Khamis, September 03, 2009

Tawan KLCC paling sukar - Robert

Spiderman Perancis, Alain Robert yang berjaya menakluki Menara Berkembar Petronas semalam menyifatkan bangunan pencakar langit setinggi 452 meter itu merupakan antara yang paling sukar pernah dipanjatnya.

Namun, kesukaran yang dimaksudkan oleh beliau bukanlah dari segi teknikal, sebaliknya dua kali cubaannya sebelum itu, pada 1997 dan 2007 - dihalang pihak berkuasa.

Ternyata Robert, 47, cukup berpuas hati dengan pencapaiannya itu kerana ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi ini, dia 'secara rasmi' mengumumkan misinya menakluki puncak menara kelima tertinggi dunia itu sejak 12 tahun lalu tamat.

"Anda tidak akan dapat lagi melihat kelibat Spidey memanjat Menara Berkembar Petronas kerana misi sudah tamat.

"Saya cukup gembira kerana setelah lebih satu dekad, akhirnya dapat juga menjejakkan kaki ke Menara Berkembar Petronas," katanya sambil tersenyum sebelum dibawa ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta untuk dituduh atas kesalahan menceroboh.

Robert semalam menggemparkan dunia apabila berjaya menawan puncak Menara Kembara Petronas buat kali pertama setelah gagal dalam dua cubaan sebelum ini.

Bagaimanapun, sebaik sahaja menuruni salah satu puncak menara berkenaan, iaitu Menara Dua, dia ditahan pihak keselamatan di tingkat 88 sebelum diserahkan kepada polis kira-kira pukul 8.20 pagi.

Sementara itu, ditanya bagaimana beliau memanjat ke atas bulatan puncak menara, Robert memberitahu, segala kekuatan yang dimiliki itu ada pada sepasang tangannya.

"Saya sekadar menggunakan kedua-dua tangan untuk memanjat bulatan itu. Mungkin kekuatan dan kemahiran tangan luar biasa ini saya miliki membezakan saya dengan yang lain," kata Robert yang kelihatan tenang tetapi tidak bermaya dan lesu kerana dikatakan tidak tidur lena dalam lokap sepanjang malam tadi.

Jelas Robert, memanjat bangunan tinggi adalah kegemarannya sejak berusia berusia 12 tahun dan mengakui ia dilakukan untuk keseronokan semata-mata tanpa niat lain.

"Saya suka Malaysia. Terima kasih Malaysia. Memanjat adalah kegemaran saya, ketagihan saya," katanya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts