Memaparkan catatan dengan label tunai haji. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tunai haji. Papar semua catatan

Jumaat, April 22, 2022

Kuota haji Malaysia 14,306 tahun 2022

 



Kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Dalam pengumuman secara langsung menerusi Facebook hari ini, Idris berkata, peratusan sama (45 peratus) terpakai kepada semua negara.

Arab Saudi menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi musim 2022 yang mana 85 peratus daripadanya untuk jemaah luar. Jumlah sejuta jemaah itu adalah 45 peratus daripada 2.5 juta orang pada 2019.

Idris berkata, kuota sebanyak 14,306 jemaah itu ialah penurunan daripada seramai 31,600 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu, pada 2019.

"Ini (kuota jemaah bagi musim haji 2022) sudah tentunya berikutan penilaian dan langkah berjaga-jaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan semua jemaah haji dari seluruh dunia.

"Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota diberikan kepada jemaah haji Malaysia," katanya.

Sebelum ini, Idris dilaporkan berkata, kerajaan berharap kuota jemaah haji Malaysia ditambah jika Arab Saudi membenarkan negara luar menunaikan Rukun Islam kelima itu, tahun ini.

Beliau juga dilaporkan berkata, persediaan jemaah haji Malaysia untuk menunaikan ibadah itu pada tahun ini, termasuk logistik, penginapan hotel dan kemudahan lain sudah sedia, selain hanya menunggu pengumuman kuota haji oleh Kerajaan Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Idris berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci selepas dua tahun tertangguh kerana pandemik COVID-19.

Beliau juga sudah mengarahkan TH untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia, selain memohon semua bakal jemaah membuat persediaan sewajarnya daripada segi ilmu, kesihatan, rohani, jasmani dan kewangan.

TH juga akan mengeluarkan surat tawaran dalam masa terdekat dengan bakal jemaah terpilih diminta membuat pemeriksaan kesihatan dan menjawab surat tawaran dengan kadar segera.

"Bakal jemaah juga dinasihatkan supaya bersedia dengan dokumen berkaitan, terutama pasport. Semua jemaah haji Malaysia perlu mengambil suntikan wajib Meningococcal serta vaksin COVID-19 apabila dipanggil Kementerian Kesihatan supaya proses pengambilan vaksin dapat dijalankan mengikut masa ditetapkan," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bantuan pembayaran haji kepada bakal jemaah pada tahun ini akan diteruskan, selain pengumuman mengenai ketetapan bayaran baharu akan dibuat pengurusan TH, esok.

"Sebagai pengumuman awal, bantuan pembayaran Haji tetap akan diteruskan oleh pihak TH bagi bakal jemaah Haji pada tahun ini. Jika tiada aral melintang, insya-Allah pihak pengurusan TH akan mengumumkan ketetapan bayaran baharu jemaah haji esok, pada waktu yang akan diumumkan kelak.

"Sempena Ramadan Mubarak ini juga, saya memohon agar semua umat Islam di negara ini berdoa semoga Allah SWT mempermudahkan perjalanan haji tahun ini serta mendoakan kemudahan bagi TH menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik," katanya.

Sumber dari Berita Harian