Memaparkan catatan dengan label vaksin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label vaksin. Papar semua catatan

Jumaat, Februari 26, 2021

Hanya satu dos vaksin Johnson & Johnson

 


Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) menerusi satu kajian mendapati penggunaan satu dos vaksin keluaran Johnson & Johnson (J&J) berkesan membendung penularan Covid-19. 

Lapor Daily Mail, Agensi Persekutuan Saintis mengesahkan secara keseluruhannya vaksin itu berkesan 66 peratus mencegah serangan Covid-19 pada tahap sederhana hingga peringkat teruk. 

Suntikan itu juga didapati memberikan lebih banyak perlindungan terhadap varian baharu berbanding sebelum ini yang dipercayai 68 peratus berkesan mencegah penyakit sederhana ke peringkat lebih teruk oleh varian Brazil manakala, 64 peratus berkesan terhadap varian Afrika Selatan. 

Menurut syarikat tersebut, setiap individu hanya memerlukan satu suntikan J&J berbanding dua suntikan dan selamat digunakan. 

Kajian mengenai vaksin tersebut kini berada di peringkat akhir dan keputusannya bakal diumum hari ini.

Kumpulan penasihat bebas akan membahaskan hasil keputusan kajian sama ada untuk mengekalkan penggunaan satu dos suntikan atau sebaliknya.

FDA dijangka membuat keputusan muktamad dalam beberapa hari. 

Penyelaras Tindakan Covid-19 White House , Jeff Zeints berkata, jika diluluskan dan mendapat kebenaran, sebanyak tiga hingga empat juta dos vaksin tersebut akan diperuntukkan pada minggu depan. 

Jelasnya, kontrak dengan Kerajaan Persekutuan memberi jaminan sebanyak 100 juta dos bakal disalurkan pada akhir Jun ini dan J&J berusaha keras memastikan penghasilan vaksin dapat dipercepatkan. 

Ujian percubaan klinikal satu dos J&J diuji terhadap 44,000 orang di Amerika Syarikat, Amerika Latin dan Afrika Selatan.  

Sumber : Utusan

Khamis, Februari 25, 2021

PM sihat, tiada alami gejala selepas terima vaksin

 

Sehari selepas menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 satu dos Pfizer-BioNTech di negara ini, Tan Sri Muhyiddin Yasin semalam memaklumkan dirinya sihat dan tidak mengalami gejala demam atau kesan sampingan lain.

Perdana Menteri menerusi video dimuat naik di Facebook hari ini, turut melahirkan keyakinan vaksin diterima itu selamat dan berkesan.

"Alhamdulillah, hari ini (semalam) hari kedua selepas semalam (kelmarin) saya dapat suntikan vaksin COVID-19, semuanya berjalan dengan baik.

"Saya yakin ini adalah vaksin selamat, berkesan. Ramai tanya saya hari ini bagaimana keadaan saya? Alhamdulillah saya berasa sihat, tiada rasa demam dan luar biasa.

"Makan dan selera macam biasa. Bagi saya vaksin yang saya terima ini agak baik," katanya.

Muhyiddin menegaskan masih mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka walaupun sudah menerima suntikan vaksin COVID-19.

"Masih teruskan amalan SOP digunakan, saya di rumah tidak pakai pelitup muka, tetapi biasa (di luar) saya pakai.

"Cuci tangan macam biasa, penjarakan fizikal macam biasa dan jangan pergi tempat orang ramai-ramai (sesak), ini harus kita teruskan," katanya.

Perdana Menteri sekali lagi memohon semua rakyat mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi menamatkan penularan COVID-19 di negara ini.

Beliau berkata, tindakan menyokong usaha kerajaan itu dapat menamatkan penularan COVID-19 di negara ini.

"Kita perlu ramai-ramai mendaftar untuk mendapat suntikan menerusi aplikasi MySejahtera. Saya sudah ada (aplikasi itu) dalam telefon (pintar). Semua data, maklumat yang terima semalam, saya terima dos pertama dan dapat tarikh untuk dos kedua.

"Dia bagi saya janji temu 17 Mac ini, Insya-Allah selepas itu baru dapat sijil selesai menerima suntikan vaksin COVID-19.

"Saya mengucap syukur terhadap Allah SWT kerana keadaan (kesihatan) masih baik dan sihat. Saya doakan anda semua sentiasa dalam keadaan sihat," katanya.

Semalam, Muhyiddin menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.

Sumber : Berita Harian

Vaksin COVID-19 halang penyakit, tetapi adakah ia hentikan jangkitan?

 


Seperti laporan minggu ini dari Scotland dan Israel - di mana ramai atau sebahagian besar penduduk dijangkiti COVID-19 - mengesahkan bahawa vaksin sebahagian besarnya mencegah orang ramai daripada jatuh sakit.

Namun, satu lagi persoalan muncul: Adakah ia juga menyekat jangkitan?

Pakar berkata, vaksin yang dilancarkan di seluruh dunia tidak hanya mencegah gejala tetapi juga virus itu sendiri, justeru ia dapat melambatkan penyebaran patogen dan mempercepat keadaan kembali normal.

"Sekiranya kesan sebenar terhadap jangkitan sangat tinggi, itu akan menjadi berita baik kerana itulah yang kita perlukan untuk mencapai imuniti kelompok," kata Marc Lipsitch, pengarah Pusat Dinamik Penyakit Berjangkit di Harvard T.H. Chan School of Public Health, memberitahu AFP.

Imuniti kelompok dicapai apabila sebahagian besar populasi - anggarannya sekitar antara 60 hingga 80 peratus - telah memperoleh pertahanan terhadap virus, sama ada melalui vaksinasi atau kerana mereka terselamat daripada jangkitan.

Namun, jika vaksin Pfizer, Moderna dan AstraZeneca - dan mungkin vaksin lain yang dibuat di China, Russia dan India - melindungi dengan lemah daripada jangkitan, mungkin mereka yang telah disuntik vaksin sekalipun tetap berpotensi menyebarkan virus, bukan pembawa yang tidak disengaja.

"Kebimbangan besar selain vaksin mencegah penyakit, kemasukan ke hospital dan kematian ialah ia tidak cukup untuk membantu mencegah penularan," kata Peter English, perunding kawalan penyakit berjangkit dan bekas ketua Jawatankuasa Perubatan Kesihatan Awam Persatuan Perubatan Britain yang berpusat di United Kingdom (UK), kepada AFP.

Dalam senario itu, masyarakat dan negara mungkin sudah mulai mengabaikan pemakaian pelitup muka secara meluas, penjarakan fizikal dan perintah sekatan keras sehingga kempen vaksinasi dapat disudahkan.

"Terdapat juga risiko yang lebih besar bahawa varian baharu 'kebal' terhadap vaksin dan virus terus beredar," kata English.

Beberapa varian seperti itu - lebih menular, lebih berbahaya atau kedua-duanya - telah berkembang biak di England, Afrika Selatan dan Brazil kerana virus SARS-CoV-2 mencari 'perumah' baru, fasa yang dapat diramalkan dalam evolusi pandemik.

Namun, kajian baru-baru ini bersama dengan vaksin yang masih diuji memberikan alasan untuk optimis.

Penyelidikan yang merangkumi keseluruhan penduduk Scotland berjumlah 5.4 juta - satu perlima disuntik dengan vaksin Pfizer atau Oxford/AstraZeneca - memberikan pengesahan bahawa vaksin mencegah simptom dan penyakit COVID-19 lebih dari 90 peratus.

Satu kajian yang diterbitkan di New England Journal of Medicine semalam - membandingkan dua kumpulan di Israel masing-masing setiap satu hampir 600,000 orang, satu diberi vaksin dan satu lagi tidak - juga melaporkan penurunan penyakit selaras dengan ujian klinikal.

Penemuan Israel juga menunjukkan jangkitan menurun secara mendadak dalam kalangan yang diberi vaksin - sebanyak 92 peratus di antara mereka dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu selepas mendapat suntikan dos kedua.

Menurut English, tahap perlindungan sebenarnya mungkin tidak begitu tinggi kerana Israel tidak menguji COVID-19 secara sistematik dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai gejala.

"Mereka mungkin gagal mengesan beberapa kes asimtomatik (tidak bergejala), dan kita tahu bahawa orang tanpa gejala masih boleh menyebarkan jangkitan.

"Namun, hasilnya masih memberangsangkan. Penemuan ini memberi kita harapan bahawa vaksinasi sekurang-kurangnya dapat menghalang virus daripada terus menyebar," katanya menjelaskan bahawa jika ia benar-benar berjaya, akhirnya kita tidak lagi perlu mengambil tindakan seperti perintah sekatan atau pemakaian pelitup muka untuk membendung penularan.

"Tetapi walaupun terdapat beratus-ratus kajian, serta ujian klinikal ketat membabitkan puluhan ribu orang dan menghasilkan puluhan vaksin yang berjaya, kita masih belum tahu seberapa bagus ia menyekat jangkitan?

"Apa yang paling dipentingkan oleh masyarakat global, pertanyaan yang mereka inginkan dijawab dengan cepat, adalah seberapa bagus vaksin mencegah penyakit," katanya, sambil memberitahu ujian klinikal dirancang dengan mempertimbangkan hal itu. 

Sumber : AFP

 

Rabu, Februari 24, 2021

Muhyiddin terima suntikan pertama vaksin COVID-19

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebentar tadi, menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech, sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.

Penerimaan suntikan pertama bagi Malaysia itu disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media termasuk di media sosial, bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran sebenar dan menyeluruh Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula secara rasmi hari ini.

Perdana Menteri menerima suntikan itu di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya di Presint 11, Putrajaya, selepas menyempurnakan Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, dengan fasa pertamanya bermula hari ini hingga April.

Terdahulu, Muhyiddin tiba di PKD Putrajaya pada kira-kira jam 2.25 petang dan membuat imbasan kod MySejahtera, yang akan menjadi aplikasi bagi satu daripada kaedah pendaftaran penerimaan vaksin COVID-19 selepas ini.

Beliau kemudian membuat pendaftaran diri dengan petugas kesihatan bagi tujuan penerimaan vaksin sebelum dibawa ke auditorium bagi mendapatkan penerangan ringkas berkenaan vaksinasi.

Muhyiddin kemudian menandatangani borang persetujuan sebagai dokumen pengisytiharaan diri dan kebenaran individu untuk divaksin.

Sebaik menerima suntikan, Muhyiddin dibawa ke ruangan khas, bagi menunggu selama kira-kira 15 hingga 30 minit untuk memantau sekiranya berlaku reaksi susulan seperti alahan atau simptom lain.

Kemudian, Muhyiddin diiringi Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dibawa untuk mengambil temujanji untuk pengambilan dos kedua.

Turut menerima vaksin sama hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diikuti anggota barisan lain iaitu kumpulan juru suntik yang akan terbabit dalam program imunisasi selepas ini.

Sumber : Berita Harian

 

 

Ahad, Februari 21, 2021

Kumpulan pertama vaksin COVID-19 tiba di Malaysia

 


Pesawat Malaysia Airlines MH604 dihiasi Jalur Gemilang yang membawa kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 Malaysia selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10 pagi tadi.

Vaksin Pfizer-BioNTech itu diterbangkan menggunakan pesawat Airbus 330-300 dikendalikan MABkargo Sdn Bhd (MASKargo) dari kilang Pfizer di Belgium, dengan penerbangan membawa vaksin itu berlepas dari Puurs dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle, Jerman.

Ketibaan pesawat yang membawa 312,390 dos vaksin dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sejumlah 312,390 dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang tiba di Malaysia pagi tadi akan di hantar ke 16 pusat simpanan vaksin di seluruh negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata sejumlah vaksin juga dijangka tiba di Johor dari Singapura pada jam 2 petang ini menggunakan jalan darat.

"Sementara di Pulau Pinang dihantar melalui pesawat dan tiba pada jam 6 petang. Bagi Sabah dan Sarawak kita akan tentukan tarikh penghantarannya dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata, sehingga kini, sebanyak 54 lokasi dijadikan pusat simpanan vaksin Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk empat di Johor, Selangor (enam), masing-masing dua di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur serta satu di Putrajaya.

"Jumlah keseluruhan 54 lokasi itu termasuk juga di Sabah dan Sarawak. Pusat simpanan ini akan mengagihkan (vaksin) ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya.

Vaksin Pfizer-BioNTech diturunkan dari pesawat, kemudian dibawa ke pusat penyimpanan sementara bagi tujuan diedar ke fasiliti kesihatan milik KKM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Perjalanan vaksin bermula dari kilang Pfizer di Belgium semalam, diuruskan sendiri oleh Pfizer dan DHL Express melalui perjanjian di peringkat global.

Vaksin itu kemudian berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.

Sumber : Berita Harian

 

 

Rabu, Disember 09, 2020

FDA dedah 6 maut ujian percubaan vaksin Pfizer/BioNTech

 

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) mendedahkan enam orang meninggal dunia dalam fasa percubaan vaksin Pfizer/BioNTech COVID-19, hanya beberapa jam selepas Britain menjadi negara pertama dunia menggunakan vaksin itu.

Bagaimanapun, FDA menjelaskan, kes kematian itu tidak menimbulkan isu keselamatan atau persoalan baharu mengenai keberkesanan vaksin kerana ia berlaku ke atas populasi umum pada kadar yang sama.

Laporan setebal 53 muka surat itu yang dikeluarkan FDA hari ini adalah analisis terperinci pertama berkenaan percubaan vaksin oleh Pfizer dan BioNTech, pada November dengan 95 peratus keberkesanan mencegah jangkitan COVID-19.

Dokumen itu mendedahkan dua mangsa meninggal dunia ketika menerima dos percubaan vaksin itu, manakala empat lagi maut ketika berada di peringkat plasebo. 

"Semua mangsa yang meninggal dunia mewakili kadar populasi umum dan peringkat kumpulan umur di mana ia berlaku pada kadar sama," kata laporan itu.

Ia mengesahkan vaksin itu seperti dilaporkan oleh Pfizer, sekurang-kurangnya 95 peratus keberkesanan dalam masa tujuh hari selepas suntikan kedua, menurut laporan agensi berita antarabangsa, thenewdaily.com

Data terbabit menunjukkan vaksin berkenaan hanya 52 peratus berkesan selepas dos pertama.

Laporan itu merumuskan keberkesanan data memenuhi jangkaan FDA bagi kebenaran kegunaan kecemasan.

Bagaimanapun data itu masih tidak mencukupi untuk merumuskan sejauh mana vaksin itu selamat untuk kanak-kanak di bawah usia 16 tahun, wanita hamil dan individu yang mempunyai gangguan sistem imun.

Hujung minggu ini, panel saintis bebas akan menilai laporan FDA sebelum mengesyorkan sama ada mereka yang berusia 16 tahun ke atas disyorkan menerima vaksin terbabit.

FDA mengatakan keputusan itu menunjukkan titik keberkesanan yang sama antara kumpulan umur, jantina, kaum dan etnik dan peserta dengan komorbiditi perubatan yang berkaitan dengan risiko tinggi COVID-19.

Sumber : Berita Harian

 

Rabu, Januari 08, 2020

500,000 bayi diberi dua dos vaksin pneumokokal pada 2020


Dianggarkan 500,000 bayi yang lahir pada tahun ini bakal menerima dua dos suntikan percuma vaksin pneumokokal, bermula pertengahan tahun 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dos ketiga vaksin pneumokokal pula akan diberi pada 2021.

Katanya, pemberian vaksin pneumokokal perlu diambil sebanyak tiga dos pada bayi berusia 4, 8 dan 15 bulan.

“Bagaimanapun, pemberian itu bergantung kepada bekalan vaksin sedia ada selepas proses perolehan vaksin dibuat dijangka pada pertengahan tahun ini.

“Ketika ini Kementerian Kesihatan sedang menunggu untuk mendapatkan vaksin pneumokokal melalui tender terbuka. Di samping itu, persediaan logistik, sumber tenaga, latihan anggota, pengukuhan sistem pelaporan dan survelan juga sedang dijalankan.

"Aktiviti hebahan dan promosi juga akan dijalankan bagi memastikan ibu

bapa bagi kanak-kanak yang layak mengetahui mengenai imunisasi pneumokokal dan manfaatnya kepada anak-anak mereka.

"Kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Immunise For Life, badan profesional seperti Persatuan Pediatrik Malaysia akan dijalankan bagi meningkatkan advokasi terhadap vaksin pneumokokal," katanya kepada BH.

Kementerian Kesihatan komited memulakan suntikan pneumococcal kepada semua bayi mulai tahun ini melalui peruntukan RM60 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2020.

Visi Kementerian Kesihatan adalah untuk memastikan setiap kanak-kanak diberikan suntikan dan mencapai 95 peratus kadar vaksinasi.

Imunisasi pneumokokal elak jangkitan kuman bahaya

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan kementeriannya sedang mempertimbangkan penguatkuasaan suntikan vaksin bagi mengawal penyakit yang boleh dicegah berikutan peningkatan jumlah kanak-kanak tidak menerima pelalian.

Dalam kenyataan sama, beliau memetik data Kementerian Kesihatan menunjukkan jumlah penolakan suntikan vaksin dalam kalangan keluarga dengan anak berusia bawah dua tahun meningkat daripada 637 kes pada 2013 kepada 1,918 kes tahun selepas itu dan 1,541 kes pada 2015.

Bagi tujuan penguatkuasaan suntikan pelalian berkenaan, kementerian terbabit sudah memohon peruntukan tambahan untuk menjayakan program pencegahan kesihatan dan vaksinasi terutama untuk vaksin pneumokokal.

Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, kira-kira RM180 juta diperlukan untuk membiayai suntikanvaksin pneumokokal kepada 500,000 kanak-kanak setahun dengan jaminan peruntukan bagi tujuan terbabit akan dikemukakan dalam Bajet 2019.

Statistik mencatatkan jumlah kohort kelahiran kebangsaan dianggarkan sekitar 450,000 hingga 500,000 setahun.

Untuk makluman, vaksin pneumokokal diperlukan bagi mencegah masalah kesihatan seperti pneumonia, paru-paru, penyakit buah pinggang serta kegagalan fungsi otak atau meningitis.

 Inisiatif kerajaan itu susulan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini yang menganggarkan seramai satu juta kanak-kanak bawah usia lima tahun mati akibat jangkitan kuman pneumokokal setiap tahun.

Sememangnya, cadangan kerajaan untuk mewajibkan vaksin pneumokokal sebagai suntikan tambahan kepada kepada bayi bawah usia dua tahun menerusi Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), mampu meningkatkan kualiti kesihatan rakyat.

Ia juga dianggap tepat pada masanya selepas kerajaan terdahulu turut mengemukakan cadangan sama beberapa tahun lalu, namun hasrat murni itu tidak dapat dilaksanakan atas pelbagai kekangan termasuk kekurangan dana.

Isu dana yang menyebabkan pelaksanaan langkah itu gagal direalisasikan agak sukar diterima memandangkan Malaysia antara negara yang memperuntukkan peruntukan besar bagi menampung kos rawatan dan perubatan di semua hospital kerajaan seluruh negara.

Kali ini, rakyat begitu mengharapkan kesungguhan kerajaan dalam isu terbabit mendapat sokongan semua pihak kerana suntikan vaksin tambahan berupaya mengelakkan jangkitan kuman pneumokokal dalam kalangan kanak-kanak.

Tanpa vaksin berkenaan, risiko jangkitan dalam kalangan anak kecil meningkat memandangkan sistem imun mereka masih lemah. Dua jangkitan kritikal disebabkan kuman berkenaan ialah meningitis (jangkitan selaput otak) dan pneumonia (jangkitan paru-paru).

Bagi mengurangkan perbelanjaan membeli vaksin berkenaan, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pediatrik Malaysia, Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail, berkata, kementerian disaran mendapatkan kerjasama beberapa negara Asean lain untuk membeli vaksin berkenaan.

Kerjasama itu kata beliau, bertujuan membolehkan pembelian dilakukan secara bekerjasama dengan beberapa negara lain untuk mendapatkan tawaran harga lebih berdaya saing.

“Pada masa sama juga, kerajaan perlu ada pemantauan penyakit yang disebabkan bakteria pneumokokal ini. Perlu dilengkapkan makmal seluruh negara bertujuan menjalani ujian serotip kuman ini,” katanya.

Dr Zulkifli berkata, ramai doktor dan pakar Pediatrik mengalu-alukan kemasukan vaksin pneumokokal dalam program NIP. Ramai di antara mereka sudah bertahun-tahun cuba meminta agar vaksin ini diberi kerajaan. Walaubagaimanapun, mereka faham bahawa negara perlu memberi keutamaan kepada peruntukan lebih penting sehingga kita dapat memulakan vaksinasi ini.

Pada masa sama, masyarakat perlu dimaklumkan secara tepat mengenai pelaksanaannya, sekali gus membolehkan hasrat melahirkan generasi rakyat lebih sihat mendapat sokongan semua pihak.

Sokongan jitu juga diperlukan bagi memerangi dakyah digerakkan pelbagai pertubuhan anti vaksin yang menyalurkan maklumat tidak tepat mengenai pemberian suntikan vaksin sehingga mengelirukan banyak pihak.

Agak malang andai hasrat murni kerajaan terbantut angkara dakyah anti vaksin sedangkan negara kita mempunyai ramai pakar yang membolehkan perkongsian maklumat dan kepakaran disebar demi kepentingan bersama melalui khidmat sokongan secara menyeluruh.

Perkongsian pintar ini pastinya mampu membentuk mekanisme terbaik bagi memastikan jutaan ringgit yang dibelanjakan kerajaan dapat dimanfaatkan semua pihak.

Jangkitan bawa maut

Pensyarah Kehormat Jabatan Pediatrik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin, dalam kenyataannya sebelum ini menggesa supaya pemberian vaksin penumokokal disegerakan bagi mengelak jangkitan yang boleh membawa maut.

Beliau yang juga Pakar Pediatrik dan Neurologi Pusat Perubatan Prince Court mendapati, kuman pneumokokal sangat cepat merebak dalam anggota badan dan jika lambat dirawat, berpotensi menyebabkan mangsa tenat dan kritikal.

Berkongsi pengalaman merawat pesakit jangkitan meningitis pneumokokal, Dr Mohd Feizel Alsiddiq berkata, mangsa dikejarkan ke unit kecemasan dalam keadaan demam yang tinggi, sawan dan seterusnya koma.

Kajian klinikal pula membuktikan serangan kuman meningitis boleh menyebabkan punca kematian sehingga 10 peratus. Dianggarkan juga, 25 peratus daripada mangsa mengalami kecacatan otak kekal kesan serangan berkenaan.

Bagi kes yang serius pula, pesakit perlu menjalani rawatan di unit rawatan rapi dengan kos antara RM1,000 hingga RM1,500 sehari, tidak termasuk kos bekalan ubat.

Berikutan bahayanya risiko serangan jangkitan berkenaan, rasional suntikan itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan di negara kita, mengikut jejak Singapura, Filipina dan beberapa negara membangun lain di Amerika Selatan yang sudah melaksanakannya.

Rawatan terbaik

Kajian mendapati pemberian vaksin berupaya mengurangkan lebih 90 peratus kes serangan jangkitan pneumokokal, sekali gus dapat membantu memastikan generasi pelapis negara menikmati kehidupan berkualiti.

Selain itu, langkah suntikan pelalian berkenaan juga selaras matlamat kerajaan untuk memastikan rakyat mendapat rawatan kesihatan terbaik sebagai persediaan melahirkan generasi lebih sihat dan berdaya saing.

Biarlah berapa juta ringgit sekali pun perlu dibelanjakan untuk memberi suntikan berkenaan kepada kumpulan sasar saban tahun, anggaplah ia pelaburan asas kepada negara sebagai persiapan melahirkan pemimpin pelapis kita.

Pastinya, kita tidak mahu melihat kesihatan anak cucu kita nanti terjejas dalam jangka panjang akibat jangkitan berkenaan yang boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Pelalian atau vaksin boleh bertindak sebagai barisan pertahanan pertama menentang jangkitan pneumokokal dengan membantu melindungi daripada penyakit serius, komplikasi jangkitan serta menyelamatkan nyawa.

Sudah sampai masanya Malaysia mengikut jejak lebih 50 negara membangun dan maju di seluruh dunia menyediakan barisan pertahanan pertama itu seperti disyorkan WHO.

Sumber : Berita Harian

Rabu, Jun 29, 2016

Wabak Campak Meningkat



Sebanyak 873 kes wabak measles atau campak dilaporkan sehingga minggu pertama bulan ini, sekaligus menunjukkan peningkatan 340 peratus berbanding 197 kes untuk tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes demam campak itu disebabkan kanak-kanak tidak mendapatkan imunisasi.

