Rabu, September 02, 2009

Bekas Ketua Hakim Negara meninggal masalah kegagalan ginjal

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Omar, 80, meninggal dunia kerana masalah kegagalan ginjal ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Ampang, di sini, semalam.

Allahyarham yang dimasukkan ke hospital itu pagi kelmarin menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.30 pagi, di sisi isteri, Toh Puan Azian Aiyub Ghazali, 72, serta empat anaknya iaitu Azizuddin, 51; Ainuddin, 50; Hanizah, 44 dan Hanizan, 40.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di No 10 Jalan Langgak Tunku, Bukit Tunku di sini jam 12 tengah hari, sebelum disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, dekat sini pada jam 5.45 petang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menziarahi jenazah Allahyarham di Bukit Tunku jam 2.40 petang berkata, pemergian Abdul Hamid ke rahmatullah satu kehilangan kepada institusi kehakiman negara.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya merakamkan takziah kepada keluarganya. Allahyarham banyak memberi sumbangan pada pentadbiran keadilan dan sistem kehakiman negara kita. Sumbangan beliau akan terakam dalam sejarah perkembangan sistem kehakiman negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi jenazah, semalam.

Najib ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terdahulu turut menziarahi jenazah.

Sementara itu, Azizuddin berkata, bapanya yang sudah tidak boleh bercakap dan lumpuh sebahagian anggota badan kerana pernah diserang angin ahmar hampir dua tahun lalu, dimasukkan ke hospital berkenaan pada jam 8 pagi kelmarin.

“Ketika saya berada di sisinya pagi tadi (semalam), Allahyarham dalam keadaan separuh sedar.

“Memang Allahyarham tidak boleh bercakap tetapi sejak dulu ayah sentiasa mengingatkan semua anak-anaknya supaya berbuat baik kepada semua orang tanpa mengira pangkat dan darjat.

“Allahyarham mempunyai peribadi sangat baik. Walaupun dia tidak pernah marah anak-anaknya tetapi dia tegas,” katanya.

Ketika hayatnya, Allahyarham menubuhkan Yayasan Tun Abdul Hamid termasuk menganjurkan kelas tahfiz di sebuah masjid serta gemar membantu golongan miskin dan anak yatim terutama ketika Ramadan.

Abdul Hamid, yang berkelulusan Barrister-at-Law Lincoln's Inn, London dan Doktor Undang-undang, Oklahoma City University, Amerika Syarikat, memulakan kerjayanya dalam bidang perundangan pada 1956 dengan berkhidmat sebagai Majistret dan Yang Dipertua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, Raub, Taiping dan Seremban.

Allahyarham dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September 1968 manakala pada 1980, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Empat tahun kemudian, Abdul Hamid dilantik Hakim Besar Malaya manakala pada 1985, dilantik pula sebagai Hakim Mahkamah Agung sebelum memegang jawatan Ketua Hakim Negara pada 1988.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts