Khamis, September 03, 2009

Layan tuntutan ADUN atau keluar Umno

Sembilan orang wakil rakyat Terengganu mahu tuntutan mereka ditunaikan sekiranya Umno mahu mengelakkan mereka melompat kepada PKR.

ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata wakil-wakil rakyat berkenaan perlu dilantik sebagai pengerusi penyelaras DUN masing-masing dan juga kuasa untuk menamakan anggota-anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Kedua-dua tuntutan ini, sekiranya ditunaikan, boleh memulihkan semula hubungan antara pemimpin-pemimpin Umno di Terengganu, katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Wakil rakyat Umno kini berpecah dua susulan pelantikan mengejut Datuk Ahmad Said sebagai menteri besar, menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, selepas pilihan raya umum 2008.

Nawi menambah, tuntutan berkenaan akan disuarakan kepada Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan mengikuti Program Memperkasa Umno Semula di Kuala Berang, esok.

Katanya, program yang melibatkan ahli-ahli jawatankuasa lapan bahagian di Terengganu disusun bagi merapatkan semula hubungan antara penyokong Ahmad dengan penyokong Idris.

Selain Muhyiddin, pengerusi perhubungan Umno negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga naib presiden parti, akan menyertai program bertemu rakyat di Setiu, esok.

Ditanya sama ada program berkenaan boleh membuahkan hasil, Nawi berkata ia mungkin berjaya sekiranya pucuk pimpinan mengambil kira tuntutan yang dikemukakan.

"Kena ada kesungguhan dari kedua-dua pihak (pro-Ahmad dan pro-Idris).

"Perkembangan isu ini setakat ini sangat tidak baik kepada BN. Orang boleh nampak tiada kekuatan dalam parti. Kalau datang pilihan raya sekarang, kita pasti kalah," tambahnya.

Nawi juga berkata, spekulasi hangat mengenai usaha lompat parti wakil-wakil rakyat BN itu "sudah semakin reda" sekarang dan cakap-cakap mengenai isu itu semakin jarang kedengaran.

"Kalau wakil rakyat ini masuk PKR, tidak akan dapat untung apa-apa, cuma dapat kepuasan secara peribadi," katanya.

Anwar sendiri temui 9 ADUN Umno

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengadakan pertemuan bersama sembilan ADUN Umno Terengganu tetapi tidak pasti ia melibatkan usaha menggulingkan kerajaan negeri.

Wakil rakyat Hulu Besut, Nawi Mohamad hari ini mengakui bahawa pertemuan antara Anwar dan sembilan orang wakil rakyat itu – yang diura-urakan menyertai PKR sebelum bergabung dengan lapan ADUN PAS – memang telah diadakan.

Nawi bagaimanapun menjelaskan tidak mempunyai maklumat lengkap kandungan perbincangan kedua-dua pihak berkenaan.

"Saya tidak tahulah apa yang dibincangkan dan ia juga tiada kena-mengena dengan saya," katanya, sambil menegaskan beliau sendiri tidak tersenarai dalam sembilan ADUN yang akan meninggalkan parti.

"Yang sembilan orang itu tidak termasuk saya. Kalau sepuluh orang pun tidak termasuk lagi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, beliau tidak termasuk daripada 10 ADUN Umno yang bertindak memboikot persidangan DUN Terengganu, April lalu.

Tidak lama selepas insiden yang mengejutkan itu, kedengaran ura-ura PKR mendekati beberapa ADUN Umno untuk meninggalkan parti dan menyertai PKR.

- MALAYSIAKINI

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts