Isnin, September 07, 2009

Nuzul Quran - Pengertian perintah Iqra'

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan

Seperti yang dimaklumi, al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan al-Mubarak. Sebahagian ulama berpendapat ia diturunkan pada 17 Ramadan di Gua Hira'.

Imam al-Maraghi dalam tafsirnya berkata: "Dalam beberapa hadis diterangkan bahawa Nabi Muhammad SAW pergi ke Gua Hira' dan beribadat di tempat itu selama beberapa malam. Kemudian Baginda pulang ke rumah isterinya, Khadijah dan Baginda dibekalkan dengan bekalan yang cukup sehinggalah ke saat Baginda diturunkan wahyu.

Semasa Baginda berada di Gua Hira', malaikat Jibril a.s datang lalu berkata kepadanya: "Bacalah!". Lantas jawab Baginda: "Aku tidak tahu membaca."

Lalu Jibril a.s memegang Baginda dan memeluknya dengan erat sehingga Nabi berasa sukar bernafas. Kemudian Jibril melepaskan Baginda lalu berkata: "Bacalah!". Jawab Baginda lagi: "Aku tidak tahu membaca."

Jibril memegangnya lagi dan memeluknya hingga Baginda sekali lagi sukar bernafas. Lalu Jibril a.s membaca firman Allah SWT yang bermaksud:

"Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."

Para perawi-perawi hadis menambah: Baginda segera kembali ke rumah dalam keadaan gementar ketakutan sambil bersabda: "Selimutlah aku! Selimutlah aku!". Baginda kemudiannya diselimutkan oleh Khadijah sehingga hilang rasa gementarnya.

Kemudian Baginda menceritakan segala yang berlaku kepada Khadijah, lalu bersabda: "Aku rasa bimbang akan diri sendiri".

Kata Khadijah untuk menyenangkan hati Rasulullah SAW: "Janganlah bersusah hati. Demi Allah! Allah tidak akan mengabaikan dirimu selamanya kerana dirimu selalu menjalinkan hubungan silaturrahim, tutur katamu jujur, suka memikul beban orang lain, menjamu tetamu dan membela kebenaran."

Kemudian Khadijah membawa Baginda ke rumah Waraqah Ibn Nawfal Ibn 'Asad bin Abdul 'Uzza iaitu sepupunya. Waraqah telah memeluk agama Nasrani sejak zaman jahiliah dan beliau banyak menulis dalam bahasa Arab dan telah menyalin kitab Injil ke bahasa Ibrani. Beliau menjadi buta setelah usia menginjak tua.

Kata Khadijah kepadanya: "Wahai sepupuku, dengarlah apa yang diceritakan oleh anak saudaramu ini."

Jawab Waraqah: "Apakah yang terjadi, wahai anak saudaraku?"

Rasulullah SAW terus menceritakan apa yang telah dilihatnya. Sahut Waraqah: "Itu adalah Namus yang turun kepada Nabi Isa a.s. Alangkah baiknya kalau aku masih muda dan masih hidup sewaktu kamu diusir oleh kaummu nanti."

Lantas Rasulullah SAW bertanya: "Apakah kaumku akan mengusirku?". Jawab Waraqah: "Ya! Tidak seorang pun yang membawa apa yang kamu bawa ini tidak dimusuhi. Jika aku masih hidup pada ketika itu, pasti aku akan menolongmu dengan sekuat tenagaku."

Tidak lama kemudian, Waraqah meninggal dunia. - Hadis riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari dan Muslim).

Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam Fiqh Sirah berkata, hadis permulaan penurunan wahyu itu merupakan masa utama yang memberi implikasi terhadap seluruh hakikat dan de facto akidah dan syariah Islamiah, memahami serta mempercayai dengan penuh yakin.

Ia merupakan titik permulaan dan pengenalan yang semestinya ke arah mempercayai segala apa yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Antaranya, perkhabaran ghaib dan suruhan syariat lantaran hakikat wahyu itu adalah jenis yang tunggal yang memisahkan di antara manusia yang berfikir dengan otak pemikiran yang bersifat serba kemanusiaan dengan manusia yang menyampaikan segala sesuatu yang telah diturunkan oleh Tuhannya tanpa menukar, menokok tambah dan sebagainya."

Tokoh terkenal, Fadhilatu Sheikh Muhammad Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti pula menjelaskan, pelukan Jibril kepada Nabi SAW beberapa kali dan disuruh membaca, kemudian pelukan selepas itu bertambah kuat sebagai bukti dan dalil bahawa proses mendapat ilmu memerlukan mujahadah, kesabaran dan kesungguhan. Ini kerana sifatnya yang amat sukar untuk diperoleh di samping memerlukan pengorbanan yang besar."

Sementara itu, Sheikh Muhammad Abduh pula berkata, perintah membaca itu bukan sebagai beban tugas yang harus dilaksanakan sehingga menuntut satu-satu objek tetapi ia adalah perintah takwini yang mewujudkan kemampuan membaca secara umum.

Di sini jelas menunjukkan, kata iqra' digunakan dalam erti dan maksud membaca, mentelaah, menyampaikan dan sebagainya dan kerana objeknya bersifat umum, maka objek kata tersebut mencakupi segala yang dapat terjangkau sama ada bacaan suci bersumberkan Ilahi atau dari yang lain.

Begitu juga, berkenaan dengan ayat yang tertulis atau sebaliknya.

Walhasil, perintah iqra' , mencakupi mentelaah terhadap alam buana, masyarakat dan diri sendiri serta bacaan tertulis baik yang suci ataupun yang lainnya.

Sheikh al-Azhar iaitu Sheikh Abdul Halim Mahmud dalam bukunya al-Quran fi Syarhi al-Quran menjelaskan, dengan kalimat iqra' bismi rabbik, al-Quran tidak sekadar memerintahkan untuk membaca, tetapi membaca adalah lambang dari segala apa yang dilakukan oleh manusia, baik yang sifatnya aktif mahupun pasif."

Kalimat tersebut dalam pengertian dan semangatnya ingin menyatakan "Bacalah demi Tuhanmu, bergeraklah demi Tuhanmu, bekerjalah demi Tuhanmu".

Demikian juga apabila anda berhenti bergerak atau berhenti melakukan sesuatu aktiviti, maka hendaklah hal tersebut juga didasarkan kepada bismi rabbik sehingga pada akhirnya ayat tersebut bererti: "Jadikanlah seluruh kehidupanmu, wujudmu, dalam cara dan tujuannya, kesemuanya demi kerana Allah SWT".

Menurut Sheikh al-Maraghi, perintah membaca itu diulang-ulang kerana membaca hanya dapat dicapai oleh seseorang dengan mengulang-ulang dan dibiasakan. Ulangan perintah ini menunjukkan perlunya apa yang dibaca itu diulangi berkali-kali.

"Jadi membaca menjadi bakat Nabi Muhammad SAW. Ayat ini menerangkan keutamaan membaca, menulis dan kepentingan ilmu pengetahuan."

Menurut Sheikh al-Maraghi lagi, dijadikan qalam sebagai alat yang dapat memberi kefahaman kepada sesama manusia meskipun berjauhan, sebagaimana memahamkan mereka dengan perantaraan lisan."

Qalam adalah benda yang tidak berjiwa dan tidak mempunyai kekuatan untuk memberikan pengertian.

Oleh sebab itu, apakah ada kesulitan bagi Tuhan yang membuat benda mati lagi diam menjadi alat untuk memberi pengertian dan penjelasan dan menjadikan kamu orang yang boleh membaca, menjelaskan serta mengajar kerana kamu telah menjadi manusia yang sempurna?

Sesungguhnya tanpa qalam, ilmu pengetahuan tidak akan terpelihara. Agama-agama akan hilang lenyap dan generasi kemudian tidak dapat mengenal generasi dahulu.

Aspek ilmu pengetahuan, penemuan-penemuan, kemahiran-kemahiran, sejarah baik buruk umat dahulu kala tidak akan tercatat. Pengetahuan mereka tidak akan menjadi penunjuk jalan kepada umat terkemudian untuk terus maju dalam bidang rekaan dan ciptaan.

Semoga semangat Nuzul al-Quran ini menjadikan kita golongan yang prihatin kepada ilmu dan minat membaca untuk mencapai seterusnya menjadi hamba-Nya yang benarbenar bertakwa. Amin

Senaman malam

Kelesuan berpuasa menyebabkan ramai kaki senam beralih ke waktu malam untuk meneruskan aktiviti senaman.

Lantas sesudah Tarawih, khususnya selepas jam 10 malam, ada yang menganggap ia sebagai alternatif terbaik apatah lagi tubuh sudah lebih bertenaga terutama untuk mereka yang sudah biasa bersukan seperti bermain futsal, skuasy, badminton, tenis malah berjoging.

Namun, amalan bersukan pada waktu malam bukanlah sesuatu yang harus dijadikan tabiat kerana ia boleh memudaratkan tubuh, kata Profesor Madya Zulkifli Abd Kadir.

Pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara ini berkata, tubuh manusia mempunyai perubahan fisiologinya sendiri dalam sehari.

"Jam biologi tubuh itu seelok-eloknya tidak diganggu kerana ia akan mengganggu sistem homeostasis iaitu sistem yang mengembalikan keseimbangan dalaman manusia.

"Homeostatis pula dikawal zeitgeber yang dikenali sebagai penjaga masa di dalam otak. Jika kita melakukan rutin seharian mengikut masa ditetapkan misalnya makan dan tidur pada waktunya, ia memainkan peranan untuk menetapkan zeitgeber supaya ia tidak lari daripada ketetapan masa.

"Tetapi jika zeitgeber lari daripada ketetapan masanya, ia boleh mengkucar-kacirkan sistem keseimbangan tubuh itu.

"Secara semula jadi, badan bertukar kepada kaedah pemulihan diri pada waktu malam iaitu ketika kita berehat dan tidur. Justeru, kita tidak seharusnya menukar alam dalaman tubuh ini terutama dengan melakukan senaman yang keras pada waktu malam.

"Jika bersenam secara lasak itu dijadikan amalan, ia akhirnya akan memudaratkan diri sendiri kerana ia mengganggu sistem ketahanan tubuh untuk jangka panjang," katanya.

Namun, menurutnya, puasa sebulan tidak bermakna Ramadan dijadikan tempoh berehat kerana senaman tetap boleh dilakukan sama ada pada waktu pagi atau petang.

"Cuma, strateginya berbeza seperti waktu, isi padu latihan, tempoh dan tahap kesukaran senaman yang perlu diolah supaya ia mendatangkan kelebihan pada kita, bukannya kemudaratan.

"Menariknya, berpuasa boleh membantu mereka yang ingin menurunkan berat badan dengan lebih pantas tetapi ia bergantung kepada beberapa aspek termasuk jenis senaman.

"Pada bulan puasa, lazimnya tahap gula dalam darah adalah rendah manakala pergerakan tubuh berterusan menyebabkan kita menggunakan glikogen dalam otot. Mahu tidak mahu, ini membuatkan badan bergantung kepada lemak sebagai sumber tenaga," katanya.

Waktu pagi juga cukup tempoh yang baik untuk pembakaran lemak kerana ketika itu, tubuh banyak mengeluarkan kortisol iaitu hormon yang banyak dikeluarkan pada waktu pagi untuk tujuan berkenaan.

"Sebaiknya, elakkan senaman pagi yang boleh membuatkan tubuh letih seharian. Tumpukan pada senaman mudah seperti chi qong, regangan atau sedikit latihan kekuatan.

"Selepas jam 6 petang, boleh lakukan senaman aerobik yang memenatkan seperti berjoging dan berbasikal serta latihan kekuatan yang seharusnya lebih daripada 20 minit. Senaman yang keras lebih bertujuan untuk membakar lemak, tetapi aktiviti regangan tidak menjadi jika mahu menurunkan berat badan kerana ia tidak mampu membakar lemak," katanya.

Saranannya, senaman dilakukan pada waktu petang itu perlu ditamatkan kira-kira 15 hingga 20 minit sebelum azan Maghrib supaya tubuh dapat merehatkan diri untuk menikmati hidangan berbuka puasa.

Pemilihan pakaian ketika bersenam juga perlu diberi perhatian. Pakaian daripada kain kapas paling sesuai dan elakkan daripada berpakaian tebal.

Baginya, pakaian daripada fabrik poliester dan nilon kurang sesuai kerana fabrik berkenaan menebat haba keluar dari tubuh justeru ia boleh menyebabkan perpeluhan yang lebih banyak. Ini mungkin menyebabkan mereka yang berpuasa berasa terlalu letih.

Tidak hanya senaman, menurutnya, pengambilan makanan juga perlu diberi perhatian untuk mengawal berat badan malah tidak menafikan, ada yang mengalami penurunan berat badan ketika berpuasa bukan disebabkan pengurangan lemak, tetapi lebih cenderung kepada pengurangan air dalam badan.

Pengambilan makanan berlebihan yang tidak seimbang dengan jumlah pembakaran kalori juga tentu tidak mendatangkan hasil yang diharapkan untuk menurunkan berat badan.

"Dulu ketika muda, saya memang banyak makan, tetapi apabila sudah ada pengetahuan, saya mula amalkan pemakanan sihat. Pada bulan puasa ini, secara idealnya, saya pastikan ada kurma, lebihkan pengambilan sayur-sayuran dan satu jenis protein saja ketika berbuka.

"Sejak dulu saya memang tidak menggalakkan minum teh atau kopi untuk keluarga sebaliknya, hanya amalkan minum air kosong," katanya.

Jika teringin merasa manis makanan atau minuman, dia lebih menggalakkan pengambilan buah-buahan atau madu.

"Seeloknya, usah ambil makanan berat selepas solat Tarawih terutama karbohidrat. Pengambilan karbohidrat sebelum tidur tidak baik untuk kesihatan kerana ia mengeluarkan serotonin yang menyekat rembesan hormon pertumbuhan manusia. Hormon ini pula bertindak mengawal sistem pertahanan badan," katanya.

>Info

# Berdasarkan prinsip masa, waktu paling baik untuk bersenam adalah pada pagi dan petang.

# Senaman pagi seelok-eloknya membabitkan senaman lembut seperti tai chi, chi qong dan yoga serta senaman aerobik sederhana.

# Pada waktu petang, banyak hormon keluar dari tubuh justeru senaman petang sebaiknya tertumpu kepada senaman lasak misalnya berlari atau berbasikal.

# Untuk mengekalkan kesihatan tubuh yang baik, seseorang itu perlu menggabungkan kedua-duanya iaitu senaman lembut dan lasak.

# Suhu persekitaran yang baik untuk bersenam adalah antara 20 hingga 24 darjah celsius.

# Suhu persekitaran melebihi 25 darjah celsius akan menyebabkan darah terkumpul di bahagian bawah kulit untuk proses penyejukan badan. Oleh itu, aliran darah ke otot berkurangan menyebabkan seseorang itu cepat penat.

# Berhati-hati jika gemar bersenam dalam persekitaran yang panas kerana suasana sedemikian bukan saja menyebabkan seseorang cepat berpeluh dan dahaga malah pada masa sama, keadaan darah menjadi lebih likat yang boleh menyebabkan tekanan darah meningkat.

- HARIAN METRO

Nas Ahmad - Penerbit baru Melodi


Buat pertama kalinya, Nas Ahmad memikul tanggungjawab besar yang ternyata menguji kredibilitinya sebagai seorang penerbit.

Baru setahun memegang jawatan penerbit untuk rancangan hiburan sensasi Melodi, Nas memang tidak mampu lagi menyembunyikan kegusaran mengendalikan rancangan popular itu.

Sebelum ini, Jamil Hassan memegang jawatan itu selama lima tahun sebelum Nas mengambil alih tugas itu daripadanya.

Apatah lagi, dia perlu memastikan resipi Melodi terus lengkap dengan segala rencah untuk terus menjadikan Melodi sebagai sebuah rancangan hiburan paling sensasi di negara ini.

Mungkin ramai yang berpendapat pengalamannya selama 11 tahun dalam rancangan Melodi sebagai wartawan penyiaran mampu membantunya melunaskan tanggungjawab sebagai penerbit dengan baik.

Tetapi, bagi diri Nas sendiri menjadi seorang penerbit bukanlah semudah yang disangka kerana dia perlu memastikan segala perancangan berjalan dengan lancar seperti mana yang telah diaturkan.

Untuk mengendalikan rancangan mingguan Melodi bagi Nas, tidaklah sesukar mana jika hendak dibandingkan dengan penglibatan kali pertamanya mengemudikan Melodi Raya 2009.

"Bayangkan, inilah kali pertama saya menjadi penerbit untuk Melodi Raya dan untuk bercakap tentangnya juga sudah membuatkan saya menggigil.

"Memang menggerunkan menjadi seorang penerbit kerana ia umpama menyerahkan kepala kita sendiri untuk dipenggal," kata Nas membuka bicaranya pada petang itu.

Nas ditemui pada rakaman program Melodi Raya 2009 yang berlangsung di Sunway Lagoon Theme Park, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menyambung bicara, Nas atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Ahmad memberitahu, dia berdepan dengan risiko yang cukup tinggi dalam memastikan rakaman Melodi Raya berjalan dengan baik.

Apatah lagi, untuk tahun kedua Melodi Raya diadakan di tempat terbuka sama seperti tahun lalu yang sememangnya terdedah dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Beberapa hari sebelum berlangsungnya rakaman ini, hujan turun dengan lebatnya dan begitu juga pada pagi hari rakaman berlangsung.

"Saya tidak putus berdoa dan Alhamdulillah, sepanjang rakaman berlangsung cuaca cukup baik dan tidak menjejaskan perjalanan program ini," kata Nas yang diberi jolokan Abang Rambut Kertak ini lagi.

Atas faktor itu juga, besar kemungkinan Melodi Raya akan kembali menjalani rakaman di dewan besar hotel seperti kebiasaannya tahun hadapan.

Berbicara lanjut konsep Melodi Raya 2009 yang membawa tema Simfoni Dalam Sensasi, Nas menjelaskan, dia mahu mengekalkan elemen sensasi dan panas biarpun dalam bulan Syawal yang penuh keberkatan.

Ini kerana katanya, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pihaknya, masyarakat dan penonton masih lagi mahukan ciri-ciri asal Melodi.

Tambahnya, pengikut setia rancangan itu akan terasa kehilangan Melodi seandainya format rancangan itu diubah secara mendadak.

"Mereka juga ada mengatakan Melodi akan menjadi sebuah rancangan yang hambar dan tidak menarik seandainya ia diubah.

"Kerana itu, saya dan pasukan saya masih lagi mahu mengekalkan tradisi itu demi kepuasan peminat dan pengikut setia Melodi khususnya," ujarnya penuh optimis.

Bukan itu sahaja, Nas berkata tema 'Simfoni Dalam Sensasi' juga mahu mengimbangi antara kegembiraan dan kedukaan yang dihadapi oleh anak-anak seni yang kurang bernasib baik.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Melodi Raya tidak meminggirkan mereka yang kurang bernasib baik apabila memberi sumbangan sebanyak RM5,000 untuk meringankan beban mereka.

Tiga personaliti yang dipilih tahun ini adalah penulis lirik terkenal Jamaludin Sulik atau lebih dikenali sebagai Seri Bayu, Abdul Karim Abdul Latif (Karim Latif) dan Nurul Kamal Mohd. Zainuddin (Kamal Pendek).

Selain itu, sumbangan sebanyak RM5,000 juga turut diberikan kepada dua buah rumah kebajikan iaitu Asrama Baitul Ummah dan Pusat Jagaan Titian Kasih yang masing-masing terletak di Kuala Lumpur.

Memandangkan tampuk kepimpinan Melodi sudah bertukar tangan, adakah penonton akan melihat perubahan untuk Melodi Raya tahun ini?

Sambil menganggukkan kepala, Nas menjelaskan, banyak perubahan yang dilakukan olehnya dalam memberikan hiburan terbaik demi kepuasan peminat.

Tidak seperti selalu, kali ini pengisian kandungan Melodi Raya akan dibahagikan sebaik-baiknya untuk mengelakkan penonton berasa bosan.

Untuk episod pertama yang akan bersiaran pada Hari Raya pertama pada 20 September ini, 70 peratus daripada kandungannya akan menampilkan nyanyian daripada artis-artis jemputan.

Selebihnya pula adalah berita-berita panas yang disediakan untuk tatapan peminat dan penonton setia Melodi.

Berbeza dengan episod pertama, bahagian kedua Melodi Raya 2009 yang disiarkan seminggu selepas itu pula hanya akan menampilkan 30 peratus persembahan nyanyian dan selebihnya adalah paparan berita.

"Kami mahu menjadikan Melodi Raya tahun ini sebagai satu rancangan hiburan yang mampu memuaskan hati peminat.

"Adalah menjadi satu kerugian apabila persembahan artis hanya disiarkan sedikit sahaja sedangkan barisan artis yang terpilih bukan calang-calang.

"Bukan itu sahaja, kami turut memperkenalkan muzik live yang dimainkan oleh kumpulan muzik seperti Sweet Charity, Kristal dan Butterfly untuk memberi satu kelainan," ujarnya yang turut memperkenalkan pentas terapung sebagai salah satu kelainan tahun ini.

Selain itu jelas Nas, dia juga mahu menampilkan seleksi lagu-lagu Raya yang sebelum ini jarang sekali diperdengarkan dan mendapat tempat di corong radio.

Antara artis lain yang membuat persembahan ialah Aishah, Amy Mastura, Aizat, Fabulous Cats, One Nation Emcees, Ramlah Ram, Junainah M. Amin, Fazley, Raihan dan Hujan serta kemunculan khas penghibur terkenal, Datuk Shake.

Tidak cukup dengan itu, Melodi Raya 2009 akan menjadi sebuah tontonan yang ditunggu-tunggu Syawal nanti apabila menyaksikan kemunculan semula kesemua bekas pengacara dan penyumbang suara latar Melodi.

Mereka yang hadir memeriahkan rakaman tersebut ialah Datuk Mahadzir Lokman, Fauziah Ahmad Daud, Raja Azura, Tabah Syazwan dan Adiel Abdul Ghaffar.

Manakala Sheila Rusly, Haliza Misbun, Aznil Nawawi, Saiful Apek dan Faizal Ismail tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Kesemua mereka bergilir mengemudikan Melodi Raya bersama pengacara terbarunya, Fara Fauzana dan Wahid.

Bagi peminat Melodi, pastikan anda tidak melepaskan peluang menonton Melodi Raya 2009 selama dua minggu berturut-turut bermula pada 20 September pukul 12.30 tengah hari selama sejam hanya di TV3.

- UTUSAN

Peluang jadi usahawan borong barangan China

Jangan pandang remeh label Made in China (Diperbuat di China) yang berlambak di pasaran. Jika anda perhatikan betul-betul, label itu bukan sahaja didapati pada pakaian atau barangan dijual di pasar malam malah butik berjenama di pusat membeli-belah terkemuka dunia juga tidak dapat lari daripadanya.

Ini kerana negara China cukup terkenal sebagai hab atau destinasi pemborong terbesar di dunia dengan persaingan harga yang cukup sengit di samping tahap kualiti barangan juga semakin meningkat.

Tidak hairanlah ramai rakyat tempatan sendiri mula beralih ke Shenzen dan Guangzhou disebabkan kepelbagaian barangan jualan dengan harga jauh lebih murah berbanding Jakarta, Bandung atau Bangkok.

Menurut Shahabudeen Jalil, terdapat keinginan yang tinggi di kalangan usahawan Islam khasnya untuk mengurangkan pergantungan kepada orang tengah sebaliknya menjadi pemborong secara terus.

"Ramai yang ingin keluar untuk mencari harga lebih baik memandangkan keadaan ekonomi sekarang menuntut pengguna agar berhati-hati berbelanja.

"Penyelesaiannya adalah menjadi pemborong secara terus dan mendapatkan produk berkualiti pada harga murah dari China, pada masa yang sama menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan," katanya yang merupakan Penasihat Anzac Consultancy.

Syarikat perunding itu mengendalikan Kursus Memborong di China dengan usahasama akhbar sisipan MEGA - Utusan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini dengan lebih 120 peserta menghadirinya.

Kursus itu turut melibatkan topik penting berkaitan urusan pasport dan visa, tambang penerbangan, hotel atau hostel penginapan, pengangkutan, persediaan memborong, contoh produk berpotensi, melakukan urusan kewangan dan menghantar balik barangan ke Malaysia.

"Tidak semestinya orang Cina, Melayu juga boleh dikatakan bijak melakukan pemasaran tetapi masih kurang yakin untuk keluar negara bagi meneroka pasaran borong yang jauh lebih murah," ujarnya.

Atas kesedaran itu, beliau mengambil inisiatif mereka modul 'Kursus Memborong di China' khas untuk umat Islam. Usaha itu mendapat sokongan menggalakkan terutama di kalangan para pemborong Melayu.

Kini, Anzac Consultancy turut menganjurkan rombongan memborong ke China dan negara sumber lain seperti Vietnam, India, Korea dan banyak lagi.

Sementara itu, Kursus Memborong Di China bersama Mega mendapat respons daripada para peserta yang terdiri daripada usahawan berpengalaman, peniaga kecil-kecilan mahupun mereka yang baru berjinak-jinak dengan industri borong.

Antaranya, Razaly Abdullah, 60, pemilik Syarikat Perkhidmatan Zainal lebih dikenali sebagai Zainal Canopy yang menjalankan perniagaan sewa peralatan, pengendali dan perunding cara majlis sekitar Lembah Klang, Seremban dan Melaka.

"Tujuan saya menyertai kursus ini adalah untuk mendapatkan panduan yang tepat berbanding sebelum ini. Apatah lagi masalah bahasa dijadikan kesempatan oleh para peniaga di China untuk mengambil untung atas angin.

"Sebagai syarikat menyewa khemah dan kanopi di samping menjalankan perniagaan katering, saya kerap ke China untuk mendapatkan kelengkapan dengan harga borong," katanya sambil menambah, pasaran sewa beli khemah juga semakin sengit disebabkan pengurangan harga kos.

Bagi Mohd. Yunus Mohd. Shaarif, 50, kursus seumpama itu membuka peluang perniagaan baru kepada usahawan kecilnya dan isteri yang sebelum ini memperoleh bekalan barangan jualan aksesori wanita dan kain ela dari Jogjakarta dan Bandung, Indonesia.

Tambahnya, kebanyakan suri rumah memilih perniagaan seumpama itu memandangkan permintaan tinggi oleh komuniti sekitar disebabkan harga yang kompetitif di samping tidak perlu menempuh kesesakan jika membeli-belah di ibu kota.

"Ramai berpendapat bahawa barang di Indonesia murah tetapi di China, harganya jauh lebih rendah dan pelbagai produk berkualiti ditawarkan serta menepati selera rakyat tempatan," katanya yang memiliki butik di USJ1, Subang Jaya.

Suri rumah, Yusni Idris, 46, pula ingin mendapatkan pandangan dan maklumat terperinci akibat tertarik setelah membaca buku mengenai perniagaan borong yang selama ini dimonopoli para peniaga Cina.

"Buku itu mengenai bagaimana untuk menjadi jutawan dengan menjalankan perniagaan berpotensi besar, salah satunya memborong.

"Sebelum ini saya pernah berniaga kain ela secara kecil-kecilan tetapi kurang mendapat sambutan. Inilah hasrat saya untuk menceburi bidang perniagaan demi masa depan anak-anak," kata ibu kepada enam orang anak ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai peluang menjadi usahawan pemborong, lawati laman web www.kursusborongchina.com

Masjid Asy-Syakirin berwajah baru


Masjid Asy-Syakirin yang terletak di timur laut kawasan pembangunan Menara Berkembar Petronas (KLCC) berupaya menampung lebih ramai jemaah apabila proses pengubahsuaiannya selesai akhir November ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, proses pengubahsuaian melibatkan pembinaan struktur bumbung di tingkat dua masjid itu untuk melindungi kawasan terbuka bagi dijadikan ruang solat baru yang boleh menempatkan lebih 3,000 jemaah.

Ketua Imam Masjid Asy-Syakirin, Mohd. Abd. Nasir Abdullah berkata, kerja-kerja pengubahsuaian masjid itu yang dibina sejak 1998 menelan kos kira-kira RM25 juta dan telah dimulakan awal tahun ini.

‘‘Ia untuk keselesaan jemaah selain mampu menampung keperluan penduduk Islam sekitar bandar raya ini yang semakin meningkat,’’ ujarnya.

Katanya, pihak pengurusan masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Petronas melaksanakan projek pengubahsuaian itu berikutan peningkatan jemaah sejak kebelakangan ini terutama ketika solat Jumaat.

Katanya, selepas projek itu selesai, masjid itu mampu menampung 11,000 jemaah berbanding 8,000 jemaah sebelum ini.

Masjid yang berkonsepkan permata dalam taman buatan manusia itu mempunyai kubah berwarna kelabu.

Struktur bangunan masjid itu yang diperbuat daripada batu marmar dibina di atas kawasan seluas 2.02 hektar dan terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Masjid itu mempunyai ciri-ciri seni bina menarik dari Asia Barat yang digabungkan dengan cita rasa Asia Timur dan hiasan dalaman yang menakjubkan.

Masjid Asy-Syakirin melambangkan kebesaran Islam dan kepentingannya sebagai agama rasmi di Malaysia berdasarkan kedudukannya yang terletak di antara dua buah bangunan yang tertinggi di dunia

Reka bentuknya disempurnakan oleh arkitek yang turut bertanggungjawab dalam pembinaaan pembangunan kawasan di KLCC.

Tingkat bawah masjid mempunyai keluasan yang dapat mengisi sehingga seribu jemaah lelaki.

Bahagian ini juga dilengkapi dengan sistem projektor bagi membolehkan khutbah yang dibaca oleh khatib di tingkat dua, turut dinikmati oleh jemaah di ruangan bawah.

Motif bintang di siling bahagian bawah dipenuhi dengan motif ukiran tradisional Islam yang mempunyai pengaruh dari Uzbekistan.

Pada waktu malam kubah masjid yang bercahaya ini akan tambah bersinar dengan latar belakang Menara Berkembar Petronas yang dipenuhi lampu. Ia mewujudkan satu senario yang indah sekali.

Bahagian dalam kubah dihiasi dengan siling gipsum. Sementara bahagian gegelangnya dipenuhi ukiran yang mempunyai pengaruh Uzbekistan dan kaligrafi.

Turut menghiasi bahagian gegelang ini ialah ayat-ayat suci al-Quran dan nama-nama Allah atau Asmaul Husna.

Dinding dewan yang menghadap Mihrab pula dihiasi dengan ukiran dan kalamullah, yang dihasilkan dengan tangan yang begitu halus dan terperinci, membuatkan sesiapa yang mengamatinya pasti terpukau.

Ukiran yang terletak di bahagian ini merupakan hasil tangan 10 orang tukang ukir dari Uzbekistan yang turut terlibat menghasilkan ukiran di Masjid Putrajaya.

Mohd. Abd. Nasir berharap masjid ini dapat menjadi pusat kegiatan masyarakat dan mengalu-alukan apa jua idea serta program untuk dilaksanakan di masjid itu.

Sepanjang Ramadan, pengurusan Masjid Asy-Syakirin menyeru umat Islam beramal ibadat di samping mengerjakan ibadat-ibadat sunat lain bagi mendapatkan keberkatan di dunia dan akhirat.

Lantaran itu, katanya, umat Islam perlu mengambil kesempatan untuk mendekatkan diri kepada Allah bagi membina keimanan dan kekuatan diri sebagai hamba-Nya.

Apatah lagi keimanan seseorang muslim itu boleh bertambah dan berkurang. Jadi, dengan kedatangan Ramadan kita perlu beriman dan bertakwa untuk membina kembali keimanan diri.

Sementara itu seorang jemaah, Wahyudin Suwarlam, 46, berkata, tambahan ruang solat itu dapat memberi keselesaan kepada jemaah untuk menunaikan solat.

‘‘Sebelum ini, semasa solat Jumaat, kebanyakan jemaah terpaksa bersembahyang di kaki lima masjid akibat ruang solat tidak mencukupi,’’ ujarnya.

Jemaah lain, Abdul Wahid Musbah, 50, berkata, pengubahsuaian masjid itu sangat praktikal untuk penganjuran aktiviti keagamaan yang lebih selesa.

“Selain sebagai tempat beribadat, masjid ini juga mampu menjana aktiviti keilmuan, ceramah, muzakarah dan tempat untuk melaksanakan urusan seperti perkahwinan dan kaunseling,” katanya.

- UTUSAN

Tune Talk sasar sejuta pelanggan setahun

Syarikat pengendali talian prabayar kadar murah, Tune Talk Sdn. Bhd. (Tune Talk) yakin untuk mencatatkan jumlah pelanggan seramai sejuta orang dalam tempoh setahun ia beroperasi.

Sejak dilancarkan pada 19 Ogos lalu, Tune Talk merekodkan bilangan pelanggan lebih 20,000 orang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jason Lo berkata, beliau yakin untuk mencapai sasaran berkenaan berikutan sambutan yang memberangsangkan.

Sehingga kini, jelasnya, seramai 1,000 orang menjadi pelanggan Tune Talk setiap bulan dan ia merupakan satu petanda yang baik bagi mencapai sasaran tersebut.

''Kami turut menyasarkan bilangan pelanggan Tune Talk meningkat kepada 3,000 hingga 5,000 orang sehari bermula bulan ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah pemenang peraduan Chief Talker Tune Talk di sini baru-baru ini.

Nur Hamidi Baharuddin diumumkan sebagai pemenang Chief Talker Tune Talk yang menerima wang peruntukan sebanyak RM50,000 serta panggilan percuma selama setahun.

Wang yang dimenangi Nur Hamidi akan disalurkan ke dalam projek pembinaan asrama desa di Sabah.

Projek tersebut bernilai RM250,000 dan ia akan dibina di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fuad Stephens, Kiulu.

Manakala pemenang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 berserta panggilan percuma setahun pula ialah Nazri Hassan.

Selain Nur Hamidi dan Nazri, terdapat 10 pelanggan yang memenangi hadiah mingguan berupa baucar e-gift Air Asia bernilai RM200 seorang.

Bercakap mengenai pengedar pek kad sim Tune Talk, Lo berkata, pihaknya kini mempunyai 3,000 pengedar yang berdaftar.

Katanya, pihaknya menyasarkan pengedaran pek kad sim tersebut ke kawasan utama seperti bandar dan juga di luar bandar.

"Pada pertengahan Oktober depan, kami yakin bilangan pengedar Tune Talk adalah seramai 6,000 orang,'' ujarnya.

Sehingga kini, pek kad sim Tune Talk turut dijual melalui 10,000 hingga 15,000 pengedar di seluruh Malaysia.

Tune Talk, menurut Lo, dalam proses perbincangan dengan tiga buah syarikat rangkaian telekomunikasi di Singapura dan sebuah di Indonesia untuk bekerjasama dalam projek perayauan antarabangsa (roaming).

Katanya, setakat ini, katanya, syarikat telekomunikasi M1 dan Starhub dari Singapura menunjukkan minat dalam kerjasama tersebut manakala di Indonesia, Excelcomindo.

Beliau menjangkakan untuk menandatangani perjanjian persefahaman dengan syarikat-syarikat telekomunikasi berkenaan pada Mac tahun depan.

"Perancangan kami ini adalah untuk kemudahan pelanggan-pelangan Tune Talk yang membolehkan pelanggan menikmati kadar panggilan rata domestik walaupun berada di luar negara,'' ujarnya.

- UTUSAN

Nabi SAW disakiti kaum Musyrikin

Kalau dahulunya kaum kafir Quraisy menentang Rasulullah SAW tanpa perlu menyentuh tubuh badan baginda. Bahkan sehelai bulu roma baginda pun, mereka tidak akan cuba usik.

Cukup dengan kempen memburuk-burukkan baginda, dirasakan Nabi Muhammad pasti akan menyerah kalah. Ini kerana dengan cara kempen seperti itu, diyakini boleh memberi tekanan kepada ketahanan mental sehingga menyebabkan seseorang itu tidak lagi mampu mempertahankan apa yang cuba diperjuangkan.

Namun mereka cukup marah apabila strategi tersebut langsung tidak memberikan kesan kepada nabi SAW. Malah semakin hebat mereka memburukkan baginda semakin hebat jugalah baginda meneruskan usaha menyampaikan dakwah-dakwah agama Allah.

Malah baginda tidak teragak-agak untuk terus meminta kaumnya supaya berhenti dari menyembah berhala serta meninggalkan segala kekufuran dan kehidupan yang selama ini penuh dengan kesesatan.

Akibat tidak lagi tertahan dengan 'kedegilan' Nabi Muhammad itu, maka akhirnya mereka bersetuju untuk mencederakan tubuh badan baginda.

Menurut al-Bukhari di dalam sahihnya bahawa Amru Ibn Al 'As menceritakan, pernah berlaku pada suatu hari, ketika baginda berada berdekatan dengan batu Hajaral Aswad di Kaabah, secara tiba-tiba datang seorang pemuda Arab Quraisy, 'Aqabah bin Abi Muit (La'natullah) menyerang baginda. Pemuda itu terus menjerut leher Nabi Muhammad dengan sehelai kain.

Jerutan yang begitu kuat itu menyebabkan Nabi Muhammad tidak dapat bernafas dan hampir-hampir meragut nyawa baginda.

Mujurlah ketika itu sahabat baik baginda, Abu Bakar As Siddiq kebetulan lalu di tempat kejadian dan terus menyelamatkan Nabi Muhammad dari terus menjadi mangsa jerut Aqabah.

Abu Bakar begitu marah dengan cubaan Aqabah itu lalu menjerkah dengan nada yang tinggi; "Adakah kamu mahu membunuh seseorang yang hanya berkata: Tuhanku ialah Allah?"

Namun peristiwa ini sama sekali tidak mematahkan semangat baginda dan menyerahkan kepada Allah supaya dirinya tidak diapa-apakan lagi di masa hadapan.

Namun dalam satu peristiwa lain, nyawa baginda benar-benar hampir melayang, kali ini di tangan musuh Islam yang paling jahat, si Abu Jahal. Abu Jahal yang dikatakan bukanlah orang lain kepada baginda tetapi yang selama ini duduk berjiran dengan Nabi Muhammad.

Terlalu geram

Mungkin akibat terlalu geram yang tidak boleh ditahan-tahan lagi, Abu Jahal tanpa berfikir panjang kecuali ditambah lagi dengan hasutan syaitan, dia cuba menghempaskan sebongkah batu yang besar ke atas kepala Nabi Muhammad.

Satu tindakan untuk terus membunuh baginda setelah baginda dianggap menjadi satu ancaman besar kepada golongan kaum Quraisy Mekah.

Sebagai kekasih-Nya, mujur baginda dapat diselamatkan oleh Allah dalam cubaan jahat itu, malah Abu Jahal terus mencampakkan batu itu dan lari lintang pukang dengan wajah yang penuh ketakutan.

Apabila ditanya apa yang telah berlaku oleh kawan-kawannya yang lain, Abu Jahal dengan keadaan termengah-mengah itu pun memberitahu: "Ketika aku hampir-hampir hendak mencampakkan batu besar itu ke arah Muhammad, secara tiba-tiba datang seekor unta yang sangat besar dengan mengeluarkan bunyi menakutkan sambil mengangakan mulut sebesar-besarnya seperti hendak menelan aku!

"Apa lagi, lintang pukang aku terpaksa lari menyelamatkan diri. Pelik, tidak tahu aku dari mana arah datangnya unta yang sangat besar itu. Tiba-tiba sahaja ia muncul. Maka terselamat lagi nyawa si Muhammad dari tangan ku ini!" katanya.

Namun kawan-kawannya itu tidak dapat menyebelahi apa lagi simpati terhadap nasib yang menimpa Abu Jahal kecuali mereka mentertawakannya seperti hendak pecah perut.

Ini menyebabkan Abu Jahal semakin marah dan terus menaruh dendam dan tetap bertekad untuk menghapuskan Nabi Muhammad.

Sebuah lagi kisah seorang kafir Quraisy yang melakukan satu cubaan jahat terhadap Nabi Muhammad, iaitu Uqbah Abi Mu'it. Pada suatu hari ketika Nabi Muhammad sedang bersujud ketika melakukan ibadat solat, tiba-tiba datang si Uqbah dan terus meletakkan seketul besar perut unta ke atas belakang baginda.

Akibat terlalu berat, baginda tidak dapat bergerak atau bangun dari sujud apabila perut haiwan itu diletakkan di belakangnya. Sehinggalah datang puteri baginda, Fatimah Az Zahra yang terkejut melihat keadaan ayahandanya itu lalu terus membuang perut itu dan membersihkan belakang baginda dari sisa-sisa kotoran organ haiwan itu.

Sambil menangis sedih, Fatimah kemudiannya berdoa untuk orang yang melakukan kejahatan terhadap ayahandanya dan Nabi Muhammad sendiri turut sama-sama berdoa dengan sabda baginda yang bermaksud;

"Ya Allah, Ya Tuhanku, aku serahkan kepada-Mu urusan membalas ke atas muka-muka Quraisy yang cuba menghalang dari dakwah mu tersebar, Abu Jahal bin Hisyam, Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, Uqbah bin Abi Muit dan Umaiyyah bin Khalaf".

Begitupun perbuatan untuk menyakiti baginda tidak pernah terhenti. Semakin kuat Islam bertapak, semakin banyak tindakan seperti itu diambil terhadap baginda.

Kisah Ummu Jamil misalnya, bagaimana isteri kepada Abu Lahab (nama sebenar Abdul Uzza bin Abdul Mutalib namun sering dipanggil Abu Utaybah dan dan dipanggil Abu Lahab kerana dikatakan mempunyai wajah yang cerah) itu atau lebih tepat ibu saudara Nabi turut begitu memusuhi anak saudaranya sendiri.

Ummu Jamil atau nama sebenarnya Arwah (sesetengah dieja Arwa) binti Harb bin Umayyah, adik kepada Abu Suffian adalah ketua golongan wanita Quraisy yang berpengaruh, begitu menyokong tindakan suaminya dengan beliau sendiri melakukan pelbagai perkara buruk kepada Nabi Muhammad.

Beliau tidak sahaja selalu mencerca baginda di sana sini, tidak cukup itu Ummu Jamil sering menyakiti Nabi SAW dengan selalu menaburkan duri-duri tajam dan melemparkan segala macam kekotoran di atas jalan yang sering menjadi laluan harian baginda.

Bukan sedikit yang cuba menyakiti Nabi Muhammad secara fizikal termasuk pelbagai cubaan untuk membunuh baginda itu sendiri. Sedangkan jika perkara ini dilakukan, sama ada menyakiti baginda secara perkataan mahupun perbuatan, maka di sisi Islam, ia merupakan perkara yang sangat terkutuk dan dimurkai Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, maka Allah akan melaknati mereka (mengutuk) di dunia dan di akhirat dan akan disediakan bagi mereka akan azab seksa yang menghinakan. (al-Ahzab: 57)

Firman-Nya lagi: ...dan mereka yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang pedih. (at-Taubah: 61)

Laknat Allah terhadap mereka yang cuba menyakiti Rasulullah tetap akan terpakai sampai bila-bila, hatta pada hari ini walaupun baginda tidak lagi dapat disakiti pada tubuh badannya.

Musuh-musuh Islam sama ada yang di kalangan bukan Islam dan dalam kelompok Islam itu sendiri yang cuba menyakiti baginda dengan apa juga cara terutama membuat pelbagai bentuk penghinaan tidak akan terlepas dari mendapat balasan pedih dari Allah.

Sekalipun penghinaan dibuat atas nama kejahilan atau ikut-ikutan, masih itu juga bukan alasannya bagi seseorang itu menghina baginda.

Malah lebih bahayanya pada hari ini, atas nama kekuatan ilmu untuk memerangi Islam, ramai yang masih mengkaji bagi mencari sudut-sudut kelemahan Nabi Muhammad sebagai alasan untuk menghina baginda.

Mereka suka mengelirukan orang ramai dari fakta-fakta sejarah baginda. Namun kita yakin segalanya akan kembali seperti yang berlaku di Mekah pada awal penyebaran Islam itu sendiri.

Ini apabila golongan Musyrikin sendiri tetap menghadapi kesulitan di dalam mereka mengambil pelbagai tindakan terhadap baginda Nabi Muhammad.

Ini kerana 'musuh' yang mereka berdepan adalah seorang yang sangat benar, sangat amanah, sangat mulia akhlaknya yang tiada tandingannya dalam sejarah nenek moyang mereka.

Oleh itu terpaksalah mereka berhempas pulas mengerah kekuatan akal bagi menyekat baginda dari menarik lebih ramai kalangan penduduk Arab meninggalkan agama nenek moyang.

Ini memberi ilham kepada mereka untuk menyeksa para pengikut baginda sendiri!

- UTUSAN

Kita diam ‘diganyang’ Indonesia?

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52 buat Malaysia negara kita yang tercinta. Saya sebagai warganegara Malaysia berasa bertuah dan berbangga menjadi warga negara ini.

Saya tinggal di Johor dan berpeluang untuk menonton siaran beberapa stesen televisyen dari Indonesia.

Saya terpanggil untuk menulis di ruangan ini kerana berasa tersinggung dengan sikap rakyat negara jiran (Indonesia) terhadap beberapa isu bersangkutan dengan negara kita. Dahulu semasa kecoh isu pembantu rumah, rata-rata majikan di Malaysia dituduh sebagai pendera.

Baru-baru ini, saya menonton berita dari negara tersebut yang mempaparkan mengenai Malaysia menciplak beberapa budaya dari negara tersebut. Antaranya ialah lagu Negaraku, tarian tradisional dan nama-nama tempat di Malaysia. Dalam berita itu dipaparkan demonstrasi bantahan rakyat negara itu terhadap Malaysia. Mereka menghina Malaysia dengan mengoyakkan bendera Malaysia.

Mereka mendakwa lagu Negaraku diciplak daripada lagu mereka. Saya meminta Kementerian Kesenian dan Warisan ambil perhatian tentang isu ini.

Yang sangat menyakitkan hati saya ialah kenyataan yang dinyatakan oleh penyampai itu ialah ‘Malaysia ketandusan budaya’. Turut dipaparkan ialah sambutan Hari Kemerdekaan negara kita. Imej-imej yang sengaja ditunjukkan ialah air muka mereka yang hadir seolah-olah sedang berkabung serta tidak bersemangat.

Media negara itu sengaja memburukkan hubungan kedua-dua negara dengan mensensasikan isu-isu bersangkutan Malaysia.

Selain itu, media itu mempaparkan nama-nama beberapa tempat di Malaysia terutamanya di Johor yang sama dengan nama tempat di negara itu. Saya terkilan dengan apa yang dipaparkan. Adakah mereka lupa yang kita adalah serumpun?

Adakah mereka lupa bahawa rakyat negara itu sejak berkurun lamanya tidak henti-henti membanjiri negara ini sejak zaman Tanah Melayu sehingga zaman Malaysia ini?

Suatu ketika dahulu, bangsa mereka jugalah yang berhijrah untuk menikmati kekayaan negara dan ramai yang terus menetap di sini terutamanya di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Budaya dan manusia mana boleh dipisahkan. Sudah tentulah mereka yang datang ke sini suatu ketika dahulu membawa budaya mereka bersama mereka. Keturunan mereka juga terus berkembang di Tanah Melayu. Rakyat mereka terus berbondong-bondong datang mencari rezeki buat keluarga mereka yang masih dibelenggu kemiskinan di negara mereka.

Di sini saya ingin mencadangkan agar stesen televisyen mengurangkan import program dari negara tersebut. Saya tidak pernah melihat satu pun program dari Malaysia yang ditayangkan di stesen televisyen mereka.

Kenapa kita perlu memenuhkan tayangan televisyen negara kita dengan sinetron serta cerita tahyul mereka.

Pada pendapat saya, program sebegini tidak membina minda penonton. Jalan cerita yang dipapar sungguh klise; temanya ketamakan merebut harta serta pengkhianatan.

Orang kaya bermewah-mewah serta bermegah dengan pangkat keturunan dan kebanyakan suka mencerca sesuka hati. Jika itulah realitinya dalam masyarakat Indonesia, perlukah kita ikut?

RAKYAT MALAYSIA
JOHOR BAHRU

Buku - How to Become a Good and Successful Medical Student

Judul: How to Become a Good and Successful Medical Student
Penulis: Prof. Dr. Muhaya Mohamad
Penerbit: Rasidah Salleh
ISBN: 983-42676-0-6
Pengulas: AZMAN ANUAR

Buku ini ditujukan khas kepada penuntut perubatan dan pelajar yang menanam cita-cita untuk menjadi doktor. Tetapi bukan semua mereka boleh berjaya menjadi doktor. Ada juga yang akhirnya berpendapat bidang perubatan tidak secocok dengan diri mereka.

