018.

"Sehubungan itu, selaras dengan peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen ke-13 dibubarkan pada Sabtu,” katanya beliau dalam pengumuman khas yang dibuat dari Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dan disiarkan secara langsung di televisyen dan Facebook rasmi Najib jam 12.02 tengah hari Jumaat.

Najib diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan anggota jemaah menteri.

Najib memulakan pengumuman khas itu dengan mengimbas cabaran dan kejayaan-kejayaan yang dicatatkan negara sepanjang tampuk pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinannya.

Susulan pembubaran, Najib menasihati semua Ketua Menteri dan Menteri Besar kecuali Sarawak, menghadap Sultan, Raja atau Yang di-Pertuan negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Langkah itu bagi memberi laluan supaya pilihan raya negeri (PRN) dan PRU dapat diadakan serentak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sarawak terkecuali daripada mengadakan PRN kerana baru sahaja diadakan pada 7 Mei pada 2017.

Menurut Najib, pembubaran tersebut menzahirkan komitmen kerajaan BN terhadap proses demokrasi berparlimen dengan membolehkan PRU14 diadakan.

"Saya amat berharap pilihan raya kali ini tidak kira apa juga fahaman dan lambang politik akan dapat kita sama-sama langsungkan dengan baik, teratur, penuh hemah dan lancar," tambahnya.

Mandat kerajaan BN akan tamat pada 24 Jun 2018. Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, dari tarikh pembubaran Parlimen.

Semasa PRU13 yang diadakan pada 5 Mei 2013, BN telah memenangi 133 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, manakala pembangkang di bawah Pakatan Rakyat ketika itu, memenangi 89 kerusi.

Para pemerhati politik meramalkan pilihan raya itu akan diadakan akhir bulan atau awal bulan depan, sebelum umat Islam menunaikan ibadah puasa pada pertengahan Mei.

Sejumlah 14.9 juta pemilih berdaftar layak mengundi berdasarkan kepada Daftar Pemilih Suku Keempat 2017 pada tarikh yang akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

- mSTAR

Selasa, April 13, 2010

15 Syarikat Bas Dikenakan Tindakan Selepas Terbabit Kemalangan Maut

Sehingga 31 Mac lepas, sebanyak 15 syarikat bas ekspres telah dikenakan tindakan tegas selepas terlibat dalam kemalangan maut, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, daripada jumlah itu tiga syarikat dikenakan tindakan batal lesen, empat syarikat digantung lesen dan lapan syarikat lagi diberi amaran.

"Syarikat yang dikenakan tindakan telah diminta untuk membuat penambahbaikan ke atas sistem pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan, pengurusan perjalanan dan risiko serta pengurusan dokumen berpandukan kepada Kod Amalan Keselamatan Kesihatan dan Alam Sekitar (SHE)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) yang bertanya jumlah permit bas ekspres yang dikeluarkan dalam tempoh lima tahun dan tindakan yang dikenakan ke atas syarikat-syarikat bas ekspres yang terlibat kemalangan maut.

Liew berkata, dari 2005 hingga 2009, sebanyak 1,325 lesen bas ekspres telah dikeluarkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, pada masa ini, pelaksanaan SHE dijadikan salah satu syarat lesen yang wajib dipatuhi oleh pengusaha bas ekspres dan bertujuan untuk memastikan agar semua pengusaha menitikberatkan aspek keselamatan kenderaan supaya orang ramai dapat menggunakan pengangkutan awam dengan selamat dan selesa.

Kesan daripada tindakan itu menunjukkan penurunan pada 2009 dan 2010 bagi jumlah kes kemalangan maut yang melibatkan bas ekspres dengan tiga kes pada 2009, manakala sehingga 31 Mac tahun ini tiada kes kemalangan maut membabitkan bas ekspres dilaporkan. - BERNAMA

Selasa, Disember 01, 2009

Nisbah guru wanita tinggi, beri insentif khusus

KUALA LUMPUR 1 DIS 2009 : Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) meminta Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memberikan penjelasan mengenai insentif khusus yang diberikan kepada guru wanita dalam perkhidmatan mereka.

Abdul Hadi sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi berkata, guru wanita berperanan secara khusus dalam aspek pendidikan dengan sifat, tabiat dan naluri kewanitaan yang ada pada mereka namun dalam masa yang sama mereka juga berperanan dalam membentuk dan mendidik keluarga.

"Apakah insentif yang diberikan kerajaan terhadap tugas mereka yang besar dan apakah ruang-ruaang yang sepatutnya diberi supaya mereka berjaya dalam kerja dan keluarga bahagia?"soalnya.

Timbalan Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) dalam jawapannya berkata, Kementerian menyedari tanggungjawab besar yang dipikul oleh guru wanita terhadap keluarga. Oleh itu, KPM sentiasa menjaga kebajikan guru wanita seperti menyediakan pusat asuhan untuk anak-anak mereka.

Berkenaan insentif pula, KPM menyediakan satu skim yang sama kepada guru lelaki dan wanita berdasarkan mutu perkhidmatan dan juga khidmat cemerlang yang ditunjukkan manakala dari segi kenaikan pangkat, tiada diskriminasi gender.

"Kita sedar guru wanita mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keluarga.Sebab itulah kita sentiasa menjaga kebajikan guru wanita contohnya keperluan untuk mengadakan program asuhan kepada anak mereka," katanya.

Sebelum itu, Abdul Hadi meminta Menteri Pelajaran menyatakan jumlah nisbah guru lelaki dan perempuan di sekolah-sekolah menengah khususnya di sekolah menengah kebangsaan di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Wee Ka Siong memberitahu,sehingga 31 Januari 2009 nisbah guru lelaki dan perempuan di sekolah renndah dan sekolah menengah kerajaan dan bantuan kerajaan di seluruh negara ialah nisbah satu kepada dua.

Manakala jumlah guru mengikut jantina di sekolah di bawah KPM adalah seperti berikut:

Bagi sekolah rendah guru lelaki ialah seramai 67,947 manakala guru perempuan ialah seramai 151,819.

Bagi sekolah menengah guru lelaki ialah seramai 53,825 manakala guru perempuan ialah seramai 112,440.

Jumlah keseluruhan guru lelaki ialah 121,772 manakala guru perempuan 264,259.

KPM ujarnya sedang mengambil langkah untuk menyeimbangkan jurang guru lelaki dan wanita di negara ini dengan meningkatkan kuota pengambilan guru lelaki untuk menyertai kursus perguruan khususnya ke kawasan pedalaman.

KPM juga meningkatkan pengambilan guru lelaki dalam bidang yang menarik dan lasak seperti sains sukan, kemahiran hidup, dan vokasional selain meningkatkan promosi di media massa untuk memberi informasi mengenai bidang pendidikan.

Dato' Mohammad Aziz (BN-Sri Gading) dalam pada itu mendakwa KPM mengamalkan sikap diskriminasi terhadap lelaki apabila jumlah guru wanita lebih ramai daripada guru wanita.

Namun Wee Ka Siong menafikan dakwaan itu sebaliknya meminta Mohammad Aziz mengambil kira jumlah penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang menunjukkan jumlah wanita lebih ramai daripada lelaki.

- HARAKAH DAILY

Jumaat, November 13, 2009

Struktur binaan jambatan gantung runtuh tak kukuh

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, siasatan awal Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap kejadian jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar yang mengorbankan tiga murid sekolah, bulan lalu, berpunca daripada pembinaan jambatan tanpa pelan yang lengkap.

Timbalan Perdana Menteri berkata, siasatan juga mendapati struktur binaan jambatan itu tidak kukuh.

"Pihak Kementerian Pelajaran akan menyediakan laporan terperinci dan dijangka akan dapat diumumkan selewat-lewatnya akhir bulan ini.

"Saya sudah mengarahkan pegawai kementerian di semua peringkat untuk mempertingkatkan langkah keselamatan murid dalam melaksanakan semua aktiviti sama ada di dalam atau luar sekolah," katanya menggulung pembahasan Bajet 2010.

Beliau mengulas mengenai tragedi jambatan runtuh di Kem Perkhemahan 1Malaysia pusat kokurikulum pelajaran daerah Kinta pada 26 Oktober lalu.

Muhyiddin berkata, ketika kejadian itu berlaku, guru, jurulatih dan pengawal keselamatan yang bertugas sudah melakukan sedaya upaya mereka untuk menyelamatkan murid tanpa memikirkan nyawa sendiri.

Sementara itu, menyentuh mengenai sekolah satu aliran dicetuskan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran sentiasa bersifat terbuka dan menerima pandangan daripada semua pihak.

"Sistem pendidikan pelbagai aliran yang ada di negara kita adalah satu takdir sejarah yang hanya boleh diubah jika semua kaum bersedia menerima dan mengamalkan sistem satu aliran yang lebih bersepadu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan berpendapat sekolah pelbagai aliran memenuhi realiti masyarakat Malaysia.

"Hasrat kerajaan adalah untuk menambahbaikkan sekolah kebangsaan supaya menjadi sekolah pilihan semua kaum. Tidak guna untuk mengubah sistem yang sedia ada sehingga menimbulkan masalah sedangkan sistem sekarang adalah baik," katanya.

Menjawab pertanyaan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang mahu kerajaan melakukan pungutan suara bagi mengetahui pandangan majoriti rakyat berhubung isu itu, Muhyiddin berkata, ia tidak perlu.

Berhubung Laporan Ketua Audit Negara, beliau berkata, siasatan rapi sudah dijalankan terhadap kes dilaporkan dan pada peringkat dalaman kementerian, tindakan susulan diambil termasuk membuat laporan kepada pihak bertanggungjawab.

"Bagaimanapun, saya menyangkal kenyataan Permatang Pauh (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mendakwa 15 sekolah di Sabah, Kelantan, Melaka, Kedah dan Selangor diselenggarakan dengan peruntukan RM111.5 juta tapi tidak dilaksanakan dan 7.8 peratus kontraktor terbabit dibayar sepenuhnya.

"Sebenarnya jumlah penyelenggaraan hanya RM111,533 iaitu 7.8 peratus daripada RM1.43 juta jumlah keseluruhan. Pihak Audit dan Kementerian Pelajaran menjalankan audit susulan di sekolah itu, April lalu dan didapati sebahagian daripada kerja sudah dilaksanakan kontraktor terbabit," katanya

- BERITA HARIAN

Recent Posts