Beliau berkata majoriti wabak membabitkan rumah persendirian (63.6 peratus), diikuti institusi (28.8 peratus) dan komuniti (7.6 peratus)."

"Sepanjang tahun 2015, terdapat 1,318 kes wabak demam campak dengan dua kematian dan belum ada kematian pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya pada Ahad.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 66 kes wabak demam campak dilaporkan sehingga minggu pertama bulan ini, iaitu peningkatan hingga lima kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Pada 2014, hanya 11 wabak demam campak dilaporkan (bagi tempoh berkenaan) dan meningkat kepada 57 wabak pada 2015,” katanya.

Bagi wabak cacar air atau chicken pox, Dr Noor Hisham berkata, 109 kes dilapor pada tahun ini iaitu menurun 34.7 peratus berbanding 167 pada 2015 dan 125 pada 2014.

Katanya, tiada kematian akibat cacar air pernah dilaporkan dalam tempoh tiga tahun, serta majoriti kes bagi tahun ini melibatkan institusi (90 peratus) seperti taska, tadika, pusat jagaan harian dan pusat tahanan.

Beliau berkata, demam campak dan cacar air adalah penyakit cegahan vaksin yang sangat mudah berjangkit melalui udara dan sentuhan langsung kepada titisan cecair pesakit.

Katanya, imunisasi demam campak akan diberikan kepada kanak-kanak pada umur sembilan dan 12 bulan, manakala imunisasi cacar air tidak termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Menurutnya, gerakan antivaksin turut memberi kesan kepada liputan imunisasi sehingga menyebabkan liputan itu boleh menurun sehingga kurang daripada 95 peratus.

Katanya data dari klinik kesihatan menunjukkan bilangan kes yang menolak vaksin dalam kalangan ibu bapa meningkat daripada 470 kes pada 2013 kepada 1,292 kes pada tahun 2014.

Dr Noor Hisham menarik perhatian bahawa campak dan cacar air adalah sejenis penyakit yang amat mudah merebak dan kanak-kanak yang dijangkitinya perlu diasingkan dan tidak dihantar ke pusat asuhan, taska, tadika atau sekolah.

Katanya, ibu bapa dinasihatkan bekerjasama dengan memastikan anak-anak mereka mendapat imunisasi, sama ada pada tarikh hari lahir pertama anak atau semasa kempen imunisasi campak dijalankan dalam komuniti.

“Tindakan bijak kita akan menurunkan risiko jangkitan campak dan mengurangkan keterukan penyakit serta mencegah kematian,” katanya.

- mSTAR

Jumaat, Jun 24, 2016

Hukum suntikan vaksin adalah harus - Mufti Wilayah



Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan hukum suntikan vaksin sebagai harus sama ada untuk merawat penyakit ataupun bersifat pencegahan daripada dijangkiti penyakit.

Menurutnya, ia selaras dengan pendapat ramai tokoh ulama namun ia perlu menepati beberapa kriteria.

“Pertama, berlakunya keperluan yang mendesak dan kedua, testimoni telah mengatakan ia dapat memberikan kesan yang baik.

“Ketika, elakkan bahan yang bersifat najis kecuali jika dalam keadaan terpaksa dan keempat, sifat sebagai pengawalan daripada penyakit adalah telah terbukti.

“Akhir sekali, tiada kesan sampingan dan mudarat yang lebih besar berlaku kepada mereka yang disuntik dengan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan meninggal dunia, seorang kritikal manakala lima lagi adik-beradiknya dikuarantin di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dipercayai akibat dijangkiti bakteria difteria.

Sebelumnya pula, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia akibat dijangkiti bakteria difteria di Melaka.

Dalam pada itu, Zulkifli mengajak orang ramai merujuk sesuatu isu itu dengan pakarnya.

“Marilah kita sama-sama menginsafi diri kita dengan merujuk setiap sesuatu itu kepada pakarnya.

“Jika ia berkaitan dengan soal kesihatan maka sudah tentulah yang paling berautoriti terhadapnya adalah Kementerian Kesihatan dan pakar-pakar mereka,” katanya.

- Sinar Harian

Recent Posts