Juga bukan semua calon yang mencapai tahap cemerlang akademik boleh menjadi doktor. Sebab, profesion ini memerlukan seorang yang prihatin terhadap diri orang lain dan sentiasa gembira untuk memberikan bantuan.

Hakikatnya profesion doktor bukan tugas mudah. Ia kerja sukar kerana seseorang itu perlu mendalam ilmu pengetahuannya mengenai anggota tubuh manusia. Dengan kepakaran ilmu tentang tubuh manusia, baru dia mampu mengurangkan kesakitan manusia lain.

Sebelum menyembuhkan orang lain, perlunya seseorang menyembuhkan terlebih dahulu dirinya daripada segi fizikal, spiritual, emosi dan sosial.

Pelajar perubatan perlu melatih diri menjadi seorang yang berfikiran kritikal. Sikap ini amat diperlukan untuk menjadi doktor.

Kita boleh ibaratkan doktor seperti penyiasat persendirian yang diberi petunjuk-petunjuk daripada satu simptom melalui aduan pesakit. Oleh itu doktor bertanggungjawab mengkaji petunjuk seterusnya bagi mendapatkan diagnosis melalui pengetahuan asas sains yang digabungkan dengan petunjuk klinikal untuk merawat pesakit.

Buku motivasi oleh pakar perunding mata, Prof. Dr. Muhaya Mohamad ditulis berdasarkan pengalamannya sendiri serta pengamatannya terhadap pelajar perubatan. Oleh itu beliau menulis buku ini untuk membantu pelajar perubatan daripada jatuh ke dalam perangkap ketika bergelar pelajar.

Dengan membaca buku ini diharap dapat mengurangkan dan menangani suasana stres dalam tempoh lima tahun pelajar mengejar cita-cita menjadi doktor.

Cabaran bermula di tahun satu apabila wujud pelbagai ‘perangkap’ yang dihadapi oleh pelajar perubatan yang baru. Kebanyakan mereka adalah pelajar terbaik di peringkat sekolah menengah tetapi mereka tidak sedar perlu bersaing dengan 200 pelajar terbaik lain ketika di fakulti perubatan.

Ramai yang tidak sedar bahawa mereka perlu belajar subjek baru yang memerlukan mereka panduan untuk memahaminya. Jika pendekatan mempelajarinya salah, ia akan menjadi sukar untuk mereka memahami apa yang dipelajari.

Dalam situasi tertentu, ada pelajar yang memasuki fakulti perubatan diberikan kereta dan telefon bimbit dan tinggal menyewa dengan rakan lain. Budaya hidup berkumpulan ini membiasakan diri mereka keluar makan malam pada 8 malam dan pulang 10 malam, selepas itu baru mereka mula hendak belajar.

Mereka teruskan kebiasaan ini sehinggakan semua rakan kumpulan mereka gagal dalam peperiksaan tahun pertama selepas beberapa pengulangan dan akhirnya terpaksa bertukar ke fakulti lain.

Dr. Muhaya memberikan banyak petua untuk pelajar perubatan. Jangan sekali-kali ‘ponteng’ kuliah kerana hilang satu jam kuliah, ia tidak mampu diganti dengan lima jam belajar sendirian. Ada juga masalah pelajar tidak tahu di mana patut bermula, terlampau banyak hendak dipelajar sedangkan masa terlalu singkat.

Terdapat juga pelajar yang mendapati subjek terlampau susah dan sukar untuk memahaminya. Ada yang cuba membaca, memahami tetapi tidak dapat mengingatkannya. Malah ada yang menyangka sudah memahami, ada yang gemar mengulang kaji di atas katil, saat-saat terakhir dan sanggup bersengkang mata menjelang hari peperiksaan. Semua pendekatan dalam mengikuti pengajian perubatan ini tidak begitu betul.

Buku bagaimana menjadi pelajar perubatan yang baik dan berjaya ini mendedahkan petua-petua untuk mengikuti pengajian ini dengan cara yang berkesan.

Pengajian perubatan tidak sama dengan bidang lain. Ini kerana perubatan adalah satu bidang yang ‘setiap baris yang dibaca dan setiap fakta asas yang dipelajari’ akan digunakan dalam peperiksaan dan amalan harian.

Buku motivasi Dr. Muhaya ini menurunkan kaedah dan pendekatan untuk mengulang kaji pelajaran dan cara-cara menjawab soalan. Tidak kurang juga didedahkan masalah-masalah pelajar dalam menjawab soalan. Gagal dalam peperiksaan bukan bermakna kecundang tetapi ia melengah-lengahkan untuk mencapai kejayaan.

Perubatan adalah urusan yang tidak boleh ada kesilapan. Oleh itu aset yang perlu ada pada pelajar perubatan ialah atitiut atau sikap, ilmu pengetahuan dan kemahiran. Antara ketiga-tiga aset itu yang paling utama ialah sikap. Ini kerana sikap akan menentu penerimaan ilmu dan kemahiran.

Dr. Muhaya merupakan bekas pelajar perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan penerima pertama Anugerah Toh Puan Rahah dari UKM pada 1982 kerana pencapaian cemerlang dalam akademik dan personaliti.

Sungguhpun buku ini diterbitkan empat tahun lalu, tetapi ia suatu panduan yang menyeluruh kepada pelajar perubatan hari ini dan akan datang. Malah pendekatannya boleh dipraktikkan dalam bidang ilmu yang lain.

Jangan cemari Ramadan, Syawal dengan dentuman mercun

Trajedi kehilangan dua batang jari yang dialami oleh seorang remaja di Marang, Terengganu akibat mercun kelmarin bukan perkara luar biasa. Ia adalah lanjutan, kesinambungan serta pertambahan jumlah kes ‘kerja kreatif’ anak-anak Melayu kita.

Asal tiba musim raya, pasti ada kes akibat kecederaan akibat bermain mercun – buatan sendiri. Kudung tangan, buta mata dan kecederaan kekal menjadi sinonim dengan musim perayaan.

Semakin dekat dengan raya semakin ramai yang cedera. Namun perkara seperti itu tidak berlaku sewaktu perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Krismas dan perayaan lain.

Sukar untuk difahami dan payah dicari sebabnya, kenapa sebaik sahaja bermula puasa, maka di sana sini akan terdengar dentuman mercun. Ia termasuk meriam buluh malah tangki minyak kenderaan pun dijadikan bahan letupan untuk bunyi yang lebih kuat.

Paling malang, bukan setakat ‘pencipta’ bahan letupan yang cedera tetapi orang yang tidak ada kena mengena juga sesekali menerima padahnya.

Walaupun penjualan mercun dilarang dan mereka yang terbabit membekalkannya boleh ditangkap, didakwa dan dihukum, namun gema letupan mercun masih kedengaran. Ia berbunyi seawal hari pertama puasa. Keadaan semakin membingitkan apabila semakin dekat hari raya.

Kekhusyukan bersolat sunat terawih boleh terganggu oleh bunyi dentuman mercun ini.

Maknanya dalam keadaan terdedah kepada kemungkinan ditangkap, didakwa dan dihukum, masih ada yang sanggup menanggung risiko. Mereka masih sanggup menyeludup, mengedar, membekal dan menjual mercun. Semuanya kerana keuntungan berlipat ganda.

Keadaan itu mungkin ditambah oleh sikap sesetengah ibu bapa yang tidak cuba memotivasikan anak masing-masing tentang bahaya bermain mercun. Apatah lagi jika menggunakan ‘kreativiti’ sendiri mencipta bahan letupan. Ia menyebabkan di kalangan anakanak menganggap dentuman mercun sebagai antara faktor yang boleh memeriahkan sambutan raya.

Keadaan itu tetap berlaku di negara ini walaupun ia bukan budaya Islam untuk menyambut Syawal.

Seharusnya kita perlu mendidik anak-anak agar mereka sedar bahawa apa yang dituntut oleh Islam ialah memperbanyakkan takbir dan tasbih sepanjang Ramadan dan ketika menyambut Syawal. Kita juga digalakkan saling kunjung-mengunjungi dan bermaaf-maafan.

