Rabu, Disember 02, 2009

Juruterbang MiG-29 TUDM sedih perkhidmatan pesawat bakal berakhir


Tiga juruterbang MiG-29 (dari kiri), Ahmad Khusairi, Patricia Yapp dan Sebastian A. William ketika menjayakan pertunjukan udara sempena LIMA 2009 di Langkawi

Selepas 10 tahun mengendalikan pesawat pejuang pemintas MiG-29, juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Sebastian A. William tidak dapat menyembunyikan kesedihannya berikutan penamatan perkhidmatan jet itu mulai tahun depan.

Selepas menghabiskan masa 1,200 jam menerbangkan pesawat MiG-29 katanya, 'burung besi' itu seperti sudah amat sebati dengan dirinya.

''Memang ada rasa sedih tetapi sebarang dasar kerajaan bukan di tangan saya.

''Semua pihak perlu faham jika kerajaan mahu terus menggunakan MiG, ia melibatkan pelaburan yang besar untuk kerja-kerja penambahbaikan pada sistem pesawat itu," katanya.

Beliau yang juga Pegawai Pelaksana No. 17 Skuadron berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas sesi pertunjukan udara pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 di sini hari ini.

Turut mengambil bahagian ialah dua lagi juruterbang pesawat itu, Mejar Ahmad Khusairi Ahmad Fadli dan Mejar Patricia Yapp yang merupakan juruterbang MiG wanita pertama di Asia.

Sementara itu, Patricia yang juga juruterbang wanita pertama negara yang melakukan persembahan aerobatik dalam siri LIMA memberitahu, beliau mula merindui pesawat tersebut sejak menerima berita pemberhentian perkhidmatan MiG-29.

''Berita itu juga membuatkan saya semakin menyayanginya walaupun sehingga kini masih menerbangkan MiG," ujarnya.

Beliau yang menyertai skuadron itu sejak tiga tahun lalu telah mencatatkan sebanyak 500 jam penerbangan bersama MiG-29.

Dalam pada itu, Ahmad Khusairi berkata, pesawat berkenaan mempunyai jasa yang besar kepada TUDM sejak memasuki perkhidmatan itu pada 1995.

''Ia telah memberikan perlindungan udara kepada negara selama ini dan sudah tentu perkhidmatannya amat dihargai," jelasnya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat baru-baru ini mengumumkan perkhidmatan MiG-29 yang akan diberhentikan pada tahun depan.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.