Khamis, September 03, 2009

Tawan KLCC paling sukar - Robert

Spiderman Perancis, Alain Robert yang berjaya menakluki Menara Berkembar Petronas semalam menyifatkan bangunan pencakar langit setinggi 452 meter itu merupakan antara yang paling sukar pernah dipanjatnya.

Namun, kesukaran yang dimaksudkan oleh beliau bukanlah dari segi teknikal, sebaliknya dua kali cubaannya sebelum itu, pada 1997 dan 2007 - dihalang pihak berkuasa.

Ternyata Robert, 47, cukup berpuas hati dengan pencapaiannya itu kerana ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi ini, dia 'secara rasmi' mengumumkan misinya menakluki puncak menara kelima tertinggi dunia itu sejak 12 tahun lalu tamat.

"Anda tidak akan dapat lagi melihat kelibat Spidey memanjat Menara Berkembar Petronas kerana misi sudah tamat.

"Saya cukup gembira kerana setelah lebih satu dekad, akhirnya dapat juga menjejakkan kaki ke Menara Berkembar Petronas," katanya sambil tersenyum sebelum dibawa ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta untuk dituduh atas kesalahan menceroboh.

Robert semalam menggemparkan dunia apabila berjaya menawan puncak Menara Kembara Petronas buat kali pertama setelah gagal dalam dua cubaan sebelum ini.

Bagaimanapun, sebaik sahaja menuruni salah satu puncak menara berkenaan, iaitu Menara Dua, dia ditahan pihak keselamatan di tingkat 88 sebelum diserahkan kepada polis kira-kira pukul 8.20 pagi.

Sementara itu, ditanya bagaimana beliau memanjat ke atas bulatan puncak menara, Robert memberitahu, segala kekuatan yang dimiliki itu ada pada sepasang tangannya.

"Saya sekadar menggunakan kedua-dua tangan untuk memanjat bulatan itu. Mungkin kekuatan dan kemahiran tangan luar biasa ini saya miliki membezakan saya dengan yang lain," kata Robert yang kelihatan tenang tetapi tidak bermaya dan lesu kerana dikatakan tidak tidur lena dalam lokap sepanjang malam tadi.

Jelas Robert, memanjat bangunan tinggi adalah kegemarannya sejak berusia berusia 12 tahun dan mengakui ia dilakukan untuk keseronokan semata-mata tanpa niat lain.

"Saya suka Malaysia. Terima kasih Malaysia. Memanjat adalah kegemaran saya, ketagihan saya," katanya.

- UTUSAN

Layan tuntutan ADUN atau keluar Umno

Sembilan orang wakil rakyat Terengganu mahu tuntutan mereka ditunaikan sekiranya Umno mahu mengelakkan mereka melompat kepada PKR.

ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata wakil-wakil rakyat berkenaan perlu dilantik sebagai pengerusi penyelaras DUN masing-masing dan juga kuasa untuk menamakan anggota-anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Kedua-dua tuntutan ini, sekiranya ditunaikan, boleh memulihkan semula hubungan antara pemimpin-pemimpin Umno di Terengganu, katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Wakil rakyat Umno kini berpecah dua susulan pelantikan mengejut Datuk Ahmad Said sebagai menteri besar, menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, selepas pilihan raya umum 2008.

Nawi menambah, tuntutan berkenaan akan disuarakan kepada Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan mengikuti Program Memperkasa Umno Semula di Kuala Berang, esok.

Katanya, program yang melibatkan ahli-ahli jawatankuasa lapan bahagian di Terengganu disusun bagi merapatkan semula hubungan antara penyokong Ahmad dengan penyokong Idris.

Selain Muhyiddin, pengerusi perhubungan Umno negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga naib presiden parti, akan menyertai program bertemu rakyat di Setiu, esok.

Ditanya sama ada program berkenaan boleh membuahkan hasil, Nawi berkata ia mungkin berjaya sekiranya pucuk pimpinan mengambil kira tuntutan yang dikemukakan.

"Kena ada kesungguhan dari kedua-dua pihak (pro-Ahmad dan pro-Idris).

"Perkembangan isu ini setakat ini sangat tidak baik kepada BN. Orang boleh nampak tiada kekuatan dalam parti. Kalau datang pilihan raya sekarang, kita pasti kalah," tambahnya.

Nawi juga berkata, spekulasi hangat mengenai usaha lompat parti wakil-wakil rakyat BN itu "sudah semakin reda" sekarang dan cakap-cakap mengenai isu itu semakin jarang kedengaran.

"Kalau wakil rakyat ini masuk PKR, tidak akan dapat untung apa-apa, cuma dapat kepuasan secara peribadi," katanya.

Anwar sendiri temui 9 ADUN Umno

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengadakan pertemuan bersama sembilan ADUN Umno Terengganu tetapi tidak pasti ia melibatkan usaha menggulingkan kerajaan negeri.

Wakil rakyat Hulu Besut, Nawi Mohamad hari ini mengakui bahawa pertemuan antara Anwar dan sembilan orang wakil rakyat itu – yang diura-urakan menyertai PKR sebelum bergabung dengan lapan ADUN PAS – memang telah diadakan.

Nawi bagaimanapun menjelaskan tidak mempunyai maklumat lengkap kandungan perbincangan kedua-dua pihak berkenaan.

"Saya tidak tahulah apa yang dibincangkan dan ia juga tiada kena-mengena dengan saya," katanya, sambil menegaskan beliau sendiri tidak tersenarai dalam sembilan ADUN yang akan meninggalkan parti.

"Yang sembilan orang itu tidak termasuk saya. Kalau sepuluh orang pun tidak termasuk lagi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, beliau tidak termasuk daripada 10 ADUN Umno yang bertindak memboikot persidangan DUN Terengganu, April lalu.

Tidak lama selepas insiden yang mengejutkan itu, kedengaran ura-ura PKR mendekati beberapa ADUN Umno untuk meninggalkan parti dan menyertai PKR.

- MALAYSIAKINI

Wakalah dalam Takaful

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

Sistem Muamalat Islam adalah sistem yang dinamik dan seiring dengan keperluan semasa ummah. Konsep dan prinsip-prinsip asas yang digariskan oleh Islam dalam sistem muamalat tersebut walaupun nampak lebih bersifat 'tradisional' namun ia boleh diolah dalam bentuk yang sangat praktikal dan dapat memenuhi keperluan kewangan masyarakat moden yang kompleks.

Malah mekanisme sistem kewangan Islam masa kini dilihat sebagai satu alternatif terbaik kepada sistem kewangan konvensional yang kini seperti ibarat pepatah Melayu 'retak menanti belah'. Itulah hebatnya Islam yang sesuai tanpa ada batasan sempadan waktu mahupun sempadan geografi.

Kontrak Wakalah adalah di antara khazanah sistem Muamalat Islam yang telah dipopularkan serta diolah aplikasinya dalam pelbagai fasiliti sistem kewangan Islam semasa.

Perkataan wakalah adalah diambil daripada perkataan bahasa Arab yang membawa maksud perwakilan. Dari segi bahawa wakalah bermakna memelihara, menjaga, menjamin, menyerahkan dan mengganti. Dari segi pengertian syarak, ia merujuk kepada, "Satu pihak menyerahkan sesuatu urusan yang boleh diwakilkan mengikut syarak kepada pihak lain ketika pihak yang pertama itu masih hidup".

Para fuqaha bersepakat bahawa akad perwakilan adalah di syarak dan harus berdasarkan dalil al-Quran, sunnah dan juga ijmak. Menurut Ibnu Qudamah, ijmak ulama menerima perwakilan sebagai satu akad yang diharuskan kerana akad wakalah ini adalah akad sangat diperlukan oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk pelbagai bentuk aktiviti.

Pensyariatan kontrak wakalah ini adalah bukti bahawa manusia itu sifatnya lemah, tidak boleh hidup bersendirian dan memerlukan antara satu sama lain untuk menguruskan hal ehwal kehidupannya. Islam mengharuskan prinsip wakalah untuk digunapakai dalam pelbagai lapangan aktiviti asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Di antara dalil yang menjadi sumber bahawa prinsip perwakilan ini adalah suatu yang diharuskan ialah :

1. Berdasarkan kisah Ashabul Kahfi sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran: …sekarang utuslah (wakilkanlah) salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah dia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya. (al-Kahfi:19)

2. Di dalam as-sunnah pula diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah mewakilkan Urwah al-Bariqi supaya membeli kambing untuk korban. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Ahmad, Abu Daud, at-Tarmizi, Ibn Majah dan al-Daruqutni iaitu daripada Urwah sendiri).

Untuk memastikan kontrak wakalah ini suatu kontrak yang sah maka ia perlu memenuhi rukun dan syarat yang tertentu. Rukun-rukunnya ialah pewakil (al-muwakkil), penerima wakil (al-wakil), urusan yang diwakilkan (al-muwakkal fihi) dan ijab dan qabul (sighah).

Seseorang pewakil mestilah seorang yang berhak mengendalikan harta yang diwakilkan. Tidak sah pelantikan perwakilan yang dibuat oleh kanak-kanak yang belum mumayyiz dan orang gila. Seorang wakil pula mestilah berakal untuk membuat pilihan antara baik dan buruk, rugi dan untung.

Mengikut mazhab Hanafi, seorang wakil juga disyaratkan bersungguh-sungguh dan tahu tentang tugas yang dinyatakan dalam kontrak dengan serius. Seorang wakil yang dilantik hendaklah ditetapkan. Kalau 'A' melantik dua orang dengan tidak menentukan mana satu, pelantikannya tidak sah. Selain itu, wakil juga hendaklah tahu tentang tugas atau tempoh yang ditentukan.

Sesuatu urusan yang diwakilkan mesti memenuhi syarat tertentu dan jika tidak memenuhi syarat-syarat berkenaan maka perwakilan tersebut tidak sah. Di antara syarat urusan yang boleh diwakilkan ialah mestilah diharuskan syarak dan dimiliki oleh pewakil kerana barang yang tidak dimiliki oleh pemilik tidak boleh diwakilkan kepada orang lain untuk mentadbirnya.

Urusan berkenaan juga mestilah diketahui dengan jelas supaya kesamaran dan penipuan dapat dielakkan. Tidak semua urusan boleh diwakilkan hanya urusan atau kendalian yang berkaitan dengan harta sahaja yang boleh diwakilkan. Manakala ibadah jasmani seperti sembahyang, puasa dan bersuci tidak sah diwakilkan kecuali ibadat haji.

Lafaz kontrak atau disebut sighah juga sangat penting dipenuhi syarat-syaratnya agar sesuatu kontrak yang dijalankan itu sah. Lafaz ijab (tawaran) dari pewakil hendaklah dibuat secara jelas dan terang.

Contoh: "Saya wakilkan kamu untuk menjual rumah ini" atau "Saya serahkan urusan penjualan tanah ini kepada kamu" atau "Kamu adalah pengganti saya dalam urusan penjualan tanah ini".

Bagi lafaz qabul (terima) dari wakil tidak semestinya lafaz yang terang dan jelas. Bahkan memadai dengan wakil tidak menunjukkan sebarang penolakan terhadap perwakilan yang diserahkan kepadanya.

Kontrak wakalah ini dibahagikan kepada Wakil Am, Wakil Khas, Wakil Berupah dan Wakil Tidak Berupah. Wakil Am adalah wakil dalam perkara yang tidak ditetapkan seperti wakil dalam semua urusan jual beli atau menjadi wakil tetapi tidak ditetapkan barangan yang hendak dijual atau dibeli.

Wakil Am mempunyai kuasa untuk sebarang urusan selagi mana tidak mendatangkan mudarat kepada pewakil.

Wakil Khas pula ialah wakil yang dikhususkan untuk urusan tertentu seperti jual beli rumah atau kereta, sewaan harta tidak alih seperti tanah, rumah dan bangunan. Wakil Khas ini terikat dengan perkara atau pekerjaan yang dikhususkan kepadanya.

Wakil berupah adalah diharuskan oleh syarak. Rasulullah SAW mengutuskan pegawai (pekerjanya) untuk menerima zakat dan diberi upah. Wakil jenis ini mestilah melaksanakan tugas tersebut dengan baik dan tidak mengabaikannya. Dalam konteks takaful, jenis wakil ini yang diamalkan.

Wakil Tidak Berupah pula ialah wakil yang bekerja secara sukarela tanpa sebarang habuan. Perwakilan jenis ini tidak mewajibkan seseorang wakil itu meneruskan kerja malah ia boleh melepaskan dirinya daripada tugas itu pada bila-bila masa sahaja.

Amalan wakalah sebagaimana yang diamalkan oleh beberapa pengendali takaful di Malaysia adalah sangat-sangat diperlukan bagi memasarkan produk-produk takaful kepada masyarakat. Tugas ini sangat diperlukan oleh pengendali takaful bagi merancakkan lagi penyebaran produk-produk yang berteraskan prinsip Islam.

Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (IKHLAS) umpamanya, menggunakan model yang diberi nama wakalah sebagai asas induk kepada sistem operasinya. Prinsip Wakalah yang dilaksanakan oleh IKHLAS bagi menjalankan operasinya ialah di mana IKHLAS sebagai wakil kepada para peserta bertanggungjawab menguruskan segala dana yang telah diwujudkan dengan penuh amanah, telus dan profesional. Bagi tujuan tersebut, IKHLAS mengenakan caj pengurusan dan prestasi berasaskan kepada prinsip perwakilan yang dibayar upah (al-Wakalah bi al-ujrah).

IKHLAS juga melantik wakil-wakil sebagai perantara dalam memasarkan produk-produk syarikat dengan dibayar upah. Akad di antara para wakil dan IKHLAS adalah berasaskan akad wakalah. Konsep ini sejajar dengan prinsip Islam sebagaimana amalan Rasulullah SAW yang pernah mengutuskan pegawai (pekerjanya) untuk menerima zakat dan Baginda SAW memberi upah kepada mereka (al-Talkhis al-habir, Jil. 1, hlm. 176, 251, 271).

Di dalam prinsip Islam, apabila dilaksanakan kontrak wakil dengan bayaran upah, maka kontrak itu adalah sah dan mengikat, ini bererti semua pihak bertanggungjawab melaksanakan semua perkara yang dipersetujui didalam akad tersebut.

Perbincangan tentang kontrak perwakilan di dalam Islam semestinya dikaitkan dengan empat sifat utama, siddiq (jujur), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana). Keempat-empat sifat ini mestilah ditanam, dijiwai dan diterjemahkan dalam urusan perwakilan oleh setiap wakil demi mencapai kehidupan yang berkualiti di dunia dan akhirat.

Seorang wakil takaful merupakan pendakwah yang berusaha mengembangkan produk Muamalat Islam. Takaful adalah alternatif kepada sistem insurans konvensional sebagaimana yang disimpulkan oleh Badan Petugas Penubuhan Syarikat Insurans Islam Di Malaysia 1983. Seorang wakil takaful juga melakukan jihad menentang sistem jahiliah (insurans konvensional). Ini kerana Insurans konvensional adalah haram menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1972. Di samping itu seorang wakil takaful juga beribadah menerusi kerja-kerjanya kerana ia merupakan satu manifestasi pengabdian, kepatuhan dan ketundukkan kepada perintah Allah yang memerintahkannya supaya melakukan makruf dan meninggalkan munkar. (al-Baqarah: 25)

Wakil takaful perlulah mempunyai akhlak yang terpuji bagi mencapai misi dan visi sebagai pembawa panji Islam.

Kesimpulannya, konsep perwakilan sebagaimana yang diamalkan oleh beberapa pengendali takaful adalah peluang pekerjaan dan salah satu daripada punca pendapatan. Para wakil juga berpeluang melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang daie yang mengajak masyarakat membantu antara satu sama lain, melakukan tabarruk serta membangunkan sistem muamalat Islam yang merupakan suatu tuntutan agama ke atas setiap Muslim. Hasilnya di dunia mereka memperoleh pendapatan untuk keperluan hidup dan di akhirat mereka mendapat ganjaran sebagai bekalan di hadapan Allah SWT.

13 Mei boleh berulangkah?

Sejak kebelakangan ini, hampir setiap hari kita disajikan dengan pelbagai peristiwa yang berlaku dalam negara yang mula menggugat perpaduan dan keharmonian kaum yang dibanggakan selama ini.

Senarainya semakin hari semakin panjang yang sekali gus mengundang seribu satu persoalan apakah peristiwa 13 Mei 1969 bakal berulang.

Walaupun tahun ini genap 40 tahun tragedi malang itu menimpa negara kita, namun saya pasti masih ramai di kalangan kita yang boleh terbayang-bayang apa yang berlaku pada tarikh keramat tersebut yang sekali gus menjadi titik hitam yang sukar untuk dipadamkan daripada lipatan sejarah negara ini dan ia tidak mustahil berulang jika tidak diambil langkah yang sewajarnya.

Satu demi satu peristiwa yang menyentap perpaduan kaum mula diperagakan untuk tatapan umum oleh pihak-pihak yang jelas mempunyai agenda dan kepentingan peribadi masing-masing.

Dalang-dalang ini begitu licik memainkan peranan tanpa kita sedari akan rupa bentuknya dan natijah yang bakal dibawanya bersama.

Mahu tidak mahu kita perlu akui bahawa antara punca utama soal perpaduan kaum menjadi bahan perbualan dan perdebatan adalah akibat daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) pada Mac 2008 yang jelas menukar landskap politik tanah air kita. Kesannya cukup mendalam dan meninggalkan implikasi yang sangat besar kepada kita semua.

Akibatnya juga sudah ada pihak yang begitu berani menyuarakan hak dan pelbagai tuntutan yang jelas tidak berasas dan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati pihak yang lain.

Mereka yang sebelum ini tidak langsung dikenali oleh masyarakat sudah mula menjadi hero dan pejuang golongan tertentu. Mereka muncul umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan iaitu selepas PRU 12.

Mempersoalkan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan, mengadakan demonstrasi haram, mencabar pihak berkuasa dengan sengaja, menyebar pelbagai fitnah dan khabar angin yang boleh merobek perpaduan kaum serta meniup api kemarahan terhadap pihak kerajaan telah menjadi intipati dan agenda tetap perjuangan golongan ini.

Satu persoalan yang sukar untuk dirungkai adalah apakah tujuan sebenar golongan ini yang cuba melaga-lagakan rakyat kita yang hidup aman dan damai.

Tidak cukupkah dengan apa yang berlaku pada 13 Mei 1969. Kenapa mereka perlu bermain dengan api. Wajarkah keamanan yang kita nikmati selama ini dikorbankan demi untuk memuaskan hawa nafsu golongan yang mengejar kedudukan, kuasa dan pengaruh semata-mata.

Peristiwa bantahan penduduk terhadap pembinaan kuil di Selangor baru-baru ini yang melibatkan perarakan dengan kepala lembu merupakan antara insiden yang sepatutnya tidak berlaku. Ia jelas mengguris hati dan perasaan rakan-rakan kita dari kalangan penganut agama Hindu.

Kita percaya penduduk yang membuat bantahan ini tidak sedikitpun berniat untuk menghina agama rakan mereka namun ia jelas telah dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan seterusnya mengambil kesempatan untuk bertindak sedemikian rupa.

Akhirnya para penduduk itu secara khususnya dan umat Islam secara amnya dipandang serong kerana dikatakan telah menghina agama lain. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Insiden sedemikian rupa tidak boleh dipandang ringan dan diambil mudah. Ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Andai kita leka maka dikhuatiri ia akan menular dengan cepat seperti wabak selesema babi Influenza A (H1N1) yang semakin sukar untuk dibendung kelak. Sudah semestinya kita tidak rela dan sanggup melihat peristiwa 13 Mei berulang kembali.

Justeru, besarlah harapan semua agar pihak berkuasa dapat membawa pihak yang bertanggungjawab ini ke muka pengadilan sekali gus menjernihkan kembali hubungan antara kedua-dua pihak yang terlibat dan seterusnya membersihkan juga nama baik umat Islam secara keseluruhannya.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk terus memerangi golongan yang sebegini yang cuba mengganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara kita. Janganlah esok kita menyesal. Bak kata pepatah, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.

Malaysia adalah rumah kita. Sebagai penghuni rumah ini kita wajib menjaga dan memelihara keselamatannya dan melindunginya sepanjang masa.

Usahlah kita membenarkan anasir-anasir liar ini bermaharajalela dan mengambil kesempatan kerana akhirnya mereka akan merobohkan rumah kita suatu hari nanti. Jelas itulah tujuan dan matlamat utama mereka selama ini.

Rakyat Malaysia seharusnya menghayati konsep 1Malaysia dengan sepenuh jiwa dan raga jika mahu melihat perpaduan dan keharmonian kaum terus subur di bumi bertuah ini. Gagasan ini merupakan ramuan yang cukup lengkap dan sempurna untuk kita jadikan sebagai panduan dan pedoman bagi membina negara dan bangsa yang dicita-citakan.

Ingatlah bahawasanya kita wajib mempertahankan kontrak sosial yang telah diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu agar kita dapat membekalkannya dalam keadaan yang sedia ada kepada generasi yang akan datang. Itu adalah tanggungjawab kita bersama.

- UTUSAN

Rabu, September 02, 2009

DUN Siputeh, Kedah kekal di tangan BN


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa Datuk Abu Hassan Sarif masih kekal sebagai ADUN Kota Siputeh, Kedah.

Oleh itu, menurut SPR, pilihanraya kecil tidak perlu diadakan di DUN tersebut.

Sebelum ini Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail telah menghantar surat kepada SPR berhubung kedudukan Abu Hassan dari Umno, yang didakwa hilang keanggotaannya.

Surat Dr Abdul Isa itu memaklumkan bahawa Abu Hassan hilang keanggotaan setelah dua kali gagal menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Abu Hassan, ketua Umno bahagian Jerlun menyandang kerusi DUN Kota Siputeh selama empat penggal berturut-turut.

Seksyen 51 Perlembagaan Negeri memperuntukkan mana-mana anggota DUN yang tidak hadir sidang Dewan dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang.

Bagaimanapun, Abu Hassan telah menjelaskan bahawa beliau mempunyai sijil cuti sakit pada hari yang beliau tidak dapat hadir.

Abdul Isa bagaimanapun sebelum ini bertegas dengan keputusannya dan menolak penjelasan Abu Hassan bahawa beliau sakit dan menolak permohonan maafnya.

Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, SPR dalam mesyuaratnya hari ini, sebulat suara memutuskan ADUN Kota Siputeh itu tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam dua penggal yang berbeza, bukan dua mesyuarat di dalam satu penggal yang sama.

"Setelah meneliti dokumen dan mengkaji fakta yang dikemukakan kepada SPR serta kedudukan undang-undang yang berkaitan, pada menjalankan kuasa di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, surat cuti sakit yang dikemukakan oleh ADUN Kota Siputeh, diterima oleh SPR bahawa kegagalan beliau menghantar surat cuti sakit kepada Speaker lebih awal tidak menjadikan surat cuti sakit itu terbatal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata sebelum Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman digunakan, ia terlebih dahulu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

Mengenai surat pemakluman daripada Speaker DUN Kedah, Abdul Aziz menjelaskan bahawa Abu Hassan telah diberi peluang untuk menjelaskan sebab sebenar ketidakhadiran beliau dalam sidang itu.

"SPR telah meneliti surat daripada beliau yang memohon maaf kerana tidak dapat hadir dalam Sidang Dewan pada 9 Ogos 2009. Bersama surat itu dilampirkan surat cuti sakit daripada doktor yang mendapati beliau tidak sihat untuk menjalankan tugas selama dua hari iaitu dari 9 hingga 10 Ogos.

"Turut diteliti ialah kenyataan beliau bahawa beliau telah menghantar sms (khidmat pesanan ringkas) kepada Ketua Pembangkang untuk memaklumkan mengenai ketidakhadiran itu kerana sakit dada," katanya.

- MALAYSIAKINI

"Spiderman" tawan puncak Menara Berkembar Petronas


Setelah dua kali gagal, lelaki warga Perancis yang terkenal dengan gelaran ‘Spiderman’ kerana kebolehannya menakluk bangunan pencakar langit tanpa kelengkapan, akhirnya hari ini berjaya menawan puncak tertinggi Menara Berkembar Petronas.

Alain Robert, 47, pernah memanjat bangunan yang mempunyai ketinggian 88 tingkat atau 452 meter termasuk antena pada 1997 dan 2007, namun kedua-dua percubaannya itu terhalang apabila ditahan pihak berkuasa di tingkat 60.

Sebaik menuruni salah satu puncak menara berkenaan, Menara Dua hari ini, Alain ditahan pihak keselamatan di tingkat 88 sebelum diserahkan kepada polis kira-kira pukul 8.20 pagi.

Difahamkan, dia yang hanya berbekalkan sebotol air minuman dan bedak penyerap peluh mula memanjat pada pukul 5.45 pagi dan mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke puncak Menara Dua.

Para petugas daripada beberapa agensi berita asing yang mengetahui rancangan Alain untuk menakluk Menara Berkembar Petronas, berada di lokasi sejak pukul 5.30 pagi untuk membuat liputan.

Menurut jurugambar Sipa Press yang berpusat di Paris, Halim Berbar, Alain berada di ibu negara sejak seminggu lalu untuk membuat persiapan. Dia menginap di salah sebuah hotel terkemuka ibu negara.

“Amat menakjubkan, Alain begitu tenang memanjat tingkat demi tingkat tanpa sebarang masalah dan dalam tempoh singkat.

“Saya merakamkan aksi-aksi Alain ketika di atas puncak Menara Dua itu. Dia mengibarkan bendera Malaysia dan mengangkat kedua-dua belah tangan sambil menunjukkan tanda keamanan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Halim, Alain sepatutnya turun dengan cara yang sama, tetapi terpaksa melupakan hasratnya ekoran keadaan cuaca tidak mengizinkan.

Jurukamera Reuters, Yong Chee Weng, 57, yang sempat menghubungi Alain memberitahu, Alain berasa hebat dan cukup lega kerana akhirnya berjaya menawan puncak Menara Berkembar Petronas.

Alain kini ditahan untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan dijangka didakwa esok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, polis menahan Alain di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Katanya, tindakan membahayakan nyawanya sendiri.

“Dia sepatutnya meminta kebenaran terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Katanya, jika sabit kesalahan, Alain boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya.

- UTUSAN

Bekas Ketua Hakim Negara meninggal masalah kegagalan ginjal

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Omar, 80, meninggal dunia kerana masalah kegagalan ginjal ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Ampang, di sini, semalam.

Allahyarham yang dimasukkan ke hospital itu pagi kelmarin menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.30 pagi, di sisi isteri, Toh Puan Azian Aiyub Ghazali, 72, serta empat anaknya iaitu Azizuddin, 51; Ainuddin, 50; Hanizah, 44 dan Hanizan, 40.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di No 10 Jalan Langgak Tunku, Bukit Tunku di sini jam 12 tengah hari, sebelum disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, dekat sini pada jam 5.45 petang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menziarahi jenazah Allahyarham di Bukit Tunku jam 2.40 petang berkata, pemergian Abdul Hamid ke rahmatullah satu kehilangan kepada institusi kehakiman negara.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya merakamkan takziah kepada keluarganya. Allahyarham banyak memberi sumbangan pada pentadbiran keadilan dan sistem kehakiman negara kita. Sumbangan beliau akan terakam dalam sejarah perkembangan sistem kehakiman negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi jenazah, semalam.

Najib ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terdahulu turut menziarahi jenazah.

Sementara itu, Azizuddin berkata, bapanya yang sudah tidak boleh bercakap dan lumpuh sebahagian anggota badan kerana pernah diserang angin ahmar hampir dua tahun lalu, dimasukkan ke hospital berkenaan pada jam 8 pagi kelmarin.

“Ketika saya berada di sisinya pagi tadi (semalam), Allahyarham dalam keadaan separuh sedar.

“Memang Allahyarham tidak boleh bercakap tetapi sejak dulu ayah sentiasa mengingatkan semua anak-anaknya supaya berbuat baik kepada semua orang tanpa mengira pangkat dan darjat.

“Allahyarham mempunyai peribadi sangat baik. Walaupun dia tidak pernah marah anak-anaknya tetapi dia tegas,” katanya.

Ketika hayatnya, Allahyarham menubuhkan Yayasan Tun Abdul Hamid termasuk menganjurkan kelas tahfiz di sebuah masjid serta gemar membantu golongan miskin dan anak yatim terutama ketika Ramadan.

Abdul Hamid, yang berkelulusan Barrister-at-Law Lincoln's Inn, London dan Doktor Undang-undang, Oklahoma City University, Amerika Syarikat, memulakan kerjayanya dalam bidang perundangan pada 1956 dengan berkhidmat sebagai Majistret dan Yang Dipertua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, Raub, Taiping dan Seremban.

Allahyarham dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September 1968 manakala pada 1980, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Empat tahun kemudian, Abdul Hamid dilantik Hakim Besar Malaya manakala pada 1985, dilantik pula sebagai Hakim Mahkamah Agung sebelum memegang jawatan Ketua Hakim Negara pada 1988.

- BERITA HARIAN

JAWATAN KOSONG DI PERBADANAN STADIUM MERDEKA

Perbadanan Stadium Merdeka mempelawa individu warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dan berkelayakan untuk mengisi jawatan berikut :-

1. Penolong Pegawai Tadbir Gred N27 (Sambilan)
2. Penolong Arkitek Lanskap Gred J29 (Sambilan)

DOWNLOAD IKLAN:
http://www.stadium.gov.my/b.melayu/images/stories/download/iklan%20jwtn%20kosong%20N27%20+%20J29.pdf

BORANG PERMOHONAN:
http://www.stadium.gov.my/b.melayu/images/stories/download/PSMPK13-BorangPermohonanJawatanKosong.pdf

Borang permohonan yang telah lengkap hendaklah di hantar kepada:

CAWANGAN SUMBER MANUSIA
BAHAGIAN PENGURUSAN DAN KEWANGAN
Perbadanan Stadium Merdeka
Aras 1, Stadium Nasional
Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil
57700 Sri Petaling,Kuala Lumpur

Tarikh Tutup : 14 September 2009

JAWATAN KOSONG DI MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA (MPM)

Majlis Peperiksaan Malaysia ialah sebuah Badan Berkanun di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia ingin mempelawa warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk mengisi kekosongan jawatan-jawatan tetap seperti berikut:

1. Pegawai Peperiksaan - DG41
2. Penolong Pegawai Peperiksaan - DGA32
3. Pengawal Keselamatan - KP11

DOWNLOAD IKLAN:
http://www.mpm.edu.my/download.php?FilePoolID=350

BORANG PERMOHONAN:
http://www.mpm.edu.my/download.php?FilePoolID=33

Borang permohonan yang telah lengkap hendaklah di hantar kepada:

Ketua Eksekutif
Majlis Peperiksaan Malaysia
Bangunan MPM, Persiaran 1
Bandar Baru Selayang
68100 Batu Caves
Selangor Darul Ehsan
(u.p: Bahagian Pengurusan Personel dan Pentadbiran)

Tarikh Tutup : 14 September 2009

JAWATAN KOSONG DI INSTITUT PENYELIDIKAN PERHUTANAN MALAYSIA (FRIM)

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
1. PEGAWAI PENYELIDIK (Q41) @ PEGAWAI EHWAL EKONOMI (E41)
2. PEMBANTU PENYELIDIK

MAKLUMAT LANJUT:
http://www.frim.gov.my/job/job67.htm

BORANG PERMOHONAN:
http://www.frim.gov.my/download/BORANGPERMOHONANJAWATAN_FRIM.pdf

Tarikh Tutup : 8 September 2009

JAWATAN KOSONG DI UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
1.PENSYARAH (DS45)
2.PENSYARAH PERGIGIAN / PENSYARAH PELATIH PERGIGIAN (DUG45)
3.PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (DG41)
4.PENSYARAH (DS51)

CARA MEMOHON :
Calon yang berminat boleh mengemukakan permohonan secara on-line di:
http://www.usim.edu.my

Tarikh Tutup : 8 September 2009

JAWATAN KOSONG DI PIHAK BERKUASA KEMAJUAN PEKEBUN KECIL PERUSAHAAN GETAH (RISDA)

Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
1. Penolong Pegawai Tadbir
2. Penolong Pegawai Teknologi Maklumat
3. Pegawai Khidmat Pelanggan
4. Juruteknik Komputer
5. Juruteknik
6. Pembantu Am Pejabat

CARA MEMOHON :
Calon yang berminat boleh mengemukakan permohonan secara on-line di:
http://www.jobsmalaysia.gov.my

Tarikh Tutup : 11 September 2009