Walaupun sambutan raya dengan letupan mercun dipopularkan oleh masyarakat Cina di negara ini, kaum itu mematuhi arahan kerajaan. Sekurang-kurangnya anak-anak mereka tidak bermain mercun buatan sendiri.

Adalah sesuatu yang pelik dan janggal apabila tradisi itu ‘dibuang’ oleh pemilik asalnya tetapi kini menjadi ‘warisan’ kepada orang Melayu beragama Islam.

Pada pendapat saya, usaha menjadikan negara ini “mercun sifar” mungkin boleh dilakukan jika hukuman lebih keras dan tegas dikenakan ke atas mereka yang terlibat.

Semua anggota masyarakat juga seharusnya bersama-sama membantu kerajaan membanteras penjualan mercun.

Jangan lagi berkompromi dengan pembekal dan peruncit mercun. Sekiranya ada maklumat, kita seharusnya segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Semoga kerjasama semua pihak akan mampu mengurang dan seterusnya memastikan tiada lagi yang menjadi mangsa mercun pada sambutan Ramadan dan Syawal di tahun-tahun mendatang.

E-MAIL UGUTAN DARI INDONESIA

Di Bawah ni adalah kandungan email ugutan dari arie.emo182@gmail.com a.k.a Indonesia-Cybernet-Bersatu.
Kenapa la mereka ni dengki sangat dengan Malaysia?

"ULTIMATUM UNTUK MALAYSIA ”

PERSATUAN HACKER-PROGRAMMER " INDONESIA CYBERNET"

BERIKUT INI ADALAH TARGET-TARGET UNTUK GANYANG MALAYSIA = MALING SIA,

LEWAT NETWORK, GOOGLE, CYBERCRIME, SPYWARE, HACKER, BLOGS, INTERNET...


PERANGILAH MUSUHMU si MALAYSIA (srigala berbulu domba) FUCK SEMUANYA:

MALAYSIA atau yang lebih pantas disebut "MALING SIA"

DASAR BANGSA PENCURI...!!!

KALAU MEMANG BERANI LAWAN AYO " INDONESIA CYBERNET"

JANGAN CUMA BISANYA MENCURI...!!!

HADAPI INDONESIA KALAU BERANI, NYATAKAN PERANG...!!!

ATAU TUNGGU SAJA PASTI AKAN ADA SERANGAN DARI DALAM BANGSA MU SENDIRI...!!!

JARINGAN NETWORK MALAYSIA AKAN DI BLOCKED SEMUA DENGAN VIRUS MUTAHIR KAMI.

MAKA, BERSIAPLAH UNTUK MENERIMA PERNYATAAN PERANG DARI " INDONESIA CYBERNET"

TIDAK AKAN ADA AMPUN... SAMPAI JUMPA DI PERTEMPURAN KITA


DENGAN TIDAK HORMAT,

" INDONESIA CYBERNET"


p/s: Kesat sungguh kata2 mereka yang irihati nie...
Semoga Allah melindungi Malaysia dr sebarang ancaman...aminn..

Ahad, September 06, 2009

Antara bakti Malbatt dan kesengsaraan rakyat Lebanon


Kira-kira 11 tahun lalu, Elias John Abou Nakoul yang ketika itu berusia 15 tahun meluangkan masa beberapa hari di rumah datuknya di Marjayoun sempena musim cuti sekolah.

Pada usia tersebut, aktiviti hariannya serupa dengan remaja Lebanon lain yang gemar bermain bola sepak, belajar, atau sekadar menghabiskan masa di pawagam untuk menonton filem-filem tayangan terbaru.

Namun pada 25 Jun 1998, dia terpaksa melupakan minat untuk bermain bola sepak serta beberapa hobi lain buat selama-lamanya.

''Semasa di rumah datuk, saya rasa terpanggil untuk membaiki tangki serta alat pemanas air yang rosak sejak beberapa hari di luar rumah.

''Ketika menghampiri tangki air tersebut, kaki saya terpijak periuk api tinggalan perang saudara atau perang dengan Israel beberapa tahun sebelum itu,'' katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Koukaba, kira-kira dua jam dari Beirut baru-baru ini.

Semasa kejadian itu, Elias hanya mampu meraung menahan kesakitan, sambil merenung kaki kirinya yang hancur teruk.

Beberapa penduduk kampung yang berada berdekatan meluru ke arahnya untuk menolong apa yang termampu.

Namun selepas beberapa saat, Elias pengsan akibat kehilangan darah serta kesakitan yang melampau.

Menurutnya, kejadian itu serta keadaannya yang kini kudung sebelah kaki merubah hidupnya secara total.

Daripada seorang remaja biasa, Elias bertukar menjadi lelaki yang tabah serta tidak mudah berputus asa.

Kemalangan itu juga tidak menghalangnya untuk mengejar cita-cita belajar di salah sebuah universiti terkemuka di Beirut dalam bidang kejuruteraan teknikal.

''Pada tahun pertama kejadian itu, ia memang terlalu sukar tetapi kini saya merasakan ada rahmat di sebaliknya," jelasnya.

Beliau yang kini mengusahakan kafe sendiri di Koukaba, sebuah perkampungan kecil dengan bilangan penduduk sekitar 400 orang mengambil keputusan beralih bidang pekerjaan kerana kesukaran mencari kerja.

Pergolakan

Kisah lelaki berusia 26 tahun ini sebenarnya merupakan cerita biasa yang boleh didengari daripada para penduduk di selatan Lebanon, kawasan yang menyaksikan pergolakan dalaman sejak dahulu lagi.

Kewujudan puak-puak berfahaman sunah, syiah, Druze, Kristian Maronite dan beberapa kumpulan lain di kawasan itu sebelum penubuhan Lebanon lagi menyaksikan rundingan dan persetujuan sukar dicapai, lalu memanjangkan lagi tempoh sesuatu konflik.

Merumitkan lagi keadaan, wilayah yang dikuasai oleh parti serta elemen bersenjata Hizbullah itu bersempadan dengan Israel.

Umum mengetahui, Israel tidak mengiktiraf parti Hizbullah serta mengisytiharkan elemen bersenjatanya sebagai sebuah pertubuhan pengganas.

Di sini, sebuah batalion Angkatan Tentera Malaysia (Malbatt) berperanan sebagai pasukan pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL).

Sejarah

Menyingkap sejarah penubuhan UNIFIL, ia diwujudkan sejak 1978 bagi memastikan pengunduran penuh tentera Israel dari wilayah-wilayah selatan Lebanon yang mereka duduki.

Selain itu, ia juga bagi membantu kerajaan Lebanon berkuasa semula ke atas kawasan-kawasan tersebut.

Namun selepas perang Israel-Lebanon/Hizbullah pada 2006, kekuatan UNIFIL ditambah antaranya bagi meleraikan pertelingkahan dalaman di antara puak-puak di selatan Lebanon dan memberi bantuan kemanusiaan kepada masyarakat awam di sana.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 30 negara pasukan tentera asing yang beroperasi di kawasan-kawasan seperti Marjayoun, Koukaba, Hasbaiya, Ebel Elsaki dan At Tiri.

Mengenai penugasan tentera Malaysia di sana, Elias berkata, mereka merupakan individu-individu yang profesional serta tidak mendatangkan sebarang masalah.

Menurutnya, anggota-anggota serta para pegawai tentera Malaysia berusaha lebih gigih daripada penduduk tempatan dalam usaha menjaga keamanan setempat.

''Selain membersihkan bom-bom serta periuk api tinggalan perang dahulu, tentera-tentera Malaysia juga giat menghubungkan jalinan mesra dengan kami apabila sering melawat dan bertanya khabar.

''Ternyata, kehadiran mereka menjadikan kawasan ini lebih aman dan jumlah konflik setempat kini semakin berkurangan,'' tegas Elias.

Penulis kemudiannya bertanyakan tentang harapannya dalam penglibatan Malbatt di sana.

Di ketika itu, beliau kelihatan terdiam dan memikirkan sesuatu.

''Saya mahu Malbatt berada lebih lama di sini kerana kami berasa sungguh selamat... Tetapi saya juga bermohon kepada tuhan agar Malbatt akan meninggalkan Lebanon suatu hari.

''Bukannya ingin berlaku sombong, tetapi pengunduran tentera asing penting demi integriti dan kebebasan kami'' katanya mengakhiri bicara.

- MINGGUAN MALAYSIA

Recent Posts